“Kau jangan
nak malukan aku, Bib! Belum pernah lagi terjadi dalam keturunan aku, orang
perempuan bergelumang dengan segala mak nenek spanar bagai! Kau jangan degil,
nanti aku sumbat mulut kau dengan skru-skru ni hah!” Bib menggaru-garu
kepalanya. Tool box yang sudah berserakan dengan muntahan skru dan spanar
sekadar menjadi santapan matanya sahaja. Amukan tsunami Mak Yam sebentar tadi
menjadi penyumbang utama kepada kecamukan yang melanda kamar tidurnya saat itu.
Bib
menyerigai. “Relakslah mak. Janganlah marah-marah, nanti cepat tua, muka pun
berkedut seribu nanti.”
Mak Yam
membentak. “Kepala hotak kau relaks! Cukup-cukuplah setakat ni aku mengadap
perangai kau yang tak semenggah tu. Lama-lama boleh sakit otak aku di buatnya!”
Mati kutu Bib. Buntu dia memikirkan cara-cara untuk melembutkan hati ibu
tirinya itu agar menerima keputusannya dengan hati yang terbuka.
PON! PON! Skooter
Modenas Karisma 125 berwarna merah hati muncul di halaman rumah. Bagaikan tidak
cukup tanah Bib berlari-lari ke arah Ash yang sudah siap sedia menunggu di
bawah.
“Hei Bib!!
Dah berapa kali aku cakap, aku nak naik Camry, tak mainlah setakat skooter
cabuk macam tu!” Tak semena-mena berasap kepala Bib. Pagi-pagi begini hatinya
sudah mendidih dek mulut longkang ibu tirinya!
“Mak, kalau
mak nak naik sangat Camry, mak jelah kahwin dengan mamat Camry tu! Tunggulah tak lama lagi Toyota Wish Bib
sendiri akan menjalar di hadapan rumah kita ni.”
Mak Yam
mencebik. “Wish konon! Kau jangan nak beranganlah! Kerja pun tak ada, ada hati
nak pakai Wish. Nak muntah aku mendengarnya.” Pedih hati Bib. Hinaan Mak
Yam terhadapnya tidak pernah
berkesudahan. Laju sahaja mulutnya mahu menyembur semula namun hangatnya
sentuhan Ash yang singgah di bahunya seakan menjadi penutup mukadimahnya untuk
pagi ini.
Dengan
tidak semena-mena sebuah kereta Toyota Camry berwarna kelabu menjulur masuk ke
perkarangan rumah. Mak Yam tersenyum lebar sampai ke telinga. Seronok di
hatinya tidak terkira apabila bakal menantu pilihannya sudah tersergam di
hadapan mata. Bib terus angkat kaki. Malas pula dia nak bermesra-mesra dengan
bakal suami tak jadinya itu!
“Hei Bib!
Kau nak ke mana tu? Riz datang ni.” Nada suara Mak Yam sedikit kendur.
“Bib dah
lambat nak masuk kerja ni. Mak jelah yang layan si Riz tu. Assalamualaikum.” Dengan
selamba Bib terus membonceng skooter Ash. Di gesanya pemuda itu agar segera
berlalu dari situ. Terbeliak bebola mata Mak Yam melihat gelagat anak tirinya.
Ikutkan hati mahu sahaja di pasungnya kaki Bib ke tiang seri rumah. Biar dia
tidak betah merayau ke sana ke mari lagi.
“Bib! Kau
jangan kerja kat situ! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni? Bib!!” Riz hanya
menggeleng-gelengkan kepala. Sudah acap kali benar dia melihat perang di antara
ibu dan anak ini sehinggakan dia lali dengan situasi sebegitu.
“Riz,
makcik minta maaf, ya? Tadi makcik dah suruh Bib tunggu kedatangan Riz tapi dia
tu memang keras kepala. Asyik nak membantah cakap orang tua sahaja.” Mak Yam
melepaskan amarah di hati. Riz hanya tersenyum. Inilah peluang baginya untuk
mengambil hati orang tua itu!
“Janganlah
risau, makcik. Saya tak kisah. Sebenarnya saya datang ke sini nak ajak makcik
pergi ke bandar. Ingat nak belikan barang-barang dapur sikit untuk makcik dua
beranak.” Seperti di duga umpan Riz mengena.
“Oh, yeke?
Molek juga tu, kebetulan beras memang dah habis kat dapur tu. Riz tunggu
sekejap, makcik tukar baju dulu, ya?”
Riz hanya
memerhatikan liuk lenggok tubuh Mak Yam yang berdedai masuk ke dalam rumah. Walaupun
usia Mak Yam sudah menghampiri ke angka pertengahan abad namun kecantikannya
masih terserlah. Dan kecantikan yang sama itu jugalah yang membaluti pujaan
hatinya, Bib! Kerana kecantikan yang dimiliki oleh Bib itu jugalah membuatkan
kakinya ringan sekali datang ke sini. Kedudukan Bib selaku gadis paling jelita
di Kampung Pening Lalat tidak memungkinkan Riz berpaling kepada mana-mana
perempuan lain. Memang benar Syasya sudah diratahnya, Rina pula sedia menyerah
bila-bila masa sahaja yang diperlukan. Namun si empunya nama Bib @ Bibiana
Raisya ini sukar sekali untuk ditawan. Hatinya seakan-akan kebal dengan wang
ringgit dan kemewahan. Masih terngiang-ngiang di telinganya saat Din dan Hairul
melemparkan cabaran buatnya untuk melembutkan hati batu si gadis.
“Kalau kau
betul-betul jejaka idaman Malaya, aku cabar kau untuk dapatkan si Bib tu. Buat
sampai dia tergila-gilakan kau.”
Riz
tersenyum angkuh. “Itu perkara kecillah, Din. Sekali aku lempar duit kat muka
dia, gerenti terus dia sembah aku punya.”
“Jangan
cakap besarlah, bro. Kau tak kenal lagi si Bib tu. Dia tu perempuan yang paling
liat sekali setakat ini yang pernah aku jumpa. Kau kenal Cikgu Man?”
Hairul
mencelah. “Cikgu Man, anak orang kaya dari bandar tu, kan?”
“Haah,
betul. Korang tahu tak, cinta Cikgu Man tu mentah-mentah je si Bib tu tolak,
tau? Tu yang aku nak suruh kau test power pula. Kalau betul kau dapat pikat Bib
tu, motor aku ni sah jadi milik kau.” Riz merenung wajah Din dengan rasa kurang
percaya. Tak mungkin Din sanggup menyerahkan bulat-bulat motorsikalDucati 848 Evo yang baru dibelinya dengan harga RM
110,00!
“Kau jangan buat lawak antarabangsa dengan aku, Din. Aku
seligi kau karang, baru tahu.” Din tersenyum sambil mempamerkan barisan gigi
putihnya yang tersusun rapi.
“Alah Riz, sebenarnya kau tak berani nak sahut cabaran
aku, bukan? Pigidah, jejaka idaman Malaya konon. Jejaka idaman taik kucing!”
Merah padam muka Riz. “Woi, cakap baik-baik sikit ya!
Ini Rizman anak ketua kampung tau! Sedangkan Rina anak pegawai daerah tu pun
senang-senang je jatuh dalam genggaman aku, ini pula setakat budak kampung
macam Bib tu. Tunggulah, aku akan buktikan pada korang!”
KLUK! KLAK! KLUK! Bunyi mangga pintu rumah Mak Yam
segera menyedarkan Riz dari lamunan panjang. Sejurus selepas itu Riz dan Mak
Yam sudah pun berada di dalam perut Camry yang sedang meluncur laju menuju ke
bandar.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
“Bagi aku
spanar nombor 3 tu.”
Bib
terkebil-kebil. “Yang mana satu ni, Ash? Aku tengok sama je rupanya.”
“Kan ada
tulis nombor dekat hujung spanar tu? Kalau nak kerja kat sini kenalah fokus,
jangan asyik nak berangankan Wish je! Cuba kau buka mata tu besar-besar sikit. Lembab
juga kau ni, kan?” Bib tersentak. Kata-kata Ash itu sedikit sebanyak mengguris
hatinya. Mendung terus berarak di wajahnya.
“Hello,
nama Wish jangan kau bawa masuk dalam ini cerita, hah! Cakap elok-elok sikit
tak boleh ke? Tak apalah kalau kau rasa aku tak layak kerja di sini aku nak baliklah.”
Bib terus bangkit. Pantas kakinya melangkah keluar dari bengkel itu.
Ash
menampar-nampar mulutnya sendiri. Kenapalah mulutnya begitu celupar sekali memarahi
gadis idaman hatinya itu? Ash terus mengejar Bib dari belakang. Tanpa sebarang
amaran dipintasnya gadis jelita tersebut. Hampir-hampir sahaja muka mereka
berlaga. Hembusan nafas kasar Bib memenuhi segenap ruangan wajah Ash. Mata
bundar Bib pula menelanjangi setiap inci wajah kacak Ash. Hati masing-masing
mula tidak keruan. Rona-rona bahagia sudah mula bercambah di dalam jiwa. Adakah
ini yang dikatakan cinta?
“Ash!
Tolong tengokkan kereta aku ni. Enjinnya tiba-tiba mati pula tadi.” Kemunculan
Zaman secara tiba-tiba menamatkan kisah cinta yang baru sahaja berputik.
Bingkas Ash menuju ke kereta Zaman.
Bib pula
berbolak-balik. Hendak ditinggalkan Ash begitu sahaja, kasihan pula dia melihat
Ash terkontang-kanting seorang diri. Sudahnya langkah kaki Bib terpacu semula
ke bengkel kereta Ash. Terus dia menuju ke arah Ash dan Zaman. Rupa-rupanya kereta
Zaman mengalami masalah dengan ‘fuel injection pump’. Bib tekun memerhatikan
Ash yang sedang berhempas-pulas mengeluarkan ‘fuel injection pump’ yang telah
rosak untuk digantikan dengan yang baru. Secebis kekaguman terbit di sudut hati
Bib. Di kala begini serasanya kebanyakan jejaka seusia dengan Ash pasti lebih
mendambakan sebuah pekerjaan di pejabat yang berhawa dingin. Namun nyata sekali
Ash tidak kisah dengan pekerjaannya sekarang yang banyak bergelumang dengan
kekotoran.
Ya, Ash
yang dikenalinya sejak dari zaman persekolahan lagi memang seorang yang komited
dalam apa jua pekerjaan yang dilakukannya. Masih segar lagi di minda Bib
sewaktu mereka berdua masih lagi berada di alam persekolahan. Sebagai seorang
pegawas Ash di tugaskan untuk mengawal pintu sekolah. Pada suatu hari dia sempat
memperbaiki rantai basikal salah seorang pelajar yang datang lewat. Upah
sebanyak 50 sen di bayar pelajar tersebut dengan harapan dia tidak akan
didenda. Yang lucunya Ash tetap mencatat nama pelajar tersebut dalam buku
kesalahan. Memang terbaik!!
“Hai, tadi
beria-ria nak balik sangat. Kenapa patah sini semula? Nampak sangat dia tak
boleh berpisah dengan kita.” Rupa-rupanya Bib tenggelam dalam lautan khayalan
sehinggakan dia tidak sedar yang Zaman sudah beredar dari situ.
Bib
mencebik. “Jangan perasanlah wei, siapa yang tunggu kau, hah? Dahlah hari pun
dah lewat petang ni. Hantar aku balik kejap. Nanti bising pula mak aku tu
nanti.”
Ash mengerling
nakal. “Ala, dia takkan marah punyalah. Aku ni kan bakal menantu dia.”
“Woi!
Statement kau tu jaga-jaga sikit. Pandai-pandai je kau upgrade diri sendiri
sebagai bakal menantu merangkap bakal suami aku. Apa kau ingat aku ingin sangat
ke nak berlakikan jejaka macam kau ni.” Berhamburan kutukan Bib di lemparkan ke
arah Ash. Selalunya Ash menadah sahaja telinganya dengan hati terbuka. Entah
mengapa hari ini hatinya rasa tersiat-siat dengan kata-kata Bib itu.
Direnungnya wajah Bib yang putih bersih itu.
“Bib, teruk
sangat ke aku ni? Memang aku ni tak layak ke jadi calon suami kau?” Bib
terdiam. Tidak dijangkanya soalan sebegini akan terpacul dari mulut Ash.
“Bukan
begitu maksud aku, Ash. Aku dah anggap kau macam kawan baik aku. Tidak pernah
walau sebesar kuman sekalipun aku terfikir untuk menjadikan kau sebagai calon
suami.” Ash tunduk. Wajahnya benar-benar suram. Terasa seperti dadanya di
henyak dengan batu besar.
“Maknaya
kau tak boleh terima aku sebab aku ni kawan baik kau? Andaikata kita dah tak
jadi kawan baik, adakah kau akan terima aku?” Buntu seketika Bib. Pelbagai
andaian mula bertandang di dalam hatinya. Mengapa pula Ash bertanyakan soalan
sebegini kepadanya. Adakah Ash menyukainya?
“Kenapa kau
tanya semua soalan pelik macam ni pada aku, Ash? Kita kan dah berkawan sejak
dari alam persekolahan lagi. Tak mungkin kau sukakan aku, kan?” DUM!! Bergetar jiwa Ash apabila Bib
bertanyakan soalan berani mati itu kepadanya. Ash cuba berdalih.
“Eh, tak
adalah. Mana ada aku suka kat kau. Aku anggap kau macam kawan jelah.” Senyum
kelat menghiasi bibir Ash. Punah jiwanya apabila bibir terpaksa mendustai
hatinya sendiri.
“Sudahlah
tu. Hantar aku balik sekarang. Nanti mengamuk mak aku karang.” Skuter itu pun
membelah keredupan petang yang sudah semakin menjejaki senja. Namun suasana
yang semakin kelam itu sama sekali tidak dapat menandingi kelamnya jiwa Ash di
saat ini!
^^^^^^^^^^^^^
Din dan
Hairul menunggu dengan tenang. Mereka yakin dengan perancangan teliti seperti
ini, sudah pasti ianya akan membuahkan hasil yang menakjubkan! Dari kejauhan
kelibat skooter berwarna merah hati semakin menunjukkan kelibatnya. Din dan
Hairul bergegas turun dari motorsikal dengan wajah yang sugul.
“Hei! Apa
yang korang berdua buat kat depan rumah aku ni, hah? Mak aku mana?” Bib
melontar pertanyaan bertubi-tubi. Mereka berdua berpandangan dengan wajah
serba-salah.
“Bib, aku
harap kau jangan terkejut dengan berita ini. Mak kau pengsan kat bandar tadi.
Riz dah hantar dia kat hospital.”
“APA?
Korang berdua biar betul? Macam mana mak aku boleh pengsan? Kenapa tadi Riz tak
telefon aku?” Menyirap darah Bib. Marahnya dia bukan kepalang pada Riz!
“Macam mana
dia nak telefon, kau mana pernah bagi nombor telefon kau kat dia.” Gulp! Kata-kata
Din itu tepat mengena batang hidung Bib.
Ash
mencelah. “Bib, tak payahlah kecoh-kecoh kat sini. Sekarang ni baik kita pergi
ke hospital dulu. Jom aku hantar kau.” Bib hanya akur. Dengan segera skooter
Ash di boncengnya. Sebaik sahaja Ash dan Bib berlalu pergi, Din terus
menghubungi Riz.
“Hello Riz.
Semuanya berjalan lancar. Sekarang ni mereka berdua dalam perjalanan ke
hospital.”
Riz
tersenyum lebar. “Bagus! Bab pertama sudah selesai. Sekarang ni korang saksikan
pula macam mana aku memainkan peranan dalam bab kedua.”
^^^^^^^^^^^^^^^
Masa di
rasakan berlalu dengan amat perlahan sekali. Sebaik sahaja mereka sampai di
hospital, Bib terus berlari ke kaunter pertanyaan
“Cik,
tumpang tanya, di mana pesakit yang bernama Mariam binti Sood berada. Saya ni
anak dia.”
“Sebentar
ya.” Risaunya semakin membuak-buak. Walaupun Mak Yam itu bukan ibu kandungnya
Bib tetap rasa bertanggungjawab ke atasnya. Sementalah semenjak ayahnya
meninggal dunia lima tahun yang lepas, Mak Yam lah yang telah bersusah-payah
membesarkannya.
“Cik, ibu
cik ada di bilik rehat untuk pesakit luar. Biliknya di sebelah kiri hujung
sekali.”
“Terima
kasih.” Tanpa membuang masa Bib menghayunkan kaki dengan pantas menuju ke bilik
rehat tersebut. Ash yang baru sahaja sampai di lobi hospital turut sama
membontoti Bib. Sebaik sahaja bilik tersebut dihampiri gegendang telinga mereka
berdua jelas dapat menangkap perbualan di antara doktor dan Riz.
“Doktor,
betulkah Mak Yam tak ada apa-apa? Terima kasih doktor.”
“Sama-sama.
Ini memang dah tugas saya. Saya lihat Encik Riz ni betul-betul ambil berat
pasal Mak Yam. Encik Riz ni saudara dia ke?”
“Saya dan
Mak Yam sekadar saudara seislam, doktor. Tapi saya dah anggap dan sayang dia
macam mak saya sendiri.”
Bib terkedu
seketika. Benarkah apa yang di dengarnya ini? Riz sayangkan ibu tirinya sampai
ke tahap itu sekali? Tiba-tiba dia rasa berdosa yang amat sangat pada Riz.
Selama ini dia tidak pernah melayan Riz dengan baik. Hatinya diundang perasaan
bersalah yang tidak bertepian membuatkan laju sahaja kakinya meluru masuk.
“Mak, apa
yang dah jadi ni? Doktor, kenapa dengan mak saya?”
“Jangan
risau, cik. Dia tak apa-apa cuma kurang rehat saja. Jangan risau lepas dah
makan ubat dan berehat secukupnya Insya Allah dia akan sembuh. Mujurlah Encik
Riz cepat-cepat hantar dia ke mari. Kalau tidak tak tahulah apa akan jadi pada
mak cik.”
Bib tertunduk
menekur ke lantai. Malunya dia tidak terperi. Riz yang selama ini di anggap
seteru ketat sudah berubah jadi sang pari-pari yang baik hati.
Isi hati
Bib mudah sahaja di tangkap oleh Mak Yam. “Bib, mak tahu memang dari dulu kamu
memang tak suka dengan si Riz ni. Tapi mak boleh jamin, Riz berupaya untuk
membahagiakan kamu di sepanjang hayat kamu. Mak ni dah tua, Bib. Entah berapa
kama lagi mak akan bernafas di bumi Allah ni. Sebelum mak menghembuskan nafas
terakhir, teringin sangat mak nak tengok kamu di ijabkabulkan dengan Riz.
Itulah impian mak yang terakhir.”
Bibi
tersentak. Terus sahaja air matanya luruh bagaikan air terjun Niagara Falls kat
Amerika Syarikat tu!
“Janganlah
cakap macam tu, mak. Baiklah. Bib akan turut segala kemahuan mak.”
Jawapan
Bibi yang langusng tidak terjangkau dek minda Mak Yam dan Riz itu terus sahaja
membuahkan senyuman lebar di bibir masing-masing. Namun sebaliknya bagi Ash.
Dadanya bagaikan di hempap batu berat. Nafasnya kian tersekat-sekat.
“Tidak! Kau
tak boleh kahwin dengan Riz, Bib. Kau tak boleh kahwin dengan Riz sebab aku
cintakan kau!”
Malangnya
teriakan itu hanya mampu berlagu dalam hati Ash sahaja. Dia harus menerima
hakikat, gadis idamannya akan menjadi milik orang lain!
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Riz tersenyum
riang. Sesekali dia mengerling ke arah Bib yang sudah di solek indah. Cantiknya
dia! Terbetik perasaan bangga di jiwa Riz kerana berjaya memiliki gadis
tercantik di Kampung Pening Lalat ini. Tidak sia-sialah dia menabur ubat tidur
tempohari dalam minuman Mak Yam sehinggakan bakal ibu mertuanya terdampar
seketika di hospital. Dek kerana itulah Bib terperangkap dalam lakonannya
sehinggakan Bib terus sahaja menerima cintanya bulat-bulat.
“Dah sedia
semua?” tebak Tok Kadi. Lamunan Riz segera menjauh. Pantas kepalanya di
anggukkan berkali-kali. Jemari sasanya segera di raih oleh Tak Kadi dengan
kemas.
“Rizman bin
Razak, aku nikahkan dikau…”
Sebuah
jeritan yang datang dari pintu terus sahaja menyentak sekalian hadirin yang
hadir.
“Tunggu
dulu, Tok Kadi. Pernikahan ini tak boleh berlangsung sebab saya tengah
mengandungkan anak pengantin lelaki tu!”
Rina, anak
pegawai daerah sudah berdiri di muka pintu. Perutnya yang memboyot sudah cukup
untuk membuktikan segala-galanya.
Menyirap
darah Bib di buatnya. “Apa semua ni, Riz? Apa sebenarnya niat kau, hah? Mak,
kalau macam nilah perangai bakal menantu mak, Bib tak sanggup berkahwin dengan
dia. Kita batalkan saja pernikahan ni.”
Riz sudah
menggeletik keresahan. “Eh, mana boleh nak batalkan pernikahan kita macam tu
je! Makcik, makcik percayakan saya, kan? Kan makcik minat sangat dengan kereta
Camry saya tu? Saya janji, lepas saya bernikah dengan Bib, saya bagi terus
kereta Camry tu kat makcik.”
Mak Yam
tersenyum sinis. “Ya, memang aku minat sungguh dengan kereta Camry kamu tu.
Tapi mintak maaflah, ya. Aku lebih rela naik skuter daripada naik kereta Camry
buaya tembaga macam kamu ni! Sekarang ni berambus dari rumah aku! Berambus
sekarang!”
Merah padam
muka Riz di buatnya. “Ok, takpe. Makcik akan menyesal nanti sebab malukan saya
macam ni.”
Riz
bergegas turun. Pantas dia melangkah ke arah kereta Toyota Camrynya. Kemudian
sengaja dia melanggar skuter kepunyaan Bib yang elok tersadai di bawah rumah.
“Hei
makcik! Sekarang ni skuter Bibi saya dah jahanamkan. Lepas ni makcik jalan kaki
jelah nampaknya!” selar Riz dengan wajah cemberut.
Dengan
tidak semena-mena sebuah kereta Toyota Wish berwarna hitam metalik meluncur
masuk ke perkarangan rumah Mak Yam. Semua yang berada di situ terpana. Seorang
jejaka kacak melangkah turun dari kereta Toyota Wish tersebut dengan penuh
bergaya.
“Siapa
cakap Mak Yam akan jalan kaki lepas ni? Mulai dari hari ini Mak Yam dan Bib
akan naik kereta Wish ni ke mana-mana sahaja mereka nak pergi.”
Ternganga mulut
Riz mendengarnya. Silap-silap kereta Toyota Wish itu pun boleh muat ke dalam
mulutnya!
Jejaka
tersebut melangkah ke arah Bib dengan senyuman manis terukir di bibir. Kunci
kereta Toyota Wish tersebut di unjurkan ke arah gadis idamannya itu. “Bib, sudi
tak kau terima kereta Toyota Wish ini beserta dengan tuan punya kereta sekali?”
Bebola mata
Bib mula berkaca-kaca. Wajah kacak Ash di renungnya dengan perasaan hiba. “Aku
sudi, Ash. Aku sudi terima kau tapi dengan satu syarat. Boleh tak aku try bawak
kereta idaman aku ni dulu?
Serentak
itu semua hadirin yang berada di situ ketawa gembira. Ash sekadar menganggukkan
kepalanya sahaja. Hatinya berbunga riang. Akhirnya impian si jelita idaman
hatinya itu berjaya juga di penuhinya.
“Aku janji
akan membahagiakan hidup kau buat selama-lamanya, Bib. Aku cintakan kau sepenuh
hati,” bisik Ash dalam hati.
~ TAMAT ~