Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
11/1/2013 23:01:20
42,168
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 13

MALAM sudah kian tua, sudah melepasi puncak dan sudah semakin menurun pula menuju ke dinihari namun mata Neor juga Mutiara  masih segar.  Tidak langsung berasa memberat.  Semakin dikenali pasangan sendiri, semakin pula banyak persoalan yang perlu digali. Dari tarikh lahir masing-masing sampailah kepada kerjaya dan impian.  Neor menunjuk kepakarannya menilik keperibadian Mutiara melalui tarikh lahir dan warna kegemaran pengantin perempuannya.  Katanya, Mutiara seorang yang tegas, berkeperibadian luhur tetapi….  Senyum dia merenung Mutiara nakal.

“Tapi apa?  Saya sombong ya?”

“Bukan sombong sayang, tapi jenis tergesa-gesa.  Selalu bertindak ikut perasaan.”  Lagi direnung ke mata Mutiara selepas mengira lagi angka-angka yang dibentuk dari tarikh-tarikh penting yang ditanyakannya dari Mutiara.

Mutiara terkedu, diperhatikan kertas yang sudah penuh diconteng Neor seakan sebuah jalan kira-kira matematik, guru menyelesai masalah pengiraan anak muridnya.

“Macam itu saya ya?  Tergesa-gesakan saya dalam menyelesai masalah anak guam saya?”  berkerut dan kesal terukir, keliru juga dia.

“Sudahlah, lupakan saja.  Ini cuma permainan untuk lari dari mengantuk.  Pakar motivasi pernah berkelakar begini.”  Senyum Neor mahu menghibur Mutiara yang tampak ragu.

“Tapi, kalau betul bagitu…”

“Ah, itu tidak mencacatkan peribadi sayang.  Sayang tetap sempurna.  Dan, ini hanya kebetulan atau mungkin saya tersilap kira barangkali.”

Mutiara angguk perlahan, mengendur sendikit perasaannya.

 “Saya sangat-sangat tidak menyangka isteri saya lawyer.”  Tertawa Neor perlahan, dikucup dahi licin itu sekali.  Baharu itu dia melihat sesusuk tubuh Mutiara  tanpa berkerudung litup.  Berpakaian lengkap gadis muslimah dia tampak seksi, bebas kerudung  pula tampak lebih jelita.  Manis benar dengan rambut melepasi bahu, berjuntai nakal di tengah belakang.  Wajah putih bersih kemerahan, turut mewarnai seluruh tubuhnya.  Dengan kelebihan yang dipunyai Mutiara, semakin mendekatkan ingatan Neor kepada yang sudah menghilang.

Benar-benar patah tumbuh hilang berganti.  Itu desis hati Neor berkali-kali.  Rindu pada yang dirindui kian terubat, cuma yang hilang  lebih banyak tertawa lucu berbanding Mutiara   yang sedikit serius.  Sikapnya mungkin dididik oleh kedudukannya dalam masyarakat dan kedewasaannya.  Dia perlu serius dalam melunasi tugasan.  Itu diketahui Neor sendiri tanpa merujuk kepada Mutiara.

“Kenapa awak tak bagitahu saya, awak pelakon, penyanyi?”

“Sayang tak tanya?”  senyum Neor manis, menawan Mutiara.  Tergoda sudah dia dik senyum manis lelaki itu dan dik nakal jemarinya menggenggam dan mengelus perasaan.

Mutiara  mengeluh perlahan, kesal bunyi keluhannya.

“Kenapa? Sayang tak suka?”  bahu Mutiara  diraih, ditarik mendekat ke sisi.  Masih juga mereka bersandar pada katil, duduk di atas permaidani di lantai.  Dingin   bilik itu sangat menyegarkan, sepi dan lengang memberi irama bahagia membuai perasaan pasangan baru yang sedang dilamun cinta itu.

Mutiara   menjawab persoalan Neor hanya dengan keluhan berat, perlahan.

Sorrylah, perkenalan kita terlalu singkat, tidak ada langsung masa untuk bercerita apa-apa berkenaan diri sendiri, tapi percayalah, saya ikhlas mencintai Sayang.  Saya nak Sayang menerima saya seadanya saya, bukan kerana saya ini sesiapa.”

“Tapi walid tak suka artis.  Pada walid, dunia hiburan hanya merosakkan.   Langsung tidak berpijak di bumi yang nyata, melalaikan.”

Neor diam terus, hanya mendengar komen Mutiara.  Luluh sudah hatinya namun dikawal rasa itu.  Yang penting keterbukaan isteri, penerimaan isteri, katanya selalu.  Dia membujuk perasaan sendiri.

“Golongan artis tidak bersungguh-sungguh dalam hidupnya.”

Neor mengeluh perlahan, terus mendakap bahu isteri, kemas.  Bersandar santai mereka di katil yang disarung cadar pengantin.

“Pada walid  juga, golongan artis tidak bermasa depan.”

“Pada Sayang?”

Mutiara  menjungkit bahu, mencebir juga, keliru.

“Artis sekarang bukan macam dulu-dulu, kami dibayar tinggi untuk satu-satu projek.”  Mengendur penerangannya, tidak mahu mendabik dada pada isteri yang mungkin berfikiran serupa bapa mentuanya.

“Tapi tetap tidak menjanjikan apa-apa.”

“Walid kata, atau Sayang yang kata begitu?”

“Walid.”

Neor mengangguk puas.  Senyum dia, semakin erat menarik bahu Mutiara   merapat padanya.

“Walid kata, sembilan puluh sembilan peratus rezeki datangnya dari berniaga, berlakon juga salah satu cara berniaga.  Kami memperdagangkan bakat dan kesungguhan kami untuk mewarnai kehidupan insan lain.”

“Tapi boleh tak kalau awak tukar kerjaya?”

“Nak tukar jadi lawyer? Saya tak ada ijazah undang-undang Sayang…”  senyum dia menggiat.

“Tak perlulah jadi lawyer, cukuplah dengan berniaga sendiri.  Berniaga barang, bukan bakat lakonan.”

“Sayang…”  Neor sudah beralih duduk.  Dari santai di sisi Mutiara, dia sudah mendepani wanita itu, tangan Mutiara diraih lalu digenggam erat. Bersungguh-sungguh dia mahu membujuk.  Menghindar sama sekali hati terluka dik kerakusan Mutiara.  Dia tidak mahu disakiti isteri itu.

“Sebenarnya penglibatan saya dalam bidang lakonan hanya kebetulan.  Saya bercita-cita untuk menjadi pencipta lagu dan guru muzik.  Sekarang ini pun saya sedang mengumpul lagu untuk dirakamkan penyanyi-penyanyi tempatan dan nanti bila saya sudah bersedia, saya akan buka kelas muzik, khas untuk anak-anak muda yang berminat pada muzik.”

“Masih juga dalam lingkaran hiburan?”

“Sayang, saya cuma tahu itu, saya tak tahu untuk berniaga yang lain.”

“Kita bukak perniagaan hartanah.”

“Projek perumahan?”  agak kaget dia.

“Agensi jual beli tanah, premis dan rumah sewa.  Kerja tu tidak seteruk mana. Untungnya berganda. Awak lantik syarikat guaman saya, cara itu lebih mudah.”  Ternyata Mutiara mempunyai ciri-ciri peniaga berjaya.  Neor akui dalam diamnya.

Neor menunduk dia menelan keluhan berat. Kekal dia menggenggam tangan Mutiara, tidak kemas lagi sebaliknya longgar bergetar. Kesal? Benci? Kecewa? Ya, segalanya bergaul berkecamuk.  Seni sudah lama bertapak di jiwanya malah barangkali sejak lahir dan semakin sebati mengikut anjakan usia.  Langsung tidak membedi sebaliknya terus berapi. Namun kini orang tersayang bersikap menolak minat dan cita-citanya.   

Jelas, semakin jauh beda Mutiara   dengan Fifei.  Fifei sangat-sangat mencintai seni, dia dan Fifei seakan berkongsi jiwa. Tidak pernah Fifeinya bertindak selaku pemerintah, memberi arahan juga tidak.  Selalu sahaja bersetuju dengan minatnya dan sentiasa memberi galakan.  Dalam diam, Neor semakin hanyut.  Kembali dia merindui Fifei  yang hilang entah ke mana.  Sebelumnya, dia menyangka dia sudah berjaya menemui semula yang hilang  meski dalam bentuk lain, rupa-rupanya Mutiara  hanyalah seekor umang-umang yang menyarung diri di dalam cantiknya ukiran kulit siput.  Mujur dia bukan umang-umang yang memangsakan pemilik kulit itu, dia sekadar menumpang teduh selepas tuan kulit pergi…

Raut wajah serupa Fifei, senyum dan suaranya juga milik Fifei.  Namun sayang, cintanya tidak seteguh Fifei…

Mengeluh Neor sendiri, tanpa sedar hanyut sendiri menjejak momen bersama Fifei.

“Penatnya bekerja, gaji tak seberapa.”  Merungut dia pada Fifei  sepulang dari kilang berjarak 10 kilomiter dari rumahnya.

Fifei  sekadar senyum, mengangguk faham.  Sabarlah, kalau tak larat sangat berhenti saja.”  Fifei  kekal di belakang, selaku penyokong mengelak dia dari rebah.

“Bila baru saya dapat kumpul duit banyak-banyak.”

“Nak buat apa duit banyak-banyak kalau hati tak gembira, kalau nanti sakit?”  manis lagi senyumnya.

“Untuk memulakan penghidupan bersama awak, saya kena kumpul duit banyak-banyak.”

Fifei  tertawa perlahan.  Mersik sungguh.

“Setuju tak awak kalau saya ke bandar, cari peluang main muzik?”

“Terserah awak…”

“Awak tak malu kalau saya jadi ahli muzik?”

“Muzik itu seni, seni sentiasa bersih, apa nak malu?”

“Tapi muzik tak diterima masyarakat.  Artis selalu dikaitkan dengan maksiat.”

“Yang menjadikan seni dan muzik itu kotor adalah sikap pemuzik itu sendiri.  Jadilah anak seni yang bersih, yang memperjuangkan seni untuk bangsa.”

“Ayah dengan emak awak orang alim, disegani di kampung ini, dua-duanya menolak golongan penghibur.  Terang-terang di rumah awak pun tak ada t.v kan?”

“Saya akan buat mereka menyenangi hiburan.  Percayalah.  Yang penting, awak angkat martabat artis setingginya.  Buktikan penghibur juga sebersih kerjaya lain.”

Terkasima Neor, murni benar jiwa Fifeinya.  Jika dibanding Fifei  dengan Mutiara, bagaikan langit dengan bumi.  Mutiara begitu tinggi kedudukan sementara Fifei  setaraf dia.  Mutiara  begitu memandang rendah nilai diri anak seni, Fifei  terlalu meninggi dan mengagongkan seni.  Mengeluh Neor perlahan, dipanah anak mata Mutiara, lama, tajam.  Berdoa dia agar ketemu lakaran seni di dalam mata Mutiara.

“Hinakah menjadi penghibur, Sayang?”  lirih dia mengharap pengertian.  Berharap berjaya menemukan Fifei  di situ.  Di dalam mata Mutiara.

“Saya tidak menghina sesiapa dan apa juga bentuk kerjaya, asalkan halal. Cuma walid tak sukakannya.  Pantang keturuan walid, darah daging mereka melibatkan diri dalam dunia hiburan.  Ahli muzik memalukannya.”

“Yang nak hidup bersama saya adalah Sayang, kan? Kenapa mesti walid  yang dibimbangkan?”

“Demi menjalin hubungan baik dengan walid, kita mesti mengembirakan, tidak sama sekali melukainya.  Saya tak nak umi sedih bila walid benci kita.”

Neor mengeluh lagi, perlahan.

“Kita cuba membuat walid gemarkan hiburan?”

Mutiara tertawa hambar, buruk benar didengar Neor.  Menggeleng juga Mutiara, lama gelengannya.

“Saya tak reti buat kerja lain, dengan kerjaya seni saya, saya menyara emak dan abang saya menyambung pengajian.  Sudah lama saya di bidang ini.”

“Semuanya boleh bermula semula, kan?”

“Sayang…”

Mutiara senyum pula dalam keluhan singkat.   

“Betapa susahnya saya untuk sampai ke tahap ini.  Pelbagai liku sudah saya rentas.  Saya harung setiap gelombang baik panas mahupun sejuk.  Tak kan semudahnya saya menukar arah dan  dibuang apa yang sudah saya ada begitu sahaja….”  Kekal lembut memujuk.  Erat menggenggam jemari isteri, kekal menawan sirna matanya.  Ditarik jemari itu ke bibirnya, dikucup perlahan.  Sayang benar meski si isteri sudah melukakan.

“Tak kan boleh dibuang hanya kerana seorang isteri yang biasa-biasa, kan?  Yang tidak ada keistimewaan di mana-mana.”  Tajam Neor ditikam lidah Mutiara.  Berbisa benar.  Neor kesakitan dalam diam, diam-diam dia merawat sendiri.

“Sayang teristimewa di hati saya.  Sangat-sangat saya istimewakan.  Tapi berilah masa untuk saya merancang sesuatu.  Kita kahwin mengejut begini, mana mungkin segalanya diberhentikan dalam sekelip mata.”  Berusaha  dia menjernih suasana.  Tidak mahu dingin malam pengantin bertukar panas hanya kerana kerjaya dan perasaan mentuanya.

“Ok lah, up to you.  Itu pula dijawab Mutiara perlahan.

Neor senyum lagi, dicuri lagi haruman dari celah jemari isteri.  Lama jemari itu diletak di hujung hidungnya.  Mahu menyatu perasaan seikhlasnya.

“Sayang, saya tahu Sayang terluka, saya tak berniat langsung.  Saya berjanji, saya akan kekal menjaga nama baik isteri saya dan keluarga baru saya.”

Mutiara mengangguk perlahan, senyum terus.  Tampak ikhlas, tidak berpura-pura  mungkin.  Itu diajarnya sendiri untuk hati sendiri, sikap positif dan sentiasa berperasangka baik.

 “Terima kasih” terlalu perlahan sewaktu bibir menyinggah pula di dahi dan ubun-ubun, lembut berkali-kali.

Thanks Sayang, saya mencintai Sayang setulus hati saya. Tidak juga berharap sebanyak itu juga cinta Sayang pada saya.   Cuma saya harap, Sayang terima saya seadanya saya.”

Kekal manis di bibir Mutiara.  Jelas, dia mudah dibujuk dalam rajuknya yang juga murah benar. 

“Saya akan meninggalkan dunia seni apabila tiba masanya nanti.  Percayalah.”

“Bilalah agak-agaknya tu?”  Mutiara tertawa kecil.  Manis bunyi tawanya.

Neor mengeluh juga perlahan namun senyum juga.  Sakit rasa dadanya namun demi menjernihkan malam pengantin itu, berusaha dia menjadi hipokrit.

“Saya cuma nak walid gembira.” Syahdu  benar dia.

“Saya juga berharap dapat mengembirakan walid.”  Kedengaran tidak yakin dengan jawapannya.  Geruh membohongi diri.

“Untuk sementara, siapa you sebenarnya mesti dirahsiakan dari walid dan perkahwinan ini mesti dirahsiakan dulu dari pengetahuan masyarakat, terutama rakyat Malaysia.”

“Tapi kenapa?”  kaget Neor, hairan.  Jika isteri lain mahu segera diumumkan perkahwinannya oleh suami dan diperkenalkan kepada masyarakat, sebaliknya pula Mutiara.

“Awak glamour, terkenal bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara jiran. Saya bimbang akan sampai ke pendengaran walid atau umi nanti.”

So, Sayang nak rumah tangga kita dalam rahsia?”

Mutiara mengangguk perlahan.  “Sementara saja, apabila awak sudah meninggalkan dunia hiburan, kita akan menghebahkan perkahwinan kita.”

Mengeluh lagi Neor, perlahan.  Liur likat ditelannya lagi. Bila dia akan pamit dari dunianya, sedangkan belum pernah dia terfikir untuk melakukan yang lain selain mencipta lagu, menyanyi dan berlakon. Bayangan Fifeinya muncul lagi, menyaluti sekujur tubuh di dalam dakapannya.  Hanyut pula Neor membuai rindu, membelai Mutiara tetapi membaja kasih pada bayangan…

 

MAJLIS gilang-gemilang sudah berakhir selamat. Mutiara di mata, Mutiara juga di hati semua.  Tuan Jaafar tersenyum lebar di sisi isteri yang sentiasa setia menemani. Rakan taulan, para jemputan sudah berlalu pergi, namun senyum di bibir Mutiara  kekal segar. Orang yang sangat diharapkan muncul di hari bahagianya kini di hadapan mata.  Sudah mereka berpelukan, berkucupan bagaikan melunas rindu pada perpisahan yang panjang meski baharu beberapa hari terpisah.  Kepada Neor diberitahu siapa Ezeti dan siapa Mutiara, terkedu dia sendiri.  Terlalu kecil dunia ini, tukasnya berkali-kali diselang tawa lucu.

Hanya senyum dan gembira begitu tidak ditemui di wajah Tuan Jaafar, yang ada hanya kucam dan benci.  Sewaktu jemarinya digenggam dan dikucup Ezeti, sempat dia menyelit pertanyaan apa yang sedang diusahakan gadis itu.

“Studio fotografi.”  Sepatah itu sudah cukup membuat Tuan Jaafar terus membenci. 

Mutiara  berharap Ezeti mereka jawapan lain, berbohong berkenaan kerjayanya demi menjernih keruh yang sudah lama, namun Ezeti terlalu telus.  Tidak langsung berusaha memperbetul keadaan.  Kekal dia dengan prinsib yang jelas bertentangan dengan Tuan Jaafar.  Namun apa yang diharap Mutiara, di masa akan datang Ezeti akan lebih bijak, itu doanya sendiri.  Tidak salah berbohong demi membina penghubung, itu juga pendirian Mutiara.

Neor tampak lebih ceria dari semalam dan kelmarin. Dia jelas gembira ketemu Ezeti dan gembira juga mengetahui mereka sudah sekeluarga.  Mutiara hanya melihat kegembiraan itu, dalam diam dia impikan keakraban sebegitu.  Berharap dapat menjadi sabahat karib Neor seperti mana karibnya Ezeti dan suaminya.

Tuan Jaafar dan Puan Sumira sudah berangkat pulang bersama pemandu dan pembantu rumah.  Pengantin sudah diberi sebuah bilik pengantin oleh pihak hotel, Ezeti dan Azrey juga berkeputusan yang sama.  Dua buah bilik bersebelahan bilik pengantin ditempah sesegeranya, mereka mahu menikmati malam istimewa itu bersama.  Merai kegembiraan pasangan bercinta itu.

Tadi sewaktu bersantai bersama Puan Sumira, sempat wanita itu bertanyakan siapa Azrey.  Ezeti cuma menyatakan perhubungan yang masih samar-samar. Tidak bercinta tetapi menuju ke arah itu.  Tajam dikerlingnya Azrey, berharap uminya tidak bertanya berkenaan hati dan perasaan kepada lelaki itu, dia tidak membincangkan perkara itu bersama Azrey.

“Bila nak langsung?”  itu juga dibisikkan kepadanya.

Ezeti  senyum sumbing.  Mengeluh berat dia sendiri.

“Umi tak usah tanya Azrey tau?”

“Kenapa?”

“Tak kan perigi mencari timba….”  Berpura-pura malu.

“Zaman sekarang ini dah tak kisah siapa mencari siapa, siapa cepat dia dapat.”

“Nanti dia ingat Zet murah, macam tak laku sangat.”

“Buang ego tu, awak pun bukan muda lagi.”

“Nanti Zet cakap sendiri kat Azrey.  Umi tak payah sebut apa-apa.”  Dia membujuk pula. Bimbang benar dia, Puan Sumira bertindak mengocak perhubungan dia bersama pekerjanya.

“Ok, tapi jangan lama-lama.  Azrey tu nampaknya baik, hormat umi, hormat walid.”

“Tapi walid mesti tak suka dia kan?”

“Sebab dia pekerja Zet?”

Ezeti  menunduk, mahu sahaja dinyatakan bukan sahaja kerana pekerjanya tetapi juga kerana lelaki itu juru foto sepertinya.  Tidak menjawat jawatan professional seperti yang didambakan Tuan Jaafar.  Puan Sumira mengeluh perlahan, jauh anak mata Ezeti  direnungnya.  Ezeti  mengecilkan mata, senyum diukir manis, mahu memujuk ibu itu lagi agar membiar Azrey tanpa sebarang persoalan yang melibatkan perasaan. 

Kalaulah dia tahu apa yang aku dengan umi bincangkan tadi, mahu terburai perutnya gelakkan aku.  Budak mentah tu nak dijadikan teman hidup? Betul-betul bukan taste aku.  Meleret senyum Ezeti  mentertawakan diri sendiri dan pandangan uminya yang sangat kebudak-budakan.

“Hai, panjang senyum? Gembira beriparkan saya atau mentertawakan saya yang berjaya awak dengan adik awak permainkan?”

Ezeti  berpaling, menoleh arah datangnya Neor. Masih senyum meski kening berkerut, tidak faham apa yang dimaksudkan Neor.  Lama lelaki itu ditikam dengan renungan nakal, mengusik.  Neor lantas duduk di sofa bersebelahan.  Samar cahaya bar hotel, menghantar seri yang bukan sedikit ke wajah pengantin lelaki.

“Kenapa awak tuduh saya dengan Ira permainkan awak?”

“Kenapa tak bagitahu saya, Ira adik kembar awak?”  Neor pula berpura-pura serius namun manis kucamnya.  Pertanyaan Ezeti  dijawab soalan juga.  Sedikit mendongak dia, untuk tampak serius.

Demi mempertahan perasaan yang digugah renungan dan gaya nakal pelakon lelaki itu, Ezeti  tertawa besar.  Entah kenapa seri pengantin Neor membuat hatinya berdebar sendiri. Bahu Neor ditampar sekali, sedikit kuat, ditolak juga menyenget ke kiri.   Neor condong, menyeringai pedih seraya menggosok   bekas tamparan Ezeti, perlahan.  Membetulkan juga duduknya tegak semula.  

“Kenapa tak beritahu?”  Neor menuding mata pada Ezeti  yang masih tertawa.  Saya jadi macam orang bodoh tau?”   masih ada kilasan senyum dalam aksi seriusnya. Tergoda lagi Ezeti.

“Siapa salah? Saya dah tanya awak, tak nak ke tahu latar belakang keluarga Ira? awak kata tak perlu. Awak nak buah hati awak cerita sendiri, kan? So?”  Ezeti   turut berpura-pura serius, bahu diangkat, menceber senget juga.

“Cakaplah my wife tu adik awak, susah sangat ke?”  Neor   mengetap bibir, marah.  Dia menginsut perlahan mahu menghampir Ezeti.

Ezeti  menginsut menjauh seraya tertawa perlahan.  Tangan digoyang-goyang gaya mohon maaf dan minta pertolongan.

“Ke mana nak lari ha? Ke mana nak lari?”  Neor sudah semakin menghampir, kucam sudah semakin memanis, masing-masing sudah semakin gagal menahan tawa.

“Hai, di sini rupakan Cik Zet.”  Mujur saat genting itu muncul Azrey merentap degup di hati Ezeti  dan girang Neor yang mahu terus mempermainkan.

“Ha Rey, mari duduk sekali.”

“Okay, tak mengganggu ke?”

“Hei, no lah.  Sit.  Memang I cadang nak call you, ajak santai kat sini tapi tiba-tiba pengantin ni datang menyebuk kat sini.”  Ezeti  tertawa lagi.

“O, menyebuk ya? Ha?”  Neor masih mahu terus mempermain Ezeti.

Ezeti  tertawa perlahan, angkat tangan mohon dimaafkan.  Neor kembali menjauh, duduk semula di tempat awalnya meski masih berkongsi sofa panjang sementara Azrey  kekal di sofa berasingan, muat untuk seorang, tidak jauh dari Ezeti.  Pelayan datang menawarkan  khidmat, Azrey   memesan segelas air jus sejuk.  Sopan gaya pelayan lelaki menunduk hormat dan pergi membawa pesanan.  Hanya beberapa minit yang singkat, kunjung dia lagi membawa bersama segelas air berwarna kuning, berhias sepotong limau dan payung kecil.  Diletak sopan di atas meja hidang di tengah-tengah sekumpulan tiga orang itu.

“Minum Rey.”  Ezeti  mempelawa.

Azrey   angguk, menyisip sedikit lalu diletak semula.  “Pengantin you mana?”  dia bertanya  Neor.

Ezeti  turut menunggu jawapan Neor, dua pasang mata menempat pada Neor.

“Ada kat bilik.”

“La, awak tinggalkan pengantin awak seorang diri kat bilik? Tak takut hilang ke?”  lagi berpura-pura serius.

“Siapa nak curi?”

“Manalah tahu….”  Ayatnya tidak diteruskan,   tidak ditemui penyambut.  “Tak takut merajuk dia?”  ayat lain pula dikarang.

“Adik awak kuat merajuk ke?”

“Sebelum ni tidaklah, tapi mood pengantin tak tahulah pulak saya.” 

Neor berpura-pura menumpu, masih manis bersenda.  Selepas serius, dia bernafas sedikit panjang.  “Tadi dia bercakap di phone kemudian baca emel, ada masalah kerja katanya.”  Jujur Neor menerangkan.  “Saya tak nak ganggu dia.”

Ezeti  angguk perlahan, faham kesibukan masing-masing, Azrey   juga faham benar.  Tidak lagi bertanya apa-apa.

“Sekejap lagi dia ke sini.”

Azrey   melihat waktu di jam tangannya, meski samar cahaya namun masih boleh dibaca waktu.  Dari kejauhan kelihatan Mutiara menuju arah mereka.

“Hai Sayang, come.”  Neor sudah bangun, lurus tangan dihulur mahu menyambut Mutiara yang semakin menghampir.

“Dah selesai?”  dia bertanya lagi.

Mutiara angguk perlahan, manis senyumnya.

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.