Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
109,155
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 20

“ARGHH!! Aku tak tahulah apa yang tak kena dengan aku?!” tingkah Rifdi Riyadh sambil meramas kepalanya menyebabkan rambutnya sedikit berkusut.

Arman dan Syahmi hanya memandang dia. Mereka hanya diam sahaja dari mula tadi melihat kelakuan lelaki itu. Mereka juga saling mengacah sesama sendiri untuk cuba bertanyakan hal yang terjadi kepada Rifdi Riyadh tapi masing-masing masih membisu.

“Err, Rifdi,” panggil Syahmi mengalah akhirnya dengan desakan Arman. Kawannya itu pun mengangkat wajahnya. Tampak kusut sekali wajahnya ketika itu. “Kenapa dengan kau ni sebenarnya?” tanya Syahmi.

“Aku...” belum sempat Rifdi Riyadh menjawabnya, sapaan salam mencelah antara mereka. Pantas sahaja salam yang diberi itu disambut.

“Eh, sorry! Aku lambat sikitlah. Ada hal pulak masa aku nak keluar rumah tadi,” ujar Fitri yang baru tiba. Rifdi Riyadh kelihatan lega sedikit dengan kehadiran kawannya itu.

“Ni kawan kaukah?” tanya Fitri merujuk kepada Arman dan Syahmi.

“Ha’ah, kawan aku dari universiti dulu. Korang kenal-kenallah sendiri,” ujar Rifdi Riyadh selanjutnya.

“Aik, boleh pulak macam tu,” sahut Arman bergurau. Tapi, mereka bertiga berkenalan sendiri juga.

“Fitri ni kawan dari sekolah menengah lagi,” beritahu Rifdi Riyadh kepada mereka berdua. Arman dan Syahmi hanya mengangguk sahaja mendengarkannya.

“Jadi... apa halnya kau ajak aku keluar tiba-tiba ni?” tanya Fitri ingin tahu.

Agak saat-saat akhir juga, ketika Rifdi Riyadh menghubunginya untuk mengajaknya keluar. Lelaki itu tidaklah memaksanya sangat tapi dari nada suaranya ketika itu seperti ada sesuatu yang membebankannya. Sebab itulah, Fitri lekas sahaja bersetuju untuk berjumpa.

“Aku nak tanya kau pasal kisah lama dulu,” ujar Rifdi Riyadh memulakan bicara tujuan ajakannya. “Pasal... aku, Feeza dan Nana.”

“Huh, kenapa pulak tiba-tiba saja nak tanya pasal hal tu?” Fitri langsung tak menduga soalan itu. Dia agak terkejut mendengarkannya. Pasti ada sesuatu yang berlaku antara mereka bertiga. “Sebab kau jumpa dengan Feeza balik hari tukah yang kau tanya ni?” duga Fitri lagi.

“Tak! Bukan sebab Feeza. Sebab...” Rifdi Riyadh sendiri agak berat untuk menyatakannya. “Sebab Nana,” akuinya.

Makin bertambah terkejutlah reaksi Fitri. Dia terus diam memandang kawannya itu. Biar betul saja dia ni?! Sebab Nana? Kalau sebab Feeza, aku fahamlah jugak tapi... Nana?! Kenapa pulak sebab awek yang dia bukan main benci tu pulak yang dia tanya balik pasal hal lama ni? Aku ingatkan dia sendiri pun dah lupakan semua ni. Pelbagai persoalan bermain di benak Fitri.

“Siapa Nana? Siapa Feeza?” laju sahaja Arman bertanya.

Dia cuba untuk menyampuk perbualan mereka tapi hatinya begitu mendesak sekali untuk mengetahuinya. Jarang sekali untuk kawannya itu terlibat dengan mana-mana perempuan. Sebab itulah dia tertarik untuk mengetahuinya bila dua nama perempuan itu disebut dalam perbualan mereka.

“Fitri... kau ceritalah kat dorang. Aku pun dah tak tahu macam mana nak ceritakan,” pinta Rifdi Riyadh. “Lagi pun, manalah tahu kalau pendapat dorang ni nanti bernaskah?”

“Eh, boleh saja! Aku memang suka bab-bab bergosip ni,” sahut Fitri. Arman dan Syahmi tertawa kecil mendengarkannya.

“Banyaklah kau punya gosip! Kisah benar tau,” sempat juga Rifdi Riyadh bergurau.

Selepas itu, Syahmi pun menceritakan kisah yang sebenarnya terjadi di antara Rifdi Riyadh dengan gadis yang dipanggil Feeza dan Nana itu. Arman dan Syahmi tekun mendengarkannya. Fitri juga bersemangat sekali menceritakannya. Rifdi Riyadh hanya diam sahaja. Dia juga turut terkenangkan kembali kisah lama itu.

Imbas kembali: Zaman persekolahan

RIFDI RIYADH duduk bersendirian di tepi kolam ikan sekolahnya. Dia sedang menunggu seseorang. Ketika itu dia terleka sedikit melihat ikan-ikan koi di dalam kolam itu. Penat berdiri, dia pun duduk di bangku berdekatan situ juga.

Dalam masanya bersendirian itu, dia cepat sahaja terkenangkan hal-hal yang lepas. Yang paling kuat bermain di ingatannya ketika itu adalah seorang gadis yang bernama Hafeeza. Tak sangka pertemuan ringkas antara mereka setahun yang lalu membibitkan perasaan yang begitu membuai indah di dalam hatinya.

Kini, sudah hampir setahun dia bercinta dengan gadis junior itu. Dia kini pun sudah berada di tingkatan 6 atas. Ini adalah tahun terakhirnya di sekolah itu. Dia berharap yang hubungannya dengan Hafeeza akan berterusan walaupun setelah dia tamat persekolahan nanti.

“Mana orang yang nak jumpa aku ni? Dorang ni main-mainkan aku ke?” Rifdi Riyadh bertanya sendiri bila waktu yang dijanjikan telah melepasi 10 minit.

Sorry! Lambat sikit!”

Rifdi Riyadh pun berkalih memandang gadis yang baru tiba itu. Dia mengerutkan dahi memandang gadis itu. Bukannya dia tak kenal dengannya. Malah lebih dari kenal lagi. Gadis itu adalah antara pelajar yang nakal dalam senarainya.

“Kau yang nak jumpa dengan aku? Apasal nak jumpa aku?” tanya Rifdi Riyadh agak kasar.

“Sebab ada hallah,” jawab Auni Liyana sambil tersenyum.

“Yalah. Beritahu cepat sikit apahalnya yang kau nak jumpa aku ni. Dan kalau boleh, ringkaskan sebab aku tak mahulah pulak berlama-lama dekat sini dengan kau,” balas Rifdi Riyadh. Gadis itu hanya tersenyum sahaja memandangnya.

“Urm... pasal Feeza,” ujar Auni Liyana. Kali ini, Rifdi Riyadh turut berminat dengan apa yang ingin dikatakannya.

“Kenapa dengan awek aku tu?!” pantas sahaja Rifdi Riyadh bertanya. Khuatir pula jika ada sesuatu yang buruk berlaku kepadanya.

“Jangan risau! Dia okay sajalah,” pantas Auni Liyana memberitahu. Barulah seniornya itu kelihatan tenang kembali. “Cuma... ada sesuatu pasal dia yang Nana perlu beritahu.”

Rifdi Riyadh sabar menanti bicara seterusnya. Agak tertarik juga dia dengan perbualan mereka ketika itu. Auni Liyana menarik nafas dalam cuba mencari kekuatan untuk meluahkannya.

“Feeza tak macam apa yang awak fikirkan,” ujar Auni Liyana.

“Apa maksud kau?”

“Selama ni... dari mula lagi perkenalan awak dengan dia lagi. dia tak pernah jujur dengan awak. Dia tipu awak dari mula lagi,” beritahu Auni Liyana.

Rifdi Riyadh mencebik mendengarkannya. “Apa yang kau cuba nak sampaikan ni? Kau nak beritahu aku yang dia curang dengan aku? Yang dia tikam aku dari belakang selama ni?” semakin menipis kesabarannya ketika itu.

“Tak! Feeza tak pernah curang dengan awak. Dia agak setia dengan awak cuma... dia tak pernah jujur dengan awak dari mula lagi,” tingkah Auni Liyana.

“Okay! Kau beritahu aku sekarang. Apa yang dia tak jujurnya dengan aku? Apa yang dia tipu aku dari mula lagi?” tanya Rifdi Riyadh lagi. Dia memandang tajam gadis itu.

Auni Liyana diam sahaja. Dia turut memandang lelaki itu. Tegas pandangannya. “Boleh Nana tanya sesuatu?” pintanya kemudian.

“Hemm!”

“Kalau awak tahu yang dia memang tipu awak selama ni, awak boleh maafkan dia ke?” duga Auni Liyana.

“Terpulang. Tengok jugaklah apa yang dia tipu aku,” balas Rifdi Riyadh. Dia makin rimas dengan perbualan itu. Tak pasti hala tujunya.

“Contohnya?”

“Kan aku dah cakap terpulang! Aku pun tak pastilah sebab selama ni tak pernah pulak ada orang beritahu aku yang dia ada tipu aku. Kau ni kiranya orang pertamalah cakap macam ni dengan aku,” selar Rifdi Riyadh.

“Walaupun sikit, takkan awak tak boleh bagi contoh situasi yang memang awak tak boleh maafkan?” tanya Auni Liyana lagi perihal yang sama.

Rifdi Riyadh mendengus mendengarkannya. Dia diam memikirkannya. “Kalau dia curang dengan aku atau...” hanya satu situasi sahaja yang mampu difikirkannya. Dia sendiri juga tak tahu lagi.

“Buku,” sebut Auni Liyana.

“Apa?! Buku? Buku apa?”

“Buku yang temukan awak dengan dia,” beritahu Auni Liyana.

“Oh, buku tu! Kenapa dengan buku tu pulak?” Rifdi Riyadh makin pelik dengan soalan gadis itu.

“Buku tu bukan milik dia,” akui Auni Liyana akhirnya. “Kalau awak tanya kawan-kawan sekelas dia masa tingkatan 3 dulu. Pasti ada yang akan beritahu pasal hal yang sebenar. Walaupun tak ramai yang tahu pasal buku tu tapi masih ada yang tahu. Buku tu bukan dia punya. Dan... dia pun bukan seorang yang pandai melukis,” sambung gadis itu. Kata-kata akhirnya sengaja diperlahankan nadanya.

“Apa maksud kau buku tu bukan buku dia? Tak mungkin dia nak tipu aku pulak? Sebab masa tu, aku tak kenal lagi dengan dia. Jadi, dia tak ada sebab nak tipu aku macam tu,” tingkah Rifdi Riyadh.

“Sebab tulah dia tipu,” balas Auni Liyana ringkas.

“Maksud kau?!”

“Sebab dia tak kenal dengan awak. Jadi, dia nak berkenalan dengan awak. Terus terang cakap, ramai awek-awek dekat sekolah ni yang mengidamkan awak jadi pak we dorang termasuklah Feeza. Dia nampak peluang tu dan dia pun rebut sajalah,” jelas Auni Liyana.

Rifdi Riyadh terdiam memikirkannya. Berkali-kali fikirannya menafikan semua yang dikatakan gadis itu. Tak mungkin gadis selembut Hafeeza mampu menipunya sedemikian rupa.

“Kenapa? Takkan sebab sebuah buku awak tak boleh maafkan dia?” sengaja Auni Liyana menduga.

“Aku tak fahamlah dengan kau ni! Kau nampak macam saja nak buat aku clash dengan dia pada mulanya. Tapi lepas tu, kau cakap macam ni pulak! Apa tujuan kau sebenarnya, hah?!” sergah Rifdi Riyadh. Dia makin runsing memikirkan semua itu.

“Sekurang-kurangnya, sebelum awak tamatkan persekolahan dekat sini. Nana nak awak tahu hal yang sebenarnya. Dan walaupun dia tipu awak dari mula awak kenal dia dulu. Selagi awak boleh maafkan dia, tak ada masalah kan? Nana bukannya nak buatkan awak clash dengan dia. Cuma nak beritahu awak hal yang sebenarnya. Apa pun keputusan awak, tu terpulang dekat awak,” jelas Auni Liyana.

“Kenapa baru sekarang kau nak beritahu aku kalau kau tahu dari awal lagi? Entah betul atau tak cerita kau ni?” tanya Rifdi Riyadh pula. Dia tak mempercayai sepenuhnya apa yang disampaikan gadis itu.

“Kan Nana dah beritahu alasan Nana,” balas Auni Liyana ringkas.

“Aku nak tahu alasan yang sebenarnya,” desak Rifdi Riyadh.

“Alasan yang sebenarnya pun... awak dah tahu jugak,” sengaja dia bermain kata dengan lelaki itu. Rifdi Riyadh mengerutkan dahi memandangnya kurang mengerti akan maksudnya.

“Sebab Nana sukakan Rifdi,” sepatah itu laju sahaja meniti di bibirnya.

Rifdi Riyadh tampak tenang mendengarkannya. Dia memang sudah lama mengetahuinya. Sebab itulah, dia sekadar mencebikkan bibirnya. “Kau masih tak boleh lupakan perasaan kau tu ya? Kan aku dah beritahu kau yang aku tak boleh terima kau,” perlinya.

“Ya! Nana tahu. Dan Nana pun pernah beritahu Rifdi yang Nana tak harapkan apa-apa dari Rifdi,” balas Auni Liyana. Dia kedengaran tenang sekali menuturkannya. “Sebab perasaan ni milik Nana. Dan Nana ada hak untuk sukakan Rifdi. Apa yang Rifdi rasa, tu terpulang dekat Rifdi. Walaupun perasaan kita tak sama tapi Nana tak kisah. Sebab berjumpa dan mengenali Rifdi adalah sebahagian dari perkara terbaik dalam hidup Nana,” sambung gadis itu.

Rifdi Riyadh mengetapkan bibirnya. Kata-kata itu mengusik hatinya. Dia memandang wajah gadis di hadapannya itu. Bagaimana gadis itu boleh tenang melafazkan semua itu? Dan kenapa lafaznya kedengaran jujur dan ikhlas? Seperti menarik hatinya untuk memahami perasaan yang sama itu. Ketika pelbagai andaian yang menariknya kepada Auni Liyana mula bermain di fikirannya, pantas sahaja dia menepis semua itu. Dia tak mahu berlaku curang dengan Hafeeza.

“Aku ada hal lain. Aku pergi dulu,” pinta Rifdi Riyadh kemudiannya. Tak betah untuk dia berlama di situ. Laju sahaja langkah dia beredar dari situ.

“JADI... lebih kurang macam tulah ceritanya,” ujar Fitri mengakhiri ceritanya. Arman dan Syahmi hanya mengangguk-angguk sahaja memahami cerita itu. Rifdi Riyadh juga masih diam.

“Tapi... tak lama lepas tu, aku clash jugak dengan Feeza. Entahlah, sebab apa yang Nana pernah katakan tu banyak menganggu fikiran aku. Lepas tu, adalah satu kejadian yang berlaku yang betul-betul buatkan aku tak boleh maafkan dia,” tambah Rifdi Riyadh kemudiannya. Dia diam seketika mengimbas kembali kenangan lalu itu.

“Kejadian apa?” tanya Syahmi tak sabar untuk tahu.

“Nana memang jadi punca aku clash dengan Feeza. Dia ugut Feeza untuk bencikan aku. Feeza tu seorang perempuan yang lembut. Jadi dia lemah dengan ugutan tu semua. Tapi... aku tahu jugak semuanya sebab secara tak sengaja aku dengar dorang gaduh. Lepas tu, barulah aku tahu cerita yang sebenarnya. Dan aku rasa apa yang Nana beritahu aku sebelum tu pun, rasanya bohong saja. Sebab tulah aku tak boleh maafkan dia,” cerita Rifdi Riyadh. Lagi.

Fitri hanya diam sahaja mendengarkannya. Dia mengeluh perlahan. Rifdi Riyadh sekadar mengerling sahaja memandang kawan sekolahnya itu. “Tapi... tu semua cerita lama. Bila difikirkan balik pun, aku rasa apa yang jadi tu cuma kenangan lama saja. Cuma satu saja kesan dari kenangan tu yang aku tak boleh lupa. Aku tak boleh maafkan Nana,” sambungnya lagi.

“Sampai hari ni? Kau masih tak boleh maafkan Nana?” duga Arman.

“Err... hemm,” hanya itu terluah dari mulut Rifdi Riyadh.

“Hemm, okaylah! Habis tu, apa masalah kau sekarang?” tanya Fitri yang diam dari tadi.

“Tulah masalahnya! Aku sepatutnya bencikan dia dan aku tahu yang aku memang bencikan dia lagi tapi... tak tahulah macam mana nak nak kata,” dengus Rifdi Riyadh. Makin pusing pula fikirannya ketika itu.

“Apa yang kau tak tahunya?” celah Syahmi pula.

Rifdi Riyadh mengeluh seketika. Agak berat untuk dia menceritakan perihal rancangan mamanya kepada mereka tapi dia terpaksa juga jika dia mahukan pendapat mereka. Jadi, dia pun menceritakan pertemuannya dengan gadis itu beberapa hari lepas.

Arman dan Syahmi saling berpandangan setelah selesai mendengar cerita itu. Fitri pula tersenyum nipis sambil tersandar ke kerusinya. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja. Langsung tak diduga, begitu kuat jodoh pertemuan di antara kawannya itu dengan Auni Liyana.

“Jadi kau nak buat apa sekarang?” tanya Syahmi.

“Aku tak tahu! Yang pastinya, aku terpaksa ikut jugak rancangan mama aku tu,” balas Rifdi Riyadh.

“Kalau macam tu, ikut sajalah. Manalah tahu, kalau kau memamg berjodoh ke dengan Nana tu. Lagi pun... entahlah. Dari apa yang Fitri dan kau ceritakan pasal kisah lama kau ni. Aku tak dapat nak bencikan Nana tu. Aku rasa macam ada yang tak kena. Ada yang tak lengkap dengan cerita kau ni. Aku rasa macam Nana tu... mangsa keadaan,” ujar Arman memberikan pendapatnya.

“Nana tu memang mangsa keadaan pun,” akui Fitri.

“Apa maksud kau?” pantas sahaja Rifdi Riyadh bertanya.

Fitri terdiam seketika. Dia mengetapkan bibir kerana terlanjur bicara begitu. Dia masih lagi diam mengatur bicaranya di dalam hati. Kemudian, dia tersenyum nipis. “Yalah. Dia kan sukakan kau. Maksud aku, kiranya dia tu... cuma tersilap langkah sebab perasaan tu. Dalam situasi macam tu, semua orang jadi mangsa keadaan,” ujar Fitri memberi alasan.

“Kau tak pernah terfikir ke yang... mungkin kau dah tak bencikan lagi Nana tu?” tanya Syahmi. Rifdi Riyadh diam mendengarkannya. “Mungkin kau dah terbiasa dengan perasaan tu bila berdepan dengan dia. Mungkin benci kau tu, cuma dekat mulut saja. Bukan dekat hati,” sambung Syahmi memberi pendapatnya pula.

Arman dan Fitri terus memandangnya. Mereka diam memikirkan kata-katanya. Ada betul jugak kata-kata Syahmi itu. Rifdi Riyadh juga turut terdiam sambil mengerutkan dahinya. Agak logik pendapat itu tapi adakah kemungkinan itu? Dia bertanya sendiri di dalam hatinya.

“Apa kata kau cuba ubah sikap kau bila berdepan dengan dia? Kau anggap saja pertemuan kau dengan dia nanti sebagai pertemuan yang pertama. Anggap saja dia tu gadis pilihan mama kau,” cadang Syahmi.

“Aku pun setuju jugak dengan Syahmi!” sahut Arman.

“Tapi... paling penting! Kau kena tanya betul-betul hati kau. Apa sebenarnya perasaan kau dekat Nana? Kau yang pegang jawapan tu. Kami semua tak boleh jawabkan untuk kau. Kami cuma boleh tolong bagi nasihat saja,” tambah Fitri pula.

Rifdi Riyadh masih lagi diam. Tapi dia menimbangkan juga pendapat-pendapat kawannya itu. Tak salahkan mencuba? Mungkin hatinya akan lebih tenang kalau dia tahu rasa hatinya yang sebenar. Walaupun, mungkin rasa itu masih lagi rasa yang sama iaitu benci. Tapi sekurang-kurangnya, dia dapat memastikan yang itulah perasaan sebenarnya terhadap gadis itu.

“Okay semua! Jom kita berdoa,” ajak Fitri memecahkan kesunyian itu. Rifdi Riyadh hanya mengerutkan dahi memandangnya. Arman dan Syahmi pula sudah mula tersenyum geli hati. Mereka bertiga sama-sama menadahkan tangan.

“Ya ALLAH ya Tuhanku... KAU permudahkanlah urusan kawan kami ni. Semoga hatinya terbuka untuk memaafkan Nana. Semoga benci di hati dia bertukar sayang. Dan... semoga terjalin jodoh yang berkekalan di antara dua insan ini,” doa Fitri. Arman dan Syahmi mula tertawa kecil.

“Amin!!” serentak mereka bertiga mengaminkan doa itu.

“Kurang asam korang!” tingkah Rifdi Riyadh. Terus sahaja dia menumbuk lengan Fitri di sebelahnya tapi tidaklah sekuat mana. Mereka bertiga masih terus ketawa. Sedangkan Rifdi Riyadh terus masam mencuka. Berkali-kali dia menafikan harapan itu. Tak mungkin dia dan gadis itu punya masa depan bahagia bersama.
Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati