Home Novel Keluarga Oh, Nonaku Azizah.
Oh, Nonaku Azizah.
Raihan Zaffya
29/8/2013 22:41:58
10,418
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 1



Azizah meninjau meja makan. Mahu melihat apa yang terhidang. Dia perlu menjamah nasi sebelum menelan ubat-ubatan. Begitulah rutinnya, ubat darah tinggi dan kencing manis tidak boleh diabaikan. Itu semua kerana mahu mengawal penyakit yang dihidapi.

“Kalau mak nak makan sangat, ha, ambil ni, makan! Makan!” Zila yang muncul menghambur kata-kata yang menyakitkan.

“Opah kalau nak makan memang tak ingat orang lain.” Rizal, anak Zila pula menyampuk.

Butir-butir nasi di tangan Azizah tidak sempat disuap ke mulut. Terasa bagaikan butiran pasir yang akan melukai kerongkongnya. Seleranya hilang lenyap biar pun perutnya masih berkeroncong. Air mata yang hampir menitis ditahankannya. Azizah menolak semula pinggan ke tengah meja. Perlahan-lahan tangan yang kotor segera dibasuh.

Dengan tangan ketar, Azizah mencapai sebatang tongkat di tepi dinding. Tubuhnya yang separuh maya melangkah meninggalkan meja makan. Langkahnya begitu perlahan tanpa ada sesiapa yang sudi membantu. Azizah menuju ke dalam bilik lalu menguncinya dari dalam.

“Opah dah merajuklah tu.” Ajuk Rizal, sayangnya Azizah tidak lagi men dengar.

“Dah tua-tua pun nak merajuk, biarkan!” Zila sedikit pun tidak mengendahkan, sedangkan Zaidi, suami Zila hanya berdiam diri.

Di dalam bilik, Azizah memasang radio transistor yang setia menjadi teman nya. Lagu ‘Azizah’ dendangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menjadi halwa telinga. Biarpun lagu itu sedang berkumandang, fikirannya begitu jauh melayang. Azizah mengenang untung nasib dikandung badan. Biar pun anak berbelas, hidup tidak ubah sebatang kara. Kedatangannya ke rumah anak sendiri jarang sekali dihargai.

Air mata yang sudah lama tertahan, akhirnya jatuh berlinang. Serasa hari-hari tuanya begitu jauh terbuang. Direbahkan tubuhnya yang kian lesu di atas katil. Azizah memicit-micit kepala yang terasa pusing. Mata yang mula berpinar cuba di pejamkan. Mata baru saja hendak terlena, terdengar ketukan pintu bertalu-talu. 

Dengan kudrat yang tinggal sisa, Azizah menggagahi diri untuk bangun. Terasa sukar untuk mengambil tongkat yang terjatuh ke lantai. Setelah tongkat berada di tangan, mahu berdiri terlalu payah. Mendengar ketukan yang bertalu, digagah juga tenaga yang ada. Langkah Azizah satu-satu. Untuk menuju ke pintu yang jauh sedepa, rasanya sudah terlalu lelah.

“Mak duduk je kat rumah, kami nak tengok wayang.” Melihat Zila sudah siap berpakaian, kepingin Azizah ikut berjalan.

“Mak tinggal sorang?” Azizah masih mengharap dirinya dibawa sama.

“Mak tu susah nak jalan. Duduk rumah je lah.” Arah Zila sambil berlalu.

“Pukul berapa balik?” Azizah bertanya dengan payah.

“Tak tau lagi! Dahlah kami nak pergi!” Hanya suara Zila yang kedengaran dari arah pintu hadapan.

Azizah memerhati sekeliling rumah, begitu sepi sekali. Sesepi hatinya melewati hari-hari tua. Ingin dimuntah segala rasa yang mengasak dada tapi pada siapa? Ingin mengadu pada Sepol, anak lelakinya jauh di kampung. Mahu meluah pada Kamal dan Noriza, anak menantunya tidak tahu kedatangannya ke Kuala Lumpur. Hanya mereka lah yang faham hati dan perasaan.

Sebentar kemudian Azizah mengusap perutnya yang semakin pedih mendidih. Untuk ke meja makan langkahnya perlu diatur sekali lagi. Mujur tongkat yang ada dapat mengimbangi tubuhnya. Kerusi ditarik dengan hati-hati. Azizah duduk untuk menikmati hidangan tengahari yang sudah terlewat ke petang. Tangan ketarnya membuka tudung saji di atas meja.

Tidak banyak yang tinggal. Hanya ikan goreng, gulai dan sayur sedikit bersisa. Azizah menjeling sepinggan nasi yang ditinggalkan. Cukuplah sesuap dua untuk mengalas perutnya. Nasi yang dimamah terlalu sukar untuk ditelan. Kata-kata dingin Zila sering terngiang-ngiang di pendengaran. Azizah tidak menyangka akan diperlakukan sebegitu. Kunjungannya dari kampung seperti tidak diperlukan.

Azizah mengamati kulit kendur yang membaluti tubuhnya. Kulit yang mulus satu ketika dulu sudah sudah berubah. Rambut hitamnya berganti putih. Tubuh yang kuat semakin lemah. Umur muda beranjak tua dan tidak berdaya.

‘Sampai hati Zila buat mak macam ni!’ Azizah bangun dari kerusi selepas selesai menjamah nasi.

Ketika bangun Azizah tidak dapat mengimbang tubuhnya yang terlalu goyah. Tidak sempat bertahan pada sebatang tongkat, Azizah terlentang di atas lantai. Wajahnya berkerut menahan sakit yang teramat. Erangan memenuhi ruang rumah yang sepi. Kepala Azizah terasa berdenyut bukan kepalang.

Nafas Azizah turun naik ketika dicubanya untuk bangun. Usahanya hanya sia –sia. Alangkah baiknya kalau Sepol datang membantu. Betapa gembiranya andai Kamal dan Noriza menghulurkan tangan membantunya untuk berdiri. Sayangnya mereka tiada, Azizah perlu berusaha sendiri untuk bergerak meninggalkan ruang makan.

Perlahan-lahan Azizah mengesot. Setelah letih dia berhenti sebentar. Penyakit darah tinggi dan kencing manisnya lebih membataskan setiap pergerakan. Akhirnya ruang makan berjaya ditinggalkan. Azizah telah sampai di hadapan pintu bilik. Sedikit tenaga lagi perlu dikerah untuknya sampai ke katil. Dia perlu berbaring, mahu berehat sepuasnya. Biar hatinya tenang, biar dadanya lapang.

Azizah tidak peduli pukul berapa Zila mahu pulang. Bila difikir-fikirkan lebih baik Zila pergi. Biar Azizah sendirian. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu mendengar kata-kata Zila yang kasar atau perlakuan Rizal yang kurang ajar. Zaidi sebagai menantu tidak pernah ambil tahu tangisan hati Azizah.

Duduk di atas katil memberi Azizah sedikit kelegaan. Dicapainya minyak urut di meja solek lalu Azizah mengurut kaki yang sakit. Selepas itu dibaringkan tubuh tuanya. Fikiran Azizah jauh melayang, berlegar-legar. Semakin jauh dan terus menjauh.




“Azizah! Apa yang tercegat lagi tu. Cepat masukkan pelita dalam tong.” Razak, abang sulung menjerit menyedarkan Azizah.

Azizah yang berusia enam tahun sedang asyik melihat kapal terbang Jepun yang berlegar-legar di ruang angkasa. Dia tidak faham mengapa banyak kapal terbang berlegar pada waktu malam. Gulungan-gulungan kertas dilontar dari ruang udara. Bertebaran di serata kampung. Azizah berasa seronok mengutip risalah-risalah yang berterbangan lalu jatuh ke tanah itu.

“Kamu nak kena tembak ke?” jerit Razak lagi.

“Tak boleh harap langsung! Cepat masuk dalam rumah!” Suara Razak tenggelam timbul di antara kebingitan bunyi kapal terbang Jepun.

Bosan mendengar jeritan Razak, Azizah cepat-cepat masuk ke dalam rumah. Angin yang berhembus pada malam itu terlalu dingin. Rumah kecil beratap rumbia dan berdinding sebelah tidak dapat menyembunyikan penghuninya dari hembusan angin malam. Azizah berpeluk tubuh untuk menghangatkan tubuh kecilnya.

Dia menghampiri Mak Aseh yang sedang meriba adik bongsunya, Zainal. Keadaan ibunya kelihatan tidak terurus. Sudah lama Mak Aseh tidak berdandan rapi. Tumpuannya hanyalah untuk menjaga Pak Resad yang terlantar sakit. Lantaran bimbang ditangkap oleh tentera Jepun, sukarlah untuk membawa Pak Resad ke rumah sakit. Sementelahan rumah sakit terlalu jauh, mustahil untuk pergi dengan berjalan kaki.

“Mak, kenapa mesti sorokkan semua pelita?” soal Azizah yang tidak menyenangi suasana gelap.

“Kalau Jepun nampak susah. Kalau kamu tak mau kena tangkap Jepun, duduk diam-diam. Baring sini!” Mak Aseh memberi sebiji bantal usang kepada Azizah.

“Aseh! Esok pagi, abang teringin makan lepat pisang. Aseh bancuh air kopi sekali

“Baiklah bang, nanti Aseh buatkan.” Janji Mak Aseh sambil mengurut badan Pak Resad yang sakit di sana-sini.

Malam itu Azizah sekeluarga tidur seadanya. Semenjak Pak Resad jatuh sakit, Mak Aseh tidak dapat tidur lena. Sekejap-sekejap dia terjaga. Tidur yang hanya beralaskan tikar mengkuang menjadikan tubuh yang sakit bertambah sakit. Mendengar batuk Pak Resad yang tidak henti-henti, menghilangkan rasa mengantuk Mak Aseh. Dipandangnya sebentar wajah itu. Rupa-rupanya Pak Resad sudah lama berjaga.

“Aseh ke dapur ya, bang.” Mak Aseh mahu menunaikan keinginan Pak Resad malam tadi.

“Ambilkan rokok abang. Dah lama abang tak hisap.” Pinta Pak Resad di celah batuknya. Menghisap rokok daun adalah satu kepuasan.

“Nanti tambah teruk batuk awak.” Mak Aseh cuba melarang.

“Dapat hisap sikit pun jadilah.” Pak Resad begitu mengharap membuatkan Mak Aseh tidak sampai hati.

Seawal pagi, Mak Aseh telah menyiapkan sarapan. Lepat pisang dan kopi panas yang dipinta oleh Pak Resad. Pak Resad pasti gembira kerana permintaannya dituruti tanpa banyak soal. Mak Aseh meletakkan lepat pisang dan air kopi ke atas dulang. Dia mesti segera menghidangkannya untuk suaminya. Pasti menyelerakan bila dimakan panas-panas.

“Makan bang!” Kata Mak Aseh sambil menuang secawan kopi untuk Pak Resad.

“Makanlah bang. Malam tadi beria-ria sangat.” Mak Aseh mengulangi kata-kata nya apabila tiada tindak balas dari Pak Resad.

Mak Aseh berpaling memandang Pak Resad yang bersandar pada tiang seri. Mata Pak Resad terpejam sedangkan rokok di celah jari masih berasap. Mak Aseh menggeleng-gelengkan kepala lalu tersenyum. Dihampiri suaminya dengan niat mahu mengejutkan tidurnya.

‘Tertidur lagi rupanya!’ Getus Mak Aseh.

“Bang! Bangun bang!” Mak Aseh mengejutkan Pak Resad.

Pangilan berkali-kali Mak Aseh tidak diendahkan. Mata Pak Resad tetap terpejam rapat. Mak Aseh menggoyang-goyangkan tubuh Pak Resad yang tidak bergerak-gerak. Mak Aseh menjadi panik melihat tubuh Pak Resad yang kaku. Mak Aseh menyentuh kulit Pak Resad. Begitu dingin sekali. Hatinya berdebar-debar tidak menentu Dipanggil dan digoyang tubuh Pak Resad lagi namun masih tiada jawapan.

“Abang! Jangan tinggalkan Aseh bang! Bangun bang, bangun!” Mak Aseh meletakkan wajahnya di paha Pak Resad.

“Razak! Bangun nak! Ayah dah tak ada, ayah dah tinggalkan kita!” Mak Aseh tenggelam punca.

“Razak! Shaharudin! Azizah! Bangun! Bangun!” Mak Aseh tidak keruan.

“Kenapa mak?” Razak menggosok-gosok matanya.

“Ayah dah tak ada! Cepat kejutkan adik-adik kamu.” Arah Mak Aseh yang tidak dapat menahan perasaan lagi.

“Ayah! Kalau ayah tak ada, siapa nak jaga Razak dan adik-adik? Ayah!” Razak mendakap erat tubuh kaku Pak Resad.

“Ayah!” Azizah mencium wajah Pak Resad yang sudah tidak bernyawa.

“Shaharudin, mari kita pergi cari pak long! Azizah! Jaga adik!” Razak menarik tangan Shaharudin dengan tergesa-gesa.

Mak Aseh tidak berganjak dari Pak Resad. Pandangannya kosong, Mak Aseh ter mangu-mangu. Rengekan Zainal yang hauskan susu tidak disedarinya. Azizah meng angkat Zainal dari buaian. Tangisan Zainal semakin lama bertambah kuat. Azizah tidak dapat memujuknya agar diam. Dia menyerahkan Zainal kepada Mak Aseh.

“Mak! Adik haus susu.” Azizah mengingatkan Mak Aseh.

“Emm, emm, emm, emm.” Mak Aseh mendodoi dan menyusukan Zainal dengan air mata bercucuran.

Hatinya kosong. Pandangannya kosong. Yang kelihatan hanya gelap kelam. Mak Aseh telah kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata. Ketika dia masih diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidupnya bersama anak-anak yang masih kecil.

Previous: Sinopsis
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.