Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
14,138
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12


     Sejurus selesai sahaja, sesi penyampaian hadiah, aku terus berjalan tergesa-gesa keluar ke belakang dewan ditemani oleh Das. Jam di tanganku menunjukkan angka 3.30 petang. Rakan-rakan peserta kursus yang lain masih lagi berada di dalam dewan. Tambahan pula, para fasiltator memang menyuruh semua peserta untuk tunggu sebentar bagi memberi peluang buat mereka untuk memberikan taklimat ringkas bagi acara persembahan pada malam ini. Tak sabar rasanya duit ini berpindah tangan kepada Datin Anita. Aku mahu dia tahu bahawa aku adalah seorang yang tidak suka memungkiri janji. Aku membuka kunci pada papan kekunci telefon Nokia C3 milikku untuk menghantar pesanan ringkas kepada wanita itu.

     'Assalamualaikum..datin. Saya ingin melunaskan bayaran ganti rugi itu kepada datin. Saya menunggu di ruangan belakang dewan' begitulah bunyi pesanan ringkas yang kuhantarkan kepada wanita itu. Notifikasi pesanan itu ku semak telah pun berjaya dihantar. Selang beberapa minit kemudian, nada dering berbunyi menandakan ada pesanan ringkas masuk ke dalam peti pesanan ringkas telefonku.

     'Waalaikumussalam. See me at my car' wanita itu membalas. Pulak? Tunggu kat kereta dia pulak. Tak apalah. Setelah memberitahu kepada Das akan hal itu, kami bergerak mencari-cari kereta mewah miliknya. Pasti masih terparkir di sekitar dewan. Aku merapati pintu kereta mewah itu sebaik sahaja menyedari kereta mewah milik wanita itu berada di situ. Wanita itu yang menyedari akan kehadiranku segera keluar dari perut keretanya dan berdiri tegak di hadapanku. Jaraknya yang sangat dekat denganku menyebabkan haruman yang dipakainya menusuk ke hidungku. Ya. Bau yang sangat aku kenali. Wangian Burberry Brit EDT yang turut menjadi pilihanku hari ini. Sempat lagi aku menikmati haruman itu seketika. Wanita itu juga sepertinya berkelakuan sama denganku. Mungkin dapat mengesan bauan yang sama hadir dari tubuhku lantaran kami berdiri dengan jarak yang sejengkal ini.

     "Datin, ini duitnya. Tapi, dalam ni hanya ada RM2000 sahaja. Saya janji akan melunaskan Rm2000 lagi secepat yang mungkin," wanita itu menyambut huluranku. Dia tidak terus membuka sampul kuning berisi duit yang telah kuserahkan kepadanya tadi.

     "Bila?" tanya wanita itu lagi. Tiada ucapan terima kasih yang terucap namun hanya pertanyaan pendek yang diajukan kepadaku. Bila? Bila aku akan melunaskan duit yang selebihnya maksudnya? Aku cuba menangkap maksud di sebalik pertanyaan itu.

     "Majlis pertunangan anak saya cuma tinggal 4 hari lagi," ujar wanita itu.Oh, itu maksudnya. Jadi Kak Erra dan Encik Kacak akan bertunanglah dalam masa 3 hari lagi. Patutlah, Minah Ketak disuruh oleh Encik Kacak supaya tidak lagi terlibat dengan kursus ini. Mungkin memberikan ruang padanya bagi membuat persediaan pertunangan itu. Bertuah betul Minah Ketak, kataku di dalam hati. Jadi, apakah aku hanya diberikan masa dalam 4 hari sahaja untuk melunaskan wang yang selebihnya? Aku mula berteka-teki. Aku mula teringat akan Encik Shark. Tawaran penjualan 10 000 unit perfumes itu. Mungkinkah aku mampu melaksanakannya dalam masa 4 hari sahaja? Mustahil kedengarannya.

     "Insya Allah, secepat mungkin saya akan membayarnya," ujarku bersungguh-sungguh. Wanita yang mengenakan solekan tipis itu kemudiannya merenungku. Kenapa? Adakah dia ragu-ragu dengan janjiku?

     "Saya nak awak tetapkan bila. Saya mahukan duit itu sebelum majlis itu berlangsung," katanya lagi. Nada perlahan tapi tegas. Hmm... bila ya? Aku sendiri pun tidak tahu bila. Tanganku menyiku bahu Das yang diam sedari tadi. Mungkin Das boleh memberikan pendapatnya. Das kelihatan kebingungan juga, tidak tahu untuk memberikan jawapan.

     "So,bila?" tanya Datin Anita lagi apabila aku masih diam tanpa memberi jawapan. Mungkin tidak sabar menunggu jawapan dari mulutku. Hari ini hari khamis. Pertunangan anaknya akan berlangsung 4 hari lagi. Aku cuba menghitung hari. Ya, anaknya akan bertunang pada hari selasa. Aku mengangkat wajahku. Hari apa ya?

     "Last day on monday," ujar wanita itu lagi lalu kembali memasuki perut keretanya. Malas mungkin menunggu jawapan dariku. Jujur! Aku tidak berani untuk berjanji. Dapatkah aku mendapatkan komisen jualan hanya dalam masa 4 hari? Sangat mustahil dengan keadaan aku yang kurang berpengalaman ini.

     "Dia gila gamaknya," Das bersuara setelah kelibat kereta mewah itu tidak kelihatan lagi. Aku diam sedang menghadam arahan ganti rugi dalam masa 4 hari. Nampaknya aku memang terdesak sekarang. Mana pegawai bergigi cantik itu? Aku harus mendapatkannya sekarang. Das yang melihat aku tergesa-gesa itu terus mendapatkan aku.

     "Nak ke mana lagi Ida?" tanya Das.

     "Nak cari Encik Shark. Ke mana dia ya?" aku menjawab pertanyaan Das sambil melilau mencari kelibat lelaki itu. Dia berjanji untuk membawa beberapa tester perfumes tersebut. Aku mencari kelibat itu sehingga ke dalam dewan. Di mana ya? Takkan dia turut berada dalam kereta mewah Datin Anita itu tadi juga. Suasana dalam dewan riuh rendah dengan suara para peserta kursus dan para fasilitator. Masing-masing berada mengikut kumpulan masing-masing. Mungkin sedang membincangkan persembahan yang bakal dipersembahkan pada malam ini. Ila melambai-lambai tangannya ke arahku mengajak aku turut serta. Encik Kacak yang berada di sebelahnya kelihatannya tekun berbincang dengan rakan-rakan peserta lain yang turut berada dalam kumpulanku. Encik Fairuz dari arah kanan dewan turut memanggil Das supaya datang untuk ikut bersama dalam perbincangan kumpulan mereka. Aku dan Das saling berpandangan. Yang mana harus didulukan ya?

     "Das, kau pergilah. Aku sendiri cari Encik Shark nanti. Jangan sampai ada yang tahu ya Das," ujarku apabila melihat wajah Das yang serba salah. Das mengikuti arahanku. Ke mana ya Encik Shark? Jangan-jangan dia dah pulang.

     "Idaaaaa...." Ila memanggil lagi. Tangannya melambai-lambai mengajak aku ke sana. Kali ini Encik Kacak turut menoleh. Tangannya turut melambai-lambai mengajakku ke sana. Ah..dia lagi. Aku berjalan menuju ke arah mereka sambil mataku masih melilau mencari kelibat Encik Shark.

     "Kau ke mana tadi? Tiba-tiba menghilang?" tanya Ila sebaik sahaja aku melabuhkan punggungku di sebelahnya. Aku hanya senyum. Tidak menjawab. Bimbang kalau diceritakan padanya ada pula telinga yang menangkap butiran percakapan kami. Lagipun buang masa sahaja bercerita tentang Datin Anita kepada Ila. Bukan dia mahu percaya pun.

     "Jadi, ada cadangan tak? Tema kumpulan kita pelbagai bahasa, macam susah sikit kan," Encik Kacak kemudiannya bersuara menyambung perbincangan mereka. Pelbagai bahasa? Menyanyi pun bolehkan. Teringat aku akan nyanyian Encik Kacak dalam 'box' karaokae tempoh hari. Hahaaa... Hancur.. Kelihatan beberapa orang rakan-rakanku memberikan cadangan. Ila pun turut berkelakuan sama. Aku hanya mendengarnya sahaja.

     "Ida? Ada cadangan tak?" tiba-tiba suara itu mengajukan soalan kepadaku pula. Aku memandang rakan-rakan yang lain. Kelihatan mereka juga sedang memandang ke arahku. Segan pula kalau membiarkan soalan itu tanpa jawapan.

     "Hmm..nyanyi lagu pelbagai bahasa pun boleh jugakan. Dah mengikut tema yang diberikan kot," aku bersuara sekadar memberi cadangan. Padahal, aku bukan tahu sangat lagu-lagu bahasa asing ni. Kalau aku tahu pun lagu mandarin Meteor Garden, tak pun lagu jepun soundtrack drama anime Bishoujou Senshi Sailormoon. Rakan-rakan lain seolah-olah menyambut positif cadanganku itu.

     "Setuju! Kau yang jadi solo ya Ida. Suara kau sedap," Ila pula menokok tambah. Aku mengerling ke wajah Ila. Tak puas hati juga dengan cadangan itu. Perlukah ada solo? Ingat ini kumpulan nasyid Sepohon Kayu ke?

     "Kita buat medleylah. Lagu medley tak perlu solo. Nyanyi ramai-ramai lah best," aku cepat-cepat membantah agar rakan-rakan yang lain tidak terus bersetuju dengan cadangan Ila.

     "Apa kata kalau kita buat sketsa disertai medley tu?" seorang peserta lelaki yang bernama Johari memberi cadangan. Bernas juga idea dia. Chopp... aku tak nak berlakon.

     "Nice! So, kita listkan lagu-lagu yang nak dinyanyikan dalam bahasa-bahasa yang berbeza. Seorang kena bagi satu lagu and kalau perlu kena ajar yang lainnya untuk menyanyikannya," ujar Encik Kacak pula. Pelbagai jenis lagu yang diberikan oleh rakan-rakanku. Ada juga yang mencadangkan lagu Ultraman Ginga. Lawak betul! Kahkahkah... Lucu..

     "Kita dah ada 5 buah lagu. Melayu, Jepun, Inggeris, Korea dan Hindustan. Tapi macam ada yang kuranglah," seorang peserta kursus perempuan bernama Suziyana mencelah. Ya, memang ada yang kurang.

     "Lagu mandarin," kataku spontan. Semua ahli kumpulan memandangku. Masing-masing bertanya adakah aku mengetahui lagu mandarin tersebut. Hmm... Tahu. Tapi, aku tidaklah mengetahui banyak berkaitan lagu mandarin. Lagu Penny Dai penutup drama Meteror Garden itulah yang paling aku gemari. Huhuhu.. Tentu aku yang perlu mengajarkan mereka untuk menyanyikannya nanti kalau yang lainnya tidak mengetahui akan lagu tersebut. Menyesal pula memberi cadangan ini tadi, tapi sepertinya aku sudah terlanjur kata.

"Tak tahu banyak. Tahu satu lagu je kot,"aku menjawab pendek. Setelah dipaksa aku cuba menyanyikan sebaris melodi di bahagian chorus lagu Ni Yao De Ai tersebut di hadapan mereka. Ada yang mengerutkan dahi seolah-olah tidak pernah mendengarkan melodi tersebut. Ada pula yang mengatakan sukar sekali untuk menyanyikannya. Namun, ada juga yang memberikan reaksi yang positif.

     "Meteor Gardenkan?" Encik Kacak pula mencelah sambil tersenyum.

     "Saya tahu lagu tu. Romantic love story San Chai dan Dao Ming Si kan," Eh, tahu benar dia dengan drama ni? Peminat meteor garden jugakah? Lelaki pun melayan drama jiwang ni jugakah? Aku mengangguk-angguk mengiyakan apa yang dikatakan oleh Encik Kacak sebntar tadi.

     "Bagus! Apa kata, kita masukkan 'scene' setiap drama pada setiap lagu yang kita pilih tu? Baru best...," ujar peserta yang bernama Johari yang mahukan sedikit sketsa diadakan dalam nyanyian medley itu lagi.  Pulak.. siapa pula yang akan menjayakan 'scene' itu? Ramai yang tidak tahu akan cerita tersebut. Kalau ada yang tahu pun, antara hafal dan tak hafal je dialognya. Memang betul kalau diikutkan lagu yang dipilih semuanya lagu-lagu drama. Ahli kumpulan yang lain nampaknya bersetuju benar dengan cadangan lelaki tersebut. Dia yang mencadangkan lagu Ultraman Ginga itu menawarkan diri untuk melakonkan watak superhero itu. Lucu benar kelihatan aksi lelaki tersebut. Ahli-ahli kumpulanku turut tergelak sama menyaksikan telatah lelaki itu. Aku memandang ke arah kertas yang tercatat senarai lagu itu. Lagu Melayu yang dipilih ialah lagu Ombak Rindu. Cerita cinta Hariz dan Izzah. Lagu Inggeris pula ialah lagu My Heart will Go On. Cinta sakti yang berakhir dengan babak yang memilukan Jack dan Rose. Lagu Korea pula soundtrack Full House. Drama komedi romantik Han Ji Eun bersama pasangannya Young Jae. Lagu Hindustan pula lagu yang memang popular di Malaysia dari filem Kuch Kuch Hota Hai. Kisah cinta yang dipendamkan oleh seorang teman bernama Anjali kepada Rahul. Lagu mandarin? Ya, lagu kesukaan ku dari drama bersiri Meteor Garden. Kisah cinta lelaki kaya yang berpengaruh di Taipei dengan seorang gadis yang miskin San Chai dan Dao Ming Si.

     "Jadi, kita buat rehearsle kecil-kecilan nak?" ujar Ila yang menawarkan diri untuk memegang watak Han Ji Eun dalam drama Full House itu. Seorang lelaki yang agak tinggi dalam ahli kumpulanku dipilih untuk menjadi Young Jae. Aku tersenyum. Teringat gaya Han Ji Eun menyanyikan lagu 3 ekor beruang dalam drama tersebut. Pasti babak itu yang akan dibuat oleh Ila nanti kerana babak itu merupakan babak yang paling diingati oleh para peminat dalam drama bersiri ini. Masing-masing diberikan tugas untuk melakonkan beberapa babak kecil setiap drama pada setiap lagu yang dipilih tadi. Aku tiada pilihan lain selain mengambil watak sebagai San Chai dalam drama Meteor Garden kerana hanya aku yang tahu akan lagu tersebut.

     "Okay, sekarang giliran kau pula Ida," ujar Johari lagi. Hm.. aku mati akal.. Encik Kacak yang hanya berdiri menyaksikan gelagat rakan-rakanku melakonkan watak drama pilihan tadi datang merapatiku. Eh, lain macam pula rasanya. Jadi, apa maksud Encik Kacak berkelakuan sedemikian? Diakah yang akan melakonkan watak Dao Ming Si itu? Malulah pula aku rasakan. Penyakit jantung menyerang lagi. Aku memalingkan wajahku ke arah lain. Cuba menahan hatiku yang tak keruan. Jujur! Aku tak dapat menahan renungan matanya. Terasa bagai San Chai yang sedang menanti kehadiran Dao Ming Si penuh debaran. Choiii! Perasan betul.. Mataku kemudian terarah pada sesusuk tubuh yang kukenali. Kelihatan sedang membimbit sebuah 'briefcase' berjalan menuju ke arah pintu dewan dan keluar. Encik Shark! Aku perlu temui dia sekarang. Aku terkocoh-kocoh meminta izin dari yang lainnya untuk pergi. Rehearsle nyanyian serta lakonan pendek ini boleh dilakukan pada waktu yang lain, tetapi bertemu dengan Encik Shark, tidak! Aku mesti menemuinya sekarang.

     Setelah mendapatkan Encik Shark yang sedang membuka pintu keretanya. Aku termegah-megah memberikan salam kepadanya. Encik Shark kelihatan mula-mula terkejut dan kemudiannya tersenyum. Aku bertanya pelbagai soalan padanya. Di akhir pertemuan itu, tester bagi kedua belas pewangi itu berada di tanganku. Peluang sudah berada di dalam genggaman. Biar terpaksa berhempas pulas, aku tetap akan mengharunginya. Dek terlalu asyik dan teruja untuk mencuba kesemua haruman tersebut, aku terlupa akan tugasanku di dalam dewan tadi. Aku terus menaiki anak tangga menuju ke dorm.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz