Patutlah
Mak Siti beriya benar mahu mereka bertolak tengahari itu juga, agar bila mereka
tiba di kampung, mereka dapat melihat pemandangan saujana mata memandang. Di
kiri kanan jalan, terbentang kawasan sawah padi yang luas. Ramai juga
budak-budak yang sedang bermain layang-layang di kawasan sawah padi itu.
Akhirnya bila tiba di selekoh yang bertulis, Kampung Cherok Pelanduk, Mak Siti
mengisyaratkan agar Faris membelok ke kanan. Jalan yang tidak rata dan sedikit
berbecak-becak agak mengganggu fokus Irdina pada pemandangan sekeliling kampung
itu.
Benar kata Mak Siti. Kampung itu memang di sekelilingnya hanya ada
hutan dan pokok-pokok getah. Cuma yang membuatkan hati Irdina teruja, tatkala
anak matanya menjamah pokok-pokok rambutan yang buahnya sudah mula memerah.
Pokok langsat dan duku juga tidak kurang lebat buahnya. Pokok manggis dan
cempedak juga. Memang hatinya merasa tenang. Sudah dapat dibayangkan apa
aktiviti pertama mereka pada petang itu.
“Wah Mak Siti, banyak pokok-pokok buah-buahan ya. Memang tengah
musim buah-buahan ke sekarang Mak Siti? Langkah kananlah kami datang ni,” ujar
Faris memecah suasana sunyi.
Mak Siti angguk-angguk sambil senyum-senyum.
“Ye, kawasan rumah Mak Siti ni memang banyak dusun. Dusun
peninggalan arwah bapa Mak Siti pada arwah suami Mak Siti. Setelah arwah suami
Mak Siti pergi, dusun di sini terbiar begini aje. Bila ada musim, berbuahlah
ia. Jadilah makanan beruk dan monyet kalau Mak Siti tak pulang ke sini,” ujar
Mak Siti lagi.
“Mak Siti tak ada adikberadik lain? Anak?” Soal Faris lagi.
Sesekali dia menjeling juga pada Irdina yang kelihatan ralit benar
memerhatikan pokok-pokok di sekeliling jalan.
“Hm… Mak Siti ada seorang abang dan seorang adik. Tapi abang Mak
Siti dah meninggal. Sekarang tinggal adik Mak Siti aje yang tolong
tengok-tengokkan rumah dan dusun ni,” ujar Mak Siti lagi.
“Oo… Ehm... Cinderella ok? Tak takut banyak nyamuk?” soal Faris,
sengaja mahu memancing tumpuan Cinderella.
Serta-merta anak mata Cinderella bersatu pandang dengan anak mata
Faris di cermin pandang belakang kereta. Cepat-cepat dia mengalih pandang ke
luar tingkap kereta semula.
“Ok je. Kalau nyamuk banyak, pasang aje ubat nyamuk. Kan Mak Siti?”
ujar Irdina lagi.
Mendengar jawapan acuh tak acuh Irdina, Faris akhirnya memilih
mendiamkan diri saja.
“Tuan Muda, berhenti di depan rumah yang hujung tu. Itulah rumah
Mak Siti. Yang sebelah kanan tu rumah adik Mak Siti dan keluarganya. Kat sini,
hanya ada rumah kami berdua aje. Jom,
jemput masuk Tuan Muda, Cinderella,” ajak Mak Siti lagi.
Turun saja dari kereta, Irdina terus memeluk tubuh. Rupanya kawasan
kampung itu bersuhu hawa dingin. Bagaikan perkampungan di tempat Tanah Tinggi
Cameron saja. Melihat Irdina seperti kedinginan, terus saja Faris menghulurkan
jaket kulit miliknya. Jaket itu memang pernah dipakai Irdina waktu mereka
sama-sama menaiki feri dulu. Namun Faris kecewa, Irdina menggelengkan kepala
tanda tidak mahu.
Dari tadi Faris asyik tertanya-tanya, kenapa dingin benar sikap
Irdina terhadapnya sejak kejadian ragut itu. Namun Faris berkeras juga
menyarungkan jaket itu ke tubuh Irdina.
“Awak tak sihat, Mawar. Pakai jaket ni,” bisik Faris lagi.
Irdina membiarkan saja jaket itu tersarung ke tubuhnya. Sedang
mereka mahu mengangkat barang-barang, beberapa orang kampung dan anak-anak
datang menyambut. Mereka bersalam-salaman seketika sebelum berkenal-kenalan.
“Ha, inilah adik Mak Siti. Tuan Muda dan Cinderella boleh panggil
adik Mak Siti, Pak Dolah. Ini pula isterinya, Mak Indah. Dua minggu lagi mereka
berdua nak ke Mekah, berumrah. Yang lain-lain yang tolong angkatkan
barang-barang tu semuanya anak-anak mereka. Dolah, Indah. Ini anak majikan
tempat kakak bekerja. Ini pula kawan anak majikan kakak, yang turut sama-sama
Mak Siti bekerja di rumah tu,” ujar Mak Siti lagi.
“Oh, silakanlah naik. Nanti malam, jemputlah datang ke rumah kami
pula ya,” ujar Pak Dolah.
“Jemput datang makan malam di rumah kami malam ni. Ajak dan Pandi
baru aje kail ikan dan udang di sungai. Alhamdulillah, rezeki tetamu nak merasa
ikan dan udang sungai. Kak Siti tak payahlah sibuk masak ya. Nanti Indah dan
anak-anak boleh masakkan untuk tetamu kita ni,” ujar Mak Indah, ramah.
“Oh, ye ke Indah. Kak Siti memang ingat nak bagi Tuan Muda dan
Cinderella makan ikan dan udang sungai. Memang kita langkah kanan,” ujar Mak
Siti gembira sungguh.
“Oh, jadi dekat-dekat sini ada sungai ke Mak Indah?” soal Faris
sudah mula teruja dengan tempat itu.
“Eh, tentulah ada. Dekat aje. Belakang rumah kami aje. Nanti Pak
Dolah bawa Tuan pergi tengok sungai ya,” ujar Pak Dolah pula.
Segan pulak Faris bila Pak Dolah memanggilnya Tuan.
“Pak Dolah, Mak Siti dan Mak Indah boleh panggil saya Faris aje.
Segan pulak saya Pak Dolah panggil saya Tuan. Pak Dolah, saya memang sukakan
suasana kekampungan macam kampung ni. Sungai tu jauh tak Pak Dolah?” soal
Faris, tak sabar mahu meneroka kampung itu.
“Oh, tak jauh la. Lima minit aje kalau berjalan dari sini. Nanti
Pak Dolah bawa kamu mengail ikan dan udang. Jangan risau, Pak Dolah ada perahu
dan bot kalau nak jalan-jalan tengok sungai,” ujar Pak Dolah lagi.
“Eh, asyik bersembang aje. Jomlah naik ke pondok usang Mak Siti
ni,” ujar Mak Siti lagi.
Rumah Mak Siti memang rumah kampung. Bahan binaannya pun semuanya
kayu belaka. Tapi untuk keselamatan, rumah itu didirikan dua tingkat kerana
kata Mak Siti, biasanya malam-malam ada binatang buas yang kadang-kadang
merayau-rayau di sekitar bawah rumah itu.
Seperti jangkaan Irdina, petang itu aktiviti pertama mereka,
memetik buah-buahan di dusun Mak Siti. Dusun itu terletak di sepanjang jalan
masuk ke kawasan rumah Mak Siti dan Pak Dolah.
“Abang Is pandai panjat pokok?” soal Ajak yang tidak berbaju.
Lastik yang tergantung di lehernya turut jadi tumpuan mata Faris.
Abdul Razak atau Ajak anak bongsu Mak Indah dan Pak Dolah. Dia berumur 7 tahun
tapi hal-hal kampung dan kerja-kerja kampung memang sudah dalam kocek
seluarnya. Mananya tak. Kalau Pak Dolah keluar ke sungai, ke dusun, ke kaki
bukit mencari hasil hutan, ke sawah padi, semuanya pasti dia pun turut serta
bersama abangnya Affandi atau Pandi yang berumur 15 tahun. Pandi anak kedua,
manakala anak sulung Mak Indah dan Pak Dolah, Rohani atau Ani berumur 20 tahun.
Rohani sudah tamat belajar SPM, cuma dia tidak menyambung ke mana-mana IPT
kerana keadaan keputusan peperiksaannya tidak begitu baik. Jadi setiap hari Ani
yang membantu Mak Indah menjual kuih dan memasak untuk majlis kenduri kendara
di kampung itu.
Faris mengangguk walaupun sebenarnya sudah beberapa tahun dia tidak
memanjat pokok kerana sibuk dengan urusan pengajian dulu dan kerjayanya
sekarang.
“Abang Is boleh panjat pokok. Ajak nak abang panjat pokok apa?” soal
Faris kembali.
Mendengar kata-kata Faris itu, Ajak tersenyum. Lastik di lehernya
diambik. Segera Ajak mencari-cari batu kerikil yang bersaiz sederhana. Ditarik
lastik menghala ke deretan pokok rambutan tidak jauh dari tempat mereka
berdiri. Batu kerikil tadi melantun tepat mengenai batang pokok rambutan yang
berbuah lebat.
“Ajak nak abang panjat pokok tu, abang berani?” soal Ajak
tersengih-sengih.
Faris menelan liur bila melihat ketinggian pokok itu. Buah rambutan
pada pokok itu memang lebat, tetapi pokoknya tinggi. Namun cabaran Ajak tetap
disambut. Faris memang suka mencuba.
“Ok, jom,” ujar Faris lagi.
Galah panjang yang akan digunakan untuk mengait buah rambutan
ketika di atas pokok nanti dipegang kuat Ajak. Nanti Ajak akan hulurkan galah
panjang itu pada Faris setelah Faris berada di atas pokok.
“Abang tau tak, siapa yang dapat panjat pokok ni, hebat tau,” ujar
Ajak lagi sambil memandang ketinggian pokok rambutan itu.
Sementara itu Faris melipat seluarnya hingga ke lutut dan
menyinsing t-shirt putihnya hingga ke pangkal lengan. Baru saja lima minit dia
berdiri di situ, sudah kelihatan beberapa ekor nyamuk hutan yang hinggap di
betis dan tangan. Kulitnya yang putih menyerlahkan kesan gigitan nyamuk yang
kemerah-merahan.
“Sebelum ni ada tak sesiapa yang dapat panjat pokok ni?” soal Faris
lagi.
Ajak menggelengkan kepala.
“Ayah aje yang pernah panjat. Tapi sekali tu bila ayah jatuh pokok
sebab terpijak dahan reput, terus dah tak ada sesiapa lagi yang pernah panjat
pokok ni. Biar aje la rambutannya masak dan gugur. Tak ada orang dapat ambik,”
ujar Ajak lagi bernada sedih.
“Ajak jangan risau ya. Insya-ALLAH hari ni Ajak akan dapat makan
buah rambutan pokok ni. Ok, Ajak tunggu di bawah. Abang dah nak panjat ni.
Nanti bila abang suruh hulurkan galah ni, Ajak hulurkan ya,” ujar Faris lagi
disambut anggukkan Ajak.
Faris terus memanjat. Dia amat berhati-hati memandangkan pokok itu
memang banyak dahan reput. Setelah dia tiba di satu dahan yang kuat, dia segera
mengisyaratkan agar Ajak menghulurkan galah panjang padanya.
“Ajak, hulurkan galah,” laung Faris dari atas.
Galah dihulur dan Ajak kelihatan tersenyum gembira. Laungan Faris
itu rupa-rupanya telah didengar oleh Irdina yang sedang berjalan-jalan di
sekitar dusun itu. Irdina sedang menunggu Mak Siti yang pergi memanggil Pak
Dolah. Petang itu Pak Dolah yang akan panjat pokok-pokok di dusun untuk
ambilkan buah-buahan untuk mereka. Tidak sangka pula dia Faris dan Ajak sudah
mendahului.
Dari jarak beberapa langkah dari Ajak yang duduk berdiri
betul-betul di bawah pokok rambutan yang dipanjat Faris, Irdina dapat melihat
dengan jelas Faris kini berada di atas pokok. Timbul kerisauannya pada
keselamatan Faris tatkala melihat pokok itu begitu tinggi sedangkan Faris
memanjatnya tanpa apa-apa alatan keselamatan. Namun dipandang dari jauh saja.
Faris sudah mula mengait rumpun-rumpun buah rambutan yang masak
ranum. Buah-buah yang jatuh ke bawah dikutip Ajak dan dikumpulkan di bawah
pokok itu.
“Cinderella, mana Tuan Muda? Pak Dolah dah mula memanjat
pokok-pokok di sebelah sana. Jomlah kita ke sana,” ujar Mak Siti.
Rohani yang turut ikut bersama Mak Siti hanya tersenyum-senyum saja
pada Irdina.
“Tuan Muda kat atas pokok tu Mak Siti,” ujar Irdina sambil
menghalanya jari telunjuknya ke atas pokok rambutan yang tinggi itu.
“Astaghfirullah.. Macam mana Tuan Muda boleh panjat pokok tu. Pokok
tu bahaya. Tuan..Tuan Muda, sudah. Sudah! Turun. Turun! Bahaya pokok ni. Ya
ALLAH.. Kalau jadi apa-apa pada Tuan Muda, apa yang saya nak jawab dengan Tuan
Rizman dan Puan Sarah. Tuan Muda..Turun! Turun!” Laung Mak Siti dari bawah
pokok itu.
Terpinga-pinga mendengar jeritan Mak Siti, Faris memandang ke
bawah. Tiba-tiba matanya jadi silau. Dia pening-pening. Tanpa sedar tangannya
terlepas pegangan pada dahan. Kakinya menggelungsur jatuh ke bawah. Tangan
kanannya sempat menyambar pada dahan-dahan yang berada di bahagian bawah. Namun
tangan kiri hingga ke sikunya luka kerana tersadung pada batang kayu tajam.
“Arghh…,” jerit Faris.
“Ya Allah. Ajak, pergi panggilkan ayah kamu. Ani, pergi ambilkan
minyak angin!” laung Mak Siti cemas.
Cepat Ajak berlari memanggil ayahnya. Irdina semakin kerisauan
melihat Faris saat itu hanya berpaut pada dahan. Tangan hingga sikunya sudah
bermandikan darah merah. Namun Faris tenang saja. Perlahan-lahan dari tempat
dia bertahan itu, dia menyusun langkah untuk turun. Akhirnya belum sempat Pak
Dolah tiba, Faris sudahpun selamat tiba di bawah. Di tangan kanannya tergenggam
satu rumpun buah rambutan yang sempat dipetik dengan tangan.
Lambat menunggu Ani, akhirnya Mak Siti sendiri yang berlari pulang
ke rumahnya mengambil minyak. Kini yang tinggal di situ hanya Faris dan Irdina.
Irdina tidak terkata apa. Hanya duduk bertinggung di sebelah Faris,
memerhatikan luka di tangan dan siku Faris. Faris yang sedang terduduk terus
menghulurkan rumpun buah rambutan yang dipegang pada Irdina.
“Mawar, ambillah. Ni untuk awak,” bisik Faris.
“Tuan Muda panjat pokok ni semata-mata untuk ambilkan buah ni untuk
saya? Kenapalah Tuan Muda bahayakan diri macam ni. Pokok ni kan tinggi,” ujar
Irdina resah.
Luka di tangan dan siku Faris direnung. Segan dia mahu menyentuh
luka itu. Sedangkan hatinya melonjak-lonjak mahu merawat luka itu.
“Ajak cakap, siapa yang dapat panjat pokok ni, orang tu hebat. Tapi
hebatnya saya kerana saya dapat ambilkan serumpun buah rambutan ni untuk awak.
Untuk kembalikan senyuman awak. Ambillah Mawar,” ujar Faris lagi.
Irdina terkesima pada ketulusan hati Faris saat itu. Dia menyambut
huluran rumpun buah rambutan itu.
“Terima kasih Tuan Muda,” ujar Irdina lagi.
“Awak,”
“Hm…,”
“Boleh tak sepanjang kita kat sini, awak jangan panggil saya Tuan
Muda,”
“Habis tu nak panggil apa?”
“Panggil aje abang. Kan saya ni suami awak?”
“Hm..” Serta-merta wajahnya memerah.
Melihat Mak Siti sudah tiba bersama Pak Dolah, Ajak dan Ani, Irdina
menjarakkan dirinya dari Faris. Setelah Pak Dolah menyapu minyak pada luka di
tangan dan siku Faris, Pak Dolah terus saja memimpin Faris pulang. Dia disuruh
rehat di bilik saja petang itu. Bilik Faris paling hujung, manakala bilik Irdina
bersebelahan dengan bilik Mak Siti.
Lama Ani memandang Faris ketika mereka semua masih berada dalam
bilik Faris.
“Abang ok tak? Sakit?” soal Ani dengan ramah.
Faris menggelengkan kepala. Irdina yang duduk sedikit jauh di
pintu, hanya memasang telinga.
“Alhamdulillah, Pak Dolah dah sapukan minyak pada luka dan Pak
Dolah pun dah urutkan pergelangan tangan dan kaki abang yang terseliuh,” ujar
Faris lagi.
“Ayah memang pandai bab-bab ubat dan urut-urut ni. Ubat ni pun ayah
buat sendiri tau. Ayah buat dengan akar-akar kayu,” ujar Ani lagi.
“Oo… Dapat mana akar-akar kayu?” soal Faris lagi.
“Kat hutan dan kaki bukit. Biasanya ayah suka ke hutan dan kaki
bukit tiap-tiap hujung minggu. Abang lama lagi ke kat sini? Manalah tau
kalau-kalau abang nak ikut ayah masuk hutan ke. Boleh tengok sendiri macam mana
ayah cari hasil hutan,” ujar Ani lagi makin suka bersembang dengan Faris.
“Abang dan kakak lama lagi di sini. Insya-ALLAH, kalau tak ada
apa-apa abang nak jugak ikut Pak Dolah ke hutan, cari hasil hutan,” ujar Faris
lagi.
“Boleh sangat tu. Ayah mesti mesti suka tu,” ujar Ani lagi.
“Ya, Ajak pun nak ikut abang dan ayah masuk hutan. Ajak memang suka
ikut ayah,” celah Ajak yang sejak tadi hanya diam.
Melihatkan kerancakan perbualan antara Faris, Ani dan Ajak, Irdina
meminta diri untuk kembali ke biliknya. Dia mahu berehat. Mak Siti pun sudah
mula bersiap-siap nak ke rumah Mak Indah. Nak tolong Mak Indah masak.
“Tuan Muda, saya minta diri pulang ke bilik. Tuan rehat ya,” ujar
Irdina meminta diri.
Dalam keterpaksaan Faris mengangguk, namun dalam hatinya dia tidak
mahu Irdina berada jauh darinya. Hanya pandangannya saja yang ikut menghantar
Irdina keluar dari bilik itu. Rohani dan Ajak masih setia menemaninya. Itu
memang pesan Mak Siti.
“Abang, abang hebatlah dapat panjat pokok tu. Ayah dulu panjat
pokok tu, jatuh terus patah kaki. Sebulan baru baik. Waktu tu Ajak kecik lagi,
baru lima tahun,” ujar Ajak lagi tersengeh-sengeh.
“Tak la. Abang biasa-biasa aje. Sebenarnya abang pun dah lama tak
panjat pokok. Lega jugak sebab waktu jatuh tadi, tak teruk sangat cedera ni,”
ujar Faris lagi.
“Abang, kak Cinderella tu awek abang ke?” soal Ajak pula tiba-tiba.
Tiba-tiba pula lidahnya terkelu. Ani pandang aje muka Faris.
“Hehe… Terus gelabah abang nak cakap, hehe.. Ajak tahu, kak
Cinderella tu bukan awek abang, tapi abang suka dia kan?” serkap Ajak lagi.
Spontan Faris tersenyum.
“Ajak tahu, abang suka kak Cinderella. Sebab tu la abang teman dia
ke sini kan. Ajak pun tahu, kak Cinderella pun suka abang,” ujar Ajak lagi
semakin petah berkata-kata.
“Macam mana Ajak tahu kak Cinderella suka abang?” soal Faris pula.
“Sebab, waktu abang nak jatuh pokok, kak Cinderella nampak risau
betul,” ujar Ajak lagi.
Saat itu Ani bangun berdiri.
“Ajak, jomlah kita balik, lagipun dah dekat nak maghrib ni. Sekejap
lagi dah nak azan maghrib. Ajak balik mandi, jom,” ujar Ani lagi.
“Alaa…kak Ani ni. Ajak baru nak sembang best dengan abang Is. Akak
ni kacau la. Tahulah akak tu jeleskan kak Cinderella. Sebab abang Is suka kak
Cinderella, tak suka kat kak Ani,” spontan Ajak berkata demikian.
“Hey, siapa cakap kak Ani jeleskan kak Cinderella? Dah la… Malas nak layan. Nanti ayah dan mak marah Ajak,
Ajak jangan nak mengadu pada kak Ani. Abang, Ani balik dulu,” ujar Ani lagi.
Terus saja Ani berlalu keluar dari bilik.
“Elleh..Tak apa, nanti kalau Ajak kena marah dengan ayah dan mak,
Ajak boleh mengadu kat abang Is,” laung Ajak dari dalam bilik.
Ajak memandang wajah Faris dan mereka sama-sama ketawa.
Note : Untuk makluman para pembaca
yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu sudah terbit dan berada di pasaran.
Dapatkan novel ini di toko-toko dan kedai-kedai buku berhampiran anda. Selamat
membaca..
~ Annur Iman ~