Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
123,353
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

PETANG itu, Habib bawa Anom Sufi ke ofis Datuk Adman. Pada mulanya Habib bercadang untuk ke rumah Anom tetapi memandangkan papa Anom itu masih di ofis, terpaksalah dia heret anak perempuannya ke ofis. Hendak tunggu sampai papa Anom pulang ke rumah, macam lama sangat rasanya.

Memang tebal mukanya mahu bertemu Datuk Adman di ofis. Nampak macam dia tidak sabar-sabar mahu menjadikan Anom miliknya. Tetapi memang pun dia rasa tidak sabar. Rasa berdebar pun ada. Berdebar kerana bimbang hajat besarnya, ditolak Datuk Adman mentah-mentah.

"Nanti bila papa tanya Sufi, ada ke Sufi cintakan abang, cakap aje ya tau!" Habib sempat berpesan begitu sebelum mereka masuk ke dalam lif Menara Jauhari.

"Tu tandanya menipu, Datuk. Berdosa!" jawab Anom dengan muka berkerut.

"Tak apa, tipu sunat." Habib tersenyum kemudian membuang pandang ke arah dinding lif.

Anom mencemik muka. Ada ke tipu sunat? Kalau sudah namanya menipu, tetap juga dapat 'saham'nya. Bukan main Habib mahu kelentongkan dia. Mentang-mentanglah dia ni cetek hal-hal agama. Huh!

Terkejut Datuk Adman bila Habib datang menjenguknya di ofis. Apa yang membuatnya lebih terkejut, Habib datang bersama anak perempuannya. Apa halnya? Anom ada buat salah apa-apa ke kepada Habib? Firasat itu sahaja yang melintas di kepalanya. Maklumlah, anak perempuannya itu lain sedikit perangainya. Jadi, jika Anom ada buat perkara tidak elok kepada Habib, dia tidak hairan.

"Jemput duduk, Habib," pelawa Datuk Adman, mengajak Habib duduk di sofa panjang. Sekilas matanya melirik ke arah Anom. Dia mengangkat kening menghantar isyarat tanya kepada Anom tetapi anaknya itu hanya mengangkat bahu.

Habib duduk di sofa panjang. Datuk Adman duduk di sebelahnya.

Anom pula memilih untuk duduk jauh daripada Habib. Tidak tergamak telinganya mahu mendengar apa yang bakal disampaikan Habib nanti. Tubuh sudah terasa panas sejuk, panas sejuk. Aduhai...macam ini ke perasaan pasangan bercinta mahu meminta restu ibu bapa untuk berumahtangga? Kalau macam inilah tidak sanggup dia mahu menempuhnya.

Eh! Anom Sufi dan Habib Iqmal pasangan bercinta ke? Huh! Bercintalah sangat!

"Apa halnya Habib datang? Rasanya kita tak ada meeting apa-apa kan? Ke Ann yang ada cari pasal pada Habib?" Datuk Adman memandang muka Habib kemudian berkalih ke muka Anom.

Habib tersenyum meleret. "Memang ada uncle. Memang Sufi ada cari pasal dengan saya," katanya sambil menjeling Anom di seberang sana.

Anom menarik muka mendengar tuduhan Habib. Entah bila pula dia cari pasal dengan Habib? Pandai-pandai saja pak cik ni buat cerita!

"Ann buat apa kat Habib?" Datuk Adman mencerlungkan mata memandang Anom. Geram dia dengan anak perempuannya yang seorang ini. Tidak sudah-sudah buat hati orang tua kelam-kabut dengan perangainya yang kelam kabut juga.

"Sufi mencuri..." Sengaja Habib menggantung ayatnya.

"Mencuri?" Datuk Adman sudah membulatkan mata besar-besar. Pandangannya tajam membelah muka Anom. Sungguh dia tidak percaya anak kesayangannya mencuri kerana semua keperluan Anom sudah dia sediakan. Tiada apa yang kurang. Lalu, barang apa pula yang dicuri Anom? Hatinya berdetus curiga.

Anom juga sudah tidak senang duduk mendengar bicara Habib yang sudah berbau fitnah. Bila masa pula dia mencuri? Entah apa-apalah si Habib ni!

"Ya, uncle. Sufi curi harta saya yang paling berharga. Dia dah curi hati saya ni," jawab Habib dengan muka merona merah jambu. Sudah berumur 33 tahun pun dia masih berperangai macam remaja 17 tahun. Merah muka tatkala berhadapan dengan bakal bapa mentua. Aduhai malunya!

Terkunci mulut Datuk Adman mendengarnya. 'Curi hati?' Kenapa macam pelik sahaja dia mendengarnya? "Apa maksud Habib?" Dia menanya soalan itu dengan mata memicing memandang Habib.

"Saya nak minta izin uncle untuk berkahwin dengan anak uncle ni." Setelah memastikan diri dalam keadaan tenang, Habib hamburkan hajatnya yang satu itu sambil memandang Anom nun di hujung sana.

Datuk Adman tidak terkata. 'Habib hendak kahwin dengan Anom?' Telinganya tidak salah dengar ke? Susahnya dia hendak percaya. Namun, apabila menatap riak serius di wajah Habib, dia terkedu. Habib tidak bercanda, itu yang hatinya dapat rasa.

Dia menoleh pula ke arah Anom. Apa yang dia nampak, reaksi anaknya cukup berbeza. Pucat sahaja muka Anom. "Betul ke ni, Habib? Habib nak kahwin dengan Ann?" Dia menyoal Habib semula.

"Ya, betul uncle. Saya nak kahwin dengan Sufi," tegas Habib.

"Tapi, kenapa?" Datuk Adman sudah mula tidak senang duduk. Masakan hatinya tidak menggelabah. Orang yang Habib hendak kahwini itu ialah Anom Sufi. Anak perempuannya yang brutal dan kepala batu!

"Kenapa apanya, uncle?"

"Maksud uncle, kenapa Habib nak kahwin dengan Ann? Yalah...anak uncletu bukannya serupa orang. Tak empuk sikit budaknya." Sedap sahaja mulut Datuk Adman mengutuk Anom.

"Papa!" Anom sudah terpekik di hujung sana dengan muka kelabu asapnya. Kakinya dihentak-hentakkan ke lantai menunjukkan isyarat protes kepada kutukan papanya. Satu kebiasaan yang dilakukannya jika sudah terlampau geram. Tiba-tiba sahaja dia terasa mahu lepuk-lepuk lengan papa!

Habib tergelak kuat. Suka benar dia dengar perkataan 'tak empuk' itu keluar dari mulut Datuk Adman. Memang sesuai benar istilah itu untuk Anom. "Yang tak empuk tulah yang saya suka, uncle." Habib beri 'nasi tambah' dengan senyuman semanis gula tebu.

"Eeii!!" Jeritan Anom kian kuat. Satu ofis sudah bergema dengan pekikannya. Kalau orang tidak tahu mesti menyangka dia kena dera. Memang betul pun dia kena dera. Tetapi bukan penderaan fizikal tetapi mentalnya yang didera habis-habisan oleh dua orang lelaki di hadapannya ini.

"Ann ni banyak kekurangannya. Habib tahukan perangai dia macam mana?" tanya Datuk Adman.

"Saya tahu, uncle." Habib mengangguk. Sebulan mengenali Anom, dia sudah cukup masak dengan perangai 'kepala batu' gadis itu.

"Paling teruk Ann ni tak pandai masak, Habib. Masak nasi pun lembik. Uncle takut Habib menyesal kahwin dengan dia nanti," sambung Datuk Adman. Biarpun gembira dengan hajat Habib, perlu juga dia jelaskan segala kekurangan Anom kepada Habib. Bimbang Habib menyesal seumur hidup beristerikan Anom yang banyak kekurangannya.

"Tak mengapa, uncle. Kat rumah kami ada orang gaji. Dia boleh masak untuk kami. Sufi pun boleh belajar memasak kalau ada masa lapang. Sekarang kan banyak kelas-kelas masakan. Kalau nak pandai, seribu daya kan, uncle?" Sempat lagi Habib menyindir Anom dalam perbualannya dengan Datuk Adman.

Anom Sufi mencebik bibir. Tidak kuasalah dia hendak belajar memasak. Kalau dia ingin jadi chef, sudah lama dia ambil kursus kulinari di universitinya. Kursus itu memang sesuai untuk orang yang ingin belajar memasak.

"Memang betul tu, Habib. Tapi tahu ajelah si Ann ni, bukannya rajin nak belajar. Masuk kolej tu pun uncle yang paksa. Kalau ikutkan dia, lebih suka jadi kutu embun. Merayap tak tentu hala. Embun jantan menitik baru nak balik," keluh Datuk Adman.

Malu dia dengan perangai Anom yang sudah macam kelawar, suka keluar malam. Tidak padan dengan namanya perempuan. Tetapi silapnya juga kerana sebelum ini tidak pernah dia menegur Anom. Dia biarkan sahaja Anom lepas bebas tanpa kawalan. Sebab itu anak yang seorang itu susah hendak ditegur. Memberontak sahaja kerjanya.

Habib menghela nafas. Itulah kekurangan Anom yang paling besar, hidup bebas tanpa sempadan. Kelab malam sudah jadi macam kedai kopi bagi Anom. Tempat Anom melepak dan menghilangkan stres. Mujur Anom masih ada sedikit pelindung di hati dan mindanya. Anom tidak mencuit minuman keras dan bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Itu yang dia puji tentang Anom Sufi.

Anom memerlukan masa untuk berubah. Anom memerlukan seseorang untuk 'membaik pulih' kehidupannya. Dan Habib bersedia menjadi tukang baikinya. Justeru, dia mahu cepat-cepat menjadi suami Anom agar kerja-kerja 'pembaikan' segera dapat dijalankan. Sekarang pun dia sudah jalankan misinya itu walaupun tidak sepenuhnya. Harap-harap misi murninya itu akan tercapai apabila sudah sah bergelar suami Anom.

"Ann ni susah nak bersolat, Habib. Bila dah kahwin nanti, Habib tegur-tegurlah dia ya?" Datuk Adman menyambung bicara. Malu benar dia mahu menjadi orang 'alim' di hadapan Habib dengan ramah menyebut pasal bersolat. Bimbang dicemuh Habib. Namun, sejak peristiwa Habib menyuruhnya mengimamkan solat, dia jadi malu kepada diri sendiri. Diri terasa begitu kerdil dan 'kosong' di hadapan pemuda ini.

Sejak itu dia jadi insaf dan mula tekun bersolat. Bukan itu sahaja, dia turut rajin mengajak isteri dan anak lelakinya untuk berjemaah bersama-sama. Tetapi, dengan anak perempuannya ini, dia menyerah kalah. Bukan dia tidak mendesak tetapi setiap kali diajak ada sahaja jawapan Anom. Memanjang 'bercuti'nya. Kalau sudah bersuami, mungkin Anom boleh berubah. Lebih-lebih lagi jika dapat suami seperti Habib yang begitu mementingkan soal agama.

"Insya-ALLAH, uncle. Memang dah jadi tanggungjawab saya untuk membimbing isteri saya nanti," kata Habib, berjanji kepada Datuk Adman dan kepada dirinya sendiri.

Memang itu sebenarnya yang Habib hajatkan, membimbing Anom yang tersesat agar kembali kepada fitrah kejadian manusia, untuk memperhambakan diri kepadaNYA. Bukan mudah untuk mencapai hasratnya yang satu itu jika Anom tidak diikat menjadi mahramnya. Untuk itu, dia perlu keizinan Datuk Adman untuk berkahwin dengan Anom Sufi.

Eh! Apa yang papa Anom cakap tadi? Habib tiba-tiba teringatkan sesuatu. Dia seperti terdengar Datuk Adman menyebut ayat 'Bila dah kahwin nanti'. Apakah itu tandanya Datuk Adman izinkan dia berkahwin dengan Anom?

"Uncleizinkan ke saya kahwin dengan Sufi" Tanpa malu-malu Habib menanyakan itu kepada Datuk Adman. Dia mahukan kepastian agar tidaklah nanti dia hidup terawang-awang. Kalau sudi katakan sudi terima dia sebagai menantu. Tidaklah dia ternanti-nanti jawapan bagaikan menanti buah yang tidak gugur.

"Kalau Habib betul-betul ikhlas nak jadikan Ann isteri, apa salahnya? Tapi Ann setuju ke?" Datuk Adman memalingkan muka memandang anak daranya.

Menggelabah Anom. Sedari tadi, mendengar Habib berbincang dengan papa, dia cuma diam mendengar. Tidak ada papa menanyakan pendapatnya. Sekarang, baru papa hendak tanya samada dia setuju atau tidak. Benci! Dia terasa hendak merajuk dengan papa.

Setuju ke dia menerima Habib menjadi suaminya? Susahnya Anom hendak buat keputusan. Semua ini begitu mendadak. Baru semalam Habib bercakap pasal kahwin, hari ini papa sudah minta dia buat keputusan. Adil ke tu? Memang tidak adil. Sekurang-kurangnya berilah dia satu atau dua tahun untuk berfikir!

"Err...aa...err..." Anom tergagap-gagap. Dia ingin membantah tetapi sebaik sahaja terpandang mata Habib mencerlung memandangnya, lontaran suaranya terus mati.

"Sufi awal-awal dah setuju, papa. Dia pun suka dapat kahwin dengan saya." Habib pula yang menjawab bagi pihak Anom. Macam biasa, dia akan tersengih-sengih suka jika dapat mengenakan Anom.

"Ya ke?" Tersenyum-senyum Datuk Adman mendengar Habib memanggilnya papa. Ketara sangat Habib tidak sabar mahu naik pelamin dengan Anom.

"Ya..." Beria-ia Habib menegaskan.

Anom yang sudah terkunci mulut tidak terdaya berkata apa-apa. Bibirnya keras macam dihempap batu. Hendak menolak tidak boleh, berkata ya lagilah mustahil. Dia seperti sudah terkena kuasa pukau sampaikan bercakap sepatah pun dia tidak mampu.

"Kalau macam tu, papa izinkan Habib kahwin dengan Ann. Tapi kenalah buat secara beradat," putus Datuk Adman. Turut membahasakan diri sebagai papa kerana sebutannya yang lebih manis.

"Alhamdulillah. saya tahu tu, papa." Habib mengucap syukur tidak terperi atas limpahan rahmat yang diberi olehNYA. "Saya nak tumpang buat solat syukur kat ofis papa, boleh? Lepas tu saya ingat nak solat asar sekali," pintanya dengan debaran di dadanya yang masih belum surut.

"Kita berjemaah sekalilah. Ann tak nak solat sekali?" tanya Datuk Adman kepada anak daranya.

"Err....Ann tengah cuti." Itu sahaja jawapan Anom. Kelat mukanya. Memang sekarang dia tengah uzur. Takkan hendak menipu pula? Berdosa tu!

"Hmm...yalah," keluh Datuk Adman sambil bangun beriringan dengan Habib menuju ke bilik solat.

Ketika melangkah, Habib sempat mengerling muka Anom. Tajam jelingannya hingga membuatkan Anom tidak senang duduk. Apa? Anom menghantar isyarat tanya kepada Habib dengan pandangan mata mencerlung. Tetapi, selepas itu Habib tidak melayannya lagi. Laju mengekori langkah bakal bapa mentuanya ke bilik solat.

Hmm....Habib kata dia menipulah tu. Anom meneka-neka sendiri. Beranilah tuduh dia menipu. Tak nak kahwin nanti baru tahu!


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.