Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
81,190
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

9

“Helo,kawan!” Suara Zila di talian telefon.

Aku tersenyum. Inilah suara yang ingin aku dengar saat fikiran dan jiwaku melayang entah ke mana. Permulaan hariku sangat sengsara! “Eh, helo! Dah balik dari holiday ke? So, how’s Shanghai and Beijing? Seronok?”

“Pergi bercuti. Mestilah seronok. Bukan aku pergi kerja.”

Kami berdua ketawa. Macam dulu. Macam zaman kanak-kanak. Seronoknya aku bila mendengar suaranya itu. Tiba-tiba aku terlalu rindu padanya. Aku perlukan Zila saat ini biarpun Zila tidak pernah mengetahui rahsia hatiku.

Souvenir aku ada tak?” Aku cuba mencari keceriaan.

Of course!Kita lunch hari ni? Aku bawa sekali souvenir untuk kau. Macam-macam aku beli untuk kau. Beb, barang sana murah-murah. Kita patut shopping kat sana pula. Balik-balik Bandung-Jakarta... Jakarta-Bandung!” Seronoknya hidup sebagai seorang gadis yang bernama Norzailila itu.

“Aik? Tak mahu ke lunch dengan Imran dulu?”

Imran, lelaki yang dicintai Zila selama aku kenal dengan gadis periang ini. Kemudian entah mana silapnya, hubungan mereka putus, tetapi bertaut kembali sejak lima bulan yang lepas. Sebulan kemudian mereka terus bertunang dan kini sedang menyiapkan diri untuk menempuh gerbang perkahwinan pula. Itulah dia kalau sudah dinamakan jodoh. Bagaimana jauh pun kita berada, kalau dah jodoh, tetap akan bersatu juga.

Dia ketawa. “Semalam aku balik, dia dah jumpa aku. Jangan risau. Malam ni, aku dinner dengan dia.”

Aku teruja untuk bertemu dengannya. Kali terakhir kami bertemu, hampir sebulan yang lepas. Bertemu di talian tidak sama dengan bertemu empat mata. “Okey, kat mana nak lunch?”

“Tempat biasalah. Aku nak beritahu kau apa yang berlaku hari ni,” kata Zila dengan nada riang. “By the way, aku ajak Miza dengan Nor join kita sekali.”

Aku ketawa gembira. “Aku pun dah lama tak jumpa dia orang!”

“Bagus. Tapi aku ada beli oleh-oleh special untuk kau seorang aje. Orang lain aku tak beli tau. So,kalau kau boleh datang awal, lagi bagus. Senang aku nak bagi kau barang yang aku beli ni. Boleh tak?”

“Bolehlah, insya-ALLAH. Tempat biasa, kan?”

No problem!” Aku meyakinkan dia. Boleh juga aku menceritakan kisahku hari ini kepadanya. “Kali ni aku belanja.”

“Yeah! Aku doakan murah rezeki kau, Ju.”

Senyumanku semakin meleret. “Kalau macam tu...” Aku segera melihat jam di pergelangan tangan, “... lagi satu jam setengah aku jumpa kau kat tempat biasa. Ingat, jangan lambat tau!”

“Kau tu pun, jangan lambat! Lama aku tak jumpa kau ni.”

“Ya... ya... sebulan kita tak jumpa. Tau-tau, kau sakan bercuti ke China. Stres aku dengar!”

Kami saling ketawa lagi.

TEPAT 12.30 tengah hari aku sudah berada di dalam restoran yang biasa kami bertemu. Dan Zila sudah pun berada di tempat yang kami selalu guna, iaitu di suatu sudut, di sebalik dinding, sedikit privasi untuk kami bergosip dan berbual apa sahaja tanpa memikirkan jika ada sesiapa yang dapat mendengar perbualan kami.

“Lama sampai?” tanyaku sambil kami berdua berpelukan erat. Dialah kawan suka dan benciku, gembira dan dukaku, lawan dan teman. Segala-galanya kecuali perasaanku terhadap lelaki itu.. Yang lain, bagaikan tiada di antara kami. Ibarat isi dan kuku. Kami saling mengenali hati budi masing-masing.

“Nah!” Dia menghulurkan sekarung beg plastik yang padat dengan barangan kepadaku dengan senyuman yang melebar. “Untuk kau. Macam-macam ada.”

Aku terkejut. Mengintai kandungan di dalamnya. Ya, begitu banyak barang yang dibelikan untukku. “Takkanlah murah sangat?” Aku bingung sebentar.

“Murah kau! Percaya cakap aku. Aku ada beli kain sutera Cina untuk kau dengan mama kau. Abang-abang kau, T-shirtajelah, ya? Kemudian alas meja dua helai, jaket sejuk untuk kau. Manalah tahu, esok-esok kau dengan Rizan kahwin nak berhoneymoon kat tempat sejuk. Tak payahlah lagi beli baju sejuk. Sana murah-murah. Tak sampai seratus ringgit, kau dah dapat baju sejuk yang bagus.”

Zila terus bercerita tentang percutiannya di Tanah Besar China. Daripada menaiki tangga Tembok Besar China, Stadium Olimpik Sarang Burung, pengalaman menaiki kereta api dari Beijing ke Shanghai sehinggalah ke tempat-tempat membeli-belah. Perjalanan percutiannya sangat mengujakan. Memberi seribu impian untukku menjejaki ke negeri tersebut satu hari nanti.

So...” Akhirnya baru kami kembali ke perbualan yang sebenar. Cerita tentang hidupku dan hidupnya. “Apa cerita? Kau kata aku hari tu, baju tunang kau siap awal bulan. Dah ambil baju tunang tu?”

Aku mengangguk. “Mama Rizan siap suruh aku tempah baju nikah sekali.”

Ternganga mulut Zila mendengar ceritaku itu. “Aku yang dah bertunang dulu dari kau pun, belum nak menempah baju kahwin. Yang kau belum bertunang ni, dah siap-siap dengan baju nikah? Serius kau ni Ju?!”

Ya, aku tidak salahkan Zila jika dia sukar untuk mempercayai ceritaku kerana aku sendiri payah untuk menerima hakikat itu.

Zila terus merenungi wajahku. Dia mula membaca sesuatu jika pandangannya begitu. Pandangan yang redup, tetapi tajam cara penglihatannya. Dia melihatku tidak berkelip. Mulutnya terkunci, tetap matanya yang berkata-kata.

“Tak guna kau pandang aku macam tu.”

“Pandang macam mana?”

“Seolah-olah aku macam ada benda aku sorokkan pada kau.”

Dia ketawa kecil. Kemudian menggeleng kepalanya beberapa kali seolah-olah tidak mempercayai kata-kataku. “Kalau aku kata, sememangnya ada benda yang kau sorokkan dari aku, apa kau nak cakap?”

Aku mengeluh. Nasi goreng di hadapanku masih belum bersentuh. Begitu juga dengan nasi goreng Zila. “Tak ada benda aku nak sorokkan pun.”

“Betul? Tengok muka kau tu saja, aku dah boleh nampak.” Dia mengamati diriku seperti tidak puas hati. “Pasal Rizan?”

Aku diam sahaja. Membiarkan soalan itu berlalu

“Betul, kan? Ini semua pasal Rizan. Kau tak pasti diri kau dengan Rizan, kan?” Dia menduga dan dia meyakini perkara itu.

Come on, Zila. Aku dah nak bertunang dengan Rizan. Soalan jenis apa kau tanya aku tu?”

Dia tetap mengamati pandanganku, wajahku, gerak-geriku. “Berani kau, ya? Kau tak pasti dengan dia, kau nak teruskan jugak pertunangan kau dengan dia. Walaupun mama kau, mama Rizan yang plan semua ni, kau kena berani cakap yang kau tak setuju.”

Aku amati wajah Zila dengan penuh erti. Sahabatku ini ternyata sahabat sejati. Dia lebih mengerti diriku dari aku sendiri. “Dari dulu kau tak pernah yakin aku dengan Rizan, kan?”

Zila ketawa kecil. “Dari sinar mata kau, aku boleh tahu kau sekadar sayang Rizan sebagai teman baik, Ju. Kau boleh tipu diri kau. Tapi aku tetap kata, kau tak pernah cintakan Rizan.”

Aku menundukkan wajahku sedikit dari Zila. Menyembunyi wajahku sepertimana aku menyembunyikan perasaanku daripadanya selama ini.

“Cuba kau jujur dengan diri kau, Ju. Kau cintakan Rizan tak? Kau kena ingat, kau dah nak kahwin dengan dia. Kau yakin kau boleh hidup dengan lelaki yang kau tak cinta?” Zila seolah-olah mencabar aku.

“Yakin atau tidak, kita yang perlu bijak mencorak rumah tangga kita nanti, Zila. Sama ada kau pandai bawa diri atau tidak ataupun bahagia atau sengsara, semua dalam tangan kau,” jelasku. Aku harap kali ini, aku benar-benar dapat meyakini Zila. “Macam kau, kau yakin bila kau kahwin dengan Imran nanti, kau boleh bahagia sampai kau tua?”

Zila mengeluh. “Sekurang-kurangnya aku ada satu yang kau tak ada, Ju.”

Aku mengerutkan dahiku.

“Aku ada cinta hati aku. Aku cintakan Imran. Dia lamar aku sebab dia nak aku jadi isteri dia. Aku terima sebab aku pun nak dia jadi suami aku. Kau tu... kau betul-betul cintakan Rizan?”

“Sayang, cinta, kasih... itu semua boleh timbul nanti. Asalkan perasaan tu kekal selama-lamanya, aku happy, dia happy.”

Zila ketawa lagi. Menggeleng-geleng kepalanya seperti tadi. “Ju, kau kawan aku. Rizan jugak kawan aku. Kita semua kawan-kawan satu kolej dulu. Kalau kau kahwin dengan dia, aku happy. Bukan aku sorang, tapi Miza, Nor, Azli, Alan... semua happy.”

“Jangan risaukan aku. Kalau aku dengan Rizan boleh berkawan bertahun lamanya, insya-ALLAH aku boleh hidup dengan dia.”

Saat itu, Zila menepuk dahinya sambil mengucap panjang. Dia seperti tidak percaya dengan kata-kataku. “Habis kau dengan Rizan bukan bercintalah? Selama ni kau berharap dengan persahabatan kau yang bertahun tu, kau boleh bina rumah tangga dengan dia?”

Aku mengangkat bahu. Kurang yakin apa yang aku sedang rasa. “Entahlah, Zila. Aku tak tahu. Pada aku, sayang ke... cinta ke... benda tu sama.”

“Kau pernah tak cakap dengan Rizan kau cintakan dia? Sayangkan dia? Pernah tak?” tanya Zila. “Ju, jangan buat kerja bodoh ni, Ju. Perkahwinan bukan macam pensil dengan pemadam. Kau buat salah, kau padam. Kau salah lagi, kau padam lagi. Jangan buat kerja bodoh, Ju. Aku tahu kau hormat keluarga dia, kau sayang dengan keluarga kau. Tapi tolonglah... ini masa depan kau. Kau kena fikir baik-baik lelaki yang akan kau hidup sampai kau tua.”

“Kalau aku dah bersetuju untuk kahwin dengan dia, bukan ke aku sayang kat dia? Salah ke aku?” Giliran aku pula mencari kepastian dari dia.

Zila menggeleng-geleng kepalanya. Lama juga aku menunggu reaksi darinya. “Ju, aku tak tahu persepsi kau tentang cinta, tentang lelaki. Aku tak tahu cara kau macam mana kau dengan Rizan setiap kali kau keluar atau jumpa dia. Dan aku tak tahu macam mana aku nak mendefinisikan cinta pada kau. Tapi kalau kau sayang atau cinta, memang kau bersedia untuk kahwin dengan dia. Cinta itu lebih halus Ju. Lebih bermakna kalau kau dapat rasakan. Debaran dada, degupan jantung kau jadi laju bila tiapkali kau jumpa dia. Perasaan rindu biarpun dia baru aje hantar kau balik. Bila Imran outstation, akulah orang yang paling cemas. Dia nak pergi Jepun kursus seminggu, aku dah sebulan sebelum tu duk risau kat dia.”

Sebaik dia berkata rasa debar dan jantung berdegup laju, ingatanku kembali pada Megat Iskandar Zulkarnain. Macam itu ke? “Itu macam dalam novel aje.” Aku ketawa.

“Beb, kalau kau nak tahu macam mana bila rasa cinta, bacalah novel cinta. Bila cinta datang, segala fakta tentang cinta, macam tulah penulis tulis. Rindu, resah, cemas, perasaan berdebar, kau asyik teringatkan dia dan seminit pun, kau tak mahu lepaskan dia.” Dia terkejut bila aku mendiamkan diri. “Kau memang tak pernah rasa macam tu, kan? Sekali pun tidak dengan Rizan? Sekalipun tidak dengan sesiapa?”

Aku tersedak sedikit dengan minuman yang aku hirup.

Mata Zila membuntang bila merasakan apa yang dia katakan itu benar. “Kau pernah cakap dengan aku, kau tak suka dengan perangai Rizan sebab Rizan ni anak mama. Betul, kan? Sekalipun kau tak pernah ‘rasa’ dengan Rizan?”

Aku tersenyum. Hambar. Biarpun aku cuba untuk menunjukkan rasa yakin di hadapan Zila. Zila bijak membaca reaksiku biarpun sekilas pandangannya. Dia pintar menangkap apa yang tersorok di sebalik wajahku.

“Atau kau ada lelaki lain?” Dia menduga.

“Zila!” Aku menjegilkan mataku kepadanya. Namun dalam pada masa yang sama, pipiku terasa tebal.

Dia menuding jari telunjuknya ke arahku. “Tu, tu muka tu. Kau jangan nak bohong.”

“Assalamualaikum. Hamboih kau orang berdua! Berborak sakan sampai tak sedar kita orang semua ada kat depan mata!”

Kami berdua mendongak melihat arah mana datangnya suara itu. Miza, Nor dan di belakang mereka si Alan tersengih-sengih memandang kami berdua.

Aku dan Zila bertempik kegembiraan. Tidak menyangka akan bertemu dengan mereka semua ini, terutama Alan.

“Tadi aku call si Rizan, suruh dia joinkita lunch hari ni. Tapi dia kata, dia sibuk. Azli pun sibuk semacam,” terang Alan mengambil tempat duduk di sebelah Miza.

Aku tersenyum. “Dia tahu aku ada lunch dengan kau orang semua. Tu yang dia kata dia tak ada masa.”

“Ya... ya... aku tahu. Dia ada cakap. Eh? Kau dengan Rizan apa hal? Senyap-senyap aje dah nak bertunang. Sikit pun kau tak beritahu kami semua!” marah Alan padaku.

Aku dan Zila ketawa kecil. Miza, Nor dan Alan terpinga-pinga.

“Kau nak bertunang dengan Rizan? Sampai hati kau tak beritahu aku,” seru Miza.

Nor pula tarik muka masamnya. “Mentang-mentanglah kita orang ni jarang telefon kau, sikit pun kau tak ada hati nak beritahu member sendiri.”

Aku masih ketawa dan Zila saling berpandangan dan ketawa. Lucu pula melihat teman-teman kami seuniversiti ini sedang merajuk denganku. “Kau orang kan baik dengan Rizan. Kenapa kau sendiri tak tanya dia?”

“Dia baru beritahu aku. Aku saja tanya kau pulak, sama ada betul kea tau tak betul,” sengih Alan sambil meletakkan tangannya di atas meja. “Jadi betullah, ya?”

Aku tersengih sahaja.

“Akhirnya jadi juga kau dengan Rizan. Dulu bukan main tarik tali kau dengan dia. Last-last, kalah juga. Aku pun lama tak makan nasi minyak ni. Kalau dapat makan nasi minyak member, tentu sedap lagi dari makan nasi minyak kat kedai,” gurau Miza sambil ketawa.

Di bawah meja, kaki Zila sudah menguis kaki aku. Bila aku pandang wajahnya, dia sekadar tersenyum sinis penuh makna.

“Kau doakan ajelah dia orang cepat kahwin. Lagi cepat dia orang kahwin, lagi cepat kau orang dapat rasa nasi minyak member kita ni.” Lantas dia melemparkan pandangannya padaku.

Ya ALLAH, tiada siapa pun dapat menafikan pandangan Zila penuh makna kepadaku. Malah kata-katanya mampu menguatkan pandangan sinis tersebut. Namun baik Miza, Nor dan Alan masih tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Zila. Hanya kami berdua sahaja yang tahu.

“Aku doakan kau orang berdua kahwin, bahagia, rumah tangga kekal ke anak cucu.” Miza teruja. Kata-katanya ikhlas.

Don’t worry.Dia takkan lari daripada Rizan. Sebaik dia dah kahwin dengan Rizan, Rizan takkan lepaskan dia. Rizan cintakan Ju dari dulu.” Itu kata Alan.

Aku terkesima. “Macam mana kau tahu?”

Alan tersenyum. “Itu pun kau masih nak tanya? Mestilah aku tahu. Akulah tempat Rizan curah perasaan dia. Apa sikit pasal kau dengan dia, aku orang pertama yang tahu dulu!”

Sekali lagi Zila menguis kakinya pada kakiku.

Aku tersentak. “Semua?”

Alan ketawa.

“Alan, dia beritahu semua rahsia aku dengan dia pada kau?” Aku paksa dirinya untuk mengaku.

Alan terus ketawa. Apakah ini gurauan atau benar-benar serius? “Jangan risau, Ju. Kau kena faham, dia pun ada perasaan juga. Dia perlu jugak seseorang untuk luahkan perasaan dia.”

Saat itu Miza dan Nor menyokong kata-kata Alan. Mereka berdua setuju bahawa tidak salah jika Rizan berkongsi masalah dengan seseorang, apatah lagi Alan bukan orang asing di antara kami. Kami semua sudah lama berkawan, apatah lagi Rizan dan Alan pernah sebilik di kolej dahulu.

Entah kenapa, aku rasa sedikit pelik. Bukankah berkongsi masalah dan rahsia itu hanya pada sikap perempuan? Berapa banyak rahsia yang Rizan sudah berkongsi dengan Alan? Sudah banyak mana pula masalah yang Rizan luahkan pada Alan?

Aku rasa sungguh malu. Aku seolah-olah ditelanjangkan dengan hal-hal peribadi aku dengan Rizan oleh Rizan sendiri kepada Alan. Dan sekarang Alan pula sedang mentertawakan aku di hadapan teman-temanku sendiri!

Zila terus tersenyum sinis.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.