Bab 8


     Jari jemariku yang sengal cuba kugerak-gerakkan. Mataku yang bundar cuba kuluaskan. Aku cuba bangun dari tidurku. Kepalaku sungguh berat aku rasakan. Aku meraba-raba dahiku yang masih lagi terasa sakitnya. Tampalan plaster masih lagi berbalut di dahiku. Entah bila ada yang meletakkannya aku pun tidak menyedarinya. Aku kerling ke arah jam loceng di sebelahku. Jam menunjukkan angka 10.00 pagi. Das yang di sebelahku masih lagi terbaring di atas kastilnya. Aku kehairanan. Mungkin Das mahu menemaniku yang kurang sihat ini. Oleh sebab itu, dia tidak turun untuk ke slot ceramah pada pagi ni. Ingatanku terus terarah kepada Kak Erra. Apa khabar dia sekarang? Kulihat semalam tiada cedera yang teruk di wajahnya. Hanya wajahnya menjadi pucat lesi dan badannya menggeletar. Mungkin terlalu terkejut dengan insiden yang tak terduga itu. Telingaku masih terngiang-ngiang kata-kata terakhir wanita itu. Ibu kepada Kak Erra dan Encik Kacak. 'Awaklah penyebab semua ini,' hatiku diruntun pilu. Sepatutnya aku tidak mengajak Kak Erra untuk terus berbual denganku supaya dia tetap fokus dengan pemanduannya. Kalau tidak sudah tentulah insiden ini tidak berlaku. Banyak kesalahan yang telah aku lakukan kepada wanita itu. Sudahlah RM1900nya lesap entah ke mana, pewangi-pewangi yang baru dibelinya juga pecah disebabkan aku yang cuai dan anaknya juga mengalami kemalangan sehingga terkena sawan. Itu belum dikira kesalahan aku dengan Encik Kacak. Disebabkan aku juga, Minah Ketak kekasih anaknya naik angin dek salah faham denganku. Aku mengesat air mataku. Bagaimana harus aku membayar segala kesalahanku ini. Bunyi esakan kecilku membuatkan tidur Das terjaga.

     "Ida, kenapa kau menangis? Kepala kau sakit lagi ya?" Das bersuara sambil menghampiriku. Aku hanya mampu memandang ke arah wajahnya. Kalau engkau mengetahui akan segalanya Das, sakit emosi aku ini lebih teruk daripada sakit kepala yang aku rasakan ini.

     "Entahlah Das. Kalau aku ceritakan kat kau pun, kau tentu tak percaya. Sebab aku pun susah nak percaya," aku membalas pertanyaan Das dengan suara yang lemah.

     "Ceritalah Ida. Aku sedia nak dengar," Das bersuara lagi.

     "Lagipun, Encik Kacak dah bagi kebenaran kat aku untuk teman kau kat sini. Bimbang apa-apa yang akan berlaku pada kau," Das menyambung kata. Encik Kacak? Ah.. Dia lagi. Dia jugalah yang menajadi topik hangat dan menyebabkan perbualanku berlanjutan ketika di dalam kereta semalam.

     "Aku tak tahu nak mula dari mana Das," suaraku masih lemah.

     "Mula dari sini.." Das menunjukkan ke arah lubang hidung yang sengaja dibesarkannnya. Aku tertawa kecil. Lucu juga melihatkan muka Das begitu. Sambil tertawa Das bersuara lagi

     "Ha...macamtulah. Taknaklah sedih-sedih. Muah ciked," aku makin geli melihatkan telatah Das yang entah apa-apa itu. Bibirku tanpa sengaja mengukir senyuman lucu. Aku mengeluh sambil mengahala wajahku ke depan sambil menghela nafasku. Mungkin aku perlu ceritakan satu-persatu kepada Das agar beban otakku menjadi lebih ringan supaya ada yang boleh memberikan nasihat ataupun saranan yang boleh menyelesaikan masalahku. Das kelihatan khusyuk mendengar ceritaku. Sesekali tangannya diletakkan ke mulutnya yang terbuka luas dek melopong mendengarkan ceritaku yang kedengarannya seperti drama pukul tujuh itu. Aku cuba menyampaikannya seterperinci yang mungkin kepadanya sehinggalah kejadian yang berlaku ketika terlanggar pohon besar di tepi simpang masuk ke Berhulu Camp itu.

     "Ya Allah Ida. Aku tak sangka sampai macamtu sekali. Boleh pulak mak dia yang jadi pembeli perfumes kau. Lepas tu diperdajalkan oleh supplier kau pulak tu. Lepas tu, Kak Erra pulak terlanggar pohon besar dek ralit berbual. Astaghfirullah," Das kemudiannya bersuara. Aku mengangguk-angukkan kepala tanda bersetuju dengan apa yang dirasakan oleh Das itu.

     "Sekarang ni, aku kena cari jalan penyelesaiannya. Aku kena bayar juga ganti rugi atas kerugian mak dia. Supplier aku pun satu, asyik cek saja, tapi tak dapat-dapat. Aku hairanlah. Selama ni, aku beli dengan dia okay je," aku membuang pandangan ke luar tingkap. Aku pun tidak menyangka hal buruk ini akan berlaku.

     "Keadaan Kak Erra macam mana sekarang? Kau tahu tak?" aku mengajukan soalan itu kepada Das. Das menggeleng-gelengkan kepalanya. Das hanya memberitahu bahawa setelah ibu dan kekasih hati Kak Erra datang, Kak Erra terus dibawa pulang. Mungkin pulang ke rumah atau mungkin juga dihantar ke hospital. Das memberikan cadangan agar aku terus bertanya langsung kepada Kak Erra dengan cara menelefonnya. Telefon? Aku teringat, sewaktu bersama-sama belajar di kelas mandarin dulu, aku juga sering berhubungan dengan Kak Erra. Maklumlah, kadang-kadang jam kelas ditukar lantaran masing-masing ada komitmen kerja masing-masing. Sering juga aku mahupun dia menghantar audio percakapan atau perbualan dengan menggunakan bahasa mandarin lebih-lebih lagi apabila ada ujian lisan yang akan dijalankan. Aku pernah juga menghantar audio nyanyianku lagu 'Ni Yao De Ai' lagu mandarin kegemaranku yang merupakan soundtrack drama mandarin kesukaanku 'Meteor Garden' kepadanya lantaran ada kerja kumpulan yang memerlukan nyanyian lagu dalam bahasa mandarin ini di kelas. Kami pernah menjadi juara dalam pertandingan nyanyian tersebut. Lantas jariku laju menaip nombor telefon Kak Erra yang telah ku simpan semenjak kali pertama berkenalan sewaktu bersama-sama belajar di kelas mandarin dulu. Agak-agaknya Kak Erra masih menggunakan nombor yang sama atau tidak ya? Belum cuba belum tahu. Talian bersambung, namun tiada jawapan. Ya, mungkin Kak Erra sedang sakit. Bagaimana mungkin dia dapat menjawab panggilanku. Das yang setia di depanku menyuruh aku membuat panggilan buat kali kedua. Aku menuruti arahannya. Mungkin cubaan kali kedua ini berhasil. Talian kemudiannya bersambung. Kedengaran bunyi deringan sebanyak dua kali. Deringan kali ketiga telefon itu kedengarannya berangkat.

     "Hello, Assalamualaikum...Kak Erra... Ida ni... Akak sihat? Akak okay ke tak? Akak kat rumah ke kat mana ya? Ida risau kak.." aku cukup teruja apabila talian ini diangkat walaupun belum ku dengar jawapan dari hujung sana. Aku betul-betul risau kalau-kalau sesuatu yang buruk berlaku ke atas Kak Erra. Aku berasa bertanggungjawab akan semua ini lantaran aku adalah orang terakhir bersamanya pada waktu itu. Tambahan lagi, apabila mengingatkan kata-kata yang diucapkan oleh ibunya semalam.

     "Kak Erra.. akak dah sihat belum? Akak okay ke tak?" aku masih bertanya apabila suara dari hujung sana belum kedengaran.

     "Hello, Waalaikumussalam Ida.." suara lelaki yang menyapa. Bukan suara perempuan. Ternyata bukan Kak Erra yang menyambut panggilanku. Tapi siapa? Aku mula mencongak-congak di dalam hati. Mungkinkah Abang Nizam? Bakal tunang Kak Erra.. Boleh Jadi juga.

    "Abang, Kak Erra ada dengan abang ke tu? Dia tak apa-apakan?" aku masih bertanya.

     "Kak Erra okay. Dia terkejut aja semalam. Dia ada kat rumah abang sekarang. Ida sihat? Dahi Ida tak apa-apake? ," kali ini soalan pula diajukan semula kepadaku. Aku pelik. Tapi, sekurang-kurangnya aku tahu bahawa Kak Erra dalam kedaan stabil dan baik-baik sahaja. Kenapa Abang Nizam bertanyakan keadaanku pula? Tapi, lelaki itu memang kelihatan orang baik-baik sahaja, kalau tidak masakan dia memujuk ibu Kak Erra supaya tidak terus-terusan menyalahkan aku di Balai Polis Sikamat semalam.

     "Alhamdulillah kalau Kak Erra baik-baik saja. Ida okay je bang. Maafkan Ida ya bang. Semua ni salah Ida jugak. Kalau Ida tak ajak berbual dengan Kak Erra masa tu, tentu semua ni tak berlaku," aku jadi sebak. Das yang berada di hadapanku turut menunjukkan wajah simpatinya.

     "Tak adalah Ida. Tak ada siapa yang salah. Abang tak salahkan Ida pun. Ida tak bersalah pun. Ida sendiri pun sakit jugak kan? Yang penting semua selamatkan. Ida dah makan? Pagi tadi Das tolong ambikkan sarapankan?" soalan kali ini membuatkan aku kehairanan. Das? Macam mana Abang Nizam boleh kenal Das? Sejak bila pula Das berkenalan dengan Abang Nizam, bakal tunang Kak Erra ni. Aku menghentikan perbualanku seketika sambil berbisik sesuatu kepada Das. Das menjungkitkan bahunya dan mengerutkan keningnya tanda langsung tidak tahu-menahu akan hal itu.

     "Macama mana abang boleh kenal Das?" aku kembali bertanya. Hairan benar pulak rasanya.

     "Apa? Kenapa Ida tanya macamtu? Tadi pagi, abang minta tolong Das ambikkan makanan then bagi pengecualian pada dia dari slot pagi ni,"aku melopong mendengarkan penjelasan itu. Talian terus aku matikan. 'Abang' minta tolong Das ambikkan sarapan dan pengecualian slot!' Aku menjerit. Siapa yang bercakap denganku sekarang! Das yang berada di hadapanku terkejut dengan kelakuanku yang tidak semena-mena itu. Aku memegang bahu Das. Bagaikan tak percaya apa yang baru berlaku sebentar tadi. Orang yang menjawab panggilan yang aku sangkakan Abang Nizam rupanya Encik Kacak. Tidaaaaak! Bahasa yang kugunakan 'abang' pula tu. Malunyaaa! Bagaimana pula nombor Kak Erra dipakai oleh adiknya. Sumpah aku tak tahu!

      "Ida, kenapa?" tanya Das terpinga-pinga. Aku membeliakkan mataku sambil menjawab pertanyaan itu.

     "Orang yang menjawab panggilan aku tadi adalah ENCIK KACAK. Mati-matian aku ingatkan dia adalah Abang Nizam. Sebab tu aku bahasakan panggilan abang dengan dia. Rupa-rupanya... Patutlah dia sebut nama kau..." aku tak dapat menghabiskan ayatku. Tebal betul kurasakan pipiku. Malu yang teramat sangat. Aku tak dapat membayangkan bagaimana aku akan berhadapan dengannya nanti. Tentu dia beranggapan aku sengaja menggunakan bahasa itu dengannya. Tidaaaak.. Das yang baru mendengarkan penjelasan aku, tertawa besar sambil menekan-nekan perutnya. Aku makin geram melihatkannya. Orang malu setengah mati, dia boleh pula tertawa. Kawan apa macam ni?..

     "Kelakarlah Ida. Sumpah kelakar. Tak tahan aku nak gelak," katanya sambil tertawa.

     "Padanlah nama aku pun dimasukkan dalam perbualan tu. Aku pun macam dah pelik tadi," sambungnya lagi. Makin kuat pula dia mentertawakan aku.

     "Kau orang berdua ni macam ada chemistry je," ujar Das lagi.

     "Sudahlah, tak lucu." kataku tegas mematikan ketawa Das. Das mengangkat kedua-dua tangannya tanda meminta maaf akan kelakuannya tadi.

     "Sorry, Ida. Aku bukan nak gelakkan kau. Tapi, kebetulan ni macam betul-betul lucukan," kata Das lagi apabila aku menarik muka cemberut.

     "Jom makan. Nasi ni dah sejuk. Marah 'abang' nanti kalau Ida tak makan," kata Das dalam nada mengusik. Aku membalingkan bantal segiempat besar itu ke mukanya. Kurang asam! Segannya nak turun Dewan Seminar untuk slot yang berikutnya nanti.

     "Aku tak nak masuk dewan lah petang ni," aku bersuara seraya menyuapkan nasi goreng yang disimpan oleh Das pagi tadi. Das mengerutkan dahinya.

     "Mana boleh! 'Abang' cuma bagi Ida dengan Das pengecualian slot pagi ni je tau.. Petang ni?.. No.. No.. No..." Das masih mengusik. Geram betul aku mendengarkannya.

     "Engkau jangan nak mengada eh. Sekali lagi kau sebut perkataan tu, aku tinju muka kau karang," kataku sambil menunjukkan penumbukku ke arahnya.

     "Hisyy.. garangnya Ida ni. Takut 'abang'!" ujar Das sambil menunjukkan mimik muka yang cukup melucukan. Kami ketawa besar.

***************************************************************************

     Setelah mencipta pelbagai alasan, aku berjaya mengecualikan diri dari turun ke slot ceramah petang itu. Aku menarik nafas lega. Mahu tak mahu malam nanti aku pasti terpaksa meneruskan kursus ini seperti biasa. Dahi yang masih ada kesan calar itu masih terasa pedihnya. Tapi, itu bukan alasan utama. Aku sebenarnya betul-betul malu atas kejadian yang telah berlaku semalam. Dari kejadian yang berlaku di dalam 'box' karaokae, perihal datin itu dan perfumesku, kemalangan dengan Kak Erra dan perihal nombor telefon yang ku sangkakan milik Kak Erra. Bagaimana mungkin untuk aku berhadapan dengan Encik Kacak lagi selepas ini? Mana aku nak sorok muka tebal 10 inchi aku ini? Aku mengusap-usap wajahku sambil memikirkan apa yang akan berlaku selepas ini. Telefon C3 aku bergetar menandakan ada pesanan masuk. Sengaja aku 'silent'kan nada deringnya dek takut nombor yang telah kudail padi tadi terus membuat panggilan masuk. Ternyata hanya pesanan ringkas yang masuk kerana getarannya hanya terdetik buat seketika. Aku membuka peti mesej pesanan ringkas itu. Ternyata pesanan ringkas dari adikku, Fifi. Kenapa ya?

     'Kak Teh, tolong adik. Tolonglah Kak Teh, adik tak tahu apa yang harus adik buat lagi' begitulah bunyi mesej yang tertera pada pesanan masuk itu. Aku mula hairan. Apa yang telah berlaku? Baru minggu lepas dia beria-ria bertanyakan tentang tema busana pertunangannya. Apa masalah yang telah berlaku? Masalah dengan tema warna busanake... Aku mula berteka-teki dalam hati.

     'Kenapa Fifi? Apa yang berlaku? Ada masalah apa?' soalku sambil menghantar pesanan tersebut kepadanya.

     'Duit yang Abang Yusri berikan ketika merisik haritu hilang. Tolonglah Kak Teh, apa yang perlu adik buat?' aku terkejut membacanya. Aku mengetahui akan duit itu. Bakal tunang adikku ada memberikan sejumlah wang kepadanya untuk membiayai perbelanjaan majlis pertunangannya nanti lantaran adikku masih belum bekerja. Tapi hilang ke mana? Berapa jumlah yang hilang. Terbit rasa simpati dalam diriku. Walaupun aku malas memikirkan majlis pertunangan mereka, namun aku tidak sampai hati membiarkan adikku begitu. Lebih-lebih lagi apabila ditimpa masalah begini. Lantas, tanganku laju mendail nombor telefon milik adikku. Aku perlu bertanya dengan lebih lanjut. Apa yang telah terjadi.

     Malam itu, aku turun ke dewan seminar seperti biasa. Daisy Peplum keluaran Color Blast Collection kusarungkan pada malam itu. Baju kurung 'ironless' yang paling aku gemari. Aku mengambil tempat di belakang hujung sebelah kiri dewan. Jauh daripada tempat Das dan juga Ila kerana aku sendiri pun turun agak lambat berbanding mereka. Suara penceramah yang lantang itu pun tidak sampai ke gegendang telingaku. Pandanganku tembus ke arah dinding dewan. Ceramah selama 1 jam setengah itu bagaikan tidak memberi sebarang input ke dalam mindaku. Otakku masih menerawang perihal masalah yang baru diceritakan oleh adikku petang tadi. Sebanyak RM5000 duit yang hilang. Hilang ketika dia dan ibuku keluar untuk membeli barangan hantaran di pusat bandar. Kasihan sungguh! Tentu ibuku juga dalam kerisauan. Aku bertambah sedih apabila mengenangkan wajah tua yang sedih itu. Hendak diceritakan kepada adik beradik yang lainnya, tentu adikku takut. Terutama Abang Longku, pasti adikku yang akan dimarahinya. Bukan mahu menolong, malah makin mengeruhkan keadaan. Bagaimana harus aku menolongnya, sedangkan aku sendiri pun tidak mempunyai sejumlah wang sebanyak itu. Duit ganti rugi sebanyak RM1900 pun belum dapat kujelaskan kepada ibu Kak Erra tempoh hari. Mataku terkebil-kebil memikirkan jalan penyelesaian masalah ini. 3 hari lagi kursus keusahawanan ini akan tamat. Memang kursus ini akan tamat, tetapi masalahku belum dapat ditamatkan lagi. Dari mana harus kucari duit sebanyak itu. Gaji bulan ini bakal aku terima pada 25 haribulan nanti. Sedangkan kursus ini tamat pada 15 haribulan. Ini bererti aku perlu mendahulukan duit yang lain untuk membayar ganti rugi tersebut. Kalau tidak, tentu susah untuk aku berurusan dengannya nanti. Lamunanku tersentak apabila ada suara yang menegur dari belakang. Suara itu makin dekat.

     "Ida.. Ida dah sihat? Dahi tu rasa pedih lagi?" aku berpaling mengamati suara tersebut. Encik Kacak yang melabuhkan punggungnya di sebelah kerusiku memandangku. Aku tergamam seketika. Teringat kejadian di dalam 'box karaokae' dulu serta peristiwa petang tadi. Malu pula aku dibuatnya. Aku melarikan pandangan ke tempat lain. Mudah-mudahan dia dah lupa akan semua peristiwa itu.

     "Ida.." dia bersuara lagi apabila melihat aku masih diam seribu bahasa. Aku menoleh kembali apabila seorang rakan peserta kursus ku mencuit bahuku memberitahu akan panggilan Encik Kacak itu.

     "Sorry.. saya sihat. Alhamdulillah. Luka saya sikit saja," aku membalas pendek. Sungguh aku tak mampu bertentangan mata dengannya. Dari sudut mataku, aku lihat dia mengukirkan senyuman.

     "Abang risau dengan keadaan Ida sebenarnya," ujarnya lagi. Aku bagai nak pengsan mendengarkan ucapan itu. Abang? Huuuuu.. Ini mesti dia masih teringat akan panggilan aku petang tadi. Bagaimana aku harus 'explain'kan pada dia ya? Akan kesilapan yang tak disengajakan ini.

     "Sebenarnya, saya silap masa tu..." aku cuba untuk menerangkan perkara sebenar kepadanya.

     "No... Ida, abang dah cakapkan. Abang tak salahkan Ida. Itu semua memang perancangan Tuhan dan Alhamdulillah semua selamat. Kak Erra pun tak ada apa-apa. Dia dah ceritakan semua kat abang," ujarnya lagi. Pulak.. Bukan itu yang aku nak sampaikan. Aku ingin mengatakan bahawa aku tersilap mendail nombor telefon yang aku sangkakan milik Kak Erra. Rupa-rupanya telah bertukar pemilik. Dan pemilik itu adalah ANDA! Tapi, kata-kata itu terbit dalam hatiku sahaja. Suaraku bagaikan tersekat di kerongkong dek terdengar ucapan 'abang' yang diulang-ulang itu. Aduhh...

     "Pagi tadi, kereta Kak Erra abang dah masukkan ke 'workshop' kat Pekan Jempol ni. Esok insya Allah bolehla ambil kereta tu," ujarnya lagi. Aku menoleh sedikit padanya. Kereta Kak Erra. Baru aku teringat. Remuk teruk tak agaknya kereta tu ya?

     "Remuk teruk ke kereta Kak Erra tu? Berapa kerugian yang kena bayar?" aku mula bertanya. Entah-entah ibunya suruh aku bayar juga ganti rugi kereta tu. Baik aku tanya dulu. Pertanyaan aku tadi dijawab dengan senyuman. Kenapa?

     "Kenapa Ida nak tahu anggaran kerugian tu? Kereta Kak Erra ada insurans. Lagipun, tak seberapalah kerosakannya. Cuma kemik dan calar sedikit dekat bahagian bumper depan," Encik Kacak menjawab pertanyaanku. Ya tak ya juga ya. Kereta kan ada insurans. Aku mengangguk-anggukkan kepala tanda faham. Dahi yang masih berplaster ku usap perlahan-lahan. Syukurlah tiada apa yang terlalu serius berlaku atas kemalangan kecil itu.

     "Ida.. Kenapa? Ida okay tak? Dahi masih pedih? Abang hantarkan ke klinik nak? Bimbang juga kalau ada keretakan kat situ," dia bersuara lagi. Haishh... Bagaimana nak menghentikan semua ini ya? Aku perlu betulkan keadaan sekarang supaya bahasa yang digunakan kembali seperti sedia kala. Tidak perlu ber'abang'-'abang' dengan ku lagi. Aku menekan-nekan kepalaku agar menemukan jalan untuk menyelesaikan keadaan ini sebelum berlarutan. Pandangan mataku seakan dihalang apabila tangan seorang lelaki cuba menyentuh dahiku. Serentak kemudian, aku menepis kasar. Tindakan refleks! Seakan seorang pendekar cuba melawan musuh! Ya, memang aku mempunyai kemahiran seni silat yang aku pelajari selama 4 tahun di universiti dulu. Pantang ada lelaki yang cuba menyentuh wajahku.

     "Don't touch me!" suaraku sambil mengangkat kepala. Encik Kacak masih memandangku dengan pandangan yang bersalah. Aku mengeluh sambil memejamkan mata. Mataku terus terbuka luas apabila ada suara nyaring menyergah dari tepi.

     "You nak belasah Encik Faidi ke apa?" terdengar suara menjengkelkan itu lagi. Dia lagi.. Apa lagi dia nak? Aku memandang ke arah sekeliling. Baru aku tersedar slot ceramah malam ini telah pun berakhir. Para peserta kursus pun sudah banyak meninggalkan dewan. Minah Ketak kali ini betul-betul berdiri di depanku. Aku kaget seketika. Apa jawapan yang bakal aku ucapkan. Teringat kata-kata kasar yang aku lemparkan padanya ketika dalam 'box' karaokae dulu. Aku mengerutkan kening sambil melarikan pandangan. Kerusi plastik yang aku duduki ku anjakkan ke belakang seraya berdiri dan mahu berlalu dari situ. Malas aku mahu berbicara dengan wanita ini.

     "You nak kemana? Belum jawab soalan I kan?" tanya wanita itu masih belum berpuas hati.

     "Naik ke hostel," jawab aku pendek. Tanganku mencapai beg tangan di meja.

     "Tengok, kurang ajarkan. Orang bertanya bukan nak jawab. Patutlah anak-nak murid sekarang tiada kesopanan. Gurunya yang tak boleh diteladani," wanita itu bersuara sinis. Perhhh.. Sakit betul hati aku mendengarkannya. Menghina profesion keguruan mulia aku ini. Apa kaitan dengan anak murid? Siapa yang kurang sopan sekarang? Datang menyergah tanpa salam, itu dikatakan terdidik ke? Hatiku mendidih.

"Jangan nak menyibuk dengan urusan orang lain," ujarku lagi apabila wanita itu seakan menghalang langkahanku. Encik Kacak yang duduk tadi turut sama berdiri.

"Kurang ajar kau ni kan!" ulang wanita itu lagi. Kali ini tangannya cuba menyentuh bahuku tetapi cepat-cepat dihalang oleh Encik Kacak. Tak malu betul perempuan ni. Nak bergaduh pun depan lelaki. Hatiku mengutuk kelakuan bodoh wanita yang berada di hadapanku ini. Kalau iya pun, bawalah bersabar sampai naik ke dorm. Boleh tak?

     "Sudah, jangan bertekak kat sini," ujar Encik Kacak lagi.

     "Sorry Ida, abang tak sengaja tadi. Abang takut terjadi sesuatu apabila melihat Ida menekan-nekan kepala macamtu," Encik Kacak bersuara lagi.. Wajah Minah Ketak berubah seketika. Matanya memandang ke arahku kemudian dihalakan kembali ke arah Encik Kacak.

     "Abang? I salah dengar kan?" Minah Ketak kemudiannya bersuara. Cemburu pasti.Wajahnya kemerahan. Si kekasih hati membahasakan 'abang' pula denganku. Entah aksi apa yang bakal dilakukan nanti. Bodoh juga kelakuan kekasihnya itu, sudah tahu kekasih hatinya seorang yang sangat cemburu masih berkelakuan bagaikan tiada apa-apa yang berlaku. Hatiku mengutuk ucapan Encik Kacak sebentar tadi.

     "Kenapa kau diam? Kau memang perempuan tak tahu malukan," kali ini giliran MInah Ketak pula bersuara. Kata-katanya itu seakan-akan menyalahkan aku. Tak tahu malu? Kesat betul kata-kata yang dilemparkan. Apa kaitannya? Kesabaran aku makin memuncak. Wajahku yang cerah turut bertukar warna. Aku menatap wajah wanita itu dalam-dalam. Bagaikan gunung berapi menunggu lahar untuk dimuntahkan. Encik Kacak yang masih berdiri di situ menyedari perubahanku.

     "Sudah, abaikan apa yang diperkatakan oleh Cik As itu tadi. Jom kita keluar, Ida perlu banyak rehat. Tu baru nak baik," katanya separuh memujukku sambil menuding jari ke arah dahiku. Aku menjeling ke arahnya. Konon berlagak hero di sini. Apakah dia terfikir kalau dialah penyebab masalah ini berlaku?

     "Tak perlu risau akan keadaan saya. Sebaiknya, Encik Faidi risaukan orang di sebelah encik itu. Sekolahkan bakal tunang encik ni betul-betul supaya belajar bersopan sikit bila berkata-kata dengan orang lain. Biar pandai sikit menghormati orang lain. Jangan bila dah kahwin nanti baru nak diajar. Terlambat!" ujarku sambil memandang tepat ke wajah Encik Kacak. Biar dia tahu sikit yang aku sudah lama sakit hati dengan ucapan dan kata-kata Minah Ketak tu. Konon nak nasihatkan aku, sebaiknya dia nasihatkan dulu kekasih hatinya itu. Tidak perlu menyibuk dengan urusan orang lain. Ku lihat wajah redup Encik Kacak berubah. Riak wajahnya berubah. Pandangannya sukar ditafsirkan. Matanya tak lepas memandang ke arahku seolah-olah masih mahu ingin berbicara. Aku hanya mengangkat kaki dan berlalu keluar pintu. Kelibat Das tidak pula kelihatan. Mungkin sudah keluar dari arah pintu depan dewan.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh