Irdina
meneliti senarai pada menu makanan tengahari itu.
“Ada lagi yang belum kita sediakan, Cindralela?” soal Mak Siti
sambil tangannya mencedok ayam masak merah ke dalam dua bekas mangkuk.
“Alhamdulillah. Semuanya dah beres, Mak Siti. Tinggal kita nak
hidang aje. Anak angkat Tuan dan Puan tu dah on the way ke belum, Mak
Siti?” soal Irdina pula sambil menyusun mangkuk-mangkuk puding.
Puding jagung itu resepi persendirian Irdina. Kerana mahu siapkan
puding itu, hingga malam tadi dia tidak tidur malam setelah pulang dari kampus.
Namun yang sebenarnya puding itu disediakan khas untuk Faris, suaminya.
‘Faris,
puding ni khas untukmu. Apa yang kau rasa tatkala makan puding ni, itulah
perasaanku padamu..’
Tersenyum pula Irdina melayan kata hatinya. Belumpun sempat Mak
Siti bersuara, terpacul Sarah di muka pintu dapur.
“Mak Siti, Cinderella.. Anak angkat saya dan keluarganya dah
sampai. Bolehlah terus hidangkan semua hidangan ni di meja makan sementara kami
bersembang. Oh ya, Mak Siti dan Cinderella, pakailah baju cantik sikit. Biar
Nampak kemas ya,” ujar Sarah.
Irdina mengangguk sambil tersenyum pada Sarah. Hari ini angin Sarah
baik sungguh. Terserlah kegembiraan di wajahnya. Setelah berpesan, Sarah pun
kembali ke ruang tamu.
“Gembira betul Puan Sarah hari ni. Senyum sampai ke telinga,” ujar
Irdina.
“Cik Puan memang begitu. Kalau ada tetamu nak datang rumah, memang
Cik Puan gembira sungguh. Ya la. Rumah besar tapi hatinya sunyi. Dengar kata,
dulu-dulu anak angkat Cik Puan tu la yang jadi pengubat hatinya. Cik Puan kan
tak ada rezeki nak ada anak sendiri. Anak angkatnya tu anak pada jiran sebelah
rumah Tuan dan Cik Puan,” ujar Mak Siti.
“Oh, patutlah Puan Sarah seronok sungguh,” ujar Irdina lagi.
Setelah bersiap-siap, Irdina dan Mak Siti keluar ke meja makan
menghidang makanan. Tiba waktu mahu mereka berdua mahu menuang air, tetamu pun
dijemput mengambil tempat di meja makan. Ruziah mama Haziq duduk di sebelah
papa Haziq, Hisyam.
“Eh, Irdina! Rupanya awak kerja kat sini.”
Sapaan itu membuatkan semua mata memandang ke wajah Irdina.
Serta-merta wajah Irdina merona kemerahan. Perlahan dia mengangkat
wajah pada lelaki itu. Sinar mata lelaki itu begitu menyerlahkan perasaan
terujanya. Semua orang yang melihat juga menyedari hal itu.
“Kalau Irdina dah lupakan saya, saya nak kenalkan diri saya semula.
Saya Haziq. Daniel Haziq,” ujar Haziq.
Irdina tidak mampu berkata apa. Hanya dia menganggukkan kepala
saja. Sinar mata Haziq begitu menakutkan hatinya. Segera dia mencari-cari
sekeping wajah itu. Masih tiada. Belum pulang.
‘Janganlah
Faris balik waktu ni. Kalau tak apa aku nak cakap kalau dia tanya apa-apa
tentang aku dan Haziq? Aduyai…’
“Ruziah, Hisyam, kenalkan, ini pembantu rumah kami. Ini Mak Siti
dan ini pula, Cinderella. Di sini kami panggil dia Cinderella. Macam mana Haziq
boleh kenal dengan Cinderella?” soal Rizman.
“Cinderella? So sweet! Cantik nama tu. Sesuai dengan awak,
Irdina. Uncle, kali pertama saya pernah jumpa Cinderella ni dalam feri waktu di
Langkawi. Waktu tu dia sorang-sorang aje. Dia cakap dia nak balik rumah
majikannya. Kali kedua saya jumpa dia waktu dia pulang dari hospital. Katanya
dia mengambil ubat untuk keluarga majikannya. Saya hairan juga. Macam mana
gadis secantik ni boleh jadi orang gaji? Tak sangka pulak dia bekerja di sini
dengan uncle dan untie.” Meletus ketawa Haziq saat itu.
Irdina hanya mematungkan diri. Sarah mengerling pada Irdina dan Mak
Siti. Menyedari isyarat itu, segera Mak Siti dan Irdina meminta diri berlalu ke
dapur.
“Asyik bersembang saja. Marilah makan. Ni semua, Mak Siti dan
Cinderella yang masakkan. Sedapnya hingga rasa nak tambah berkali-kali,
hehe..,” ujar Rizman ramah.
Sarah menarik muka masam. Tak puas hati. Sikit-sikit Irdina juga
yang jadi pokok cerita.
“Wah, sedap sungguh masakan Mak Siti dan Cinderella. Kalau macam ni,
tiap-tiap hari pun saya sanggup datang makan di sini. Puding ni sedap sungguh.
Enak. Lazat. Entah la apa lagi tapi yang nyatanya puding ni sangat sedap. Rasa
macam nak tapaw bawa balik aje,hehe..”
Berderai ketawa Haziq dan Rizman.
“You bawa balik puding tak apa Haziq, jangan bawa balik Cinderella uncle
pulak. Kempunan uncle nak makan masakan dia lagi nanti,” sempat lagi Rizman
bergurau.
‘Cinderella uncle? Dah melampau orang tua ni, hish…’
Sarah mencebik muka masam. Geram sungguh dia. Asyik-asyik Irdina
juga yang jadi topik bualan Rizman dan Haziq.
“I dah pernah rasa semua masakan Melayu. Tapi I akui kata-kata
Haziq, masakan pembantu rumah you berdua ni sangat sedap. Sedap sungguh kan
papa,” ujar Ruziah.
“Hai mama.. Mama ni dah berkenan dengan masakan Cinderella atau dah
berkenan dengan Cinderella? Papa memang suka masakan dan orang yang masak tu
sekali, hehe,” ujar Hisyam pula.
Tersenyum Ruziah. “Well papa, I ok aje kalau Daniel Haziq dah suka.
I tak kisah. Why not? Cinderella pun cantik sungguh. Siapa mak bapak dia? Dia
berasal dari mana?” soal Ruziah teruja nak tahu.
Sarah menjeling Rizman agar membetulkan keadaan. Tiba-tiba pula
kunjungan Haziq dan keluarganya bagai bertukar menjadi seperti rombongan
merisik pula.
“Oh, sebenarnya Cinderella ni tak ada keluarga. Mak ayahnya pun dia
tak kenal. Memang dari kecil dia tinggal dengan keluarga angkat. Tapi keluarga
angkatnya dah tak pedulikan dia hingga dia bawa diri. Kami pun dah anggap dia
macam keluarga sendiri aje. Lagipun dia sebaya dengan Faris. Mereka pernah satu
sekolah dulu. Faris yang bawa dia ke sini agar dia dapat kerja di sini,” terang
Rizman lagi.
“Oh, kesiannya dia. Saya betul-betul simpati,” ujar Haziq pula.
“Simpati aje ke? Ke anak mama ni dah jatuh hati dengan Cinderella?”
usik Ruziah.
“Entah la.. Tapi saya memang suka Cinderella,” akui Haziq, jujur.
“Eh, you sebut nama Faris, mana dia? How along to see. Mesti
dah besar panjang kan. Dulu-dulu kat rumah kita, waktu malam-malam, budak-budak
bertiga ni suka betul berkumpul tengok bintang.” Sengaja Hisyam mahu mengalih
topik.
“Is kirim salam. Dia ada mesyuarat di Mawar Putih Resort. Dia minta
maaf tak dapat turut serta,” ujar Sarah.
“Wah, dah ada resort sendiri. Dah jadi pengurus juga. Bagusnya,”
puji Ruziah.
“Alang-alang kita dah ke sini, apa kata kita panjangkan aje hasrat
hati kat sini aje, mama,” ujar Hisyam tiba-tiba.
Kesemua mata saling berpandangan. Rizman dan Sarah berdebar-debar.
“Apa pula berhasrat-hasrat pulak ni Hisyam, Ruziah?” soal Sarah.
Hatinya gelisah. Bimbang jika mereka mahu terus merisikkan Irdina untuk Haziq.
“Begini, kami sebenarnya datang sini nak merisik jugak. Indra Faris
dah berpunya ke belum?” soal Hisyam.
“Aii..Indra Faris memang belum berpunya, tapi you all nak risikkan
bagi pihak siapa pulak ni?” soal Rizman pula.
“Bagi pihak Mimi Syarmila, anak perempuan kami, adik Haziq. Dia
sekarang masih menuntut di Turki. Medic jugak,” ujar Ruziah tersenyum-senyum.
Sarah sudah tidak keruan. Batang hidung Faris diharap muncul, agar
Faris sendiri dapat menjawab soalan itu. Rupanya kunjungan mereka sekeluarga
memang berhasrat merisik anaknya. Terbalik pula. Tapi Sarah memang tak kisah.
Ternyata dia memang suka mahu berbesan dengan Hisyam dan Ruziah. Namun dia
sendiri bimbang dengan kesediaan Faris. Walaupun sudah berkali-kali didesak
menamatkan zaman bujangnya, namun Faris selalu saja memberi berbagai alasan.
“Ya. Baru untie ingat, nama adik Haziq tu Mimi. Ada bawa gambar
Mimi tak? Dah besar panjang, mesti Mimi sangat cantik kan? Bagusnya dia. Ikut
jejak abangnya jugak ya.” soal Sarah lagi.
“Ya, Mimi pun minat dengan medic. Ha..Ni gambarnya. Latest pic
sebelum kami bertolak pulang ke Malaysia sebulan lalu,” ujar Ruziah lagi.
Telefon bimbit milik Ruziah dihulur kepada Rizman dan Sarah.
Terpegun seketika mereka bila melihat gambar adik perempuan Haziq. Memang
cantik sungguh. Bagai gadis kacukan Inggeris dan India. Namun pada Rizman,
Cinderella lebih cantik. Hatinya merasakan ada sesuatu antara Faris dan
Cinderella. Bapa mana yang tak faham anak.
“Beginilah Hisyam, Ruziah. Pandangan saya memang Mimi dan Faris
secocok jika digandingkan, tapi belum tentu Faris akan setuju. Jadi apa kata
korang kirimkan gambar ni ke telefon bimbit saya, nanti kami akan tunjukkan
pada Faris. Mungkin Faris ada pendapatnya sendiri,” ujar Rizman lagi.
“Ok, I tak kisah. Yang penting hubungan kita kekal seperti
bersaudara. Well Haziq, Cinderella pula macam mana? Mama rasa Haziq dah berkenan
dengan Cinderella kan?” soal Ruziah tiba-tiba.
Sekali lagi Sarah merasa tidak keruan. Haziq tersipu-sipu. Memang
dia tidak pandai menyembunyikan perasaan sendiri.
“Tak apalah mama, papa. Haziq rasa dalam hal Haziq dan Cinderella
ni, kita tak perlu tergesa-gesa. Untie, uncle.. Kalau diizinkan, bolehkah saya
mahu berkawan dulu dengan Cinderella? Nak kenal-kenal dulu,” ujar Haziq lagi
sambil tersenyum malu-malu.
“Oh, boleh sangat. Kami takkan halang kalau Haziq nak berkawan
dengan Cinderella. Lagipun kami kenal Haziq macam mana orangnya,” ujar Rizman.
“Selalulah datang lagi ke sini. Next time boleh kenal-kenal dengan Faris.
Mesti ada something yang you all bertiga boleh share,” ujar Sarah lagi.
“Insya-ALLAH untie, uncle. Hm… Uncle, untie, boleh saya jumpa
Cinderella kejap?” soal Haziq meminta izin.
Sarah mengangguk dengan hati yang nanar. Segera dia ke dapur
memanggil Irdina
“Cinderella, Haziq nak jumpa awak. Cinderella, dengar sini. Haziq
tu dah berkenan dengan awak. Awak jangan layan dia lebih-lebih kalau nak terus
tinggal dan kerja di sini. Faham Cinderella?” soal Sarah dengan nada tegas.
Cepat-cepat Irdina mengangguk. Dia sendiri sedar status dirinya
sebagai isteri orang sungguhpun bukan dalam bentuk rumah tangga sebenar. Dia
membuntuti Sarah bertemu Haziq yang sudah menunggunya di taman mawar putih.
Belum sempat Cinderella berkata-kata, Haziq terlebih dahulu mempersilakan
Cinderella duduk di kerusi batu taman itu. Cinderella hanya mengikut.
“Irdina, bersyukurnya saya dapat jumpa awak lagi. Selepas pertemuan
dengan awak hari tu, saya asyik teringatkan awak. Saya tak tahu di mana nak
cari awak. Mujurlah awak bekerja dengan ibu angkat saya di sini. Betul-betul
saya rasa seperti kita sudah berjodoh. Dan hari ini saya ditemukan dengan awak
di sini. Awak apa khabar?” soal Haziq.
Tidak lepas-lepas dia memandang wajah Irdina. Irdina pula hanya
menundukkan wajah.
“Alhamdulillah, saya sihat. Encik Haziq… Err…’
“Not encik! Kan saya dah kata hari tu. Juz call me Haziq. Hm..Dah
tentu Dina nak tanya saya tentang kesihatan mak cik Rosmah kan?”
Mendengar sekeping nama itu, Irdina mengangguk laju. Memang dia teruja
nak tahu bagaimana keadaan kesihatan Rosmah.
“Alhamdulillah, mak cik Rosmah dah sihat. Dia selamat menjalani
pembedahan. Cuma sebelah kakinya perlu dipotong kesan dari penyakit kencing
manis yang dihidapi.”
“Sekarang mak cik Rosmah berada di mana?”
“Sekarang mak cik Rosmah ditempatkan di sebuah rumah kebajikan
orang tua-tua di sekitar Alor Setar. Dina tak rasa mahu pergi melawat mak cik
Rosmah? Kalau Dina mahu, saya boleh tolong bawakan Dina ke sana.”
Sengaja Haziq mempelawa. Mahu mencari peluang lagi untuk bertemu
Irdina.
“Err… Tak apa. Saya tak mahu menganggu mak cik Rosmah. Baguslah mak
cik Rosmah selamat dan hidup dengan baik. Terima kasih Haziq.”
“No problem. Itu memang tanggungjawab kita sesama Muslim kan. Nanti
kalau Dina mahu pergi melawat mak cik Rosmah, beritahulah saya. insya-Allah
saya boleh bawakan Dina ke sana.”
Irdina hanya mengangguk. Tidak lupa senyuman nipis di bibir turut
dihulurkan.
‘Ish,
apa kena pulak dengan Haziq ni. Pandang aku macam nak telan aku hidup-hidup aje
ni. Ikut hati, nak aje aku cepat-cepat lari masuk rumah. Apa lagilah yang dia
nak cakap dengan aku ni? Sudah-sudahlah. Naik rimas pulak. Buatnya Faris balik
tiba-tiba macam mana? Aduyai…’
Lama pula Haziq merenung wajah Irdina. Irdina pula lebih suka
mendiamkan diri.
“Dina, terus terang, saya suka awak. Boleh kita berkawan?” soal
Haziq lagi dengan penuh harapan.
Serta-merta Irdina mengangkat wajah. Kelu. Namun dia menghembus
nafas penuh debaran bila BMW hitam milik Faris membelok masuk ke perkarangan
villa itu. Segera Sarah menghampiri mereka.
“Haziq, Faris dah balik tu. Jom, untie bawa Haziq jumpa Faris,”
ujar Sarah.
“Ok untie. Ok Cinderella, saya tunggu jawapan awak. Kita jumpa
nanti ya,” ujar Haziq lagi.
Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. Hanya Irdina menghantar
pandangan pada kelibat Sarah dan Haziq yang pergi mendapatkan Faris. Namun
hatinya jadi makin tidak senang bila melihat rupa Faris. Sarah dan Rizman juga
kelihatan terkejut.
“Kenapa dahi bertampal plaster dan lengan beranduh ni Is? Is
kemalangan ke?” soal Sarah risau.
Faris tunjuk muka bersahaja. Sejak dari dalam kereta tadi, dia
asyik meneliti kelibat Haziq dan Irdina berbual di taman mawar putih.
‘Macam
mana dia ni boleh datang rumah aku pulak ni?’
“Is terjatuh aje mama, jangan risau,” ujar Faris lagi.
“Wah, ini Faris ya. Dah besar panjang rupanya,” ujar Ruziah.
“Oh, kenalkan Is. Inilah Daniel Haziq, anak angkat mama dan papa
dulu. Is masih ingat tak? Dulu-dulu Haziq dan Mimi selalu main sama-sama dengan
Is kan? Ini pula mama dan papa Haziq, pak cik Hisyam dan mak cik Ruziah. Mujur
sempat jumpa. Mereka dah nak pulang,” ujar Sarah.
“Eh, saya rasa kita macam pernah jumpa kan. Tapi tak ingat pulak
kat mana,” ujar Haziq ingat-ingat lupa.
“Muka macam saya ni banyak aje kat hospital kot.”
Faris senyum sumbing. Sengaja dia mahu mengelak. Padahal mereka
memang pernah berjumpa ketika mereka sama-sama menaiki feri dahulu. Haziq pula
hanya membalas senyuman Faris dengan anggukan kecil. Dah besar-besar begini,
mereka berdua macam kekok pula. Namun bila teringatkan pesanan Mimi, Haziq
menghampir dekat dengan telinga Faris. Ada sesuatu dia mahu bisikkkan. Faris
pelik sendiri.
“Is, Mimi kirim salam.”
Mendengar bisikan itu, Faris terkedu. Sekeping wajah kanak-kanak
perempuan berambut perang itu terlakar di minda. Mimi Syarmila! Tiba-tiba saja
Faris dihujani rasa bersalah. Faris mengangguk. Haziq senyum nipis.
Pandangannya dihala ke arah Rizman, Sarah dan Cinderella.
“Baiklah uncle, untie, Faris, Cinderella. Kami minta diri dulu.
Jangan lupa sampaikan hasrat kami buat Faris. Faris, Mimi teringin sangat nak
jumpa kau. Ok, kami balik dulu ya. Cinderella, jaga diri. Ada masa saya mahu
lebih kenal awak,” ujar Haziq lagi.
Serta-merta pandangan Irdina berlaga dengan anak mata tirus Faris.
Mimi? Siapa pula Mimi? Cepat-cepat Irdina menundukkan wajah. Namun dari ekor
mata Faris, Irdina dapat membaca. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Faris pada
hari itu.
‘Kenapa
lain benar muka dia hari ni? Macam moody aje? Hmm…’
Note : Untuk makluman para pembaca
yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada
bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…
~ Annur Iman ~