Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
137,488
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 18

SEJURUS keluar dari lif, Miya berlegar-legar di kawasan koridor. Dia masih mencari jalan bagaimana mahu menyembunyikan jaket milik Arash itu. Andai Ain ternampak, masak dia kena soal siasat dengan gadis itu. Apa pun jawapan dan alasan yang dia beri, belum tentu dapat memuaskan hatinya.

Lebih lima minit juga dia memerah otak, sebelum mendapat ilham cara menyorok jaket tersebut. Sejenak dia menarik nafas sebelum menuju ke apartmennya.

Perlahan-lahan Miya membuka pintu gril, tetapi tidak terus menguncinya dengan mangga. Dia tidak mahu Ain menyedari kepulangannya. Tanpa sebarang bunyi, dia membuka pintu almari kasut pula. Kemudian membuka salah satu kotak kasut miliknya dan mengeluarkan kasut yang jarang dia pakai. Jaket milik Arash dilipat kemas dan disimpan dalam kotak itu. Kasut yang dia keluarkan tadi dia letakkan atas kotak tersebut. Selesai masalah dia!

Setelah mengunci pintu gril, dengan tenang Miya membuka pintu utama pula. Kelihatan ruang tamu telah gelap, selamat dia malam ini.

Baru sahaja dia mengunci pintu,tiba-tiba lampu terpasang. Memang si Ain ini mengotakan janjinya mahu menunggunya sehingga dia balik.

“Hai!” tegur Ain dengan senyuman manisnya.

“Ingatkan kau dah hanyut ke LautanHindi!” perli Miya bersahaja.

“Aku hanya akan lena selepas dengar cerita dari kau. Seronok berdating dengan jejaka idaman?”

“Eh,sejak bila pulak dia jadi jejaka idaman aku?”

“Sejak bila ya? Hmm… sejak hati berdetak seribu rasa." Ain main bantai sahaja.

Tiba-tiba Miya terbersin sebaik terkena angin kipas meja yang Ain pasang.

“Masa balik tadi, si Arash tak payungkan kau ke?” tanya Ain yang menyedari di luar sana masih renyai meskipun tidak selebat ketika mula-mula hujan turun.

“Huh! Kalau dia nak payungkan pun, aku tak ingin.” Laju sahaja Miya menjawab pertanyaannya.

“Kalau aku jadi dia, sampai ke depan pintu aku hantar kau.”

“Dia tu bukannya gentleman,sikit lagi nak jadi gila man!” kutuk Miya.

“Tak kisahlah. Macam mana first date kau?”

“Apa lagi? Makan ajelah sampai kenyang,” jawab Miya selamba.

Sememangnya itulah yang dia lakukan sepanjang berada di restoran bersama Arash. Makan,makan dan makan lagi! Selesai menjamu nasi beriani, sengaja dia memesan roti nan dan ayam tandoori pula. Orang stres sentiasa berasa lapar, tetapi hanya sedikit yang dia sentuh. Peliknya si Arash itu tidak kisah pula berkongsi makanan dengannya. Kalau tidak, membazir sahaja.

“Tak ada sesi meluahkan perasaan kasih ke, cinta ke…” usik Ain.

“Kau ni kan, tak habis-habis nak mengarut. Kau ajelah yang bercinta dengan dia!”

“Okeylah, memandangkan dah larut malam, aku pun tak nak paksa kau. Nanti jangan lupa makan panadol. Kau tu bukan boleh terkena hujan. Kalau demam, aku jugak yang susah,” pesan Ain.

“Insya-ALLAH aku takkan demam,” balas Miya kemudian berlalu menuju ke biliknya.

Dia mahu segera mendirikan solat isyak dan terus tidur. Gara-gara Arash, tanpa sengaja dia telah melewatkan solat isyak pula. Baru bercita-cita mahu menjadi muslimah soleha, dah terbuat amalan yang tidak elok. Andai ibunya tahu, memang awal-awal lagi telinganya sudah kena piat.

 

 

KEESOKAN paginya, Miya berasa kepalanya amat berat. Apa yang Ain risaukan, terjadi juga. Badan terasa panas dan sekali-sekala batuk memang melemahkan tubuhnya. Dalam kepayahan dia tetap gagahkan diri menunaikan solat subuh, kemudian bercadang mahu sambung tidur.

Sebelum itu, dia sempat juga menghantar whatsApp kepada Kak Jasmin. Dia dah tak larat dan terpaksa mengambil cuti kecemasan. Kononnya pada pukul sepuluh nanti mahu ke klinik berhampiran.

Sudahnya menghampiri pukul dua belas tengah hari baru dia tersedar dari lena. Itu pun sebab terdengar loceng rumahnya berbunyi berkali-kali.

Dalam keadaan mamai, Miya bangun dari pembaringan. Perlahan-lahan dia menuju ke pintu utama.Ketika mengintai siapa yang datang, dia sedikit terkejut apabila menyedari Kak Jasmin yang datang melawatnya.

“Kak Min, masuklah,” pelawanya ketika membuka pintu.

“Ni dah pergi klinik ke belum?” tanya Kak Jasmin sambil meletak tangannya di dahi Miya.

“Belum…”

“Astagfirullahalazim…bila nak perginya? Panas badan Miya ni,” tegur Kak Jasmin. Kerisauan jelas kelihatan pada wajahnya.

“Kena tunggu Ain balik la. Nak jalan pun tak larat, apatah lagi nak memandu.”

“Ada makan ubat demam tak?”

“Saya makan panadol aje.”

“Jangan biasakan sangat makan panadol, tak baik untuk kesihatan.”

“Itu aje pun cara paling cepat nak sembuh,” Miya beralasan.

“Ni akak ada bawakan bubur nasi. Lepas makan nanti, boleh cuba madu tualang ni,” beritahu Kak Jasmin sambil meletakkannya di atas meja kopi.

“Susahkan akak aje.” Miya berasa serba salah pula dengan keprihatinan wanita itu.

“Alah,akak tolong hantarkan aje pun. Madu ni bagus untuk redakan batuk dan memberi tenaga.”

“Tapi saya batuk sikit aje.”

“Kalau orang tua suruh makan, jangan nak membangkang. Akak tak nak demam dan batuk Miya tu melarat. Karang ada yang risau.”

“Okeylah nanti saya makan.”Miya terpaksa menurut apabila Kak Jasmin sudah kata begitu. Faham sangat siapa yang wanita itu maksudkan.

“Malam tadi korang pergi mana? Takkan berdating sampai main hujan?” tanya Kak Jasmin sambil tersenyum simpul.

“Dia bagitau akak ke?” Teruk betul si Arash ni! Kutuk Miya dalam hati.

“Satu ofis mencari korang berdua. Arash tak masuk mesyuarat, Miya pulak ambil cuti kecemasan. Kelam-kabut jadinya.” Beria-ia Kak Jasmin beritahu, padahal suasana di pejabat tenang dan damai sahaja.

“Dia pun demam jugak ke?”

“Tu yang akak pelik. Boleh pulak dua-dua serentak demam. Susah akak nak menjawabnya bila ada yang bertanya. Terutama si Syikin tu.”

“Akak ada cakap apa-apa kat dia ke?” Tiba-tiba Miya berasa gelisah.

“Tak payah risau, pasal Arash  dengan Miya tiada siapa yang tahu. Takkan Miya tak kenal akak?”

“Huh,nasib baik!” Miya berasa lega sangat dengan penjelasan wanita itu.

“Sebenarnya akak tak boleh lama. Nanti pandai-pandailah Miya jaga diri sendiri,” pesan Kak Jasmin yang mahu segera beredar.

Tadi,dia terpaksa juga mengikut permintaan Arash semata-mata tidak mahu menghampakannya.Padahal dia ada banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Kalau nak minta tolong orang lain, takut bertebaran pula gosip Miya dengan Arash. Itu yang cuba dia elakkan.

“Terima kasih Kak Min,” ucap Miya ketika menghantar wanita itu ke pintu.

“Miya patut ucap terima kasih kat orang tu. Tahu aje Miya tak sihat dan ambil cuti kecemasan, terus dia carikan bubur dan madu tualang tu!”

“Bukan tadi akak kata dia demam jugak ke?”

“Dia tu demam lain, tapi kira demam jugaklah. Demam rindu…” Kak Jasmin terus tertawa di hujung bicara.

Miya terpaksa menahan segan di hadapannya.

“Nanti tolong tanyakan berapa saya perlu bayar untuk madu dan bubur tu.”

“Tak payah bayar apa-apa. Cukuplah kalau sudi sambut dan balas cinta orang tu.” Selamba sahaja Kak Jasmin melontarkan kata.

Miya bertambah segan dengannya.

“Akak pergi dulu,” ucap Kak Jasmin sambil melemparkan senyuman.

Miya menutup pintu setelah wanita itu berlalu menuju ke lif. Bubur dan madu di atas meja lama dia pandang.Hendak makan, dia masih tiada selera menjamah sebarang makanan. Andai tidak menjamahnya, nanti tiada tenaga dan takut demamnya melarat pula. Akhirnya Miya terpaksa juga menghabiskan bubur tersebut.

 

MENJELANG petang, Miya beransur pulih. Sebenarnya sudah agak lama juga dia tidak jatuh sakit. Sesekali dia demam, memang sakit satu badan.

Ketika dia berehat di ruang tamu, telefonnya berbunyi.

“Miya dah okey?” tanya Kak Jasmin sebaik gadis itu menjawab panggilan.

“Alhamdulillah dah bertambah sihat. Betul kata akak, madu tu memang bagus untuk melegakan batuk dan memberi tenaga.”

“Dah madu istimewa, tentulah berkesan dan sangat mujarab,” balas Kak Jasmin.

“Mesti mahal harga madu tu.”

“Sudah tentu! Bersusah payah Ultraman Taro memanjat pokok tualang semata-mata nak mengambil madu di sarang lebah,” seloroh Kak Jasmin.

Miya terdiam. Sebenarnya dia mahu tergelak juga apabila nama adiwira itu yang Kak Jasmin sebut, tetapi terpaksa ditahan.

“Miya?”

“Ya, kak?”

“ Akak bukan nak memuji, tapi tak dinafikan Arash tu baik orangnya. Entah mimpi apa, bagai seorang abang dia bertanyakan khabar Miya. Siap whatsApp akak dan doakan Miya agar cepat sembuh. Mana nak dapat bos macam tu, kan?”

“Akak nak cakap apa sebenarnya?”

“Miya masih ragu-ragu dengan kejujuran dia, kan?” duga Kak Jasmin.

“Perkara ni bagi saya terlalu cepat kak. Tak sempat nak fikir, dia dah nak keputusan.”

“Lelaki ni, kalau dah suka memang macam tu. Lagipun perkara baik, memang patut disegerakan.”

“Saya memang tak boleh beri kata putus kak,” luah Miya. Sebuah keluhan turut dilepaskan.

“Kadang-kadang,pasal jodoh ni susah nak cakap. Ada yang bertahun bercinta pun tak kahwin jugak. Ada yang baru bertemu, tetapi dah ambil keputusan berumah tangga,” tutur Kak Jasmin.

“Apa nasihat akak?” Miya mahu padangan wanita itu dalam kes dia dan Arash.

“Kalau Miya tanya akak, memang akak sokong hubungan korang. Tapi terpulang pada Miya jugak. Akak hanya boleh beri pandangan dan kata nasihat. Andai ada jodoh, alhamdulillah. Akak pun turut tumpang bahagia.”

“Terima kasih kak sebab sudi berbual dengan saya,” ucap Miya.

“Dah, Miya jangan terlalu beratkan fikiran. Apa yang penting sentiasa jaga solat, banyakkan berdoa dan jaga kesihatan. Insya-ALLAH yang baik-baik akan datang pada kita.”

“Terima kasih sekali lagi kak.”

“Sama-sama. Sebelum terlupa,bos hanya bagi cuti sampai esok. Lusa pastikan diri tu sihat dan masuk kerja,”pesan Kak Jasmin.

“Okey…” Miya menjawab lemah.

Andai kata boleh, lusa juga dia hantar surat perletakkan jawatan. Tak sanggup dia berhadapan dengan Arash. Mengingatkan flying kiss yang masih tergambar di ingatan,tidak keruan hatinya!

 

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.