Home Novel Fantasi Pada Suatu Masa Hadapan
Pada Suatu Masa Hadapan
Syaida Ilmuna Ismail
24/10/2014 18:17:35
14,288
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
01

ASAP berkepul-kepul keluar dari cerek besi yang dipanaskan di atas dapur. Bunyi desingannya yang membingitkan telinga membuatkan Zara Aisya berkejaran lari dari kamarnya turun ke dapur rumah kayu yang terceruk di tingkat bawah.

Api dapur dipadamkan pantas dan tangannya yang dibaluti kain buruk tebal mengangkat cerek tersebut dari atas dapur. Air dari cerek itu dituang masuk ke dalam teko putih yang berisi campuran dua sudu kopi, empat sudu gula dan tiga sudu krimer. Campuran kopi, gula dan krimer yang sudah digenangi air itu dikacau lembut. Seterusnya, Zara membawa teko panas itu naik ke ruang makan.

“Anas! Cepat bersiap. Dah dekat pukul tujuh ni!” jerit wanita yang berusia akhir 30-an ini. Wajahnya dibasahi keringat dan dahinya berkerut seribu.

Seawal 5.30 pagi lagi Zara Aisya sudah bangun dari tidur. Selesai saja menunaikan solat Subuh, dia akan ke dapur untuk menyiapkan sarapan dan bekal buat anaknya, Anas dan kedua ibu bapanya yang bakal keluar bekerja. Pagi ini dia hanya menyiapkan sarapan ala kadar. Cukup sekadar karipap beberapa biji dan roti bakar yang dicalit sekaya.

“Ya ibu!” Anas keluar dari kamarnya bersama beg sekolah yang tersauk di lengan. Dia kemudian duduk di kerusi dengan keadaan tergopoh-gapah.

Cawan berisi air kopi yang masih meruap panas itu ditembabkan bibir tanpa berjaga-jaga. “Ouch!” Melompat Anas dari kerusinya. Darjah kepanasan air kopi itu menyengat bibir merahnya. Habis tercurah air kopi tadi ke atas meja.

“Astaghfirullah… Anas! Kenapa gopoh sangat ni?” Zara tergeleng-geleng. Nasib baiklah tidak mengenai kemeja sekolah yang berwarna putih itu. Kalau tidak, satu hal pula nak menukar pakaian. Sudahlah masa suntuk untuk ke sekolah.

Anas tergaru-garu kepalanya. Dia bingkas bangun dari kerusi dan turun ke dapur. Tak sampai beberapa saat dia naik kembali bersama kain buruk di tangan. Meja kayu empat segi yang dibasahi air itu dilap dengan cermat.

“Tak apa biar ibu yang buatkan…” Zara Aisya merampas kain buruk itu dari tangan Anas. Dia perlahan-lahan mengelap meja kayu itu sehingga berkilat.

“Ibu… Anas minta maaf,” bicara Anas tergagap-gagap. Wajahnya menunduk memandang lantai. Kasihan ibu! Dahlah bangun awal, lepas tu aku susahkan dia pula nak mengemas tumpahan air kopi ni.

“Tak apalah. Sikit je ni. Dahlah, Anas kena pergi sekolah dah ni. Nanti lambat pulak.” Zara tersengih. Anak terunanya ini memang sensitif kalau pagi-pagi begini.

“Emm, iyalah. Anas pergi dulu.” A nas menghulurkan tangan kanannya menyalami Zara Aisya. Dia kemudian mengangkat beg sandang dan mula berjalan ke arah muka pintu. Namun baru saja sebelah kakinya turun menjejak tangga rumah, badannya kembali berpusing ke belakang.

“Ibu!” jerit Anas.

“Ada apa lagi anak ibu ni?” bicara Zara sambil tersenyum. Tangannya sempat mencapai sebiji karipap dari atas meja dan disuapkan ke mulut Anas.

Anas mengunyah karipap yang disuap ke mulutnya sehingga habis. Setelah sisa-sisa karipap itu hancur, dia seterusnya bersuara. “Nak minta duit boleh? Anas lupa nak cakap kat ibu yang cikgu minta RM20 untuk beli buku fizik.”

Nafas Zara tiba-tiba tersekat di dada apabila mendengar permintaan Anas. Ya ALLAH, duit lagi. Minggu lepas baru saja habis RM50 untuk tuisyen. Minggu ini RM20 pula untuk buku. Macam manalah aku nak tampung duit untuk cukupkan perbelanjaan sehingga hujung bulan ni?

“Ibu ada RM10 je, Anas. Kalau hutang lagi RM10 tak apa ke?”

Anas mengetap bibirnya kuat. Dia mengeluh kecil. “Minta kat atuk tak boleh ke bu?”

“Anas… ibu tak nak nenek bising. Anas pun tahukan…” Zara merendahkan suaranya apabila perkataan nenek disebut. Dia tidak mahu emaknya mencemuh mereka lagi mengenai soal duit. Telinganya sudah cukup mendidih mendengar kata nista emaknya yang tak henti-henti mengenai nasib malang mereka.

“Alah bu… kalau ibu tak boleh nak minta… Biar Anas yang minta sendiri kat atuk!” Anas nekad. Sikap lembut hati ibunya itu tidak boleh diterima lagi. Sampai bila nenek nak melayan mereka seperti orang luar? Takkanlah kerana satu kesalahan di masa lampau, nenek sanggup menghukum dia dan ibunya sehingga begini. Lagi pula ia bukan salah dia dan ibu. Ia salah ayah!

“Anas!” Zara Aisya mencengkam lengan anaknya dari melangkah naik ke atas rumah semula. Matanya menjegil supaya Anas tidak melawan kata-katanya.

Namun Anas tidak mengendahkannya. Sebaik saja melihat kelibat atuknya, Pak Mustapha duduk di meja makan, Anas melangkah naik ke atas rumah semula dan menolak lengan ibunya ke tepi.

“Tuk! Anas nak minta duit sikit boleh?” tanya Anas berani namun dengan nada yang berhemah.

Pak Mustapha mendongak kepalanya ke arah Anas yang sedang berdiri di hadapan pintu. Dia tersenyum. “Berapa?”

“RM20 je tuk,” jawab Anas.

“Kejap ya…” Pak Mustapha menundukkan matanya ke poket baju kemeja yang berpetak-petak di sebelah kiri. Tangannya mengeluarkan duit not RM 20 dari poket tersebut dan menghulurkan ia kepada Anas.

Namun belum sempat Anas mengambil duit kertas itu daripada tangan Pak Mustapha, Mak Zaiton terlebih dahulu merampasnya. Duit tersebut dimasukkan ke dalam poket baju kurung kuningnya.

“Kenapa awak bagi duit kat dia?” tengking Mak Zaiton. Matanya menjeling tajam ke arah Zara Aisya yang bersandar di tepi pintu dan seterusnya menjegil pula pada Pak Mustapha.

“Dia… minta… untuk ke sekolah,” jawab Pak Mustapha teragak-agak.

“Hey, sampai RM20! Kau makan ke kau belanja anak dara orang?” hamun Mak Zaiton terhadap Anas.

Hidung Anas kembang kempis menahan amarah. Hatinya terbakar. Nenek hanya reti menyinga. Sampaikan atuk pun takut padanya!

“Macam mana kau ajar anak kau ni ha, Zara? Reti menghabiskan duit aje! Mendatangkan hasilnya tidak!” marah Mak Zaiton. Tangannya laju menampar lengan Zara. Wajah Zara yang putih kemerah-merahan itu dipandang dengan penuh kebencian. Kalau diikutkan hati, mahu saja ditarik-tarik rambut anak perempuannya itu. Mendatangkan masalah!

Zara Aisya pula hanya mampu membiarkan dirinya dipukul. Badannya sudah tidak alah dengan semua ini. Ini baru sedikit kalau nak dibandingkan dengan dulu.

“Mak… Anas nak duit untuk beli buku. Mak pinjamkanlah kat Zara. Nanti Zara bayar hujung bulan ni bila dapat gaji,” bicara Zara lembut. Lengannya yang ditampar itu digosok perlahan.

Mak Zaiton mendengus kencang. Matanya menjeling lagi pada Zara dan cucunya, Anas. “Dah berapa kali kau janji dengan aku? Kau ni kan… menyusahkan! Kenapalah masa laki kau kena tangkap dulu kau tak ikut sekali haa?”

Zara menundukkan kepalanya. Air mata mulai mengalir di lurah pipi. Mak selalu ungkit hal dulu. Kenapa mak tak boleh lupakan saja? Lupakan soal suaminya! Dia dah lama tidak wujud di dalam hidup kita semua.

“Nek! Kalau nenek tak nak beri duit tu tak apa. Tapi jangan sakitkan hati ibu boleh tak?” Anas sudah tidak dapat menahan hatinya yang kian pedih. Ibunya didakap erat. Biarlah apa yang nenek nak kata. Derhaka atau tak sedar diuntung hidup menumpang di rumah ini. Tetapi jangan sesekali hati ibunya diguris!

“Eh? Melawan kau ya!”

Badan Anas pula ditabuh kuat. Mak Zaiton bagai orang naik hantu. Pak Mustapha pun ditolaknya ke tepi apabila lelaki tua itu cuba mengawal perangai gila isterinya dari menjadi lebih teruk.

Tidak tahan melihat Anas dipukul, Zara akhirnya menolak badan anaknya ke belakang dan membiarkan dirinya menjadi mangsa tabuhan Mak Zaiton. Air matanya kian melebat. Pukulan dari tangan Mak Zaiton yang mengenai bahu dan tulang belakangnya itu seperti tidak terasa kesakitannya lagi. Hatinya lebih pedih. Hatinya lebih terasa sengalnya. Biarlah dia menjadi pelindung Anas. Memang itupun yang telah dia ikrarkan di hati sejak dari hari pertama Anas dilahirkan lagi.

“Ton!” Pak Mustapha menyergah akhirnya. Tangan isterinya ditarik ke belakang. “Kau dah gila ke? Ini anak kau ni yang kau pukul! Zara bawa Anas keluar. Dah lambat nak ke sekolah dah ni,” arah Pak Mustapha tegas.

Zara menarik lengan Anas turun dari rumah kayu tersebut dengan paksaan. Dia tahu Anas bakal naik angin. Wajah anak lelaki yang berusia 17 tahun ini sudah memerah. Telinganya juga ikut memerah sama seperti ada asap yang bakal keluar dari corong telinga itu.

“Ibu! Ibu!” Anas cuba memberhentikan langkah ibunya yang laju keluar dari halaman rumah dan melintasi jalan kecil yang menuju ke jalan besar di hadapan bendang.

Zara tidak mengendahkan bicara Anas. Pegangan tangannya terhadap lengan Anas diperkemaskan dan kakinya terus melangkah ke arah jalan yang membawa mereka ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Indah.

“Ibu!” Anas meloloskan tangannya dari pegangan Zara. Nafasnya dihela kasar. Sikap ibu yang tidak mengendahkan bicaranya itu membuatkan Anas berang. Darah mudanya cepat mendidih.

“Anas! Jangan degil cakap ibu. Berapa kali ibu nak cakap, Anas?” Zara memberhentikan langkahnya dan berpaling ke arah Anas yang sudah lima tapak di belakang.

“Ibu… Anas tak degil ibu! Anas cuma tak suka dengan apa yang nenek buat dengan ibu. Nenek tak adil. Dia menghukum kita dengan kesalahan yang kita sendiri tak buat, bu!” bicara Anas lantang.

Zara menggeleng-geleng. Matanya dipejam dan kemudian dibuka. “Anas, kalau Anas sayangkan ibu… tolong jangan bertekak dengan nenek. Tentang duit tu ibu akan usahakan sayang. Anas jangan masuk campur soal ibu dan nenek.”

Anas mengambil nafas tinggi. Kemudian ia dilepaskan perlahan-lahan. Amarahnya cuba dikawal walaupun dia kurang bersetuju dengan pendirian ibunya.

“Anas pergi sekolah ya sayang… belajar rajin-rajin. Insya-Allah, kalau Anas berjaya nanti… hidup kita tak susah macam ni lagi sayang…” pujuk Zara. Rambut Anas dibelai-belai lembut. Dahi anaknya dicium.

Hati Anas terasa tenang semula walaupun persoalan yang bermain di benaknya masih bergolak. Dia merenung wajah lembut ibunya yang sungguh jelita. Tak pernah menua walaupun usia ibunya sudah mencecah hampir 39 tahun. Jalur-jalur kedut yang ada di hujung mata dan bibir tidak menjejaskan langsung kecantikan ibunya. Anas berbangga mempunyai seorang ibu seperti Zara. Cantik dan baik hati, sungguhpun ibunya sering menjadi umpatan dan kejian orang kampung.

“Anas pergi dulu bu.” Tangan kurus Zara dicium perlahan. Anas kemudiannya berjalan ke hadapan meninggalkan Zara yang menatap kepergian anaknya ke sekolah dengan hati yang hiba.

Next: 02

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail