Home Novel Keluarga Di Penghujung Badai
Di Penghujung Badai
zunnurhafiezah
26/3/2018 12:54:36
46,170
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 1

Suasana sekitar Lapangan Terbang Abu Dhabi kian sesak dengan orang ramai yang berpusu-pusu dengan urusan masing-masing. Matanya melilau mencari kelibat seseorang, hampir satu jam dia menunggu di situ. Kelibat lelaki itu masih tidak kelihatan. Tiket dan passport digenggam erat. Deuter yang digalas terasa agak berat dan mula menyakitkan bahunya.

Hannan semakin keresahan menunggu.

"Mana abang ni? Takkan pergi toilet lama sangat" rungut hatinya gelisah memandang sekeliling. Dia memusingkan tubuhnya untuk menoleh ke belakang saat mendengar derapan tapak kaki menghampirinya.

"Aaahhh!!!"

Tiba-tiba bahunya dilanggar seseorang. Tanpa sempat mengimbangkan badan, tubuhnya terdorong ke hadapan melanggar dinding. Sakit dibelakang kian mencucuk, pantas dia membetulkan kedudukannya.

"Hey kau takde mata ke? Kalau buta sekalipun jangan duduk tengah jalan, duduk jer dekat rumah, jangan nak menyusahkan orang"

Belum sempat dia menoleh tubuh yang melanggarnya itu sudah menjerkah. Berdesing telinganya menangkap setiap bait kata lelaki itu. Tanpa riak dia mengangkat wajahnya, memandang tuan empunya tubuh dihadapan. Sekilas dia meneliti wajah lelaki itu

'Oohh orang Malaysia rupanya tapi budi bahasa macam lanun, mesti keturunan bugis ni' sempat dia membebel di dalam hati

"Apa kau pandang-pandang? dah langgar orang boleh buat tak tahu jer. Nasib baik aku tak jatuh, kalau aku jatuh tadi siap kau aku kerjakan"

Mata itu tajam menikam raut wajah mulus dihadapannya. Lama mereka beradu pandangan dan akhirnya mata bundar itu menundukkan pandangannya.

'Minah nie bisu kot, sepatah haram tak becakap. Nampak macam orang Asia, tapi kalau bukan orang Malaysia, manalah dia nak faham kalau aku cakap bahasa melayu' gumamnya di dalam hati. Akibat terlalu marah dia terlupa dimana dia kini berada.

"Maaf" hanya itu yang keluar dari mulut itu setelah membisu seketika. Pandang dilarikan ke kawasan sekitar mencari kelibat yang dinanti.

"Haa faham bahasa melayu, boleh pun bercakap. Ingatkan buta campur bisu tadi" tanpa berlapik Shahzan menghamburkan kemarahannya. Hatinya kembali panas tatkala melihat sekujur tubuh itu memohon kemaafan tanpa memandang wajahnya. Dia kembali meneliti tubuh kecil molek yang kelihatan agak tidak selesa diperhatikan sebegitu. Matanya semakin tajam menikam mahu mencari sepasang mata bundar yang ralit merenungnya sebentar tadi. Sempat dia memerhatikan jari jemari gadis itu saling bertaut seolah menahan gelisah.

"Saya minta maaf saudara"

Gugup Hannan melarikan anak matanya. Beberapa pasang mata turut menyaksikan insiden itu. Dia tunduk menahan malu.

"Kalau tak ada kecederaan, saya pergi dulu" sepantas kilat Hannan menyelit dicelah orang ramai meninggalkan lelaki itu.

Tanpa  sempat gadis itu sudah lenyap di pandangan mata. Raut wajah itu seperti pernah dilihat, mata hazel itu bagaikan memancarkan perasaan suram pemiliknya. Pandangan matanya masih cuba mencari kelibat itu.

" Wei bro dari jauh lagi aku nampak kau bertekak dengan perempuan" sergah Azrilyang mucul entah dari mana. 

Lamunannya mati disitu. Gigi diketap kegeraman, tangan sahabatnya itu yang mendarat di bahunya dicengkam erat.

"Hello Mr Azril, kau tu lama sangat pergi pilih hadiah untuk wife kau. Lama aku  tunggu kau dekat sini. Entah minah mana langgar aku. Buat aku bengang jer, dah kena marah boleh cakap minta maaf dan blah macam tu ajer. Memang menaikkan darah aku betul lar perempuan tu" ujarnya menyembunyikan gugup di dada.

" Ohh aku ingatkan kau dah jumpa bidadari hati, cara pakaian macam orang Malaysia jer. Dia dah minta maaf kira settle lar kan. Takkan kau nak dia melutut dekat sini minta pengampunan dari kau. Dari jauh nampak macam lawa" sakat Azril sengaja mengusik lelaki itu.

"Sorry sikit. Ini Shahzan Hafiz tau, aku tak berminatlah dengan perempuan macam tu.Entah datang dari planet mana, baju kurung, tudung bawal yang dah ketinggalan zaman. Memang orang Malaysia. Aku rasa dekat kawasan pedalaman pun dah tak ada perempuan yang pakai macam tu. Kerja maid kot dekat sini" gumam Shahzan geram. Dia kembali menoleh mencari sekujur tubuh yang melanggarnya tadi.

"Dah lar tu, dia dah pergi jauh dah pun. Kau ni Shah dekat mulut bukan main lagi mengata tapi mata tu tercari-cari jugak orangnya" sempat Azril memerli. Bukan dia tidak tahu perangai sahabatnya itu. Kadang-kadang mulut mengalahkan makcik bawang.

" Jom check in,boleh kita berehat kat dalam sambil cuci mata" selamba Azril meninggalkan Shahzan yang sudah kelat wajahnya akibat di perli..

Dengan wajah mencuka Shahzan bergerak ke arah balai pelepasan, matanya sempat menangkap kelibat seseorang yang sedang berpelukan dengan seorang lelaki dan anak kecil di sudut berdekatan pintu pelepasan.




"Abang Hudzair...maafkan Hannan, halalkan makan minum Hannan sepanjang Hannan tinggal dengan abang, terima kasih untuk segalanya, Hannan takkan lupakan abang. Tolong jaga Muamamar elok-elok, bila Hannan lapang, Hannan akan datang jenguk abang dekat sini" luahnya sayu sambil memeluk erat lelaki dihadapannya.

Tangannya turut erat mendakap tubuh sikecil dipelukan lelaki itu yang juga sedang menangis sepertinya. Pipi comel itu dikucup bertalu-talu, berat rasanya untuk berpisah dengan dua insan yang amat dikasihi itu

"Orkid Hanania sayang, abang sayangkan Hannan. Dah lama Hannan disini, dan masanya sudah tiba untuk Hannan kembali ke pangkuan tok ayah. Lupakanlah segala kesedihan lalu, anggaplah ianya dah ditakdirkan Allah. Akan ada hikmah terindah atas dugaan yang telah Dia berikan. InsyaAllah abang akan kembali ke Malaysia bila tiba masanya. Buat masa ni abang belum ada kekuatan untuk berterus terang dengan keluarga kita. Lagipun abang risau perempuan itu akan kembali menuntut Ammar. Hannan fahamkan sayang" tubuh kecil itu kian erat dipeluk. Hudzair mengusap kepala Hannan penuh kasih sayang. Permata hatinya itu akan pulang ke tanah air setelah sekian lama membawa diri ke bumi asing itu. Meskipun berat untuk melepaskan, dia terpaksa beralah. Ada insan lain nun jauh di sana sedang menanti kepulangan Hannan.

"Hannan faham masalah abang, Hannan tak pernah salahkan abang. Takdir Allah dah tertulis buat kita. Hannan redha, abang jaga diri elok-elok. Hannan sayang abang dan Ammar." Seketika hanya kebisuan menyelubungi mereka. Dagunya berlabuh dibahu lelaki itu. Membiarkan air mata yang mengalir kering dibaju lelaki itu. Haruman Armani Black Code yang digemari lelaki itu dihidu sepuas hati. Kelak dia akan begitu merindui segalanya disini.

Panggilan untuk para penumpang penerbangan Emirates dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur memecah keheningan diantara mereka. Pelukan semakin dieratkan. Dia tidak mahu pulang sendirian. Air mata yang tadinya telah kering mula mengalir lesu dan akhirnya bertukar esak tangis yang hiba.

Hudzair mendakap erat tubuh Hannan yang sedang memeluk Muammar. Ubun-ubun gadis itu dikucup penuh kasih. Pelukan dileraikan, laju jemarinya menyeka airmata di pipi mulus itu. Tangan Hannan digenggam erat.

"Baliklah sayang,lupakan kisah lalu, suatu hari nanti abang akan kembali ke sana untuk menuntut kembali hak abang. Bila tiba waktunya hanya maut yang akan memisahkan kita" Bisik Hudzair perlahan. Genggaman tangan dilepaskan, sudah tiba masanya Hannan melangkah masuk ke balai pelepasan.

Berat kakinya melangkah meninggalkan insan-insan yang amat dikasihi di bumi asingitu. Perpisahan ini dirasakan begitu menyakitkan. Jika diikutkan rasa hati, tidak mahu dia kembali lagi ke tanah airnya. Namun tembok egonya lebur tatkala mendengar kata rindu tok ayah di hujung talian bulan lalu. Perlahan dia menghampiri pintu pelepasan

"Mummy...jangan pergi" rengekan Muammar menghentikan langkah Hannan, lantas tubuhnya menoleh ke belakang. Anak kecil itu sedang meronta dalam pelukan Hudzair.

"Pergi sayang,abang akan sentiasa mendoakan keselamatan Hannan dan semoga sayang tabah menempuh segala ujian disana" pesan lelaki itu sambil melambai ke arahnya.

Suasana kabin penerbangan kelas pertama itu yang mula dipenuhi penumpang tidak sedikit pun menggangu lamunan Hannan. Beberapa orang pramugari sedang sibuk membantu para penumpang menguruskan tempat duduk dan barangan mereka. Matanya merenung ke luar jendela, memandang bumi Abu Dhabi yang telah banyak menyembuhkan luka di hati .

Bertahun dia cuba melupakan tragedi hitam itu. Di bumi asing inilah dia bangkit semula setelah sekian lama mengajar hati untuk redha dengan suratan yang telah tertulis. Kerinduan pada keluarga di tanah air menggamit sekujur jasadnya untuk terbang pulang meskipun hati masih sedikit ragu dengan dirinya yang baru.

'Ya Allah mampukah aku melupakan segala keperitan lalu apabila pulang ke sana? Bertahun aku membawa diri demi mengubat duka dihati, adakah sudah benar-benar sembuh hati ini? Sesungguhnya hanya Engkau yang memahami isi hatiku yang sebenarnya. Kuatkanlah diriku untuk terus redha dengan takdirMu, permudahkanlah segala urusanku" Perlahan air matanya menitis membasahi pipi.

"Hai ada perasaan rupanya" sindiran seseorang menyentak lamunannya. Lelaki itu sudah menghenyakkan tubuhnya di kerusi sebelah.

"Ya Allah mamat bugis nie lagi" rungut hati Hannan geram. Mulut celupar lelaki itu begitu menjengkelkan hatinya. Dia menjeling lelaki tu dengan ekor mata. Herdikan yang diterimanya tadi masih bermain ditelinga. Setelah membetulkan duduk, dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Cuba untuk memejamkan mata.

"Orkid Hanania"

Sayup namanya diseru. Jantungnya berlari laju. Termangu dia mengangkat kepala. Mustahil ada yang mengenalinya di bumi asing itu.

"Orkid Hannania Mohd Syukri?" sekali lagi namanya dipanggil, kali ini lebih kuat. Matanya meliar mencari si empunya suara. Pandangan terarah pada pemuda di sebelah mamat bugis yang menyeru namanya. Lelaki itu melambaikan tangannya sambil tersenyum mesra. Lama dia mengimbas raut wajah berjambang yang kelihatan teruja memandangnya, cuba untuk mengingati sesuatu. Memori lama kembali bertamu. Tangan kanannya dibawa ke pipi, lalu dicubit kuat. Sakit. Dia kini sedang berada di dunia realiti.

Perlahan wajahnya berubah riak. Bibir mengukir senyuman manis buat lelaki itu.

"Abang Azril Haikal? kecilnya dunia" jerit Hannan. 

Dia begitu teruja bertemu kembali dengan lelaki yang pernah menjadi seniornya di universiti dahulu. Renungan tajam lelaki disebelahnya langsung tidak dihiraukan.

"Yes dunia ni kecil je, buktinya abang dan Hannan sekarang ni berada dalam flight yang sama dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur". Kedua-duanya ketawa gembira tanpa mempedulikan tugu batu di antara mereka. 

Azril meneliti wajah Hannan, nampak matang dan anggun. Jelas kelihatan ciri-ciri wanita melayu muslimah dengan penampilan gadis itu, cantik berbaju kurung dan berhijab.

"Maaf Hannan tak dapat datang wedding abang, Hannan dah berada di sini sewaktu kad jemputan abang sampai di rumah" tutur Hannan serba salah. Abang Azril adalah seniornya yang paling rapat sewaktu di universiti, apatah lagi isteri Azril adalah bekas teman sebiliknya dahulu.

"Its ok, tapi nanti Hannan bagi abang nombor telefon dan alamat terbaru Hannan, wife abang tu dah rindu sangat dekat Hannan. Sejak konvo langsung tiada khabar berita, ke mana Hannan menghilang selama ini? Buat apa dekat sini? ? Kerja?" bertalu-talu soalan diajukan, jelas Azril begitu teruja bertemu semula dengan junior kesayangannya itu. Wajah mulus itu dipandang tanpa berkelip, gadis lincah yang seringt ersenyum itu pernah  menjadi rebutan pelajar lelaki semasa di universiti dulu. Namun kehilangan Hannan menimbulkan pelbagai persoalan.

"Perempuan kampung dekat Abu Dhabi, kerja maid lah tu" tiba-tiba lelaki yang berada di antara mereka bersuara


"Hishh kau ni asyik nak naik angin aje, kalah orang perempuan datang bulan. Hannan jangan pedulikan kawan abang ni, dia memang macam ni bila bulan mengambang " tingkah Azril yang tidak berpuas hati dengan sikap sahabatnya itu.

"Dah lar diam aku nak tidur. Rehat secukupnya, nanti nak menghadap karenah orang sana. Nanti kau boleh sambung reunion dengan budak ni bila kita dah sampai sana"

Arah Shahzan lalu menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Geram hatinya melihat gadis itu berbual dengan Azril tanpa memandang wajahnya.

"Eehhh kejap sebelum abang lupa, Hannan dah kahwin ke belum?" Azril bersuara memecah kebisuan antara mereka.

"Belum" lemah mulut comel itu bersuara. Ada riak kecewa di wajah itu.

 Azril memandang bagaikan tidak percaya. Setahunya gadis itu berkawan dengan seseorang semasa di universiti dahulu. Dan kini dilihatnya gadis itu hanya bersendirian. Sebentuk cincin bertatah berlian yang tersarung kemas di jari Hannan direnung lama. Dia pernah melihat cincin itu dahulu.

"Dah lar aku nak berehat. Kalau nak bersembang pergi tempat lain" kasar bicara Shahzan, langsung tidak mengendahkan perasaan orang lain.  Kerusinya direndahkan seboleh mungkin lalu dia mula berbaring, tanda mahu berehat.

"Perempuan bertudung, nampak jerr baik tapi berpeluk sakan di khalayak ramai. Kalau bukan suami kau yang kau peluk dekat luar tadi, tentu kau ni perempuan simpanan kan?"bisikan yang penuh nada sindiran itu mengejutkan Hannan, dia bungkam memandang lelaki bermulut jahat itu yang sedang memejamkan mata.

Hannan hanya tersenyum dan diam, tidak mahu mencetuskan perbalahan. Dia tidak mengenali lelaki itu. Tidak perlu rasanya persengketaan antara mereka dipanjangkan. Biarlah dia beralah. Perlahan selimut ditarik ke  parah bahu. Suhu pendingin udara terasa meresap hingga ke tulang hitam.





Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh zunnurhafiezah