Home Novel Cinta Mama, dia saya PUNYA!
Mama, dia saya PUNYA!
aireen erina
3/8/2015 22:36:18
15,158
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1
                                                                          1

DEWAN Sri Pinang Kolej Ungku Sulaiman Cawangan Pulau Pinang padat dengan staf dan pensyarah yang datang dari seluruh negara bagi meraikan ulang tahun ke-12 penubuhan kolej itu. Izma Huda dan Mazlina antara yang turut sama meraikan ulang tahun itu bersama 30 orang staf dan pensyarah Kolej Ungku Sulaiman Cawangan Selangor. Sambutan yang berlangsung selama tiga hari itu diadakan bergilir-gilir setiap tahun. Tahun lepas Kolej Ungku Sulaiman Cawangan Selangor yang menjadi tuan rumah. Tahun ini diadakan di Pulau Pinang pula.

Izma Huda menggosok-gosok lengan kiri yang terasa tidak selesa. Penyaman udara yang terpasang seperti tidak langsung menyamankan. Ada dua kemungkinan, sama ada cuaca di luar terlalu panas atau kadar penyejukan yang jauh lebih rendah berbanding dengan bilangan orang di dalam dewan itu. Izma Huda makin resah. Persembahan Noraniza Idris yang bersuara merdu di atas pentas langsung tidak menarik perhatiannya. Dia menyinsing lengan. Pamflet di atas meja dikipas ke wajah.

“Izma! Tangan kau!” Mazlina yang duduk di sebelah menjerit dengan suara tertahan. Jarinya tepat ke arah lengan Izma Huda. Izma Huda agak terkejut. Tetamu sebelah kirinya berlainan kolej itu seperti mahu turut sama melihat tangan Izma Huda, namun cepat-cepat gadis itu menutup dengan lengan baju kurungnya. Malu!

Izma Huda melihat lengannya di sebalik kain meja bulat yang labuh itu. Mazlina terjenguk sama. Masing-masing terlopong. “Patutlah aku rasa gatal semacam aje.”

Izma Huda menarik lengan baju kanannya. Bintik merah sudah penuh di lengan. Sama seperti di lengan kirinya. “Mesti fasal char kue tiau malam tadi. Agaknya udang tak segar kot,” sambung Izma Huda dengan wajah menahan gatal.

Fikiran Izma Huda langsung terbayang trip mereka ke Sungai Dua malam tadi. Sudah sampai ke Pulau Pinang, rugi kalau tak merasa char kue tiau yang selalu sangat disebut-sebut orang itu. Semasa pinggan yang berasap berisi makanan glamor itu tiba di depan mata, dia dapat mengagak bahana yang akan menimpa, tetapi nafsu makannya mengalahkan akal. Nak buat macam mana?

“Habis macam mana?” bisik Mazlina perlahan. “Tahan ke gatalnya?”
“Itulah, dengan panasnya. Mahu aku tergaru macam beruk dalam dewan ni karang.” Izma Huda menarik tudung ke belakang sedikit. Bila keadaan macam ni, semua dirasakan tidak kena. “Aku kena pergi klinik ni, kalau tak, mahu merebak satu badan,” ujar Izma Huda melilau mencari pintu keluar.

Mazlina kebingungan. Memang dia kenal sangat dengan Izma Huda. Kalau sudah terkena gatal begitu, pasti sahabatnya perlu mengambil suntikan alergik di klinik. Tetapi mana mahu dicari klinik? Baru dua hari di Pulau Pinang, jalan keluar kolej pun masih kabur, inikan pula hendak mencari klinik?

Setahun lalu sewaktu mereka berkursus di Taiping, Izma Huda terkena gigitan serangga yang akhirnya menyebabkan sahabatnya itu naik ruam seluruh badan. Kulit gadis itu memang sensitif. Sensitif habuk, kuman, virus, makanan laut dan entah apa lagi. Kasihan!

“Kat mana kliniknya? Kalau tahu pun nak pergi naik apa? Kita kan datang naik bas kolej. Takkan driver bas nak hantar kau semata-mata pergi klinik pulak?”
Izma Huda tepuk dahi. Dia tersenyum sendiri. “Aku lupa, macam mana aku boleh ingat yang kita bawak kereta sendiri?”
Mazlina menjeling manja. Tetapi otaknya ligat berfikir. Apa ikhtiar yang ada? Hendak mengadu pada siapa? Penganjur? Mereka pun sedang sibuk dengan acara di atas pentas.

“Hah, aku tahu! Tak silap aku, pensyarah JPH, Nazhan bawak kereta. Kan kita terserempak dengan dia masa makan char kue tiau malam tadi, ingat tak?” Jari Mazlina tepat ke wajah Izma Huda.
Serta-merta dahi Izma Huda berkerut seribu. “Nak suruh dia hantar? Gila apa? Tak nak aku!” cebik Izma Huda bersungguh. Telunjuk Mazlina ditepis laju.

Ah, lelaki itu yang dua tiga menjak ini dirasakan ada kelainan setiap kali mereka bersua. Senyuman yang terlebih gula, lenggok suara yang sengaja dilembutkan, yang paling dia tidak tahan, Nazhan seperti sengaja mencari peluang bekerja bersamanya. Apa sahaja aktiviti kolej yang dia sertai, pasti tersembul wajah lelaki itu. Ah, rimas!

Setahu Izma Huda, nama Nazhan tiada dalam senarai awal ke Pulau Pinang ini. Hanya ketika taklimat bersama pengarah, lelaki itu tiba-tiba tersembul di bilik persidangan. Melangkah masuk sambil tersenyum simpul padanya. Pasti lelaki itu berusaha mencari sesiapa yang tidak dapat hadir supaya dapat berganti tempat. Mungkin dia hanya perasan. Tetapi kalau sudah banyak kali, nalurinya tidak dapat berkata tidak. Pasti ada niat tersembunyi!

“Okey, kalau macam tu, kau tahan sampai majlis habis. Nanti kita suruh driver bas singgah klinik. Tak lama ni, emm...dua jam setengah aje. Itu pun kalau driver tu nak layan kau. Baik kau doa, dia tak cakap ‘Saya bukan pemandu peribadi cik’ kat kau!”

Mazlina buat wajah selamba. Tangannya ditarik ke dada dan disilang rapat. Pura-pura tidak faham seksa Izma Huda yang menanggung ‘kegatalan’!

Bahu Izma Huda menolak bahu Mazlina. “Kau saja, kan?” Dijelingnya rakannya itu tajam.
Mazlina ketawa sambil tutup mulut. Dia tahu Izma Huda tidak akan dapat bertahan dengan rasa yang merenyam itu. “Nak aku tanyakan ke tak?”

Mata hitam Izma Huda bergulung ke atas. Geram! “Yalah!” jawabnya keras.
Tangan Mazlina ligat menaip mesej kepada lelaki itu. Meski tidak suka, Izma Huda terpaksa mengalah. Dia menggigit bibir menahan gatal.

“Kita pinjam kereta dia ajelah. Dia tak payah ikut,” cadang Izma Huda. Nampak sangat dia tidak suka dengan kelibat Nazhan.
“Kereta dia manual. Kau tau ke nak bawak? Aku tak reti,” jawab Mazlina bersungguh.

Sekali lagi wajah kelat Izma Huda terpancar jelas. Memang sah tak boleh lari dari mamat. “Tahu aje kau kan, kereta dia manual ke auto. Dia pakai seluar dalam saiz berapa kau tau tak?” marah Izma Huda pada Mazlina.

Rakan baiknya itu tertawa lagi. “Kalau aku tau, kau nak buat apa? Nak belikan hadiah untuk dia tanda ucapan terima kasih sebab bawak kau pergi klinik?”
Penumbuk dilayang ke wajah Mazlina. Panas hati Izma Huda makin membara. Memang nak kena budak seorang ni!

“Alah, tak payah nak cerewet sangatlah. Kita pergi klinik dulu. Hal lain, kita fikir kemudian,” kata Mazlina sambil menepuk bahu Izma Huda lembut. Dia tahu sangat gejolak di hati Izma Huda tentang lelaki itu, tetapi dia lebih faham akan ‘kegatalan’ sahabat baiknya itu. Dia angkat punggung sambil memegang jari-jemari Izma Huda.

Dalam terpaksa, Izma Huda melangkah jua. Ada rasa yang semakin berkecamuk di dalam hatinya. Sewaktu mereka berdua menolak pintu besar yang tertutup, kedengaran nama kolej mereka diumumkan sebagai pemenang. Tidak tahu kategori apa, yang pasti ‘kegatalan’ Izma Huda sudah masuk kategori kronik. Dia rasa mahu mandi ais sekarang!

Dalam hati dia memarahi diri sendiri, dah tau tak boleh makan, nak makan jugak! Rasakan kau Izma!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh aireen erina