Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
14,138
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22

     Aku membuka mata lebar-lebar, saat bas ekspres yang aku naiki ini sampai di stesen bas Pasir Gudang yang terletak di hadapan bangunan Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang itu. Jam di tanganku menununjukkan angka 12.00 tengah malam. Suasana di dalam bangunan itu pun sudah sunyi. Harap-harap adalah beberapa buah teksi yang boleh aku naiki untuk sampai ke rumah sewaku. Sebelum ini, pernah juga aku hanya berjalan kaki menuju ke rumah sewa ku apabila tiada teksi yang muncul di stesen teksi bersebelahan stesen bas itu. Tapi, itu dululah. Sewaktu aku menyewa di rumah yang terletak agak berhampiran dengan stesen bas tersebut. Ini pun sudah kali ketiga aku berpindah-randah. Rumah sewaku kali ini agak jauh dari stesen bas. Lagipun, jalannya agak sunyi kerana terpaksa melalui rimbunan pokok-pokok sebelum sampai ke stesen itu.

     Aku menapak perlahan-lahan menuju ke arah stesen teksi tersebut. Kelihatan ada juga beberapa orang penumpang lain turut sama berkelakuan sepertiku. Aku mengambil tempat di situ sambil menunggu teksi yang datang. Kelihatan tidak ada banyak teksi yang beroperasi pada malam itu. Jadi, penumpang-penumpang yang mahu menggunakan perkhidmatan mereka terpaksa menunggu giliran. Oleh sebab destinasi yang aku mahu tujui terlalu dekat menyebabkan pemandu tersebut lebih mengutamakan penumpang-penumpang yang lebih jauh jaraknya. Berkira betul mereka ini. Pasti pemandu-pemandu ini memikirkan keuntungan daripada membantu perempuan yang keseorangan sepertiku ini. Hendak menelefon Aya dan Mimi pun, mereka tiada di rumah pada malam ini. Aya pulang ke kampung kerana ada kenduri kahwin di rumahnya dan mungkin masih dalam perjalanan menaiki bas juga malam ini. Dia juga sama sepertiku yangmerupakan guru yang bertugas pada sesi petang. Mimi pula menjadi guru pengiring kepada pelajar-pelajar sekolahnya dalam pertandingan Teknologi Hijau yang disertai oleh pihak sekolahnya. Tiba-tiba, telefon bimbitku menjerit menandakan ada pesanan masuk.

     'Salam, awak kat mana tu?' aku mengamati pesanan yang sampai itu. Hairan juga Lang Merah ini. Malam-malam buta macam ni pun boleh tanya aku kat mana. Tapi, memang aku ada memberitahu dia yang aku mahu menaiki bas pada malam tadi. Mungkin sebab itulah dia bertanyakan aku berada di mana.

    'Dekat stesen teksi Pasir Gudang. Tapi, teksinya tak adalah pula. Dah malam ni. Takutlah awak' aku membalas mesej lelaki itu dengan jujur. Memang aku takut sebenarnya, kerana malam makin larut. Orang di sekeliling pun masing-masing ingin meninggalkan tempat itu. Teksi pula tak muncul-muncul selepas menghantar penumpang pertama tadi. Sekarang, yang masih tinggal duduk di sini adalah aku dan 3 orang yang kelihatannya seperti sebuah keluarga. Bagaimana kalau mereka bertiga ini mengambil keputusan untuk tidak menunggu teksi, kerana kelihatan mereka sedang menelefon seseorang untuk menjemput mereka. Ah, macam mana ni?

     'Kesian awak. Macam ni, saya ada saudara kat Pasir Gudang tu. Nanti saya call dia suruh dia ambil awak,' ujar lelaki itu lagi. Ha? Saudara? Eh, takutla pula. Batang hidung Lang Merah pun aku tak kenal, inikan pula saudara dia. Entah bagaiman pula rupanya. Kalau jadi apa-apa padaku, siapa yang akan datang menolongku. Dahlah, rakan-rakanku tiada di rumah sekarang.

     'Isy, takutlah saya awak. Saudara awaktu orang baik-baik tak?' tanyaku bodoh. Jahat pula soalan yang kuajukan padanya. Tapi, aku betul-betul khuatir dengan pelawaan bantuan dari Lang Merah itu.

     'Awak ni, dia mak saudara sayalah. Cik Uprah namanya. Saya dah call. Tak silap dia pakai Myvi SE hitam. Nombor plat saya lupa' ujar lelaki itu lagi. Dah call? Pulak. Aku memandang ke arah ketiga-tiga orang keluarga yang berada di sebelah kiriku. Kelihatan mereka melambai-lambai ke arah sebuah kereta yang hampir masuk ke pekarangan stesen teksi Pasir Gudang itu. Ini bererti, aku akan tinggal keseorangan nanti. Aku mula dilanda ketakutan. Dalam hatiku sentiasa berdoa semoga ada sebuah teksi yang sampai ke sini dan aku cepat-cepat dapat berlalu dari sini. Rasa takutku makin menebal. Lantas, aku membalas pesanan ringkas Lang Merah tadi.

     'Awak, saya dah tinggal sorang. Takutnya, teksi belum muncul-muncul juga,' Entah kenapa aku mula meluahkan perasaan takutku pada Lang Merah pula. Padahal, lebih baik kalau aku menelefon ibuku sekarang. Tapi, sudah tentu mak dah tidur. Hanya Lang Merah yang sedang aktif berkomunikasi dengan ku sekarang.

     'Sabar, jangan takut. Saya ada ni. Kejap lagi, mak saudara saya sampai. Awak jangan pergi mana-mana. Apa-apa hal beritahu saya,okay' lelaki itu pula menenangkan ku. Tak ubah seperti seseorang yang terlalu mengambil berat tentang diriku. Ah, biarlah! Buat masa ini, kalau Lang Merah yang ada menjadi temanku pun tidak mengapa. Aku takut untuk bersendirian di kawasan lapang ini. Pemandu teksi ni pun satu, destinasi aku bukan jauh pun. Sepatutnya, dia lebih mengutamakan aku sebelum menghantar penumpang-penumpang yang jauh tadi.

     'Awak okay tak? Jangan takut, tenang okay. Kejap ja lagi Cik Uprah sampai,' aku antara percaya dengan tak percaya dengan lelaki itu. Cik Uprah mana lah yang dia maksudkan. Aku rasa bagai mahu menangis. Dari jauh, aku melihat seorang lelaki berjaket hitam menunggang motosikal menghampiri stesen teksi itu. Tidak! Inikah saudara yang dimaksudkan oleh Lang Merah! Ya Allah! Apa yang akan berlaku nanti, kenapa aku perlu menceritakan semuanya pada Lang Merah! Entah-entah lelaki itu merupakan penjenayah atau perogol bersiri. Kemudian mempunyai geng di seluruh Johor ini. Lagipun, dia memang berasal dan bekerja di Kluang, seperti yang telah diceritakan padaku dalam kotak chat Yahoo Messengerku dulu. Lututku bergegar menahan rasa takut. Apa perlu aku lakukan ini. Tanganku kaku untuk menghantar apa-apa mesej pada lelaki itu lagi.

     'Awak, kenapa diam ni? Answer me please..' Lelaki itu menghantar pesanan yang baru lantaran aku tidak membalas pesanan sebelumnya. Oleh sebab kerana terlalu takut, nombor Lang Merah kudail, aku betul-betul mahu penjelasan. Siapa lelaki yang berada di atas motosikal itu. Dari jauh, aku hanya melihat lelaki itu menanggalkan helmetnya.

     Talian bersambung. Tiga kali deringan barulah panggilanku disambut oleh Lang Merah.

     "Hello! Awak, awak jangan aniaya saya. Saya tak buat apa-apa pada awak. Jangan disebabkan saya membatalkan jualan perfumes tu awak nak apa-apakan saya. Tolonglah, awak. Saya betul-betul takut ni. Saya merayu pada awak," kataku sambil menangis. Sebentar kemudian aku memutuskan talian. Aku sudah tidak mampu lagi menahan emosi. Ketakutan yang teramat sangat. Mungkin sebab inilah, orang-orang selalu berpesan jangan terlalu percaya pada rakan lelaki, lebih-lebih lagi lelaki yang tidak dikenali. Tambah lagi lelaki seperti Lang Merah yang hanya aku kenali dari internet. Oh, bagaimana aku boleh tersasar jauh begini. Kedengaran panggilan dari Lang Merah pula. Aku menyambut panggilan tersebut tanpa sebarang kata.

    "Hello, awak. Jangan nangis. Sabar okay, sabar. 3 minit lagi mak saudara sampai. Jangan macam ni. Saya tak ada buat benda tak elok kat awak, percayalah. Kalau saya ada kat situ, saya dah pergi jemput awak sekarang," ujar lelaki itu lagi. Lembut sekali nadanya. Aku membuka suara lelaki tersebut supaya kedengaran di luar untuk mengurangkan rasa takut yang makin menebal itu.

     "Tipu, awak bohong. Baru ja sampai seorang lelaki bawa motosikal kat sini. Saya takut. Awak tak baik buat saya macamni. Saya janji yang saya pulangkan duit awak tu. Tapi, tolonglah suruh kawan awak tu balik.," kataku lagi sambil tersedu-sedu. Suaraku tertahan-tahan. Emosi takut ku menggila apabila lelaki yang berada di atas motosikal tadi turun dan berjalan menuju ke tempatku dan duduk di salah sebuah tempat duduk yang tak jauh dariku.

     "Astaghfirullahalazim. Awak, saya tak ada suruh kawan saya pergi sana. Kawan-kawan saya tak ada yang kerja kat sana. Dia buat apa kat awak? Mak saudara saya belum sampai lagi ya?" lelaki itu memujuk lagi. Lelaki yang berada di sebelahku tadi kelihatan memandang ke arahku. Tidak! Aku tidak mahu menjadi mangsa rogol atau apa-apa jenayah. Mana Cik Uprah yang konon dikatakan oleh Lang Merah itu. Aku bangun pura-pura menunggu seseorang di hadapan lelaki itu. Pandangan lelaki itu sungguh mengerikan. Lelaki itu kemudiannya turut bangun dan menghampiriku.

    "Hai, dik, sorang ja? Nak balik mana? Mari abang tolong hantarkan," Lelaki itu bersuara ke telingaku. Aku memegang kemas beg tangan dan beg sandangku. Telefon yang berada ditanganku kugenggam erat. Jangan sampai lelaki ini mengapa-apakan aku. Dalam fikiranku, aku cuba mengingati gerakan taekawando yang pernah aku pelajari dulu.

    "Janganlah sombong sangat dik. Bahaya tau malam-malam ni, perempuan duduk sorang-sorang macam ni. Jom, abang hantarkan adik balik nak?" lelaki itu bersuara lagi apabila aku mendiamkan diri. Lamunanku tersentak, apabila ada suara lelaki menyergah.

     "Hoi, kau jangan kurang ajar dengan perempuan ni! Kau blah sekarang! Jangan ganggu dia. Aku ada kat sini untuk jemput dia," kedengaran suara Lang Merah menjerit dari dalam talian telefonku itu. Lelaki tadi mengundurkan langkahnya apabila mendengarkan suara itu. Mujurlah aku kuatkan suara Lang Merah supaya terdengar di luar.Sekurang-kurangnya dapat membantu aku bagi menghindari gangguan dari lelaki ini. Terima kasih Lang! Awak dah tolong saya walaupun nasibku belum tentu lagi, selagi tiada teksi yang tiba.

     "Hello, awak. Awak ada kat situ lagi?" soal Lang Merah lagi apabila aku masih lagi diam.

     "Cuba tengok, ada tak MyVi SE hitam yang baru sampai kat sana?" lelaki itu berkata lagi. Bagai anak kecil aku menuruti perintahnya. Memang ada sebuah kereta MyVi Hitam SE yang baru memasuki perkarangan stesen teksi tersebut. Adakah ini mak saudara Lang merah yang bernama Cik Uprah itu. Kereta itu betul-betul berhenti di hadapanku. Seorang perempuan keluar dari pintu kereta di sebelah penumpang hadapannya. Aku mengamati wajah perempuan yang berselendang hitam itu. Cantik.Kelihatan seorang lelaki yang sedang berada di kerusi pemandu. Mungkin itu suaminya. Aku menghulurkan salam menyalaminya. Aku memang tidak mengenalinya. Perempuan itu kelihatan tersenyum.

     "Ida ya? Rumah sewa kat mana? Cik Uprah duduk dekat Taman Bukit Dahlia ni ja. Rumah sewa Ida kat mana?" tanya perempuan itu ramah. Aku tergamam seketika. Perempuan ini mengetahui namaku juga. Adakah aku pernah memberitahu bahawa nama sebenarku pada Lang Merah ya? Bukankah aku hanya mengenalkan diriku sebagai Princessz padanya. Hm..mungkin aku sudah lupa.

     "Saya duduk dekat Taman Mawar ja Cik Uprah. Jadi, Cik Uprah ni ibu saudara Lang Merah ya?" giliran aku pula yang bertanya. Kening perempuan itu kelihatan berkerut. Seolah-olah janggal dengan pertanyaanku. Mungkin kerana aku memanggil anak saudaranya sebagai Lang Merah agaknya. Oh, aku lupa untuk bertanya pada lelaki itu siapakah nama sebenarnya. Malu pula dengan wanita ini.

    "Ya, Cik Uprah memang mak saudara saya. Awak jangan risau, Cik Uprah dengan Cik Rosli orang baik-baik. Jangan nangis lagi ya," kedengaran suara Lang Merah dari hujung talian. Aku baru tersedar yang aku belum mematikan panggilan Lang Merah tadi.

    "Yalah, sudahlah tu. Pergi tidur, awak tu demam. Ida ni, biar Cik Uprah yang hantarkan. Jangan risau," jawab wanita itu pula. Aku kebingungan sebentar. Ternyata Lang Merah betul-betul khuatir dengan keadaanku sekarang. Timbul penyesalan kerana menuduhnya yang bukan-bukan sebentar tadi.    

     Aku menyalami wanita itu dan mengucapkan terima kasih sebaik sahaja kereta milik wanita dan suaminya itu sampai ke rumahku. Sempat juga dia berpesan supaya aku menjaga diri dan memberikan alamat rumah serta nombor telefonnya untuk aku hubungi sekiranya memerlukan apa-apa bantuan. Perempuan itu juga kelihatan mendesak supaya aku memberikan nombor telefonku padanya supaya mudah baginya untuk menghubungiku juga nanti. Alasannya aku merupakan orang istimewa bagi anak saudaranya, Lang Merah yang begitu rapat dengannya. Aku akur saja lantaran melihatkan peribadi wanita itu kelihatan baik-baik sahaja. Kalau tidak ditemukan dengan wanita ini, entah apalah yang akan terjadi pada diriku tadi.

     Sebaik sahaja kunci pagar dikunci, aku terus berlalu ke dalam rumah. Kereta Perodua Viva milikku yang tersadai 3 minggu di situ tidak sempat ku usik. Jam 12 begini, kawasan di taman perumahanku sudah sunyi. Hanya deruan enjin kenderaan sahaja yang kedengaran. Cik Uprah, ibu saudara Lang Merah itu sudah pun berlalu beberapa ketika. Semua suis lampu kubuka untuk menghilangkan rasa takut apabila bersendirian di dalam rumah. Aya, rakan serumah ku itu, mungkin akan sampai ke rumah lewat subuh nanti. Aku membuka tombol pintu bilikku yang terletak di tingkat atas. Rindunya melihat tempat tidur ini. Beg sandang yang berisi pakaian dan laptop peribadi milikku, aku letak di tepi pintu. Tanganku mencapai telefon bimbit untuk menghantar pesanan kepada Das bahawa aku telah selamat sampai ke rumahku. Niat untuk menelefonnya, aku matikan. Bimbang juga kalau-kalau Das sudah pun terlelap. Lagipun, esok hari isnin. Das akan akan bertugas di sekolah seperti biasa. Walaupun aku telah memohon cuti rehat pada hari esok, waktu sebegini aku juga perlu berehat.

     Lampu bilik aku biarkan terpasang untuk menghilangkan rasa takut apabila bersendirian begini. Ternyata sukar juga untuk melelapkan mata ini. Fikiranku menerawang akan peristiwa yang berlaku di terminal bas Seremban tadi. Encik Kacak! Aku baru tersedar bahawa, aku telah membawa pulang barangan milik Encik Kacak. Jaket hitam bertopinya tadi. Aku bingkas bangun dan mengambil jaket Adidas itu. Hairan betul aku dengan sikap yang dipamerkan oleh Encik Kacak. Kelakuannya tadi, seolah-olah dia terlalu mengambil berat terhadapku. Badannya dibiarkan kediginan hanya semata-mata ingin memberikanku jaket ini.Untuk apa dia berkelakuan sedemikian ya? Sedangkan aku bukan siapa-siapa dalam hidupnya. Bukan kekasih, bukan juga tunangnya. Nak kata rakannya pun juga tidak. Kasihan pula apabila mengenangkan wajah lelaki itu tadi. Tulus benar nampaknya dia untuk menolongku. Terkejar-kejar mencari kelibat aku yang sengaja menghindari dia.Seolah-olah aku adalah orang yang penting untuknya. Betulkah begitu? Apakah selama ini aku tidak hanya bertepuk sebelah tangan? Ah, tidak mungkinlah. Sangat mustahil untuk Encik Kacak meminatiku. Takkanlah lelaki sekacak dia tertarik denganku, sedangkan lelaki yang berupa kurang menarik daripadanya pun langsung tidak sudi memandang perempuan sepertiku. Inikan pula lelaki sekacak dia. Mengarut betul telahan ini. Bukti yang lebih kukuh ialah apabila lelaki itu langsung tidak menghiraukan aku ketika hari terakhir di kem dahulu. Tambahan pula, sewaktu di kilang semalam pun, dia tidak sudi memalingkan wajahku ketika kali pertama bertembung di muka pintu kilang tersebut. Satu lagi persoalan yang timbul ialah, bagaimana dia tahu bahawa aku berada di terminal bas tersebut. Adakah Das yang menyampaikan berita itu padanya? Macam tidak mungkin pula, kerana dia pun tidak mahu lagi berurusan dengan Encik Kacak setelah peristiwa kalung kristal itu terjatuh di dalam api pemanggang ayam di Berhulu Camp dahulu. Seingatku tiada siapa yang kukhabarkan akan pergerakan ku itu kecuali kepada Lang Merah. Lang Merah ini pun kadang-kadang menghairankan aku. Lelaki itu juga seakan terlalu baik terhadapku. Mengenali wajahku pun tidak. Kelihatan dia seolah-olah banyak bercerita tentang diriku kepada ibu saudaranya tadi. Banyak juga pertanyaan wanita itu kepadaku tadi. Sehinggakan tarikh lahirku yang baru berlalu selama dua hari itu pun turut diketahui olehnya. Rupanya, Lang Merah sudah mengetahui akan tarikh lahirku. Bila masa pula aku bercerita dengan lebih lanjut akan perihal diriku padanya ya? Ataupun aku memang sudah lupa akan hal itu, kerana sebelum berkursus di Berhulu Camp dulu, hampir setiap malam aku membuka kotak perbualan Yahoo Messenger di komputer ribaku itu. Mungkin aku yang tidak sedar akan hal itu.

     Jaket hitam Adidas milik Encik Kacak masih berada dalam ribaanku. Bagaimana mahu memulangkan kembali kepada pemiliknya lagi, sedangkan tadi mungkin adalah kali terakhir aku berjumpa dengan lelaki tersebut. Walaupun aku berat hati menerima hulurannya tadi, aku tetap menggunakan jaket itu ketika di dalam bas sebentar tadi dek terlalu sejuk dengan pendingin hawa yang dipasang di dalam bas ekspres itu. Memang sedikit sebanyak membantu untuk aku menghangatkan badanku. Kalau mahu memulangkannnya kepada tuan empunya, takkanlah jaket ini tidak dibasuh dahulu kan! Manalah tahu, suatu hari nanti aku terserempak dengan lelaki ini lagi. Lebih baik aku membasuhnya sahaja. Kalau bukan dibasuh pada malam ini pun, sekurang-kurangnya aku merendamnya dahulu di dalam baldi, supaya segala kotoranku yang melekat di jaket itu tanggal. Aku bukan elok sangat fiilnya ketika tidur. Entah-entah tanpa sedar melakar peta dunia di atas jaket mahal itu. Malu besar juga kalau Encik Kacak sedar akan hal itu. Aku bergerak ke bilik air yang bersambung dengan bilikku itu seraya meletakkannya ke dalam sebuah baldi. Aku mengibas-ngibas jaket hitam tersebut untuk membalikkannya supaya air yang akan dimasukkan ke dalam baldi itu nanti akan mengena pada bahagian dalam jaket tersebut. Sebuah kotak kecil dan sekeping sampul surat kecil terjatuh daripada poket jaket hitam tersebut. Oh, rupa-rupanya ada barang yang tertinggal dalam jaket milik Encik Kacak ini. Agaknya dia terlupa akan hal ini. Bagaimana ya? Adakah aku patut membuka isi kotak surat dan kotak yang tertinggal di dalam jaket ini ya? Aku mengamati kotak merah tersebut. Tak ubah seperti sebuah kotak cincin seperti yang selalu terlihat di dalam drama televisyen. Pasti untuk yang teristimewa. Minah Ketak? Terus wajah wanita itu terlayar di ruang mataku. Hisyyy.. tak boleh jadi ni. Entah-entah isi di dalam kotak ini ialah, cincin pertunangan yang dibeli oleh lelaki itu untuk diberikan kepada Minah Ketak bagi menyempurnakan hari pertunangannya pada hari selasa ini bersama-sama dengan Kak Erra dan Abang Nizam nanti. Aduh... Kenapa cuai sangat lelaki ini? Aku pula yang rasa bersalah. Aku teragak-agak untuk membuka kotak merah yang masih di dalam plastik itu. Tapi, kalau tidak membukanya aku pasti tidak tahu akan isi dalamnya. Mungkin ini adalah rezeki aku untuk melihat cincin pertunangan orang lain. Hmm.. Sampul surat kecil itu juga kelihatan kelihatan turut ditutup kemas. Mungkin menggunakan gam ataupun bahan-bahan pelekat yang lain. Kalau aku membukanya, pasti sampul surat itu akan rosak. Aku makin menjadi serba salah. Adakah aku patut memberitahu akan hal ini kepada Encik Kacak? Ah, malaslah nak menghubungi lelaki itu lagi.Kali terakhir aku menghubunginya ialah ketika malam aktiviti barbeku itu. 5 kali panggilanku tidak disambut olehnya. Aku tidak jadi membuka kedua-dua barang peribadi Encik Kacak tersebut dan menyimpan di dalam laci peribadiku. Nantilah aku fikirkan semula. Setelah merendam jaket hitam tersebut, aku kembali ke tempat tidurku.

     Telefon bimbit Nokia C3 milikku itu aku capai semula. Notifikasi 2 mesej masuk kelihatan tertera pada skrin. Aku membukanya. Mesej dari Das dan Lang Merah. Aku membuka pesanan ringkas dari Das yang menyatakan kesyukuran aku selamat sampai ke destinasi yang dituju dalam keadaan yang baik. Aku membuka pula mesej dari Lang Merah. Tak tidur lagi rupanya lelaki ini. Burung hantu betul. Bukankah sebentar tadi, dia menyatakan bahawa dia kurang sihat dan hanya memakan menu bubur air saja pada malam ini. Tak penatkah dia? Sekarang jam hampir menunjukkan angka satu pagi.

     'Salam, awak dah sampai rumah ke?' pendek saja pertanyaannya. Mungkin dia berhak tahu juga akan keadaanku sekarang lantaran dia yang telah membantuku sebentar tadi.

     'Wassalam. Dah, kejap tadi. Thanks awak. Awak dah tolong saya. Maaf sebab bersangka buruk dengan awak tadi ya' aku membalas pesanan tersebut seraya meminta maaf akan sikapku yang mencurigai kebaikannya sebentar tadi.

     'Oh, tak mengapa. Saya tahu awak risau. Saya sayang akan awak. Mana mungkin saya nak mencederakan awak. Seboleh-bolehnya saya ingin melindungi awak.. J' aku membaca bait-bait tulisan pesanan dari lelaki itu. Ah, selalu begitu. Sayanglah konon. Lagaknya itu seperti seorang kekasih kepada diriku. Ada juga lelaki yang begini ya. Tak membazirkah masanya duduk melayan perempuan yang masih tidak dikenalinya ini?

      'Terima kasih sebab sayangkan saya. Beruntung betul saya, ada orang yang sayangkan saya dan sanggup melindungi diri saya begini. Rasa macam 'sailormoon' pula. Ada 'tuxedo kamen' yang selalu melindungi diri saya..hehe' aku membalas mesej lelaki tersebut seraya berseloroh. Ayat Lang Merah sebentar tadi tak ubah seperti peranan lelaki bertopeng itu di dalam siri kartun tersebut apabila sailormoon diganggu musuh.

    'Hehe..lucu lah awak ni. Comel. Kenapa comel sangat? Geram... J' balas lelaki itu. Comel? Aku tergelak membacakan ayat yang tertera dalam pesanan ringkas tersebut. Kalau aku comel, dah lama aku dilamar orang. Pasti, adikku tidak perlu untuk melangkah bendul. Sebab tak comellah, aku membujang sampai sekarang. Tak masuk akal betul apa yang dikatakan oleh Lang Merah ini. Dia patut tanya dengan ibu saudaranya yang jelita tadi, apa benar aku memiliki paras rupa yang menarik ataupun tidak.

    'Comel? Jangan pasti sangat awak. Hahaha... Yang comel tu, mak saudara awak. Lawa betul dia. Berapa umurnya ya?' aku mengalihkan topik bertanyakan perihal ibu saudaranya sebentar tadi.

     'Tak ingat lah awak. Tapi, 30 an atau awal 40 an macam tu lah. Awak lagi comel. Manis dan 'cute'. Saya suka tengok awak..hehe J' balas lelaki itu lagi. Cehh..memang ayat kasanova ni. Bila masa pula dia pernah melihat akan wajahku ini. Jangan nak sembang sangatlah lelaki oi.

     'Eleh, pandai mengayat juga awak nikan. Tulah, saya pun rasa saya comel. Agak-agaknya kalau jadi model, awak rasa ramai tak peminat saya?' aku bertanya bodoh. Hahaha.. Saja meneruskan imaginasi lelaki tersebut. Ingat aku Nora Danish ke comel-comel begitu.

     'Hehe.. Janganlah jadi model. Saya jealous.Tapi, model selalunya dalam kalangan orang yang tinggi kan? Ketinggian comel macam awak tak boleh jadi model. Catwalk depan saya jelah.. J' amboi, lelaki ini makin dilayan makin menjadi-jadi pula. Aku tidak terus membalas pesanan ringkas lelaki itu.Tahu pula dia aku ni spesies manusia yang rendang. Hmm, hairan pula rasanya. Aku memang pernah menyatakan ketinggian akukah padanya sebelum ini?

     'Awak dah tidurke? Saya pun dah mengantuk ni. Kepala pun berat rasanya ni. Hidung pula berair lagi ni. Demam belum kebah lagi' ujar lelaki itu lagi apabila aku agak lama tidak membalas mesejnya.

     'Belum. Elok sangatlah tu awak tidur. Sekarang, musim orang demamkan. Ramai orang demam. Tadi, kawan saya pun demam,' balasku lagi. Kawan yang aku maksudkan adalah Encik Kacak. Lang Merah pun mungkin berkeadaan sama seperti Encik Kacak yang kelihatan lemah dengan hidungnya yang ditekan-tekannya sehingga merah ketika bercakap-cakap denganku sebentar tadi.

     'Mungkin juga kot. Demam rindu. Hehe...' lelaki itu membalas nakal. Rindu pada siapa? Aku? Haha.. Jumpa pun tidak. Mengayat kelas empat lelaki ni!

     'Rindukan siapa? Kekasih awak? Pergilah jumpa kalau dah rindu,' aku membalas lagi sengaja memancing jawapan dari lelaki tersebut.

     'Ha'ah. Rindu kat awak. Tapi, jauh sayang. Pasir Gudang ke sini jauh. Nantilah kalau free saya datang nak lepas rindu..hehe' Pulak? Hahaha... nampaknya lelaki ini memang sengaja nak mengula-gulakan hatiku. Kita lihat nanti, siapa yang kencing manis? Aku atau dia? Ingat aku tak pandai ke setakat nak mengayat lelaki ni walaupun tiada pengalaman dalam percintaan ni.

     'Jarak bukan alasan dalam erti kasih sayang. Lautan api sedangkan mahu direnangi. Inikan pula jarak yang mampu diatasi dengan enjin kereta. Betul tak?' aku membalas sambil menguntum senyum menantikan reaksi lelaki tersebut.

     'Hehe.. yalah sayang. Awak, Happy birthday. Sweet 27th ya J.. Kalau saya datang ke sana nanti, kita celebrate birthday awak ya,' aku tercengang membacakan ayat-ayat yang tertera tersebut. Lelaki ini mengetahui akan tarikh lahirku serta umurku yang sebenar. Hisy..bagaimana aku boleh menceritakan tentang hari lahir serta umurku padanya ya? Rupa-rupanya banyak juga maklumat diri yang aku telah kongsikan dengannya. Tapi, kalau wajah comel tu, jelas-jelas lelaki itu berbohong. Aku tak pernah berkongsi gambarku dengan mana-mana 'chatters'. Nampak sangat dia hanya meneka-neka sahaja.

     'Thanks awak. Banyak juga maklumat diri yang saya beritahu pada awak rupanya ya. Okaylah, malam dah melarut ni. Lebih baik kita semua tidur. Semoga kesihatan awak makin membaik esok ya,' ujarku lagi. Mataku seakan sudah mahu pejam setelah agak lama melayan mesej dari lelaki yang tidak aku kenali ini.

     'Okay, sayang. Selamat malam. Tidur lena dan mimpi yang indah-indah dengan saya. Assalamualaikum.. J' terbuntang mataku membacakan ayat yang ditulis oleh Lang Merah. Mimpi indah dengan dia? Memang dah tak ada mimpi yang lebih baik yang perlu masuk dalam dunia tak sedar aku tu? Hisyy.. simpang menjauh semua itu. Ah, sudahlah. Jangan dilayan otak lelaki yang dah masuk air ni gamaknya. 


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz