Home Novel Cinta Bawah Payung Awan (Sudah Terbit)
Bawah Payung Awan (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/9/2023 10:31:25
5,224
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4
AIR mata Widad yang terasa seperti hendak merembes keluar ditahan. Telinganya panas saat terdengar gelak tawa Anita di dalam bilik. Tidak adakah sekelumit rasa malu yang menerpa dalam fikiran emak dan pasangan yang mungkin sudah berkeluarga itu? Tidakkah mereka malu dengan remaja sepertinya yang sedang bertungkus lumus belajar di bawah cahaya malap lampu kalimantang di luar? Dia mengesat beberapa titis air mata yang tertumpah dengan lengan baju yang sudah lusuh. Matanya dipakukan pada nota-nota atas kertas di depannya. Air mukanya dipaksa untuk menjadi kebal, tidak melampirkan sebarang reaksi.

Sepuluh minit kemudian, lelaki yang tidak dikenali identitinya itu menerpa keluar dengan kemeja yang tidak habis dibutang sambil menggenggam telefon. Dia mengerling muka Widad yang hanya menunduk sebelum melangkah ke arah pintu keluar yang berkeriut ketika ditarik. Stokingnya dipakai dengan kalang-kabut bagaikan mahu mengejar masa. Daripada cara pemakaian lelaki itu, Widad tahu dia orang senang. Tetapi Widad tak tahu bagaimana lelaki seperti itu boleh terjebak dengan emak sehinggakan tergamak menjejakkan kaki ke kawasan setinggan itu. Sudahlah rumahnya kotor dan bersepah, tanah di sekeliling rumah becak dan penuh takungan hujan.

Ah, pelik! Benar kata orang, wang boleh beli banyak benda tetapi bukan kelas. Lagak dan cara lelaki itu bercakap masih tidak berkelas walaupun dia mempunyai banyak wang. 

“Kau cakap kau nak ceraikan dia! Penipu!” jerkah Anita. 

Lelaki tadi terus keluar tanpa melayani kemarahan Anita. Anita berteriak di depan pintu sambil membaling apa saja yang mampu dicapai dek tangannya. Dia tidak peduli ke mana arah barang-barang itu terbang. Asalkan mampu melepaskan gelodak marah dalam jiwanya. 

Ah, itu bukan kali pertama Anita ditipu oleh manusia bergelar lelaki! Barangkali juga bukan untuk kali terakhir. Peliknya emaknya tak pernah serik. Dia tak pernah berputus asa untuk mencuba lagi. Setiap kali dihamburkan dengan janji-janji baru, dia akan percaya. 

“Penipu!” Anita melayangkan satu lagi piring yang sempat dicapainya dalam keadaan kalut itu. 

Piring kecil yang dilemparkan Anita tersasar kekepala Widad. Hujungnya melanggar dahi anaknya yang baru mengangkat muka. Darah meleleh dari dahi kanan Widad. Tetapi air mukanya bersahaja. 

Widad menyapu luka itu dengan tapak tangannya, cuba menghapuskan kesan darah yang mengalir ke pipi. Tetapi usai dikesat, ia berganti dengan rembesan darah baru, masih menunggu trombosit menyumbat pembuluh darahnya.

“Wid!” panggil Anita. Dia meluru ke arah Widad, cuba memeriksa kecederaan Widad yang tidak disengajakan. 

Widad menangkap tangan Anita sebelum menyentuh lukanya. ALLAHUAKBAR! Dia rasa berdosa, tetapi dia tidak mampu menahan rasa jijiknya. Dia tidak mahu tangan itu berlabuh di kepalanya. Tangan yang sama baru membelai lelaki berstatus suami orang. 

Widad malu bergelar anak Anita. Dia sedih dan kecewa dengan sikap emaknya. Tetapi, dia terpaksa menghadap seksa itu berkali-kali sejak kecil sehinggakan dia sudah kebal untuk menyuarakan sakitnya. 

“Wid okey. Mak pergilah rehat. Esok Wid ada ujian,”balas Widad dengan muka yang tidak berperasaan. 

Sedikit pun Widad tidak memberi sebarang refleksi tentang luka pedih yang sedang ditanggungnya. Segalanya dibekam di dalam dadanya sendiri. Tiada gunanya menagih simpati emak. 

“Mak tahu mak salah,” ucap Anita. 

Widad tidak memberi reaksi dengan pengakuan emaknya juga. Untuk apa emak mengungkit kesalahannya? Orang yang tahu dirinya berbuat salah, biasanya akanberusaha untuk tidak mengulanginya. Tetapi, emak mengakui dia berbuat salah tanpa menyimpan nawaitu untuk membetulkannya dan mengelak daripada mengulanginya. 

Ceritera yang sama bakal berulang lagi. Siapa pula skandal mak yang akan datang? Suami orang? Tunang orang? Si tua kerepot? Budak muda yang baru hendak mengenal dunia? Widad tidak tahu. Dia tidak dapat meneka siapa target emak yang seterusnya. Kehendak emak penuh dengan variasi. Adakala dia sudah tidak tahu sama ada emak adalah mangsa atau pemangsa biarpun emak selalu menangis dan berlagak teraniaya seperti itu.Victim mindset! 

“Mak minta maaf. Mak hanya nak Wid dapat seorang ayah macam orang lain,” luah Anita. 

Widad masih tidak membalas. Perlukah dia percaya? 

“Mak tau mak tak sempurna. Tapi mak dah cuba buat yang terbaik untuk Wid. Mak korbankan segalanya untuk Wid,” luah Anita sebelum masuk semula ke dalam bilik dan menghempas daun pintu. 

Air mata Widad merembes keluar. Dia menelangkup tapak tangan ke mulutnya, tak mahu suara esakannya lolos dan menikam gegendang telinga Anita. Ah, Widad benci menjadi manusia yang lemah! Dia tak mahu dipijak. 

Emak cakap, mak berkoban segalanya. Adakah dia meminta dilahirkan dalam keadaan tidak berbapa? Adakah dia pernah meminta wang berlebihan daripada emak sehingga emak terpaksa melacurkan diri? Adakah dia meraung meminta seorang ayah sehinggakan emak terpaksa mencari skandal untuk memberikan dia ayah baru? Adakah itu definisi ‘berkorban’ pada emak? 

Tidak! Widad tidak pernah meminta lebih daripada yang termampu mak bekalkan dengan gaji yang halal. 

Pernah suatu masa, Widad menganggap mak terpaksa. Widad mencari jalan supaya mak boleh berhenti melacur. Dia mengambil upah mencuci pinggan di kedai makandengan harapan, dia mampu beroleh duit untuk menyara emak. Dia berharap emak boleh keluar dari kancah hina itu. Tetapi tidak! Emak memilih jalan mudah. Jalan yang boleh mendapatkan wang dengan mudah. Itukah yang mak panggil pengorbanan? 

“Kenapa aku?” soal Widad sambil mengesat air matanya. 

Ustazah Solehah pernah memberitahu murid-murid semasa kelas Pendidikan Islam, ALLAH menguji kerana ALLAH sayang. ALLAH menguji umat-NYA yang kuat. Dia tahu umat itu mampu menghadapinya. 

Kuatkah dia? Perlukah dia menjadi lemah supaya dia berhenti diuji? 

Widad mengerekot di atas lantai, membiarkan air mata bertali arus menuruni lurah pipinya. Dia pernah memikirkan pelbagai cara untuk menghentikan sakit itu. Paling mudah, dia boleh jadi pengecut dan menamatkan riwayat hidupnya sendiri. Tetapi apa yang dia dapat dengan cara itu? Ia jalan singkat ke neraka yang akan lebih menyeksakan. Jika melihat perwatakan emak, dia hanya akan terkenangkan anaknya yang sudah menjadi arwah sekali sekala. Atau emak akan menjadikan Widad alasan untuk terus lemas dalam kancah dosanya. 

Jalan kedua adalah menyertai emak melalui jalan hitam yang dipilihnya. Adakah emak akan menyesal jika melihat Widad memilih jalan yang sama? Mungkin tidak.Mak mungkin lebih seronok kerana beroleh lebih duit dengan business memperdagang anak sendiri. Bahkan pilihan itu hanya merosakkan masa depan Widad sendiri. 

Jika dia tidak sempat bertaubat sebelum mencapai titik akhir hidupnya, barangkali sekali lagi dia akan menempa tiket ke neraka. Dia juga berisiko mendapat penyakit sexual transmitted infection seperti sifilis, HIV dan AIDS yang cukup mengaibkan dan menyakitkan. 

Setelah menimbang segala opsyen yang dimilikinya, satu-satunya formula yang ditemui Widad untuk keluar dari situ adalah memecahkan kitaran hitam keluarganya. Arwah nenek menjadikan emak mangsa. Mangsa akhirnya bertukar menjadi pemangsa. Emak melayaninya seperti nenek melayani emaknya suatu masa dulu. 

Jadi, dia harus memecahkan rantaian kehidupan mereka. Dia tidak mahu menjadi seperti emak. Tanpa kapital mahupun kasih sayang dan perhatian, dia hanya boleh bergantung pada keupayaannya sendiri. Widad tidak mempunyai tenaga besar seperti Soleiman. Satu-satunya aset yang dimiliki hanya otaknya. Maka jalan yang dipilih adalah untuk mencari ilmu. 

Widad mengangguk. Fikiran ditarik pulang kelandasan rasional. Mungkin ini yang dirasakan emak suatu ketika dulu, sewaktu dia menumpang di bawah kepompong kasih yang lompong pemberian neneknya. Maka, Widad tidak boleh membiarkan dirinya lemas dalam perasaan yang sama. Dia tidak mahu tewas di dalam ‘victim mindset’. 

ALLAH suruh manusia berusaha sebelum berdoa dan bertawakal. Nasib seseorang manusia takkan berubah jika manusia itu sendiri tidak cuba mengubahnya. Dan Widad belum habis berusaha. 

Tangannya yang masih terketar-ketar dipaksa untuk menyokong tubuh kurusnya bangun dan duduk. Nota-nota di depannya diletak mengikut turutan bab-bab dalam buku teksnya. Dia perlu jadi yang terbaik. Berdiri dalam kalangan yang terbaik tidak cukup baginya. Dia tidak mempunyai ekosistem yang baik untuk menyokong dirinya. 

Jadi, dia perlu menjadi lebih baik daripada yang terbaik. Kuota untuk mendapatkan biasiswa hanya sedikit.Dia tidak mempunyai sebarang kabel atau jalan pintas untuk menempa tempat secara percuma. 

Widad menyapu sisa air mata yang melekat di pipinya.Ya, dia perlu berusaha. Dia tidak boleh menutup satu-satunya jalan keluar yang dimilikinya ketika itu.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.