Home Novel Cinta NIKAH ASAL BOLEH!
BAB 6

BAB 6

Ella menyapu sampah-sampah daun rambutan yang gugur di halaman rumahnya. Unggun api dihidupkan. Sejurus selepas itu kaki Ella melangkah duduk di bawah pohon rambutan. Bau asap daun kering sungguh nostalgia, Ella mengimbau kenangan saat Mak Murni masih lagi ada di dunia ini. Bunyi burung –burung yang menyanyi di udara menghidupkan lagi suasana petang di Kampung Melati. Ella tersenyum sendirian.

“Ella!!!” Kuat jeritan Pak Sakor memanggil nama Ella. Terangkat sedikit bahu Ella dek terkejut. Badannya bingkas bangun dari kerusi yang diletakkan di bawah pokok rambutan hadapan rumahnya. Ella berlari masuk ke dalam rumah.

“Kenapa Pak?” Soal Ella sejurus sahaja masuk ke ruang tamu. Pak Sakor dengan selamba menonton TV di ruang tamu.

“Syaf berak. Pergi cuci.” Arah Pak Sakor bersahaja. Memang tak ubah seperti kuli. Masuk hari kedua Siti Syafa pulang ke rumah setelah terbaring di hospital selama seminggu, dan makin bertambahlah beban dalam hidup gadis yang bernama Ella Eddya.

“Haritu bapak cakap, biar Ella yang cari duit. Bapak yang jaga Syaf. Kenapa pulak Ella yang kena buat semua?” Soal Ella tidak berpuas hati. Pak Sakor memandang Ella yang sedang berdiri di hadapan pintu biliknya.

“Banyak cakap lah kau ni. Sekarang ni kau tak buat karipap pun kan? Dah jangan banyak cakap. Kau ingat aku tak tahu Pak Arun selalu bagi kau duit.” Balas Pak Sakor tidak mahu mengalah. Ella menghela nafas panjang. Ye! Sebab Pak Sakor ni pemalas! Nasib baik ada orang kampong yang sanggup nak tampung kos hidup Ella dan keluarganya. Nak harapkan jual karipap memang tak cukup.

“Bapak tak de rasa malu ke dengan orang kampong? Bapak suka tengok orang perli bapak, hidup atas ihsan orang lain. Sampai bila bapak nak macam ni?” Soal Ella. Soalan yang diulang berulang-ulang kali oleh Ella selama ni. Namun tak makan saman jugak si Pak Sakor ni.

“Aku tak mintak diorang tolong pun. Dah diorang sukarela nak bagi. Aku terima jelah. Kau tu patut fikir, macam mana nak cari duit. Aku ni dah tua. Orang macam aku ni patut merasa hasil gaji anak-anak” Balas Pak Sakor. Memang nak menang je kalau cakap dengan orang tua ni! Ella malas menyambung perbualan, kaki masuk ke dalam bilik. Semerbak bau najis Siti Syafa dalam pampers.

Siti Syafa memandang sayu muka kakaknya yang selama ini dihina secara halus. Alhamdulillah kesihatan Siti Syafa semakin membaik. Hanya kaki kirinya sahaja yang masih lumpuh. Tangan kirinya juga sudah mampu digerakkan sedikit.

“Apa tengok aku macam tu? Kau nak berterima kasih dekat kakak pungut kau ni?” Soal Ella. Sengaja memulangkan paku buah keras yang selama ini Siti Syafa lempar padanya.

“Syaf terfikir kalau Kak Ella tak de, sapa yang nak urus Syaf” Balas Siti Syafa ringkas. Ella sudah memapah tubuh gempal Siti Syafa duduk di atas kerusi roda.

“Ni ujian untuk kau, ingat! langit tak selalunya cerah. Sekejap je kalau Allah nak pusing balik. Kau jangan nak lemah-lemah sangat macam ni. Kau kena kuat kalau nak cepat sihat.” Sambung Ella. Kerusi roda di tolak keluar dari bilik. Pantas Pak Sakor yang duduk di ruang tamu menutup hidung.

“Cepat-cepat basuh! Busuk kau tahu tak!” Ucap Pak Sakor dengan nada lantang. Mengalir airmata Siti Syafa. Tak sangka, bapa yang selalu menjadi teman gurauan dan teman mengutuk Ella, kini geli melihat dirinya. Ella sengaja menghentikan kerusi roda di hadapan bilik.

“Sampai hati bapak buat Syaf macam ni. Syaf anak bapak” Ucap Siti Syafa sebak. Pak Sakor menoleh semula ke arah TV.

“Memanglah Syaf anak bapak. Bapak bukan marah Syaf. Bapak marah budak pungut ni. Lembab sangat buat kerja!” Tegas ayat yang ditutur oleh Pak Sakor.

“Ye bapak, Ella paham. Apa yang Ella buat selama ni masih belum cukup lagi nak balas semua jasa bapak kutip Ella, jasa bapak besarkan Ella.” Sampuk Ella bersahaja. Sejurus lepas itu kerusi roda ditolak menuju ke bilik air. Ella berwajah selamba, Siti Syafa pulak yang merembes dengan air mata.

Badan Siti Syafa di lap bersih oleh Ella. Sedari tadi, pipi Siti Syafa basah dengan airmata. Baru sedar pengorbanan yang dilakukan oleh kakaknya selama ni. Yelah! Selama ni kerja kau mengutuk je. Ella lambat masak sikit kau merungut! Sama macam bapak kau!

Tangan Ella dipegang Siti Syafa ketika mahu menyentuh bahunya. “Apa yang buatkan akak sanggup duduk dengan kami lagi? Akak boleh je pergi jauh dari sini. Akak pandai berdikari. Tapi kenapa akak masih lagi tahan dengan perangai bapak dan Syaf?” Soal Siti Syafa. Ella menyambung tugasnya. Mukanya dibiarkan bersahaja.

“Sebab aku dah anggap bapak tu, bapak kandung aku dan kau ni adik kandung aku. Senang cerita, sebab kau ni keluarga aku. Aku tak sanggup nak buang keluarga aku sendiri. Walaupun aku tahu, kau dengan bapak memang tak boleh terima aku.” Ella mengeluarkan isi hatinya. Siti Syafa diselubungi rasa serbasalah.

“Baru Syaf faham kenapa Allah uji Syaf dengan penyakit ni. Dia nak suruh Syaf sedar dengan apa yang Syaf pernah buat pada akak. Syaf nak akak terima kerja dengan kawan Mak Jenab cakap tu. Mungkin itu boleh ubah hidup akak. Sekurang-kurangnya akak dapat keluar dari rumah ni.” Ujar Siti Syafa ikhlas.

Ella masih malas untuk menghadam butiran yang keluar dari mulut adiknya. Daun pintu bilik air dikuak. Kerusi roda di tolak keluar dan masuk semula ke dalam bilik. Siti Syafa melihat tubuh bapanya yang sudah tertidur di ruang tamu. Baru dia sedar selama ini dia banyak sangat menyusahkan Ella. Ella mencari baju Siti Syafa yang tersusun di dalam almari. Setelah itu, baju dipakaikan ditubuh adiknya.

“Pasal Syaf dengan Bapak, akak tak payah risau. Syaf nak tengok sendiri, setakat mana rasa sayang bapak terhadap Syaf bila akak tak ada dalam rumah ni” Sambung Siti Syafa. Dia tahu, Ella tidak akan berganjak kemana-mana dari rumah ini disebabkan dirinya dan Pak Sakor. Sekarang ni si Syaf dah sakit pulak, mustahil Ella akan keluar dari rumah ni.

“Apa yang kau merepek ni Syaf? Apa tak cukup makan ke dengan gaji aku jual karipap tu?” Soal Ella bersahaja. Rambut Siti Syafa yang lebat disisir rapi.

“Ini je caranya Syaf nak tebus kesilapan Syaf. Syaf harap akak terimalah kerja dekat Kuala Lumpur tu. Gaji pun lumayan kak. Akak kan bercita-cita nak sambung belajar. Kalau betul bapak sayangkan Syaf, mesti dia akan cari kerja dan sara hidup kami. Akak jangan risaulah.” Ucap Siti Syafa lembut. Tak habis-habis meyakinkan Ella Eddya.

Ella duduk di birai katil, muka adiknya yang duduk di atas kerusi roda dipandang. “Aku mintak maaf kalau kau terasa dengan aku. Yelah, kadang-kadang aku teremotional, terlepas cakap, aku sayang dekat kau dengan bapak. Kau jangan risau, aku akan jaga kau sampai kau sihat…” Ayat Ella dipotong Siti Syafa.

“Jangan kak. Syaf tak berniat pun nak halau akak. Selama dua minggu ni, Syaf dapat tengok sendiri, akak sanggup bersusah payah demi Syaf. Akak sanggup habiskan duit simpanan akak demi adik tak guna akak ni. Sedangkan bapak hanya tengok je, sikit pun tak tolong. Sekarang Syaf merayu sangat-sangat dengan akak. Tolonglah terima kerja dekat KL tu.” Ucap Syafa bersama linangan airmata. Ella sedikit tersentuh dengan kata-kata adiknya. Tangan Siti Syafa digenggam Ella.

“Selama ni, Syaf cemburu dengan akak sebab mak selalu sayangkan akak. Sekarang baru Syaf nampak, sebab apa Mak terlalu sayangkan akak, sebab akak tak pernah membantah sedikitpun kalau mak suruh akak buat apa-apa.” Sambung Siti Syafa lagi. Ella yang ingin menitiskan airmata pantas ditahan semula.

“Hish kau ni, dah lah. Malas aku nak sedih –sedih ni.Tengok lah macam mana. Aku ada jugak terfikir nak kerja dekat situ, ada lah duit lebih sikit nak simpan, tapi…” balas Ella tak habis.

“Tapi? Syaf dengan Bapak kan? Tolonglah kak. Jangan fikir pasal kami. Malam nanti akak kemas baju semua, keluar malam-malam lepas bapak masuk bilik. Syaf merayu sangat-sangat dengan akak ni. Tolonglah!” Bersungguh Siti Syafa menuturkan isi hatinya. Mukanya dikerutkan memandang kakaknya.

Ella berdiri dan menghadap cermin di dalam biliknya. Kepalanya sendiri runsing. Tak yakin yang Pak Sakor akan menjaga Siti Syafa. Tapi peluang bekerja sebagai penjaga rumah di Kuala Lumpur tu berbaloi gajinya. Ella buntu.

“Tengoklah macam mana nanti. Bagi aku masa nak fikir dulu” Balas Ella bersahaja, jam di dinding menunjukkan pukul 6.30 petang. Ella menolak kerusi roda adiknya keluar dari bilik. Asyik terperuk dalam bilik je. Bosan!

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.