Home Novel Cinta Kerana TAUFIQ versus HIDAYAH
CHAPTER 6 (i) EDITED

Yang...”

Itu panggilan yang ketiga. Kali ini panggilan itu lebih meleret panjangnya dengan nada bisik yang dimanja-manjakan sedikit luar biasa.

Khairil Azree ditenung sejenak. Leka benar lelaki itu menonton siaran F1. Mata tepat tertancap di dada TV. Langsung tidak berpaling bila isterinya ini memanggil.

Amboi, cuba kalau dia seru nama Azree waktu malam, bertaruh sejuta Money Droppun Amy sanggup kalau hendak tengok suaminya itu berpaling ke arahnya atau tidak? Masih cerah lagi petang macam ni bolehlah buat lagak. Baru sepuluh minit lepas jam 7.

“Yang…” panggilnya lagi. Ini yang keempat. Kalau lelaki itu masih buat pekak badak, dia sudah tahu apa yang akan dia buat pula selepas ini. Hish, geram!

“Ye?” sahut Azree acuh tak acuh sahaja nadanya.

Bibir Amy tersungging senyum sebelah. Hmm… nasib baik dia jawab.

“Awak ingat lagi tak dengan Dayah?”

“Dayah?” Azree sebut nama itu dengan nada tanya.

Berkerut dahinya, “Dayah mana pulak ye…?”

Amboi? “Macam banyak je Dayah yang awak kenal…” Amy sudah menjeling.

Nada cemburu itu buat Azree tersenyum tipis. Amylia Suzana kalau memancing nombor satu. Sebab itu dia sayang sangat dengan isterinya itu.

Mata melilau sekeliling, “Eh, Rayyan dengan Rayzel mana?”

“Main kat atas.”

“Siapa teman budak-budak tu main kat atas?”

Amy garu dahi dua kali. Saat ini yang membuak-buak dalam hatinya sekarang ialah tentang Hidayah.

Lagipun bukan dia tidak peduli dengan si kembar yang berusia empat tahun lebih itu. Anak-anak memang keutamaannya. Rutinnya menyediakan menu makan malam tadi pun sudah dia sempurnakan. Sekarang ni dia ada hajat besar hendak disampaikan kepada suaminya itu.

“Ning…”

“Asyik Ning aje yang teman dan urus anak-anak.Cubalah awak sesekali teman budak-budak tu mandi. Awak tu mak diorang, bukannya si Ning tu…”

Azree memang tidak boleh sebut pasal anak. Mesti ada sahaja perutusan yang hendak dia sampaikan. Akan selalulah dia sebut tentang ignorance isterinya ini terhadap anak-anak. Selalunya memang dia yang meladeni kembar mereka itu. Bila dah tak menang tangan baru minta bantuan Ning.

Hendak ambil Ning dulu, susah betul buat keputusan. Dia sedar Azree tidak selesa kalau ada orang lain selain mereka sekeluarga di rumah. Tidak bebas katanya. Betullah tu. Ning bukan mahram Azree.Semua batas hendak kena jaga. Aurat, pergaulan, percakapan. Bila lihat Ning sibuk urus kerja rumah dengan tudung senget-senget atas kepala, kasihan pula. Ning memang bertudung dua puluh empat jam jika Azree ada di rumah.

Azree pula serba-serbi urusan dia dan anak-anak wajib Amy yang uruskan. Ning cuma menjaga kembar ketika mereka bekerja, kemas rumah termasuk menyusun, mengelap, membasuh, mengemop. Masuk mengemas bilik tidur mereka atau makan minum wajib Amy yang sediakan. Kalau dia tahu Ning yang sediakan makanan walaupun sekadar cekodok pisang, Azree tidak sentuh.

Sebab itu sebelum balik dari pejabat, Amyakan telefon Ning siap-siap. Minta dikeluarkan ikan atau bahan masak dari bahagian sejuk beku. Cairkan dulu. Apabila sampai di rumah tak perlu menunggu lama. Sayur, Ning akan potong dulu. Begitu juga bawang dan rempah mengikut resepi Amy. Amy cuma bilas dan masak.

Mula-mula Amy rasa, ada dengan tak ada pembantu sama saja. Kebanyakan kerja melibatkan suami dan anak, Ning tak boleh take over.Penat. Tapi Amy sedarkeringatnya menguruskan rumahtangga, memasak untuk suami dan anak-anak, Allah beri pahala. Saham untuk ke syurga.

Hish, Amy garu lagi kulit dahi. Awat menyimpang sampai Ning, dan saham syurga ni? Dia sebenarnya mahu cerita tentang Hidayah. Mahu minta bantuan Azree bantu dia dalam misi bantuan jodoh untuk Hidayah. Kalau hendak mencari saham akhirat dengan membina dan mewakafkan masjid dia belum mampu, tolong orang mendirikan masjid berpahala juga. Kan?

“Saya minta tolong Ning tengokkan anak kejap sebab saya ada perkara nak bincang dengan awak ni, Yang,” beritahu Amy dengan lembut.

“Amboi, serius ke perkara yang awak nak bincang? Private and confidential ke mission impossible? Ni nak kena call Bomba ke Polis suruh diorang stand by? Kotlah jadi apa-apa?” perli Azree dengan mata yang masih melekat di kaca TV. Semakin melurut tubuh Azree macam hendak baring saja di atas sofa itu gayanya.

Kemeja pejabat pun belum ditanggalkan. Memang sejak Ning ada bersama mereka, Azree sudah tidak pernah duduk di rumah tanpa memakai baju. Kasihan juga Amy melihat suaminya itu. Sudah hilang kebebasan di rumah sendiri.

Bomba, polis apa ke cerita pulak dah… getus Amy dengan kerut seribu di atas dahi. Malas hendak dia layan auta Azree itu lebih-lebih.

“Pasal Dayah…”

“Ahah, Dayah... kawan awak yang mengajar kat Langkawi tu ke?” terangguk-angguk kemudian kembali menatap skrin televisyen.

Hah, nasib baik Azree masih ingat dengan Hidayah. Tak adalah susah sangat hendak bermukadimah panjang-panjang. Jimat sedikit waktu.

“Ye lah, tapi dia dah tak mengajar kat sana lagi.”

“Awat? Kat mana pulak sekarang?” soal Azree dengan kening hampir bercantum.

Amy garu dahi lagi. Isk, macam mana hendak mula cakap ni?

“Saya yang suruh dia balik sini. Sekarang mengajar kat Jasin.”

Heh, macam dia pulak yang jadi emak-bapak kepada Hidayah itu. Nak cerita pun panjang. Biarlah dia jawap pendek-pendek saja. Tepat untuk soalan yang ditanyakan Azree. Tak perlu huraian. Bukan ada markah lebih pun.

Kalau Azree tanya, baharu dia akan cerita. Kalau tak, tak payahlah jawabnya.Masa pun dah tak panjang mana. Sebentar lagi akan masuk waktu Maghrib. Selepas tu harus melayan keluarga di meja makan. Kemudian melayan si kembar pula, langsung terlelap jawabnya nanti.

“Awak suruh dia balik tukar mengajar kat sini?Awat? Homesick?” soal Azree lagi dengan nada hairan.

Homesick apa bendanya, bukan budak baharu sehari dua duduk asrama. Dah lebih dari layak jadi mak orang dah. Minta tukar ke mari pun bukan Hidayah dapat mengajar dekat sebelah rumah. Hah, sekarang mengajar di sebuah sekolah di Jasin pula. Sekurang-kurangnya tak adalah sejauh ke Langkawi tu.

Sebenarnya pertukaran Hidayah dari Langkawi tu pun idea Amy. Entah bagaimana mana boleh tercetus. Perbualan telefon Langkawi-Shah Alam setahun yang lepas terngiang di telinga.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.