Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
220,692
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

“Tidak teruk manapun luka di tangan kamu tu. Esok sudah boleh buka balutannya,” tegas saja nada suara Tok Biang kepada Natasha seusai merawat luka di pergelangan tangan perempuan itu. Bangun bomoh tua itu membawa masuk mangkuk kecil berisi parutan halia ke bahagian dapur rumahnya meninggalkan Natasha dan Farihna di ruang tamu. Natasha mulai berbisik sesuatu di cuping telinga kawannya yang duduk di sebelah.

“Kalau ikutkan hati, mahu saja aku simbah dengan air panas menggelegak dekat kucing orang tua tu! Tak pasal-pasal calar-balar kulit aku disebabkan kucing sial tu!” seranah Natasha melepaskan geram. Berang sungguh dia apabila belum lagi sampai ke muka pintu, tiba-tiba saja seekor kucing hitam boleh melompat ke atasnya. Mujurlah dia sempat menutup mukanya dengan kedua-dua belah tangan, kalau tidak sudah tentu cakaran kucing itu mengena bahagian wajahnya. Tidak sanggup Natasha membayangkan mukanya berparut hodoh!

Farihna menjegilkan biji mata, mengarahkan supaya kawannya itu memperlahankan suara. Tok Biang bukan sembarangan orang, lelaki tua itu sekilas saja dapat ‘membaca’ isihati mereka dengan hanya menilik dari air muka. Sudahlah datangnya mereka berdua ke situ membawa hajat besar, nanti tidak pula ditunaikan bomoh tua itu. Farihna mencubit peha Natasha menyuruh kawannya itu tidak menceceh apabila mendengar derap-derap kaki Tok Biang menghala ke ruang tamu semula. Ruang tamu rumah kayu itu tidak berperabot, cuma berbentangkan tikar mengkuang dengan meja rotan yang diletakkan di bahagian tengah.

“Karim memang perangai dia macam tu. Pantang dia nampak muka orang yang dia tak kenal, pasti dapat habuan dari dia,” celah Tok Biang tiba-tiba lalu terus duduk bersila di hadapan kedua-dua perempuan itu. Baik Natasha mahupun Farihna, agak terpinga-pinga. Siapa pula Karim yang dimaksudkan bomoh itu? Anak bujang Tok Biangkah? Kacakkah orangnya? Sampai ke situ sekali Farihna berfantasi nakal.

“Kucing tu tok letakkan namanya, Karim. Tiada pun anak teruna dalam rumah ni,” sambung Tok Biang membuatkan Farihna tertelan air liurnya. Alamak, orang tua ni macam tahu-tahu saja apa yang aku fikir! Getus Farihna dalam hati.

Natasha mencuit-cuit bahu Farihna, memberi isyarat untuk perempuan itu lekas-lekas memberitahu akan tujuan mereka berdua datang ke situ malam-malam sebegini. Tidak kuasa dia hendak berlama-lama di sana, sudahlah dihidangkan dengan seteko air yang rasanya kelat seperti renihan akar kayu dari hutan belantara! Dapat saja apa yang berkehendak di hati, terus saja Natasha mahu segera angkat kaki. Kalau kawannya tidak larat memandu, dia sanggup memegang stereng sehingga ke Kuala Lumpur!

“Tok... ni kawan saya. Namanya Natasha. Dia ni nak minta tolong sikit dengan tok...” lembut saja Farihna menyusun ayat manisnya. Khuatir kalau-kalau Tok Biang tersinggung dengan sikap Natasha, minuman yang dihidangkan Tok Biang awal-awal tadi ketika mereka baru sampai, tetap diteguk sehingga habis dalam sekali nafas! Natasha pula yang terasa mual, seperti dijolok-jolok saja anak tekaknya. Farihna memang pandai mengambil hati, lagipun bukan baru kali pertama Farihna bertemu orang tua itu, sudah banyak kali.

“Tak lain tak bukan, ini soal lelakilah ni kan? Ada bawa gambar dia?” pantas saja Tok Biang menelah. Natasha sedikit terperanjat. Tidak sangka bomoh tua di hadapannya itu dapat ‘membaca’ akan maksud kunjungannya dengan tepat sekali.

Tok Biang mencapai bekas perasap kemenyan yang diperbuat dari tanah liat di hadapannya lalu menghidupkan bara kemenyan. Berkepul-kepul asap kecil bergulung terapung di udara tidak lama selepas itu. Natasha mula terherot-herot mukanya menahan bau kuat lagi keras menyucuk lubang hidungnya.

“Err... ada tok. Kejap...” balas Natasha lalu mengorek isi dalam beg tangannya. Memang dia sudah bersiap-sedia membawa gambar Dzulkarnain. Tambahan pula, gambar lelaki pujaannya itulah yang diusung ke sana dan ke mari walau ke mana dia pergi. “Ini gambarnya, tok...”

Tok Biang meneliti sedalam-dalamnya gambar seorang lelaki tampan yang sudah berada di dalam tangannya. Gambar Dzulkarnain yang segak berpakaian pejabat sedang membuka pintu kereta. Bidikan curi-curi yang diambil Natasha ketika lelaki itu tidak sedar yang gambarnya ditangkap. Sekalipun aksi kandid tetapi terang lagi jelas tampang lelaki itu yang membuatkan Natasha terigau-igau tidak tidur malam.

Gambar itu dilayang-layangkan di atas kepulan asap kemenyan dan bibir Tok Biang bergerak-gerak membaca sesuatu. Natasha dan Farihna hanya diam memerhati, membiarkan bomoh itu membuat kerjanya. Tidak lama kemudian, gambar itu diserahkan semula kepada pemiliknya.

“Siapa nama budak ni?” tanya Tok Biang pendek.

“Dzulkarnain, tok. Saya betul-betul sukakan dia. Saya harap sangat, tok boleh buat dia suka jugak pada saya,” luah Natasha berterus-terang. Bunyi seperti tidak tahu malu.

“Berat sikit pemuda ni...” jawab ringkas Tok Biang. Natasha dan Farihna saling memandang sesama sendiri. Masakan bomoh handal seperti Tok Biang tidak mampu menundukkan lelaki bandar seperti Dzulkarnain!

“Berat macam mana tu, tok? Maksud tok?” soal Natasha tidak puas hati. Susah-payah dia datang dari jauh semata-mata hendak ‘mengikat’ Dzulkarnain, alih-alih ini pula jawapan yang terpaksa dia dengar. Mana boleh jadi!

“Maksud aku... dia ni tak mudah ‘ditiup’ macam tu saja. Pemuda ni pendindingnya kuat,” terang Tok Biang menambahkan lagi kerut di dahi kedua-dua perempuan itu. Farihna menyampuk. Dia juga tidak sabar hendak tahu.

“Pendinding? Maksud tok dia ni pakai tangkal ke?” dungu saja soalan yang keluar dari mulut Farihna. Natasha turut sama menanti penjelasan Tok Biang.

“Pemuda ni tiang masjidnya tidak pernah roboh. Pasak lima waktu, pancang kuat macam batu. Mana boleh aku tiup dari jauh guna gambar saja. Kau kena ikhtiar lebih sedikit,”

Farihna berbisik di cuping telinga Natasha yang terkulat-kulat tidak faham dengan penerangan Tok Biang. Berjeda perempuan itu seketika apabila otaknya kini baru dapat menangkap apa yang dimaksudkan bomoh tua itu. Memang Natasha akui, Dzulkarnain bukan seperti lelaki-lelaki lain yang biasa dia kenal. Lelaki itu orangnya taat pada suruhan agama.

“Jadi, macam mana tok?”

“Kau datang sini lagi beberapa hari. Tapi kau kena pastikan bawa benda apa yang aku nak.” pesan Tok Biang meninggalkan syarat-syarat. Natasha mendengar dengan setia. “Kau bawa helaian rambut dia, paling kurang tiga helai dan... satu baju dia yang lencun dengan peluh dia. Lagi cepat kau bagi aku, lagi cepatlah hajat kau tercapai.”

Natasha sudah tergaru-garu kepala sendiri. Pelik-pelik saja yang diminta bomoh tua itu. Bagaimanalah pula dia hendak mendapatkan semua itu? Aduh, payah! Fikirnya, sekadar perlu hembus-hembus pada gambar dan keesokkannya, Dzulkarnain sudah merangkak mencarinya. Ini lain pula cerita!

Natasha mengangguk faham dan sebaik selesai bertanya itu dan ini, dia meminta diri untuk pulang ke Kuala Lumpur pada malam itu juga. Jam sudah berdenting ke jam 11:00 malam tetapi kepala perempuan itu masih lagi pusing memikirkan cara hendak memenuhi syarat-syarat Tok Biang. Tangan kejap memegang stereng tetapi fikirannya melayang entah ke mana.

“Weh! Drive tu pandang depan, bukan berangan!” leter Farihna yang kini mengambil giliran untuk duduk saja di sebelah tempat duduk pemandu. Kalau tadi dia yang memandu sampai lenguh-lenguh segala urat di badan, sekarang Natasha pula yang akan menerima nasib yang serupa. Kenderaan tidak banyak di jalan raya, barangkali sudah menghampiri tengah malam.

“Merepeklah bomoh kau tu, Rihna! Macam tak masuk akal saja syarat-syarat dia. Macam mana aku nak dapat rambut si Dzulkarnain tu? Kemudian, mahu ambil baju dia yang berpeluh pulak tu. Apa, kau fikir senang ke nak suruh lelaki tu bagi baju dia tiba-tiba dekat aku? Eee... susahlah!” rungut Natasha melampias resah yang kemungkinan perancangannya untuk memiliki Dzulkarnain dengan cara halus akan gagal.

“Kau ni, belum cuba lagi dah fikir negatif! Aku ada idea!”

Panjang lebar Farihna menceritakan strateginya dalam misi menjayakan impian kawannya itu. Natasha masih tidak pasti atau lebih tepat lagi, dia masih meragui. Otaknya sudah tepu tidak berfungsi.

“Kalau tak berjaya, macam mana?” persoal Natasha lagi.

“Tengok tu! Belum apa-apa lagi, kau dah make a conclusion. Kau ikut je plan aku. Gerenti beres! Bukan setakat baju dengan peluh saja yang kau dapat, silap-silap dengan empunya tubuh yang berpeluh pun kau dapat!” berdegar-degar Farihna memukul canang memberi harap. Sedikit-sebanyak, terukir senyuman di riak wajah Natasha. Bersiul senang dia memandu sekalipun sedar tidak sedar sudah memasuki jam 2:00 pagi. Berbaki separuh lagi masa perjalanan untuk mereka sampai di Kuala Lumpur.

“Tapi kau kena ingat ya, Tasha. Perjanjian tetap perjanjian. Pengeras Tok Biang tu jangan kau buat-buat lupa bila kau dah dapat apa yang kau nak,” peringat Farihna membuatkan senyum di bibir Natasha kembali mengendur. Ya, disebabkan pengeras itulah dia berbelah-bahagi hendak meneruskan niatnya. Tetapi dia sudah membuat janji, dan dia sendiri tahu akan ‘pulangan’ yang akan dia perolehi sekiranya perjanjian bagi pengeras itu tidak dipenuhi.

Part ni yang aku tak suka ni Rihna...” keluh Natasha merenung jauh.

“Alah, tutup mata sudah! Macam kau tak biasa kan?” sindir Farihna selamba. Boleh pula perempuan itu mengekeh, mentertawakan kawan sendiri.

“Soalnya dengan bomoh tua ganyut tu, cik Farihna! Kalau kau?”

“Eh, tanya aku pulak! Penting sekarang, kau dapat lebih dari apa yang kau idam-idamkan nanti. We’re talking about Dzulkarnain here. The hottest bachelor in KL! You got to lose to know how to win, darling! Sacrifice is the language of love. You knew that, right? Kenalah berkorban sikit.” rangsang Farihna memberi semangat. Bertambah panjang Natasha mengeluh tetapi apa boleh buat, sekali melangkah tidak mungkin dia akan berpatah balik!

Natasha mulai mengait angan-angan nakal. Wajah tampan Dzulkarnain saling bertindan dalam fikirannya. Benar, lelaki itu ada aura pesona yang bukan sebarang! Pandangan matanya, senyumannya, gerak-geri tubuhnya, cara percakapannya dan ciri-ciri istimewa lain yang terdapat dalam diri pemuda itu membuatkan gejolak jiwa perempuannya meronta-ronta. Biarpun layanan lelaki itu terhadap dirinya tidak pernah sempurna tetapi Natasha tetap tidak mahu berputus asa. Itu semua dianggap cabaran buat Natasha kerana sepanjang hidupnya, tidak pernah ada lagi mana-mana lelaki yang menolak huluran cintanya melainkan Dzulkarnain!

Lagipun Natasha merasakan dirinya punya kelebihan untuk mendapatkan lelaki itu berbanding perempuan-perempuan lain kerana dia mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga Dzulkarnain. Menambahkan lagi keyakinannya, Natasha tidak pernah lagi mendengar cerita-cerita belakang yang lelaki itu mempunyai kekasih biarpun dia akui, bukan dia seorang saja yang mengejar cinta lelaki itu. Ah, perempuan lain tidak layak bersama dengan Dzulkarnain. Kalau ada pun, langkah mayatnya terlebih dulu!

“Tasha, aku tanya kau sikit boleh?” celah Farihna ketika mana kereta yang dipandu Natasha sudah memasuki lebuh raya Kuala Lumpur, hampir pukul 5:00 pagi pada waktu itu. Perjalanan yang panjang dirasakan singkat dan tidak membosankan. Natasha cukup teruja hendak berjumpa Dzulkarnain sebenarnya.

“Apa dia?”

Let’s sayada perempuan lain yang berjaya mencuri hati Dzulkarnain, lebih dulu daripada kau... apa kau nak buat?” duga Farihna hendak mengetahui serius mana Natasha mencintai lelaki itu.

“Aku simbah asid dekat muka perempuan tu! Kau sendiri tahu bukan, aku boleh buat lebih kejam dari itu!” Farihna tertelan air liur mendengarnya!

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.