Bab 2


Setelah selesai menunaikan solat subuh, aku dan Das bergegas turun ke kafeteria kem. Maklumlah setiap pergerakan dalam kursus ini perlu cepat, bak kata Encik Kacak selaku Ketua Fasilitator di situ 'Masa Itu Emas, Masa Tak Akan Menunggu Kita, Kita yang perlu Mengejar Masa!' Datang mesti tepat pada masa. Betapa berdisiplinnya ahli-ahli perniagaan yang mengelola Kurus ini. Penyedut minuman kuketap kejap-kejap. Air sirap bandung sejuk kegemaranku itu kusedut dalam-dalam. Ala-ala Maria Tunku Sabri, pengacara TV yang terkenal dengan rancangan Jalan-jalan Cari Makan di TV3 tu. Siapa cakap air batu tak bagus untuk kesihatan? Bagi aku fakta tersebut boleh dibantah kerana dengan ais sesorang itu akan berasa tenang dan gembira. Ya, macam aku sekarang.

"Ida, apa kata kau mulakan misi kau dari sekarang!"..kata-kata Das membuatkan aku kehairanan. Apa misi yang perlu dilakukannya pula? Setahu aku slot pagi ini ialah berkenaan dengan Etika Jualan Online di Web. Apa kaitannya dengan misi? Aku menjungkit keningku yang agak tebal itu. Das tersenyum sambil mengenyit matanya sambil memuncungkan mulutnya ke arah penjuru sebelah kanan kafeteria. Aku berpaling sejenak. Encik Kacak bersama beberapa orang fasilitator yang lain sibuk mengambil makanan di meja buffet yang tersedia di situ. Aku termenung sejenak dan mataku yang bundar itu segera kuarahkan ke arah wajah Das.

"Encik Kacak? Misi apa? " soalku hairan.

"Apa lembap sangat kau ni? Hmm..kau cubalah pikat Encik Kacak tu. Mana tau silap-silap haribulan kau yang kahwin dulu sebelum adik kau." Selamba saja ayat yang keluar dari mulut Das. Terbeliak mata aku mendengarkan cadangan yang boleh aku sifatkan separuh gila tu. Takkanlah orang kacak macam Encik Kacak itu mahukan gadis seperti aku. Kurang serba-serbi kalau nak dibandingkan dengannya. Dahlah ramai yang suka dan minat dengannya. Boleh kira dengan jari sajalah gadis-gadis yang menyertai kursus ini yang tidak memuja kekacakan wajahnya itu. Terlalu banyak pilihan yang dia boleh buat. Takkanlah nak pilih aku.Oh, tidak! Das memang dah gila agaknya..hisyyy..

"Kepala kau masuk air ke Das? Logikla sikit, jangan main-main boleh tak", kataku sambil menyuap nasi goreng ke mulut. Sedap nasi goreng ni, tapi nasi goreng mak lagi sedap. Nasi goreng mak tak sama dengan nasi goreng orang lain. Bahan-bahannya tak banyak. Hanya bawang dan cili boh. Tapi, yang istimewanya, nasi goreng mak boleh dimakan dengan ikan goreng! Fuh..tiba-tiba rasa rindu pula nak balik kampung. Rindu untuk menatap wajah mak dan merasa masakan mak yang aku sifatkan lima bintang itu walaupun Chef Wan mungkin bagi satu bintang saja. Tak kisah, bukan Chef Wan yang nak makan pun. Aku tersenyum sendiri.

"Ha, aku dah agak. Kau mesti sukakan..Hehehee", aku menggeleng-gelengkan kepala tanda kurang bersetuju.

"Mana mungkin Das. Aku saja yang minat dengan dia. Misi apa pun tak jalan Kalau syok sendiri. Ada faham?" kataku perlahan. Das masih tersenyum memandangku sambil membetulkan tudung Syrianya yang berwarna merah hati itu. Dia memang suka akan tudung itu. Seingat aku sepanjang satu minggu aku berada di sini, hanya tudung jenis Syria yang dipakainya. Tapi, memang cantik dan sesuai apabila digayakan olehnya yang berwajah bujur sireh itu.

"Sebab tu, aku suruh kau mulakan misi sekarang. Kau kena yakin. Zaman moden ni, kadang-kadang perempuan yang kena mulakan dulu, tapi mesti kena ada caranyalah. Jangan sampai nampak hegeh-hegeh pula" Das memulakan ceramah tak rasminya pada pagi tu. Aku hanya mendengar. Macam-macam tips diberikan. Macam guru dengan pelajar pula aku rasakan. Dah lama tak macam ni, selalunya aku yang berikan tips kepada pelajar.

"Nah, kau ambil Tips Memikat Pasangan ni. Aku dah googlekan khas untuk kau malam tadi.hehe," Das menghulurkan sehelai kertas A4 putih yang tercatat berbagai-bagai tip memikat pasangan dalam tulisan yang sangat kecil. Mak aihh...bajet kertas nampak. Macam kat sekolah juga. Guru-guru tak boleh riso soalan latihan pelajar di sekolah, tetapi perlu membuat fotokopi di mana-mana kedai fotokopi lain untuk menjimatkan kos penggunaan kertas di sekolah.

"Kecilnya tulisan ni Das. Semut ke manusia yang nak baca ni?", aku menyambut huluran kertas itu seraya berseloroh. Patutlah malam tadi, Das sibuk membetulkan printer lama yang tersadai di dalam dorm tersebut. Ini rupanya yang dicari malam tadi.

"Jimat kertas. Pengetua aku ajar macamtu", kami sama-sama ketawa. Dalam fikiran masing-masing terbayang wajah pengetua sekolah masing-masing. Agak-agaknya kalaulah aku jadi pengetua nanti, macamtu jugakah perangai aku?..Oh, tidak! Sungguh menjengkelkan!..

Setelah meletakkan pinggan dan cawan ke dalam besen khas yang disediakan di suatu sudut kafeteria itu, kami melangkah menuju ke dewan seminar untuk slot pagi yang akan bermula tepat pada pukul lapan pagi. Seperti yang dinyatakan semalam tajuk slot untuk pagi ini ialah Etika Jualan Online. Kali ini aku suka, sebab aku memang gemar membeli barang-barang secara online terutama kasut. Hehe...Korean Style..K POP kata remaja sekarang. Mana nak dapat kat Malaysia ni, kasut-kasut orang Korea memang comel-comel. Kasut-kasut mereka kebanyakan bertumit tinggi yang memang kena dengan citarasa aku yang rendang ini. Sebab tu, aku tak kisah kalau terpaksa berbelanja lebih untuk barang-barang tersebut kerana ia menjanjikan kualiti yang baik dan cantik! Aku tersenyum seraya memandang ke arah kasut K Volle berwarna ungu lembut yang baru kubeli di sebuah kedai online sebelum datang ke kursus ini. Belum sempat kugayakan ke sekolah lagi, tiba-tiba dapat surat panggilan kursus ke Berhulu Camp ini. Kalau tidak, tentu Kak Maiza, salah seorang ustazah yang becok mulutnya dan suka memerhatikan warna dan bentuk kasut yang kugayakan ke sekolah terpegun lagi. Riuh-rendahlah sekolah dengan mulutnya di dalam bilik guru nanti. Aku tersenyum lagi. Saat kakiku mahu melangkah masuk ke dewan, aku disapa oleh suatu suara garau di belakang.

"Ida, kaki dah okay?" aku terus berpaling. Ya! Encik Kacak betul-betul berada di hadapanku.

"Dah okay", jawab ku sambil tersenyum. Dia membalas senyumanku sambil berkata.

"Hati-hati jalan ya. Kasut awak tu tinggi sangat. Sini ada banyak longkang besar", setelah mengucapkan kata-kata tersebut lelaki itu terus berlalu. Mak aihh...kena perli pula pagi-pagi ni. Ambil tiga bintang!!! Nasib baik kacak..hehe. Apa salahnya kalau jatuh longkang lagikan, boleh Encik Kacak urutkan lagi. Mana tau..tiba-tiba boleh terjatuh cinnn..Sarghhh..!!..belum sempat aku berangan jadi Cinderella, tiba-tiba beg tangan yang ku galas di bahu disentap orang. Aku terus memandang ke hadapan.

"Sorry, itulah berdiri tengah-tengah pintu lagi! Orang nak lalu pun susah", wanita berkulit putih kuning langsat berambut ketak itu berlalu dengan wajah yang mecuka. Siapa lagi kalau bukan Cik Asfarina, Setiausaha Megah Biru Holdings yang lebih dikenali oleh ahli kumpulan ku sebagai Minah Ketak. Cantik, tapi garang gila! Salah sikit dah kena marah. Stress sangat ke jadi setiausaha ni. Tak pernah aku nampak dia senyum pada mana-mana peserta kursus di sini. Kalau nampak dia senyum pun apabila berhadapan dengan Encik Kacak tu lah, kalau tak pun dengan Kak Erra, Setiausaha Berjaya Megah Holdings yang merupakan kakak kepada Encik Kacak. Lain betul ku lihat karakter Kak Erra dan Minah Ketak itu, padahal mereka sama-sama memegang jawatan setiausaha sebuah syarikat. Kak Erra seorang yang lembut dan peramah. Tak sangka pula dia merupakan kakak Encik Kacak. Sebenarnya, aku sudah pun mengenali Kak Erra sebelum datang kursus ini lagi. Aku kenalinya ketika sama-sama belajar Bahasa Mandarin di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang tahun lepas. Waktu itu dia merupakan tutor Bahasa Inggeris di Politeknik Pasir Gudang yang terletak tidak berapa jauh dari rumah sewaku. Tak sangka pula berjumpa kembali di sini.

Ceramah kemudiannya bermula dan disampaikan oleh penceramah jemputan khas. Aku hanya mendengar dan beberapa input dapatlah ku ambil sebagai pedoman apabila ingin membuat jual beli secara online nanti. Slot pagi itu diakhiri dengan sedikit tugasan yang aku kira sangat mencabar bagi diri aku yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ini. Setiap perserta perlu menghasilkan blog sendiri dan perlu memasarkan mana-mana produk menggunakan blog tersebut. Peserta perlu mencari pembekal sendiri dengan bantuan fasilitator-fasilitator kursus tersebut. Peserta-peserta perlu membentangkan dapatan hasil daripada tugasan yang telah diberikan. Bermakna kami Cuma ada masa 2 minggu untuk menghasilkan tugasan tersebut. Kata penceramah itu lagi..Berniaga mesti mencari keuntungan!..tapi bak kata Ustaz Md Noor, guru agama sekolah ku dulu..Jangan mengambil untung lebih!..Bersederhanalah! Peserta-peserta yang menunjukkan dapatan menarik dan keuntungan yang tinggi akan diberi ganjaran yang lumayan. Memang best! Sudah terbayang di fikiran aku telefon I Phone 5 yang menjadi pujaan aku sejak dari awal tahun dulu. Tapi, bolehke aku cari keuntungan dengan pengetahuan yang sangat cetek dalam bidang perniagaan ini. Tak mustahil, kalau ada usaha. Berusahakah aku?

Slot pada malam itu berakhir tepat jam 10 malam. Aku kira inilah slot malam pertama berakhir dengan cepat. Selalunya, penceramah takkan berhenti selagi jarum jam tidak menunjukkan angka 10.30 malam. Yang paling penting aku tidak rasa mengantuk langsung. Betullah kata Puan Yusnizan, guru kaunseling sekolah ku. Kalau kita minat, kita takkan bosan. Macam aku sekaranglah. Bab jual beli online ni memang aku suka. Paling menggembirakan aku ialah apabila menerima bungkusan pembelian aku itu di pejabat. Hehe.. nampak macam kebudak-budakan, tapi itulah hakikat diriku. Jadi diriku. Hehe..

"Ida, malam ni cepat sangat pula habis slot ceramah kan", Ila memandangku sambil tersenyum. Selain Das, teman rapat aku di sini ialah Ila. Dia merupakan rakan sekumpulanku di sini. Peserta kursus di sini telah dibahagikan kepada 20 kumpulan kecil bererti setiap kumpulan terdiri daripada lima orang ahli. Setiap kumpulan pula diberi seorang fasilitator sebagai pemudahcara apabila kami diberi tugasan dalam kumpulan. Peserta diwajibkan duduk di dalam kumpulan masing-masing dalam setiap slot yang diadakan untuk menyenangkan pihak pengurusan apbila perserta diberi tugasan dalam kumpulan nanti. Das, rakan sebilik ku itu tidak berada dalam kumpulan yang sama dengan ku. Kumpulan ini dibahagikan dengan menggunakan kiraan nombor. Ala, macam kem-kem motivasi yang selalu dibuat di sekolah la. Terbayang wajah-wajah pelajar ku melaungkan nombor masing-masing. Kalau suara perlahan, aku pasti akan memarahi mereka. Lebih-lebih lagi kalau pelajar lelaki. 'Suara macam perempuan!' Itulah kata-kata sindiran yang selalu keluar dari mulutku jikalau ada pelajar lelaki yang sengaja bersuara perlahan. Situasinya sama, cuma, apa yang berbeza sekarang ialah aku menjadi pesertanya bukan fasilitatornya. Agak-agaknya, beginilah perasaan pelajar-pelajarku ketika disuruh itu dan ini. Kalau diberi pilihan aku lebih suka jadi fasilitator daripada peserta. Aku tak suka terikat dengan peraturan dan arahan begini.

Aku menoleh ke arah Ila yang leka dengan telefon bimbit nya. Dapat pesanan dari boyfrreind lah tu.

"Cepat sangatla pula kan Ila. Hmm.. kau nak pergi ke mana tu?" aku bertanya apabila melihat Ila sudah bangun dari kerusi plastik putih dewan seminar itu. Kerusi macam ni memang selalu ada kat mana-mana dewan. Dewan sekolah aku pun guna kerusi putih ni. Ila tersengih macam kerang busuk.

"Abang Yuz ajak aku keluar. Kau nak ikut sekali tak? Makan-makan. Jomlah," aku mendongak memandang wajah Ila dan masih kaku di kerusi putih itu. Malas aku nak kacau daun. Orang nak keluar dating tu. Abang Yuz yang dimaksudkan oleh Ila ialah Encik Fairuz. Juga salah seorang fasilitator di dalam kursus itu. Dialah tunang Ila. Kata Ila lelaki itu bekerja di Megah Biru Holdings sebagai pegawai pemasaran di situ. Kira hebat jugalah tunang Ila ni. Ila pula bekerja sebagai kerani kewangan di sebuah butik pakaian di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

"Tak apalah. Kau berdua sajalah pergi. Aku balik dorm je.", aku menolak lembut lagipun kaki aku baru saja baik. Aku perlu berehat.

"Ala, jomlah Ida. Awal lagi kan", Ila masih memujukku sambil menarik lenganku. Aku sekadar menggeleng-gelengkan kepala seraya berkata.

"Kaki aku ni sakit lagi tau. Aku kena rehat lebih kot. Mungkin lain kali..." belum sempat kuhabiskan ayat ku itu, satu suara garau menyapa.

"Kaki Ida belum baik lagi? Saya tengokkan sekali lagi"...Encik Kacak! Jantungku berdegup kencang apabila lelaki itu menarik kakiku. Haaaa...macam mana ni? Kaki aku sebenarnya macam dah baik. Aku cuma nakmencipta alasan untuk Ila. Suara aku tergagap-gagap kemudiannya menjawab.

"Se....se.....se...sebenarnya dah baik. Tapi, yalah, kalau nak lebih baik kena rehat lebih kot. Dah okay ni" kata ku seraya menarik semula kakiku ke bawah kerusi. Segan pula rasanya bila diambil berat begitu rupa. Lagipun seperti ada renungan tajam sedang memandang ke arah ku. Maklumlah dewan dah makin lengang begini peserta-peserta kursus yang lain sudah beransur pulang ke dorm masing-masing. Encik Kacak memang baik orangnya. Bukan denganku saja. Dengan peserta-peserta lain pun dia bersikap begitu. Cuma, dia merupakan fasilitator kumpulanku. Mungkin sebab itulah dia kelihatan mengambil berat lebih terhadapku apabila berkeadaan begini.

"Kalau dah baik, jomlah kita keluar makan bersama-sama. Encik Yuz nak belanja." Das mengenyit mata ke arahku. Sejak bila pula Minah Syria ni ada kat sini? Memang Encik Fairuz fasilitator kumpulan Das, tapi kenapa pula Encik Fairuz ajak dia keluar makan pula? Ahli-ahli kumpulannya yang lain tiada pula kelihatan. Aku akui Das seorang yang peramah. Mungkin disebabkan sikapnya itu, orang-orang di sekelilingnya senang menerima kehadirannya. Encik Kacak yang berdiri di hadapanku turut tersenyum. Nampaknya aku tiada pilihan lain selain menuruti kehendak mereka. Maxi Dress Sahara Hijau kubetulkan ketika memasuki perut kereta Toyata Vios milik Encik Fairuz. Makan malam pertama bersama Encik Kacak!..hatiku menguntum senyum. Das yang berada yang berda di sebelahku menyiku seraya mengenyit mata kanannya. Aku membulatkan mataku dan tertawa kecil.

<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<

Kepala udang galah di dalam pinggan ku picit perlahan-lahan. Sedap betul! Malangnya aku memang tak pandai nak kupas udang tersebut. Bab 'fork and spoon' ni memang aku gagal sikit. Gadis kampung betul. Hehe.. Bukan apa, aku takut udang itu terpelanting jatuh ke bawah meja. Bukan tak pernah kejadian itu berlaku ketika aku cuba-cuba ber'fork an spoon' di Kota Tinggi dulu. Kalau Das sahaja yang berada di meja ini, mungkin tak segan sangat. Tapi,Ila, Encik Fairuz dan paling penting Encik Kacak pun turut sama makan di meja bulat restoran ini. Segan sehhh!..Das yang berada di hadapan ku itu khusyuk betul makan udang galah yang dipesan oleh Abang Yuz di Restoran Ajak yang terkenal di Jempol, Negeri Sembilan. Inilah kali pertama aku dan Das keluar dari Berhulu Camp ini. Selalunya terperuk sajalah di Berhulu Camp itu kalau tiada aktiviti atau ceramah dilaksanakan. Maklumlah aku datang ke sini pun dengan menaiki teksi. Hampir mencecah angka Rm200 kusedekahkan kepada pakcik teksi hari itu. Bukan aku tak pandai memandu kereta, tetapi aku kurang yakin memandangkan aku tidak biasa dengan jalan di sini. Silap haribulan boleh sesat aku dibuatnya. Oleh sebab itulah, aku sanggup naik teksi. Das pun begitu tidak ke sini dengan kereta, tunangnya yang menghantarnya datang ke sini. Jadi, kami bosan. Kalau tiada yang mengajak keluar, bermalas-malasan di atas tilam sajalah jawabnya aktiviti kami apabila ada masa senggang di situ. Tiba-tiba rasa rindu pula pada Cik Vee Cest La Vie ku itu. Nama manja yang kugelarkan kepada Perodua Vivaku sempena sebuah lagu siri kartun kegemaranku Bishoujou Senshi Sailormoon. Aku tersenyum sendirian. Apa khabar dia sekarang?

"Ida tak makan udang tu? Tak suka ke?" suara garau itu lagi yang menyapa. Encik Kacak memandang wajahku. Keningnya terangkat sedikit. Mungkin kehairanan mengapa aku hanya menjamah nasi gorengnya sahaja. Udang besar itu langsung tidak ku usik. Aku jadi malu sedikit. Berputar-putar kepala otakku mencari alasan. Alasan mesti logik. Kalau tidak, jatuh saham aku di depan Encik Kacak yang menjadi pujaan hatiku ini.

"Hmm..boleh makan. Cuma....err....aaa...allergic..", itu sajalah alasan yang terbaik yang boleh aku beri ketika itu. Dah takde idea lain dah. Das dan Ila memandang ke arah ku.

"Laa...kenapa kau tak cakap yang kau tak boleh makan udang galah ni tadi. Kau boleh pesan makanan lain lah tadi", Ila kemudiannya menyampuk. Serentak dengan itu, kulihat Encik Fairuz mengangkat tangan. Seorang pelayan lelaki datang dan mengambil udang galah yang besar itu di dalam pingganku. Aku terkejut. Hatiku mula menjerit! Siapa cakap saya tak boleh makan?.. Saya tak pandai nak kupas kulit udang galah ni guna sudu je...kalau kat dalam bilik ni, dah tentu aku ngap saja kat mulut. Aku memang suka daging udang galah ni. Manis! Kenapa dia ambik?? Tapi, kata-kata ku itu hanya terbit di dalam hati sahaja. Siapa suruh bagi alasan tak munasabah tadi.

"Ida nak pesan apa?.. Ikan siakap tiga rasa suka?" Encik Kacak kemudiannya bertanya. Aku memandang ke wajahnya. Kesian kot dengan aku. Naif sangatlah kot aku sekarang. Huhu..malunya. Macam budak kecil pun ada. Aku hanya mengangguk. Ikan siakap tiga rasa pun sedap. Ikan tu boleh tahan mahal. Lagipun orang yang nak belanja. Hehe... Pelayan lelaki kemudiannya berlalu. Dah kena tunggu makanan baru sampai. Tebayang-bayang udang galah tadi. Hissyy...rugi betul. Bebudak ni juga yang best. Dapat melantak udang galah tu. Aku patut ambil kursus 'fork and spoon' lepas ni agaknya.

Dalam beberapa minit sahaja ikan siakap tiga rasa yang dipesan tadi sudahh pun terpacak di hadapanku. Memang lima bintanglah servis di restoran ni. Tak macam Restoran Seri Lambat di tempatku, lambat servisnya. Nama jolokan tersebut sengaja diberikan kepada restoran tersebut dek selalu penat menunggu akan makanan sampai apabila singgah makan di situ. Tapi, ramai juga pengunjung suka ke sana. Makanan sedap katanya. Berbeza betul servis di sini. Mataku terarah kepada Encik Kacak yang sedang menikmati makanan yang terhidang di hadapannya. Inilah kali pertama aku berpeluang duduk berdekatan dengannya. Tenang sahaja wajahnya. Matanya yang redup boleh membuatkan mana-mana gadis terpesona melihatnya. Ditambah pula hidungnya yang mancung dan bibirnya terlukis elok di wajahnya yang bujur sireh itu. Kulitnya pula cerah. Sekali pandang persis model iklan antarabangsa. Siapa ya? Memang kacak! Siapakah yang bertuah menjadi suri hidupnya nanti..huhu.. Khayalanku tersentak apabila kakiku disepak oleh seseorang. Das yang berada di hadapanku tersenyum-senyum. Alamak! Minah Syria ni perasan pula.

"Bila kau nak makan ikan best tu? Sejuk pula nanti", katanya sambil mengopek sedikit isi ikan siakap itu.

"Nak makan lah ni. Ambik bau dulu", aku menjawab selamba. Kami berlima tertawa mendengarkan jawapanku tadi.

"Hai, macam nak beli perfume pula. Kena hidu baunya dulu, baru beli ya," Encik Kacak turut bersuara. Haha... aku tergelak sendiri. Alasan bodoh aku kira. Tak sangka Encik Kacak ni pandai buat lawak juga.

"Hai, You all kat sini rupanya" satu suara menyapa dari belakang. Kami terus menoleh. Seorang gadis tinggi lampai berambut wavy tersenyum. Ah..kali pertama aku menerima senyuman dari wanita ini. Siapa lagi kalau bukan Cik Asfarina, Setiausaha Megah Biru Holdings.

"Hai, As. Jom join", Encik Fairuz, tunang Ila mempelawa. As rupanya nama panggilan wanita ini. Macam nama aku saja. Nama penuhku, Hasnawahida, tapi kawan-kawan selalu panggil Ida tau Wahida saja. Sebilangan orang sahaja yang memanggil namaku As. Hissyyy..macam mana boleh tersama ni. Aku tersenyum ke arahnya sambil menyorongkan sebuah kerusi untuknya. Sopan sekali dia malam ini. Agaknya dia memang macam ni kot. Hari-hari yang sebelumnya mungkin stress dengan kerja agaknya. Itu yang selalu menengking sana dan menengking sini.

"Diey, U kat sini rupanya. I ingat U kat kem tadi. U tak dengar panggilan I ke tadi? Dah banyak kali I call U tau....." gadis itu kemudiannya menyambung kata setelah memesan makanan. Suaranya kedengaran seperti merengek manja. Das memandang ke wajahku sambil mengangkat sebelah keningnya ala-ala penyanyi Ziana Zain tu. Diey? Siapa tu? Encik Kacak ke? Wow! Setiausaha memanggil boss nya dengan nama sahaja. Bagus juga majikannya ini. Apa hubungan mereka sebenarnya? Kelihatan rapat benar. Seingat aku, tak pernah pula aku panggil guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolahku dengan nama sahaja, walaupun umurnya hanya 3 tahun lebih tua daripadaku. Kalau tak berencik pun, ku panggilnya dengan nama cikgu sahaja. 

"Oh..really? Sorry. I makan tadi. Handset I tinggal dalam kereta Yuz", jawab Encik Kacak sejurus kemudiannya. Pandangannya masih tertumpu pada makanannya. Khusyuk betul makan. Aku hanya mendengar.

"Semalam petang U pergi mana? Daddy I datang. I call Kak Erra pun tak dapat." gadis itu bertanya lagi.

"Dia nak bincang tentang majlis pertunangan tu", apa? Nak bertunang? Nasi goreng yang kusuapkan ke mulut tadi bagai meminta dimuntahkan semula. Encik Kacak nak bertunang dengan orang ini? Encik Kacak dah punya girlfriend rupanya. Das yang turut mendengar kata-kata gadis itu tadi turut melopong. Bungkus sajalah semua tips yang kau beri tadi Das. Lagipun, aku tidak menaruh harapan pun. Memang aku dah agak dari mula lagi. Patutlah sopan benar dia malam ni. Depan boyfriend rupanya. Huhuhu...

"Petang semalam? I tak pergi mana. I ada kat kem saja. I tolong urutkan kaki Ida ni", jawab Encik Kacak sambil matanya terarah kepadaku. Eh, aku pula dimasukkan dalam perbualan mereka. Aku hanya tersenyum. Kali ini pandangan matanya diarahkan kepada gadis berkulit kuning langsat itu. Fuh..memang mengancam. Patutlah gadis ini boleh jatuh cinta. Gadis itu menoleh sejenak ke arahku.

"Kaki dia terseliuh. Bengkak! I tolong urutkan" Encik Kacak menyambung kata.

"Kenapa tak ke klinik saja?" soalan itu kemudian diajukan oleh gadis itu kepadaku. Hm..nak jawab macam mana ni?.. Kelihatan wajahnya seolah-olah kurang senang dengan pernyataan Encik Kacak tadi. Cemburukah dia? Jangan salah faham ya.

"Sebenarnya, memang saya nak pergi, tapi pada masa tu tiada transport dan kebetulan Encik Ka... eh.. Encik Faidi datang membantu", Alamak! Boleh tersasul lagi. Harap jangan marah,ok. Aku tak sengaja suruh boyfriend dia tolong urutkan kaki. Sumpah! Kalau aku tahu girlfriend Encik Kacak ada kat sini aku sanggup jalan kaki pun keluar kem untuk ke klinik. Bukan takde teksi yang boleh hantar aku ke sana.Lebih-lebih lagi kalau aku tahu girlfreindnya Cik Asfarina @ Minah Ketak ni. Dah lama aku gerun dengan dia. Yalah, asyik kena tengking saja aku olehnya. Gadis itu kemudiannya melemparkan senyuman. Lega! Dia tak marah aku kot.

"You all pulanglah dulu ya ke kem. I dengan Diey menyusul kemudiannya", Asfarina kemudiannya berkata apabila aku dan yang lain-lainnya mengelap tisu ke muka. Encik Fairuz hanya mengangguk dan berlalu ke kaunter pembayaran. Selesai sahaja membuat bayaran kami pun berlalu. Aku hanya memandang dari jauh akan kelibat pasangan kekasih itu. Kalaulah aku di tempat gadis itu... Khayal! Entahlah, aku rasa bertuah betul gadis yang berada di sampingnya itu. Gadis itu pun cantik, memang padanlah dengan Encik Kacak. Kalau nak dibandingkan dengan aku memang jauh panggang dari api. Kalau sama pun, dari segi rambut saja. Rambutnya yang berketak-ketak tu sebijik macam rambutku. Confident pula dia menggayakan rambut tu. Hehe...

Sejurus kemudian kereta Toyota Vios milik tunang Ila masuk ke perkarangan penginapan peserta kursus perempuan, kami pun berlalu ke dorm masing-masing. Ila yang menginap bersebelahan dorm dengan ku dan Das hanya melambai tangan memberi isyarat jumpa lagi. Bagai ular sawa yang kekenyangan, kami terus merebahkan badan ke tilam selepas menunaikan solat fardhu Isyak malam itu. Tidur yang tak bersisa.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh