11,277
Kategori:
Genre:
BAB 2

#RAMBUT


Kisah ni berlaku pada adik aku sendiri. Pada tahun 2015,  adik aku yang  bernama Anis (bukan nama sebenar) akan menghadapi peperiksaan SPM.  Ini bermakna,  semua cikgu kelas dikehendaki mengadakan kelas tambahan kepada para pelajar di malam hari.

Anis dan kawannya Nora dihantar oleh ayah kami ke sekolah yang tidak berapa jauh dari rumah.   Sebenarnya sekolah tu dibelakang rumah kami saja tetapi terpaksa menaiki kenderaan kerana pintu utama terletak dibahagian depan sekolah lagipun waktu malam bahaya untuk anak dara berjalan sendirian.

Tidak seperti malam-malam sebelumnya,  ayah terpaksa menghantar mereka lebih awal kerana terlibat dengan mesyuarat JKK.  Maka tercongok la si Anis dan si Nora ni di luar koridor sekolah sementara menantikan pelajar-pelajar lain datang.  Sedang asyik bersembang dan ketawa,  tiba-tiba Anis rasa tak sedap hati.  Badannya seram sejuk dan meremang.  Hatinya meronta-ronta untuk melihat blok bangunan disebelah.  Sebaik saja dia menoleh,  riak wajahnya bertukar ketakutan dan hanya mampu beristighfar panjang sambil mengurut-ngurut dada.  Dia ternampak satu lembaga berpakaian putih dan berambut panjang merenung tajam ke arahnya.  Nora langsung tidak sedar akan perubahan Anis.  Nasib mereka baik tidak lama selepas itu rakan-rakannya yang lain dan cikgu mereka akhirnya sampai.

Anis langsung tidak dapat menumpukan perhatian kepada subjek yang diajar gurunya.  Sekali sekala dia menjeling ke arah luar tingkap untuk melihat blok sebelah.

Sesi pembelajaran tamat pada jam 10:00 malam dan ayah telah siap sedia menunggu untuk menjemput mereka pulang.  Jarum jam menunjukkan pukul 12:00 tengah malam.  Anis tidur sebilik dengan kakak keempatnya bernama Kak Farah tetapi berlainan katil.  Satu habit buruk si Farah ni ialah dia suka sangat mandi lewat malam.  Anis hanya terbaring lesu memandang bilah-bilah kipas yang berpusing.  Fikirannya kosong,  namun debaran di dadanya masih sama seperti tadi.  Dia resah  gelisah dan sukar sekali untuk melelapkan mata.   Usai mandi Kak Farah bersiap-siap untuk tidur dan ingin memadamkan lampu tetapi dilarang oleh Anis.  Dia takut untuk tidur sendirian dikatilnya dengan hanya bertemankan lampu tidur. 

"Kau ni kenapa Anis?  Akak tak boleh la tidur dalam suasana terang benderang ni.  Panas tau tak?," bebel Kak Farah.

" Please kak.   Malam ni je jangan padam lampu tu.  Kalau nak padam pun akak tidur sebelah Anis...boleh?"  sayu Anis merayu dan berharap agar Farah memahaminya.

"Mengada betul la kau ni...dah, tidur je la.  Esok nak sekolah kan?"

Farah tidak mengendahkan permintaan Anis.

Tap!

Suis lampu dipadam.  Anis masih terkebil-kebil sendirian.

"Ya Allah,  lindungi aku dari gangguan syaitan"  doanya dalam hati.

Farah sebenarnya berasa tidak sedap hati juga tetapi dia hanya mendiamkannya saja.  Dia membelek-belek telefon bimbit dan membuka aplikasi sosial.  Ketika hampir lena,  palang besi katil Farah diketuk-ketuk seseorang dan menghasilkan bunyi yang agak nyaring. 

Tunggg! Tungg! Tungg!!

Anis,  jangan main-main boleh tak...dah lewat malam kot?," marah Farah.  Matanya masih dipejamkan.

Anis yang masih belum dapat melelapkan mata kehairanan. 

" Bukan Anis la kak...Anis tak buat apa-apa pun,"  Anis menjawab dengan takut-takut.

Farah terus menyambung lenanya yang tergendala tadi.

Anis terlihat bayang-bayang melintasi dihadapannya dari simbahan samar lampu tidur. 

Zrussss!  Zrussss! Zrusss!

Sekali lagi jantung Anis berdegup kencang.  Bunyi tadi seperti cakaran di dinding biliknya.  Rumah kami hanyalah sebuah rumah kampung berdinding dan berlantaikan kayu.

Pappppp! Bukkkkk!

Katil Anis bergoncang perlahan.  Dapat Anis rasakan seperti ada sesuatu yang terbang lalu hinggap di atas kepala katil betul-betul diatas kepalanya. 

Tiba-tiba terdengar suatu suara disertai dengan hilaian halus.

"Ini rambut....rambuttt..rambuttt...rambutttt...!! Hihihihihihihi."

Makhluk bersuara seperti seorang nenek tua itu membelai-belai rambut Anis sambil berulangkali menyebut perkataan tesebut.  Terasa tajam dan panjang kuku makhluk itu yang membelai rambutnya.

Anis hanya mendiamkan diri.  Terasa seperti hendak demam dengan tiba-tiba.  Seketika kemudian,  badan Anis tidak dapat digerakkan langsung.  Kakinya sejuk dan kaku.  Sah badannya dihempap sesuatu!! Dia amat takut untuk membuka mata.  Dadanya terasa terhimpit dan sesak.  Oksigen semakin kurang dan dia tercungap-cungap kelemasan.  Terasa seperti dicekik kuat dileher.  Hendak baca ayat Kursi dan surah-surah lain pun tidak mampu dalam keadaan itu.

Tapp..!

Bilik tidur Anis terang-benderang.  Rupa-rupanya Kak Farah telah bangun memetik suis lampu utama.  Gangguan tadi serta merta hilang.

"Akak...Anis tak kira akak marah ke tak.  Anis tetap nak tidur ngan akak malam ni!"  ujar Anis lalu mengambil bantal dan selimut.

"Suka hati Anis la.  Tapi jangan buas sangat.  Kalau tak akak tendang sampai jatuh katil" Kak Farah memberi ugutan.

Kak Farah memang agak garang orangnya tetapi baik hati.  Anis tidak pasti kenapa Kak Farah tiba-tiba membuka lampu utama dan dia pun tidak pernah bertanya akan hal itu.  Yang pasti dia amat bersyukur dengan tindakan Kak Farah yang telah menyelamatkannya.  Sehingga kini,  Anis masih lagi diganggu dengan ketukan-ketukan kuat di dinding bilik mereka.  Dia telah terlalu biasa sehingga kadang-kadang dia membalas kembali ketukan tersebut.  Telah banyak kali juga Anis menceritakan kepada Ibu.  Tetapi ibu langsung tak percaya akan hal-hal sebegitu.

TAMAT


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh