Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
102,370
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 19

SEJAK kejadian itu, hari-hari Athar dan Haura tidak lagi seindah dahulu. Mereka tidak lagi berkomunikasi apatah lagi mengungkapkan rasa cinta antara satu sama lain. Bukan Haura tidak cuba membetulkan hubungan mereka. Tapi Athar masih tetap dengan pendiriannya. Bahkan, Haura turut berdandan untuk nampak cantik buat Athar walaupun berada di rumah. Menyediakan makanan kegemaran Athar walaupun dia tidak suka makanan pedas. Tapi, semuanya sia-sia. Kalau sebelah pihak sahaja mencuba namun sebelah pihak mengelak bagaimana hubungan ini mahu dibetulkan? Haura buntu.

               "Kenapa suara anak mak sedih saja ni? Cucu mak sihat saja kan?"

               Suatu petang, Puan Suria yang menghubungi anaknya dapat menangkap nada sayu di sebalik suara Haura. Hairan. Bukankah kehadiran bayi dalam kandungan anaknya itu memberikan kebahagiaan?

             "Sihat. Haura penat saja, mak. Biasalah kandungan Haura dah masuk sebulan. Lagi pun, alahan Haura ni makin teruk. Sebab tu Haura macam ni," helah Haura sambil mengusap air matanya.

             "Haah! Nak tipu mak ke? Mak lahirkan Haura dan mak juga yang besarkan satu-satunya anak mak ni. Kenapa ni? Athar ada buat anak mak sedih ke? Dia tak jaga Haura baik..."

            "Tak adalah mak! Athar jaga Haura baik-baik. Mak jangan risaulah. Haura rindu arwah abah je. Kalau arwah abah ada mesti dia suka dapat cucu tak lama lagi," ujar Haura. Dia tertawa menyembunyikan nada sayunya. Ini alasan yang munasabah. Dia tidak mahu ibunya susah hati dengan masalah di antara dia dan Athar.

           "Dah! Janganlah sedih-sedih macam ni. Kalau Athar jaga kamu baik-baik mak tumpang gembira. Haura kena jaga emosi Haura baik-baik. Biasanya emosi ibu mengandung ni akan bagi impak dekat janin. Haura jangan lupa pesanan mak. Makan makanan berkhasiat yang mak kirim pada Haura tu. Amalkan surah-surah yang mak pesan untuk cucu mak. Tak sabar mak nak sambut kelahiran cucu mak ni," pujuk Puan Suria. Nada suaranya yang kedengaran teruja membuatkan Haura tersenyum. Dia senang mendengar kata-kata ibunya.

            Namun, sewaktu talian ditamatkan. Air mata Haura kembali mengalir. Dia rindukan Athar. Dia perlukan kehangatan Athar. Sama-sama menemaninya ketika dia sakit. Ketika dia mengalami alahan. Tapi, semuanya hanya menjadi debu. Athar bukan lagi Athar yang menyayanginya. Bahkan, kadangkala dua tiga hari Athar tidak pulang ke rumah. Meninggalkannya bersendirian di dalam rumah. Ingin sekali Haura memberitkan bahawa dia sedang mengandungkan anak mereka. Tapi, Athar langsung tidak memberikan peluang kepadanya untuk menyampaikan berita itu.

ATHAR tergamam tatkala beberapa keping foto dilemparkan kepadanya sebaik sahaja dia keluar dari surau. Terpampang wajah tegang Haura di hadapan matanya sebelum pandangannya jatuh memandang foto yang menggambarkan dia sedang melawat Aria yang sakit di hospital. Ada foto yang menunjukkan dia dan Aria duduk di sebuah taman.

             "Berhenti cintakan awak? Sebab ni?" soal Haura. Dia tidak lagi mempedulikan beberapa staf Hazrul yang berada di ruangan berhampiran surau.

              "Mana kau dapat gambar-gambar ni?" soal Athar. Dia mengutip dan merenyukkan foto-foto tersebut.

              "Jawab soalan saya Encik Athar! Berhenti cintakan awak sebab awak dah kembali dengan Aria? Macam tu ke?" soal Haura. Dingin. Hatinya benar-benar bergelegak panas tatkala foto tersebut dihantar kepadanya di kafe sebentar tadi.

            "Tak penting untuk kau. Aku tak nak cakap pasal benda macam ni. Baliklah Haura. Pergi uruskan kafe kau dan aku kat sini nak sambung kerja aku," jawab Athar. Dia mencapai peralatan membaiki kereta di dalam kotak peralatan seraya menyambung pekerjaannya yang tergendala. Foto-foto yang dilemparkan sudah dimasukkan ke dalam poket seluarnya.

          "Kita perlu berbincang."

           Athar mengeluh berat dengan kedegilan Haura. Wajah tegang Haura dipandang sebelum dahi Haura dijentik lembut. "Balik."

           "Awak cintakan Aria lagi ke?"

          "Tak."

          "Dah tu kenapa awak jumpa dia lagi? Kenapa awak layan saya macam saya ni tak ada perasaan?!" bentak Haura seraya menahan langkah Athar.

          Athar mengetap bibirnya. Wajahnya serta merta membahang merah. Dinding hatinya seolah-olah dibakar dengan kemarahan. Lantas, kedua belah bahu Haura dicengkam kuat. Haura benar-benar mencabar kesabarannya petang ini. Saat ini juga emosi Athar mula terganggu. "Kau boleh tak jangan menyemak kat sini? Aku kata balik, baliklah! Jangan paksa aku buat benda yang aku tak nak! Macam mana lagi aku nak fahamkan kau yang aku tak nak berbincang. Susahlah cakap dengan orang degil macam kau ni! Kau ingat aku tak ada kerja nak buat ke selain layan karenah kau ni. Haish semaklah! Baik kau berambus sekarang juga!" Tak semena-mena Athar menengking Haura seraya menolak lembut tubuh isterinya. Dia mendengus seraya menyambung pekerjaannya.

          Haura tergamam. Tatapan mata Athar yang seakan-akan membencinya membuatkan dia tersentak. Sungguh, Haura rasa sesak. Dia memandang sekelilingnya. Beberapa pasang mata pekerja di bengkel itu ada yang ralit memandang ketegangannya dan Athar. Tanpa pamit, Haura melangkah pergi dengan hati yang berat. Sungguh, dia benar-benar terkilan dengan sikap Athar. Membiarkan dia terkontang-kanting dengan jawapan yang tergantung sepi. Teganya Athar melayaninya seperti ini. Sungguh, Haura tidak pernah menyangkakan bahawa hati Athar akan berubah.

HAURA rasa dia sudah gila dan menempah kemarahan Athar. Masakan tidak, kerana persoalan bertubi-tubi bermain di benak fikirannya dia mencari maklumat mengenai keberadaan Aria selama tiga hari. Sepantas kilat dia menemui jawapan dan di sinilah dia. Berdiri berhadapan dengan Aria yang kelihatan uzur di atas katil hospital.

           "Awak siapa?"

          "Saya Haura. Isteri kepada Athar. Bekas teman lelaki awak," jawab Haura seraya meletakkan bakul berisi buah-buahan di atas meja.

           Aria tergamam dengan kehadiran Haura. Wajah manis Haura dipandanganya dengan pandangan yang tajam. Penampilan isterinya Athar memang kelihatan sopan. Sungguh, Aria tidak menyangka bahawa bekas kekasihnya sudah jauh berubah menjadi yang lebih baik. Memilih seorang wanita yang muslimah walhal Athar yang dia kenal dulu sering melanggar hukum agama. Semuanya hanya kerana hidup bertuhankan duit.

         "Kau... cantik. Tapi sayang, Athar... pilih aku daripada kau," ujar Aria seolah-olah memulakan provokasi. Panggilan nama juga tidak lagi selembut tadi. Nada suaranya kedengaran begitu serak dan lemah di pendengaran Haura. Dia tersenyum sinis sehingga menampakkan bibirnya yang pecah-pecah akibat jangkitan HIV.

         "Sebab tu kedatangan saya ni sebab saya nak bagi amaran dekat awak. Awak dah tinggalkan dia lepas dia masuk penjara. Awak tak nak hidup miskin dengan dia. Tapi bila awak dah sakit, kenapa awak nak rampas suami saya balik? Saya tak kesahlah siapa awak pada dia dulu tapi awak tak malu ke? Awak tak malu kutip sesuatu yang awak dah buang?" tegas Haura. Dia cuba mengawal kesabarannya walaupun sejak dia hamil emosinya sering berubah-ubah.

        Tak semena-mena, wajah Aria berubah keruh. Wajah Haura ditilik satu per satu sebelum dia mengenggam erat tangan Haura. Wanita di hadapannya ini buat dia cemburu. Tapi, inilah balasannya kerana lebih memilih lelaki yang sudah membuatkan dia dijangkiti HIV sekali gus menghancurkan hidupnya. Dia tidak patut menjadi perampas. Ketegasan Haura juga tidak mampu Aria lawan.

       "Kau jangan takutlah. Aku sengaja cakap macam tu. Nak tengok... macam mana kau hadap orang... yang nak rampas dia daripada kau. Lagi pun aku ni dah nak mati. Athar datang sini pun sebab kebetulan kami terserempak kat taman hospital. Dia nampak sakit. Kau... tak tahu ke suami kau..."

         "Woo! Isteri Athar ada kat sini. Isteri dan bekas teman wanita Athar ni borak apa saja? Untungkan Athar tu ada dua wanita cantik hadir dalam hidup dia. Kau kenapa datang jumpa adik aku? Nak siasat pasal gambar tu ke?" pintas Alex. Abang kepada Aria yang baru melangkah masuk ke dalam wad.

       "Abang buat apa ni? Aku dah kata jangan macam-macam dengan Athar!"

        "Saja nak buat bini dia datang jumpa kau. Tapi tulah tak pasal-pasal kena pukul dengan mamat tu. Girl! Aku rasa laki kau tengah jadi singa kelaparan. Baik kau settlekan hal kau dengan Aria dan balik masakkan suami kau tu hah! Nak patah rahang aku dengan laki kau ni," kata Alex sambil menuam pipinya dengan kain basah.

          Mendengarkan itu, Haura jadi serba salah. Wajah Alex yang bengkak dipandang sebelum berakhir ke laman wajah Aria yang pucat. Kata-kata Aria yang tergantung serta merta dilupakan oleh Haura apabila dia mengetahui baran Athar muncul lagi. Kalau Athar tahu dia di sini pasti dia akan dimarah lagi. Hubungan mereka pasti akan bertambah tegang.

           "Saya minta maaf tuduh awak yang bukan-bukan. Tapi saya nak pastikan yang awak tak berhubungan mesra dengan suami saya lagi. Saya minta maaf juga sebab suami saya pukul abang awak. Saya harap awak berdua tak berdendam dengan Athar. Saya minta diri dulu," pamit Haura. Dia segera melangkah keluar dari wad. Nafas panjang ditarik sebelum dihembuskan perlahan-lahan. Satu hal selesai. Bukan Aria puncanya. Jadi, apa punca Athar berubah? Sedang ralit Haura berfikir, perutnya terasa senak. Segera dia melabuhkan duduk di bangku berdekatan.

          Haura jadi pelik. Sejak akhir-akhir ini, perutnya sering jadi kram tanpa dia sendiri tahu sebabnya. Akibat sibuk memikirkan perubahan Athar, Haura jadi lupa untuk bertemu doktor melakukan pemeriksaan kesihatan. Memikirkan hal ini, Haura jadi sebak. Dia hanya memerlukan Athar. Saat ini Athar seharusnya menemaninya. Memberikan layanan baik dan manja kepadanya. Tapi semuanya berubah. Perubahan yang Haura sendiri tidak tahu puncanya. 

P:S// terima kasih sudi baca karya saya ^_^ siapa ada wattpad boleh follow saya ye... dan dalam wattpad bab cerita ni dah tinggal 4 bab saja lagi. Kalau nak baca cepat2 boleh baca dalam wattpad... https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa