Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 21

WARDINA AMNI mengayuh basikal tenang. Dia tidak kuasa mahu mengejar Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan yang sudah jauh meninggalkannya. Hari ini, hari pertama sesi persekolahan bermula. Bersama azam yang disematkan di jiwa, Wardina Amni mahu belajar bersungguh-sungguh. Dia perlu gigih mendapatkan apa yang ditargetnya.

Hari ini dan seperti hari-hari yang lalu, sikap Suriyana terhadapnya masih sama. Kebencian jelas di wajah wanita itu. Suriyana nampak ketara menafikan haknya sebagai seorang anak di rumah itu. Puas Wardina Amni menelek kertas surat beranaknya, cuba mencari identiti dirinya. Tapi jelas tertulis di surat beranak itu, ayahnya bernama Osman manakala ibunya bernama Suriyana. Sama seperti yang tertulis di surat beranak Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan.

Tapi, kenapa layanan yang aku dan mereka dapat sangat berbeza? Apakah kisah yang telah berlaku sehingga mak tak putus-putus memanggil aku anak sial? Apa gamaknya cerita yang didengari Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan daripada emak sehingga kemesraan kami selama ini bertukar dingin? Tak sangka, begitu mudah kakak dan abang mula membenciku. Apa yang berlaku di zaman silamku sehingga abang dan kakak pun tergamak memanggil aku dengan perkataan itu?’

“Mak, nak salam,” kata Mardiah Amna sebelum memakai kasut di tangga.

Suriyana tersenyum dan menerima baik salam yang dihulur anaknya itu. Ciuman bertalu-talu singgah di pipi kakak sulungnya itu. Layanan Suriyana terhadap Faizul Ikhwan pun begitu. Mak dan abangnya berdakapan mesra. Namun, sebaik saja Wardina Amni menghulurkan tangan semata-mata mahu bersalaman dengan emaknya, Suriyana mengherdik kuat.

“Arghhh, nak pergi, pergi ajelah! Tak payah nak salam-salam dengan aku.”

Wardina Amni terpempan. Tersirap darahnya. Merah pedam mukanya menahan malu. Sesungguhnya, hanya dia saja yang tak sedar diri, masih mengharap dikasihi wanita itu. Walhal dia sudah maklum, selama ini pun, Suriyana tak pernah mahu menerima salam yang dihulurnya.

‘Kenapa? Kenapa aku saja yang tak berhenti mengharap? Kenapa aku masih tak serik-serik menerima caci cercanya? Kenapa aku kempunan sangat dilayan dan dibelai mesra seorang ibu padahal segala harapanku punah bersama kata-katanya yang meremuk redam jiwa?’

“Ya Allah, betapa hebat dugaan yang ENGKAU turunkan untuk Dina. ENGKAU berikanlah hamba-Muini kekuatan Ya Allah melalui semua ini,” doa Wardina Amni bersama rasa sebak yang menyesak dada.

Hatinya sayu kerana ke sekolah tanpa duit belanja. Tadi, dia ke dapur hanya meneguk segelas air masak untuk mengisi perutnya ke sekolah sedangkan Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan berselera menjamu roti potong yang dicicah air Milo panas. Terliur Wardina Amni sehingga menelan air liur sendiri. Tapi hatinya takut-takut mahu menyertai mereka di meja makan itu. Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan langsung tidak mempelawanya. Suriyana apatah lagi.

Duit di dalam tabungnya pula sudah habis kerana digunakan untuk mendaftar masuk ke sekolah menengah. Dia pun tidak tahu kepada siapa mahu mengadu nasib. Pergerakannya di rumah itu sangat terbatas. Langkah kaki dan gerak lakunya sentiasa menjadi tumpuan sekalian mereka. Kalau boleh, dia mahu menelefon Juriah, mengadu keadaan dirinya.

Mengikut perkiraannya, Wardina Amni yakin, Juriah sudah pun pulang dari Mekah. Dia kepingin benar mahu bertemu neneknya itu. Dia ingin memeluk tubuh Juriah kejap-kejap dan berkongsi cerita bersama wanita itu. Kalau boleh, dia ingin tinggal bersama Juriah. Untuk apa lagi dia terus tinggal di rumah itu kalau dirinya dibenci? Tapi apa yang harus dilakukannya? Apa yang perlu dilakukan agar dia bisa berhubung dengan neneknya itu?

Wardina Amni terkenangkan Rokiah. Wanita itu tidak kelihatan lagi di rumah mereka. Mungkin Rokiah sudah diberhentikan Suriyana hanya kerana Rokiah masuk campur dengan hal keluarga mereka. Rokiah dimarahi kerana membela nasibnya. Episod kisah duka, semusim lalu bermain-main di fikirannya. Kebencian Suriyana terhadapnya kian melangit tinggi.

Pon! Pon! Pon!

Wardina Amni terkejut besar. Khayalannya tentang Suriyana, Juriah dan Rokiah lenyap serta-merta. Dia memalingkan muka mencari arah dari mana datangnya hon yang bertalu-talu itu. Kenapa pula dia dihon walhal kedudukan basikalnya berada di garisan selamat?

“Dina!” Satu suara kedengaran berteriak kuat.

Wardina Amni menarik brek tangan serta-merta. Pandangannya bertaut dengan mata Juriah membuatkan dia terkejut berbaur rasa teruja. Baru sebentar tadi dia teringatkan Juriah. Kini, neneknya itu berada di depan mata.

Wardina Amni terkocoh-kocoh menongkat basikal di tepi jalan, dekat dengan rumput. Juriah memakir kereta di tepi Wardina Amni. Gesa-gesa Juriah keluar dari perut kereta dan mendakap erat tubuh cucunya.

“Sayang cucu nenek!” Juriah mencium Wardina Amni.

“Nenek!” jerit Wardina Amni kegembiraan. Hanya itu yang mampu diungkapkan. Entah mengapa, pelukan itu seperti meledakkan segala rasa yang bersatu di jiwa. Rasa rindu yang membuak-buak selama ini disirami air mata. Mereka saling bertangisan.

“Cucu nenek apa khabar?” soal Juriah sebaik saja perasaannya tenang.

“Baik, nek...” jawab Wardina Amni ringkas.

“Betul ke baik ni? Mak layan Dina dengan baik ke?” tanya Juriah tanpa berlengah.

“Mak, kakak dan abang macam pulaukan Dina. Macam Dina ada buat salah besar,” adu Wardina Amni.

Selama ini, tidak pernah seorang pun bertanya khabar tentang dirinya. Apabila Juriah bertanyakan perkara ini, dengan mudah dia membuka mulut. Biarpun adakalanya dia perasan yang jiran mereka Ainon ada mengintai-ngintai ke arah rumah mereka, namun sikap Suriyana ternyata menghalang tindakan Ainon.

Wardina Amni yakin, Ainon prihatin akan keadaan dirinya. Hubungan di antara dia dan Ainon memang mesra semenjak hayat Osman masih ada lagi. Wanita itu selalu menghulurkan buah tangan buat dirinya. Namun kini, hubungan mereka benar-benar terbatas. Sikap Suriyana yang macam kera sumbang, langsung tidak membuka pintu pagar meskipun Ainon acap kali datang memberi salam, mahu bertandang ke rumah mereka.

Dia tahu, Suriyana sengaja mengunci pintu pagar itu agar tiada sesiapa pun tahu akan layanan buruk emak terhadap dirinya.

“Hari tu, nenek ada datang ke rumah Dina. Dina ke mana?” soal Juriah mengenangkan hari dia ke rumah Suriyana dan menantunya itu langsung tak mengizinkan dia bertemu cucu-cucunya.

“Datang rumah Dina? Bila?” soal Wardina Amni berkerut dahi.

“Dua minggu lepas. Beberapa hari lepas nenek balik dari Mekah.” Juriah memberitahu.

“Oh, Dina demam nek! Seminggu lebih juga,” cerita Wardina Amni sebak. Ingin saja diluahkan kepada Juriah yang dia demam lantaran teruk dibalun emaknya. Tapi segalanya tidak terluah di tekak. Perasaan sedih cuba ditahannya memandangkan dia ingin ke sekolah tanpa mengenangkan lagi kisah duka itu.

“Alahai, kesiannya cucu nenek!” komen Juriah sambil mengusap belakang cucunya itu.

Wardina Amni tidak berkata apa-apa. Namun perasaannya sayu membuatkan tangisannya payah untuk reda.

“Ni datang sekolah, dah makan belum?” tanya Juriah penuh cakna.

Wardina Amni hanya menggeleng.

“Kalau nenek nak ajak pergi makan pun, takut tak sempat. 7.30 dah nak masuk kelas. Ni, dah 7.15.” Juriah bersuara kesal sambil menatap jam di tangannya.

Wardina Amni hanya mengangguk, bersetuju dengan kata-kata neneknya itu.

“Mak bagi duit belanja tak?”

Wardina Amni hanya menggeleng kepala dan gelengannya itu bersambut gelengan juga oleh Juriah. Hati Juriah diserbu rasa kasihan yang melimpah terhadap Wardina Amni.

“Ada duit?” tanya Juriah seraya memandang wajah polos Wardina Amni.

“Duit nenek beri hari tu, cukup-cukup aje untuk Dina buat bayar yuran pendaftaran sekolah. Semua dah habis,” adu Wardina Amni lagi.

‘Semua dah habis? Alahai, kesiannya cucuku!’ Juriah melepaskan nafas berat mendengar cerita Wardina Amni. Liur di tekak terasa pahit.

“Nenek nak tanya ni, duit yang nenek masukkan dalam Tabung Haji dah guna belum?” soal Juriahmenahan perasaan sedih.

“Belum, nek. Dina tak pernah ke bandar lagi selepas hari tu. Dina pun tak tahu nak bagi alasan apa kalau mak tanya nak buat apa ke bandar. Dina tak berani nak bohong mak, nanti tak pasal mak mengamuk,” jawab Wardina Amni dengan perasaan tertahan-tahan.

Juriah sebak. Kata-kata Wardina Amni membuatkan perasaan sedihnya tersayat pilu. ‘Aku dah agak, Suri. Kau memang sengaja dera perasaan budak ni. Kau layan dia macam apa, mentang-mentanglah…’

“Nek, Dina pergi dulu ya? Dah lambat ni. Hari ni kan, hari pertama Dina sekolah menengah.” Wardina Amni meminta izin sambil meraba tangan Juriah, mahu bersalaman. Dia perlu segera ke sekolah dan menyambung perjalanannya yang terhenti tadi.

“Ya, ya… dah lewat ni. Nah, ambil duit ni! Buat belanja sekolah.” Juriah gesa-gesa membuka zip dompetnya dan menghulurkan beberapa keping duit berwarna merah dan hijau.

“Eh, banyaknya nek!” Wardina Amni terkejut menerima pemberian Juriah sebanyak itu.

“Tak apa, nenek ikhlas. Buat belanja, yang lebihnya simpan baik-baik ya? Buat belanja esok-esok. Tapi ingat, jangan sampai mak tahu,” pesan Juriah panjang lebar.

Wardina Amni mengangguk faham dan berlalu setelah mengucapkan terima kasih kepada neneknya itu.

Juriah mengelap sisa air mata yang masih galak menitis. Hilangnya kelibat Wardina Amni di sebalik selekoh, rindunya kepada gadis itu datang lagi. Belum pun puas dia bersembang dan bertanya khabar akan cucunya itu, masa begitu mencemburui mereka. Malah, Juriah baru teringat akan gelang yang dibelinya dari Tanah Suci Mekah untuk cucunya itu. Dia benar-benar lupa pasal itu. Diam-diam Juriah memasang tekad, dia ingin sekali membela nasib Wardina Amni.

Apa pun yang berlaku, Wardina Amni harus dikeluarkan dari bumbung rumah Suriyana. Kasihan anak itu. Jiwanya akan terganggu dengan sikap dan layanan buruk daripada seorang ibu juga daripada kakak dan abangnya. Hati perut Suriyana bukan hari ni saja diketahuinya. Keras pedal Suriyana sudah bertahun difahaminya. Cuma benaknya ligat berfikir, apakah strategi yang paling berkesan untuk mengambil Wardina Amni daripada tangan menantunya itu?

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.