1,941
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Shasha - Bab 8

"Shasha okay tak hari ni?" tanya Kak Min sebaik menyedari kehadiranku di ruang Privasi itu. Aku tersengih sambil mengangguk kecil. Semalam aku bercuti. Hari ini aku bertugas kembali dengan sesuatu yang baharu iaitu semangat yang berkobar-kobar. Belum pernah aku merasakan perasaan ini sebelum ini. Hubungan yang tegang entah sejak bila bermula dijernihkan melalui pengakuan sahaja. Aku terfikir. Mengapalah selama ini aku tidak berterus-terang sahaja. Bukankah lebih baik begitu. Tak adalah sampai perlu menyeksa jiwa dan raga dengan anggapan buruk yang keterlaluan terhadap ahli keluargaku sendiri.

"Hai Elsa." ucapku perlahan kepada Elsa yang baru sahaja tiba untuk melayani pelanggan. Dia tersengih lantas kami sama-sama sibuk dalam tugasan masing-masing.

"Shasha! Meja belakang tu dah ada customer." bisik Elsa sewaktu kami berpapasan. Aku baru selesai menghantar pinggan kotor manakala dia mahu ke kaunter pesanan. Aku mengangguk lantas berlalu ke arah meja belakang yang dikatakan. Sebaik melihat susuk yang sedang duduk sendirian dan merenung ke luar, kakiku terasa seperti lumpuh seketika.  Aku berpaling mencari Elsa. Hampa. Kerana gadis itu sedang sibuk berbicara dengan pelanggan. Aku mencari pula Sweta. Dia sedang mengangkat dulang berisi makanan. Wajahku terarah ke hadapan kembali. Sudah terlambat. Lelaki itu sedang memandangku dengan sebuah senyuman di bibir. Aku mengangkat sebelah tangan tanda memintanya tunggu sebentar. Dengan langkah yang deras, aku terus ke kaunter hidangan dan mencapai secawan air kosong disitu. Laju aku berjalan kembali ke arah lelaki itu yang cuma memerhati setiap langkah yang kuambil.

Splashh!! 

"Shasha!!!" Aku mendengar seruan dari Kak Min datang dari belakangku. Lelaki itu sudah berdiri tegak dihadapanku. Seluruh ruang senyap sunyi ketika ini. 

"Maaf, Encik Heidi. Maaf. Maaf sangat. Ya Allah.. Apa you dah buat pada b..." sepantas kilat aku dibawa keluar oleh lelaki itu tanpa sempat Kak Min menghabiskan ayatnya. Tiba di ruang tangga kecemasan aku meleraikan pegangan kemas lelaki itu dengan kasar. Telefon pintar di dalam poket aku keluarkan. Nama Kak Jojo didail. 

"Hello kakak!" seruku agak kuat. Aku memandang lelaki itu dengan pandangan yang tajam sekali. Wajahnya kelihatan serba salah. Rasakan! 

"Ya, Hana. Ada apa?" sahut Kak Jojo dihujung talian. 

"Ni, bakal tunang kakak ni tengah menggatal dengan saya! Putus je, kak. Tak guna simpan lelaki tak guna macam ni!" marahku sambil mata masih garang tertancap pada lelaki dihadapanku. 

"Eh, Hana biar betul. Bakal tunang kakak ada dengan kakak sekarang ni." kata Kak Jojo dihujung talian. Giliran aku pula yang berasa terkejut. Air mukaku mula berubah. 

"Cuba Hana tanya siapa nama lelaki tu.." pinta Kak Jojo. Aku menelan air liur. Kak Jojo dihujung talian sekali lagi mendesak. Dengan sedikit teragak-agak aku membuka mulut. 

"Err.. Siapa nama encik?" tuturku. Lirikanku sudah tidak setajam tadi. Sudah beralih ke tempat lain. Segan pula melihat wajah basah kuyup yang disimbah air olehku itu. Baru aku sedar sedikit pun tiada kata marah dan nista terlahir dari mulut lelaki itu walaupun layanan istimewaku itu jelas keterlaluan. 

"Heidi.." sahut lelaki itu tenang. 

"Kakak, nama dia Heidi." tuturku perlahan. Aku mendengar tawa besar dihujung talian. Dah kenapa? 

"Kesian Abang Didi kau.." klik. Talian diputuskan. Aku tergamam. Jadi, selama ni.. Ah! Aku terus mengambil langkah seribu. Menuruni anak tangga kecemasan di tingkat dua puluh itu dengan niat untuk keluar dari bangunan ini. Aku malu dan segan. Arghh! Kenapa aku mengulangi kesilapan yang sama dua kali? Terhadap Abang Didi pula tu. Semuanya orang yang rapat denganku. Mereka terpaksa menanggung akibat sikap gelojohku ni. Ah! Malunya! Kenapa aku tak pernah ambil tahu siapa nama sebenar Abang Didi.

Setelah tiga tingkat aku lewati, aku dapat rasakan larianku makin perlahan. Namun, aku gagahkan juga dari berhenti. Dari tadi namaku diseru oleh  Abang Didi yang sedang mengejarku. Hinggalah di salah satu platform, lenganku berjaya disauk oleh Abang Didi dan langkahku kini terhenti. 

"Kenapa Hana lari?" soalnya sambil mengemaskan pegangan. Aku tidak mampu untuk bersuara. Dadaku berombak kencang. Bukan sahaja disebabkan oleh Abang Didi. Kerana maraton sebentar tadi. Selepas beberapa ketika aku dapat bertenang. Namun tidak lama. Bagaimana untuk bertenang di sisi lelaki ini? 

"Hana.. Tak suka abang?" soalnya. Aku terpana. Wajah lelaki tanpa kaca mata itu aku tatap sepuasnya. Kali ini baru aku sedari dia memang Abang Didi. Oh, betapa lama sungguh kami tidak bertemu. Aku kira ketika aku berumur sembilan tahun, itulah kali terakhir aku bertemu Abang Didi. Lelaki itu sudah lama tidak tinggal bersama  Kak Nora. Kata Kak Nora masa depan Abang Didi lebih cerah jika tinggal bersama keluarga baru ayahnya. Tak sangka. Ianya memang terlalu lama. 

"Mana ada. Hana.. Hana.." Aku teragak-agak. Patutkah aku memendam lagi perasaan ini? 

"Hana sukakan abang." Aku lihat Abang Didi tersenyum lebar. 

"That's it.. Abang sukakan Hana. Tapi, special  suka. Hana terima?" Aku tertunduk malu. Siapa tak suka menjadi orang yang istimewa dimata seseorang. 

"Alamak! Hana kena masuk kerja. Alamak.. Alamak!! Matilah kena marah dengan bos sebab layan customer dia macam ni." getusku sambil menggigit hujung kuku. Mati akal setelah teringatkan segala perbuatanku tadi. Sudah. Memang pasti aku akan dibuang kerja. 

"Takpe. Bos tak marah pun." kata Abang Didi lembut sahaja menusuk ke telingaku. 

"Isy, mana abang tau? Abang bukan kerja sini pun!" tempelakku tiba-tiba. Geram kerana usaha Abang Didi untuk memujukku langsung tidak mengena tempatnya. 

"Sebab cafe ni abang yang punya." What??? 


Shasha - Extra

Toot... Toottt~
Aku mengerling telefon yang dibiarkan di atas meja kopi sebelum tangan sasaku mencapainya.
Heidi sayang. Tengok gambar ni. Manis, kan?
Aku membuka pula gambar yang dilampirkan bersama mesej di aplikasi WhatsApp yang datangnya dari mama.
Siapa pulak ni?
Aku menaip jawapan balas.
Hana
Aku melihat kembali gambar seorang gadis yang sedang berkebun. Hana? Hana, jiran sebelah rumah yang sepanjang masa mahu tukar nama tu? Seingat aku sudah banyak kali mama menghantar gambar gadis itu kepadaku. Sejak gadis itu berusia lima belas tahun. Berambut pendek seperti tomboi sahaja. Namun, mendapat tempat dihati mama. Setiap kali gambar dihantar pasti diselitkan sekali doa mama untuk melihat kami bersatu menjadi pasangan suami dan isteri. Sebab itulah aku tidak gemar pulang ke rumah mama. Tiada topik lain selain dari Hana.. Hana.. Hana.. Jika aku pulang pun akan aku pastikan harinya tidak di hujung minggu atau  bertembung dengan cuti persekolahan gadis itu. Kalau dah kami berdua ada di depan mata entah apa agaknya omongan mama buat kami. Ketika ini aku belum terfikir untuk mencari kekasih. Tetapi, melihatkan gambar terbaharu Hana ni tiba-tiba sahaja satu perasaan halus menjentik hati. Ah, sudah! Tanpa berlengah, nombor Sarah, adik tiriku tertera pada skrin telefon. Ya. Aku perlu cepat menyelesaikan kemelut yang sudah beberapa minggu mengharu-birukan diriku. 

"Ada apa, Abang Chik?" tanya Sarah dihujung talian. 

"Pujuk Hana kerja di cafe. Sarah berjaya pujuk dia, tiket konsert di KL jadi hadiah. Tapi, bersyarat, okay." tuturku dengan suara yang sengaja ditegaskan. Terdengar jeritan halus dari Sarah dicorong sana. Menjerit-jerit memanggil kakaknya untuk menyampaikan berita tersebut. Cis! Orang perempuan ni tak boleh sabar sikit ke pasal hal-hal kejutan.

"Oookkayyy! It's a deal, brother. Maybe Sarah boleh blackmail Abang Chik pulak lepas ni. Abang mesti tak nak Hana tahu kan tentang kita.. Hihihiii..." Perghh! Memang dasar perempuan. Akal liciknya banyak. Ucapannya mengikat. Huh! Nasib badan! 

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh