Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
203,973
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 10

SEHABIS makan malam semua duduk di luar, di tepian kolam renang yang tinggal layu sekian lama. Semakin membesar Adam dan Elsa, air kolam sudah tinggal bedi, hanya menjadi lambang kemewahan pemilik kediaman. Shaza mengabil tempat di kerusi berhadapan Adam, sementara Rusman menarik kerusi di sebelah Shaza. Nadia paling lewat sampai di situ, menarik sebuah kerusi di sebelah Adam, lalu duduk di sisi Rusman.

Kata Nadia, mereka mesti selalu menghabiskan masa sekeluarga demi untuk mengerat perhubungan kekeluargaan lebih-lebih lagi Shaza yang baharu pulang ke sisi mereka. Shaza akur permintaan itu walaupun masih janggal duduk di tengah-tengah sekeluarga itu lebih-lebih pandangan kejam Adam. Lelaki itu sentiasa mahu membunuh mati semangatnya, dia masih belum boleh menerima kehadiran Shaza meski sudah tahu sejak dahulu dia adalah anak tunggal Rusman dan dia juga Elsa hanya bapa tiri. Mengapa Adam enggan?

“Sha di pejabat macam mana?”

“Okay, tak ada masalah.”

“Alhamdulillah.” Rusman angguk bersungguh-sungguh, berpuas hati dia.

“Kalau ada sebarang masalah, Sha boleh rujuk kepada Abang Adam atau Zafran. Zafran sudah lama bersama kita, dia sangat berpengalaman.”

Shaza angguk, faham.

Rusman batuk beberapa kali, Nadia menggosok-gogok belakang Rusman, diberi juga air tetapi tetap batuk. Nadia memanggil bibik, meminta dihantar air suam untuk Rusman. Hanya sesingkat masa, air suam sudah dihantar bibik yang berlari-lari dari dalam dapur.

“Airnya puan.”

“Terima kasih bibik. Kalau dah tak ada apa-apa lagi, bibik pergilah tidur.”

“Baik puan. Tapi tuan tak mahu diberi ubat batuknya?”

“Tak, tak.” Nadia menghulur gelas air suam kepada Rusman. Ditunggu Rusman meneguknya perlahan, disambutnya semula. “Okay abang?”

Rusman angguk seraya menggosok dada.

“Cantik langit malam ni. Cerah, banyak bintang.” Rusman mendongak lama, seakan mengira taburan bintang. “Subhanallah, cantik sungguh kerja Allah.”

Semua mereka menurut gaya Rusman, mendongak merenung langit berawan, sangat indah berteman bintang.

“Abang masuk biliklah, berembun malam-malam ni, batuk. Tidur awal.”

“Papa tak sihat ke?” digagahnya hati menggenggam jemari Rusman, meski berasa janggal namun dia kepingin benar memujuk begitu.

“Papa dah tua, Sha.” Rusman memegang tangan Shaza yang memegang tangan kirinya. Ditepuk-tepuk perlahan.

“Papa belum tua sangat lagi.”

“Belum tua sangat, tapi dah tua kan? Ibu pun dah lama pergi.”

Nadia menggosok-gosok bahu Rusman, tampak bimbang benar. “Tidur?”

Rusman angguk, tampak payah bangun, berat. Dia batuk lagi, digosok-gosok dadanya. Dengan dua belah tangan, dia menekan lutut untuk bangun dari sofa. Nadia memegang lengan Rusman, membantunya bangun.

“Papa okay ke?”

“Papa okay, cuma beberapa hari ni kesihatan tak berapa baik, panas hujan, panas hujan.”

Shaza angguk, berasa bimbang dia keadaan papanya.

“Jangan berlama-lama di sini, tidur awal sikit.” Rusman menasihat Shaza. “Adam, tidur di sini aja ya? Esok hari tak berkerja, bilik tu dah berhantu sebab tuannya tak tunggu.”

Adam tertawa perlahan namun, turut tampak bimbang kesihatan Rusman. “Adam akan tidur di sini melainkan papa dah sihat.”

Rusman tertawa perlahan sambil meninggalkan ruang rehat. “Kalau begitu, saya ni kena sakit selalu, Nadia. Barulah anak-anak sayang.”

“Papa, jangan cakap macam tu. Adam tak duduk sini bukan maknanya tak sayang papa, tapi Adam nak berdikari.”

Shaza memerhati keakraban papanya dengan Adam. Terharu dan cemburu juga dia.

“Papa faham, papa pun bergurau aja.” Sewaktu lalu di belakang Shaza yang duduk berhadapan Adam, Rusman mengelus kepala Shaza. “Papa tidur dulu. Assalamualaikum.”

Shaza angguk, senyum seraya menoleh Rusman berlalu tidak menoleh lagi. Perlahan-lahan Shaza mengelus pula tempat sentuhan Rusman. Sudah lama dia rindukan sentuhan sayang papanya. Rindu menyalam dan mencium tangan papa, tidur bersandar di tubuh papa, digendung papa berlari menangkap pepatung. Aksi-aksi keletah si manja ditonton dari filem-filem dan drama di televisyen. Kini dewasa dia sudah, semua yang diingininya tidak mungkin tertunai, hanya panggilan papa, mencium tangan papa dan sesekali dielus ubun-ubunnya oleh papa.

‘Syukurlah aku masih berkesempatan.’ Hanya dalam hati dan seusai solat fardhu juga sunat, dia akan bersyukur begitu.

Susana kembali sepi selepas Rusman dan Nadia meninggalkan ruang itu. Shaza semakin tidak selesa, berkira-kira juga mahu angkat punggung. Berkurung dalam bilik sambil menonton televisyen adalah lebih baik dari menonton wajah tak masuk rezeki Adam.

“Malaysia bosan kan?” ucapnya tiba-tiba, sengaja tidak mahu Shaza pergi. Dia masih belum puas menyakiti.

“Bosan, kan Malaysia?” diulang ayatnya, hanya dijungkil balikkan.

“Tak.”

“Di London pasti meriah bila malam. Malam seperti siang, siang seperti syurga. Untung sesiapa yang berupaya berlajar sampai kesana. Tak dapat juga tawaran tapi dilarang papa, katanya dia tak sanggup berpisah sengan anak lelakinya.”

Sakit lagi dalam hati Shaza. Kedengaran Adam sengaja mahu memberitahunya betapa dia disayangi Rusman!

“Tak, London tak meriah waktu malam. Malam mati di sana. Orang barat tidak tahu menghargai nikmat malam, semua berdengkur.”

“Oh ya? Bukankah di sana penduduknya mengejar kemajuan?”

“Yang mengejar kemajuan adalah kita, rakyat negara membangun. Negara yang sudah memang maju, rakyatnya tak perlu mengejar kemajuan lagi. Semua dah selesa.”

“Oh begitu? Ertinya orang kita bodoh, melangut merenung bulan yang kaku, langit yang tidak berperasaan.”

“Tidak bodoh memuji keindahan bulan, bintang, langit dan bumi sebab semua itu ciptaan Allah. Allah jadikan malam untuk kita beribadah kepadanya, berkiamullail sepertiga malam dan menikmati keindahan malam dengan memuji ciptaanNya, itu juga satu bentuk ibadah.”

Adam mencebik, mengejek dakwah ringan Shaza.

“Awak pandai bercakap ya?”

“Terima kasih. Bercakap guna akal, bukan perasaan.” Dia menunjuk hujung dahi sebelum menunjuk ke dada pula. Kalau bercakap guna perasaan, akibatnya banyak hati akan terluka dan mempertontonkan siapa diri kita yang sebenarnya.”

Adam mengerling, terasa disindir Shaza. Shaza tidak peduli, mengambil peluang habis-habisan mengenakan Adam demi menyedarkan kerakusan Adam menginjak perasaannya.

“Seperti juga bulan dan bintang, langit dan bumi, tidak pernah mereka mengeluh mengikut hakiki kerja yang sudah ditetapkan. Terus berzikir memuji kekuasaan Tuhan, kita juga seharusnya seperti alam. Bersyukur dengan nikmat Allah, tidak berhasat dengki sesama insan. Tetapi kita tidak harus terus-terusan pasrah menanti takdir.”

“Awak rasa awak bijak?”

Shaza angguk, “Saya bukan rasa saya bijak, tetapi saya memang bijak. So apa masalahnya?”

“Awak masih mentah.”

“Tua jangan disangka bapak, muda jangan disangka anak. Akal Hang Nadim lebih pintar dari pembesar-pembesar negeri.”

“Hang Nadim dongeng, awak percaya dongeng rakyat?”

“Sejarah bukan untuk dibaca hanya untuk lulus periksa, tapi untuk dihayati dan dikaji apa sebenarnya di sebalik sejarah. Kisah dongeng juga bukan karangan si penglipurlara zaman kuno tetapi juga pengajaran yang patut kita pelajari kerana zaman itu tidak ada sekolah, tv, komputer dan internet. Jadi tugas penglipur lara adalah menyampai nasihat melalui cerita.”

Adam terkulat-kulat sendiri namun tetap menunjuk ego.

“Kadang-kadang yang muda lebih berilmu dari yang tua sebab yang tua kadang-kadang terlalu ego dengan lamanya sudah makan garam sedangkan yang muda sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduknya apabila berhadapan dengan yang tua.” Masih banyak buah fikir Shaza memintas cerdik akal Adam yang ternyata sentiasa mahu dia meninggalkan keluarga itu.

Adam merenung Shaza tajam. Shaza tidak menunjuk takut, tewas jauh sekali. Bersahaja gayanya.

“Saya hairan, mengapa sekarang baru awak mencari orang tua awak? Baru masuk ke dalam keluarga ini? Dulu di mana awak?”

“Rasanya saya tidak perlu bersirah pada awak di mana saya sebelum ke sini. Awak tidak ada kena mengena dengan saya atau kisah silam saya.” Naik turun intonasinya, malam itu dia nekat untuk berlawan habis-habisan supaya esok tidak ada dendam lagi.

“Untuk pengetahuan Encik Adam,yang namanya Shaza Amirah binti Rusman tidak pernah gentar dengan sebarang ugutan sebab yang namanya Shaza sudah terlalu banyak meranduk duri. Kaki Shaza sudah kebal dengan parut-parut luka. Setakat semut gula, apalah sangat.” Shaza bangun, tidak memberi peluang Adam menyebut apa-apa lagi.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.