Bab 7

#7:Struggling

Eman telah berjaya menyeludup ke sempadan bersama hasil rompakan yang dibawa bersama.  Setelah aktiviti tawar-menawar urusniaga dijalankan, senyuman Eman melebar hingga ke telinga. 

Lumayan! Tidak sia-sia dia mempertaruhkan nyawa tempoh hari apabila melihatkan banyak angka '0' yang tertulis dicek.  Segala rencana telah bermain dibenaknya. 

Lumrah manusia yang mudah lupa pada janji sebaik saja melihat wang didepan mata.  Begitu juga halnya dengan Eman.   Segala janji yang ditaburkan kepada Maliq hampir dilupakan.  Dia menjadi tamak.

"Kaya...aku dah jadi orang kaya.  Apa aku nak buat dulu ni?"

Eman telah menggunakan sejumlah wang untuk kepentingan dirinya sendiri.  Sebuah kereta mewah telah dibeli secara tunai.  Gayanya juga telah diubah.  Eman yang dahulunya selekeh kini telah berubah 360 darjah.Tidak perlu dia bersusah payah untuk memikat gadis-gadis diluar sana.   Malahan dirinya pula yang menjadi rebutan.

"Maliq, kau memang bodoh.  Tak semudah itu kau nak dapatkan wang ni.  Hahahaha.  Padan muka kau terpaksa usung perempuan tu kesana kemari."

Eman telah nekad.  Dia tidak akan kembali lagi ke negara asalnya.  Sementelah pula dia anak yatim piatu.  Tiada sesiapapun yang mempedulikan dirinya sejak dulu.  Dia akan memulakan kehidupan baru disempadan. 

*********

"Qamil, ada sebarang maklumat terbaru tentang suspek?"

ASP Rizki kelihatan kusut.  Telah tiga hari rompakan tersebut berlaku namun masih tiada sebarang maklumat berhubung perompak-perompak tersebut.  Dia menerima tekanan yang hebat daripada pihak atasan, media dan juga ibu bapa Merlis. 

Qamil yang sedang leka menaip tugasannya berpaling seraya membelek fail berwarna merah yang baru dikeluarkan daripada kabinet besi.

"Belum ada lagi tuan.  Mungkin lakaran yang diberikan oleh saksi tidak tepat oleh itu operasi mencari menjadi sukar.  Tetapi semua kontinjen dan daerah telah diarahkan agar mengadakan sekatan jalan raya disetiap pelusuk."

"Hmmmm.."

Nampaknya hal ini menjadi semakin rumit.  Tiada petunjuk mahupun jejak yang ditinggalkan untuk membawa pihak polis kepada mereka.

"Tuan Rizki, Tuan Ghany nak jumpa" seorang anggota polis wanita yang berambut pendek mencecah bahu mencelah.

Perbualan mereka tergendala sebentar.

"Apa?  Baiklah.  Terima kasih." 

Anggota wanita tersebut mengangguk sekali sambil tersenyum.  Dia kembali semula ke meja yang terletak bertentangan.

Langkah diayunkan ke bilik Tuan Ghany.  Semestinya ketuanya ingin mengetahui perkembangan kes.

Tuan Rizki kini telahpun berada dihadapan pintu bilik Tuan Ghany.  Plet bertulis nama Tuan Ghany ditatap sekilas sebelum pintu diketuk.

Tokk...Tokkk..Tokkk..

"Masuk" 

Derapan tapak kasut Tuan Rizki menghiasi suasana.

"Selamat pagi Tuan."  Serentak dengan ucapan itu tabik hormat diberikan dan tubuhnya berdiri tegak.  Tangan diletakkan kembali kesisi.

"Selamat pagi.  Silakan duduk Rizki.  Saya ada sesuatu untuk dibincangkan dengan awak.  Berhubung kejadian rompakan tempoh hari."

Kerusi beroda berwarna biru ditarik.  Tuan Rizki melabuhkan punggungnya disitu berhadapan dengan Tuan Ghany.

Rizki menghela nafas.  Dadanya terasa sesak.  Dia tahu, Tuan Ghany cukup pantang jika sesuatu kes dilengahkan.  Tetapi hal itu bukanlah disengajakan.  Dia ada alasannya yang tersendiri.

Briefcase kulit yang berwarna hitam diletakkan ditepi meja.  Sebuah fail berkulit tebal bertulis 'Kertas Siasatan' dikeluarkan lalu diletakkan ke atas meja Tuan Ghany.

'Pekan Louvre Rpt. No.:  2758/16'

Helaian kertas siasatan tersebut diselak satu persatu.  Setiap keterangan dan tindakan dicatit ke dalam fail tersebut.  Beberapa tindakan lain yang perlu diambil juga perlu diselesaikan sebelum ianya dihantar kepada Yang Arif Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan seterusnya.

"Maafkan saya tuan.  Masih tiada maklumat terkini berhubung kes rompakan tersebut.  Tetapi saya dan anggota-anggota yang lain sedang cuba sedaya upaya untuk mencungkil apa jua maklumat yang ada."

Tuan Ghany yang tadinya menunduk melihat timbunan memo dan surat-surat rasmi mendongak.  Kelopak matanya dikerdipkan beberapa kali.

"Saya tahu tentang itu.  Ada perkara lain yang perlu awak tahu"

"Maksud tuan?"

Dadanya yang sesak kembali lapang.  Ternyata meleset tebakannya kali ini.  Dia mengukirkan satu senyuman nipis.

"Semalam telah berlakunya aksi kejar-mengejar antara pihak polis dan suspek.  Suspek cuba lari daripada sekatan jalan raya dibahagian barat daya yang terletak di District de Strasbourgh.  Malangnya suspek telah berjaya lolos bersama tebusan ke dalam hutan Bois de Vert."

"Suspek dan tebusan?  Mereka berdua saja?" soal Tuan Rizki.

"Ya.  Begitulah yang diberitahu kepada saya tadi.  Ini bermakna, perompak-perompak tersebut telah berpecah.  Seorang suspek bersama tebusan dan seorang lagi mungkin menuju ke arah sempadan."

"Hmmm...harapnya tebusan tersebut selamat" Tuan Rizki meluahkan kebimbangannya. 

"Saya tak rasa suspek akan mengapa-apakan tebusan.  Oh ya, macam mana dengan ibu bapa tebusan?  Ada terima sebarang panggilan daripada sesiapa?"

"En. Mukhriz ada hubungi saya semalam.  Dia ada menerima satu panggilan ugutan meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa.  Bila En. Mukhriz menuntut bukti Merlis ada bersama,  panggilan tersebut diputuskan serta-merta."

Perbincangan mereka semakin berlarutan.  Setiap butir keterangan tidak boleh dipandang enteng. 

"Bagus.   Nampaknya keluarga mangsa tidak mudah dipengaruhi.  Hantarkan beberapa orang anggota juga untuk membuat pemantauan di kediaman mereka.  Mana tahu, ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan diatas situasi mereka sekarang ini" arah Tuan Ghany.

Segalanya perlu diambil kira memandangkan keluarga Merlis juga bukan calang-calang orangnya.  Tambahan pula identiti mereka juga telah dibongkarkan oleh pihak media.

"Baik tuan," jawab Tuan Rizki ringkas.

"Jadi, saya nak awak lakukan segala apa yang perlu untuk menangkap suspek.  Dapatkan identiti sebenar suspek supaya senang kita mencari mereka."

Tuan Ghany menyandarkan tubuhnya dikerusi.  Pegawai kanan Polis tersebut hanya menunggu masa sahaja untuk bersara.  Jika boleh, dia mahu kes ini selesai sebelum persaraannya.  Sekurang-kurangya dia tidak berasa terbeban dengan tugasan yang masih belum selesai diserahkan kepada penggantinya kelak.

"Hal itu, nampaknya agak sukar tuan"

"Sebab?"  Berkerut dahi Tuan Ghany mendengarkan jawapan tersebut.

"Saksi ada memberi lakaran wajah salah seorang suspek tapi saya khuatir jika lakaran tersebut tidak tepat.  Malahan, saya percaya suspek-suspek tersebut bukan berasal dari sini. 

Rompakan tersebut juga telah dirancang secara rapi walaupun terdapat tanda-tanda bahawa mereka melakukan rompakan itu buat kali pertama.  Merlis, gadis penjual bunga yang dijadikan tebusan juga dilarikan secara tidak sengaja.  Mungkin suspek terlalu panik ketika itu."

Tuan Ghany mengangguk beberapa kali.  Jari jemarinya disilangkan antara satu sama lain.   Fikirannya menerawang jauh tatkala keterangan tersebut diberikan oleh Tuan Rizki.  'Rob and Gamble' getusnya.

"Baiklah.  Saya nak awak teruskan siasatan dari setiap sudut.  Laporkan perkembangan dari semasa ke semasa kepada saya kerana saya juga perlu melaporkan perkembangan terkini kepada pihak atasan.  Arahan-arahan terdahulu saya berikan tadi  jangan dilupa."

Raut wajah Tuan Ghany kelihatan serius.  Rambut yang memutih dan jarang-jarang terhias dikepalanya menonjolkan lagi kewibawaannya sebagai seorang ketua yang tegas dan berpengalaman luas didalam bidang penyiasatan

"Baik Tuan.  Saya akan hantarkan beberapa orang anggota ke hutan Bois de Vert bersama anjing pengesan daripada unit K9.  Ada kemungkinan suspek masih disekitar hutan itu." 

"Itulah yang sepatutnya.  Saya jugak yakin suspek dan mangsa tebusan masih belum jauh lagi."

Teori Tuan Rizki dipersetujui oleh ketuanya.

"Kalau takde apa-apa lagi saya minta diri dulu Tuan."

Kertas Siasatan dimasukkan kembali kedalam beg.

"Baiklah, awak boleh pergi."

Tuan Rizki telahpun berdiri.  Dia melangkah beberapa tapak ke arah pintu bilik dan memusing tubuhnya semula ke arah Tuan Ghany.

"Terima kasih Tuan."  Tabik hormat diberikan sebelum berlalu dan dibalas oleh Tuan Ghany.

"Sama-sama."

Pintu bilik Tuan Ghany ditutup rapat.  Sekali lagi nafas dihela.  Tugasannya masih belum selesai.  Keadaan Merlis juga perlu dilaporkan kepada kedua-dua orang tuanya. 

Telefon bimbit didalam kocek seluar dikeluarkan.  Senarai 'contact' dipilih dan nama En. Mukhriz terpapar diskrin.  Pantas butang 'call' didail dan beberapa saat kemudian deringan masuk kedengaran.

******

"Tiket!  Tiket!"

Seorang konduktor lelaki yang berbadan gempal dan berusia semakin menghampiri mereka berdua.  Setiap penumpang menghulurkan tiket untuk diperiksa dan ianya diketip sehingga berlubang.

"Kita takde pilihan lain" bisik Maliq kepada Merlis.

Pandangan Maliq melilau ke segenap ruang gerabak.

"Maksud awak?" tanya Merlis kebingungan. 

Entah mengapa jantungnya berdegup kencang.  Hatinya seperti dapat menelah tindakan luarbiasa yang akan dilakukan oleh Maliq sebentar lagi.

"Kita terpaksa keluar dari sini" ujar Maliq.

"Tiket! Tiket!"

Suara konduktor semakin mendekat.  Jarak antara mereka sudah tidak jauh mana lagi.  Jika mereka tertangkap, maka punahlah satu-satunya harapan yang tinggal.

"Tapi macam mana?" tanya Merlis lagi.

Langkah mereka berdua tetap diatur secara pantas tetapi tertib.

Pegangan tangan Maliq terhadap Merlis semakin kuat.  Mereka bertentangan mata seketika.  Bagaikan hendak terkeluar jantung milik Merlis tatkala Maliq mengheretnya ke arah pintu keluar gerabak yang masih berkunci.

Seakan memahami, Merlis cuba menarik pegangan Maliq yang kejap ditangannya.  Merlis menggeleng beberapa kali tanda tidak setuju.

"Saya tak nak Maliq" lirih suara halus tersebut. 

Lebih kepada merayu.  Manik-manik jernih mulai bertakung ditubir mata.

"Percaya pada aku.  Aku tahu apa yang aku buat." 

Ton suara Maliq kedengaran begitu meyakinkan.  Tiada sedikitpun nada getar mahupun ketakutan pada suaranya.

"Tiket cik?  Boleh tunjukkan tiket?" muncul konduktor secara tiba-tiba dibelakang mereka.

Maliq berpaling.  Selak pintu gerabak dibuka perlahan-lahan.  Tangkai pintu ditarik dan dibuka seluas mungkin.  Angin menyerbu ke muka menyebabkan rambut Merlis berterbangan ditiup angin.  Kedua-dua lutut Merlis menggeletar.  Pergerakan keretapi juga masih laju.

Nun diluar sana terbentang satu pemandangan yang sungguh menakjubkan.  Rumput-rumput yang menghijau bagaikan sebuah padang bola menjamu matanya.  Namun ianya sedikitpun tidak menarik perhatian Merlis.  Malahan hatinya dijentik rasa takut yang melampau.

"Apa cik nak buat ni?  Jangan cik! Jangan!" jerit konduktor tua tersebut.

Kedua-dua belah kaki Maliq semakin menghampiri pintu gerabak.  Tubuh Merlis disisi juga ditarik sehingga terasa dingin kulit gadis tersebut tatkala mereka berdua bersentuhan.

Merlis memejamkan matanya rapat-rapat.  Ulas bibir bawahnya diketap.  Jantungnya berdetak lebih pantas dari biasa. 

Preettt...!  Pretttt..!

Wisel ditiup berkali-kali sebagai tanda amaran.

"Maafkan aku" bisik suara garau milik Maliq sebelum mereka melompat keluar.

"Arghhhhhh...tidakkkk..!"

Bukkk...!!

Dua batang tubuh manusia tersebut tergolek-golek dan berguling-guling di atas rumput yang menghijau.

Honkkkk! Honkkkkk..!

Choooo....Chooooo..gdek...gdekk..gdekkk..

Panjang sekali hon kereta api dibunyikan tetapi tiada tanda-tanda kereta api tersebut akan berhenti. Malahan ianya semakin meluncur laju ke destinasi yang telah ditetapkan.

Kepala penumpang-penumpang terjulur keluar melalui lubang tingkap yang terbuka.  Ada yang menjerit dan ada juga yang terkedu.  Semuanya berlaku dalam sekelip mata dan suasana bertukar kecoh seketika.  Pintu gerabak yang ternuka luas ditarik dan ditutup rapat sebelum dikuncikan semula.

Prettt...pretttt...

"Sila duduk ditempat masing-masing." 
Arahan konduktor tersebut tidak diendahkan.  Masing-masing sibuk membicarakan hal tadi.  Pelbagai teori telah dibuat.

"Saya ulang, tolong kembali ke tempat duduk masing-masing"

Suaranya naik beberapa oktaf.  Barulah penumpang-penumpang digerabak tersebut akur dengan arahannya. 

Wajah tua yang tenang tadi bertukar bengis.  Tidak pernah seumur hidupnya berlaku kejadian seperti itu.  Terjejas prestasinya sebagai seorang konduktor akibat tindakan kurang waras kedua-dua anak muda tersebut.

Bagaikan nangka busuk tubuh Merlis terjatuh dihamparan rumput tersebut.  Batu-batuan kecil yang terdapat disitu mencalarkan kulit gebu gadis malang itu semasa bergesel diatas rumput basah.

Pandangan Merlis mula berbalam-balam.  Bahagian belakangnya sakit.  Apatah lagi kakinya.  Maliq juga tergolek tidak jauh dari situ.  Berat badan  Maliq menyebabkan impaknya lebih kuat sewaktu terhempas ketanah.   Tetapi Maliq masih tetap sedarkan diri.

Kelopak mata Merlis semakin terkatup.  Dia pengsan kerana hentakan kuat dan kesakitan yang terpaksa diterimanya akibat keputusan Maliq yang dirasakan pendek akal itu.

Maliq mengengsotkan tubuhnya menghampiri Merlis yang telah kaku dan tidak bergerak. 

"Ishh..pengsan lagi"


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh