Home Novel Seram/Misteri Kifayah (Sudah Terbit)
Kifayah (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 17:55:59
253
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Prolog

"SUDAHKAH dia mula mencederakan diri sendiri atau orang lain?" soal seorang penumpang wanita dari belakang. Tiada empati dalam suaranya.

Lelaki muda yang sedang ralit memandu kereta itu mengangguk.

"Dia semakin teruk. Kami semua dah tak tahu nak buat apa, puan."

Proton Mpi model hatchback tahun 1995 itu akhirnya berlabuh di hadapan sebuah rumah teres tiga tingkat. Rona putih kereta berharmoni dengan salji yang sedang lebat turun. Sungguhpun dia pemegang pasport British, taat setia si pemandu masih terhadap sebuah negara berdaulat di garis khatulistiwa. Nun jauh beribu batu dari sini. Dia tidak pernah lupa asal usulnya.

"Hati-hati, puan. Lantai jalan licin," pesan si pemandu sebaik sahaja dia membuka pintu penumpang bahagian belakang.

Pintu masuk ke rumah dipisahkan dengan jalan raya oleh sebuah laman kecil. Landskap yang asalnya hijau berbunga, kini berselimut salji.

Wanita Melayu berusia lewat 40-an itu melangkah keluar dari kereta. Skirt labuhnya dipadankan dengan kot tebal berwarna hitam. Mafela hijau-merah bercorak tartan membaluti leher. Hablur-hablur putih segar dari kaki langit hinggap pada rambut karatnya yang tidak berikat. Gerak langkahnya penuh keyakinan. Postur tubuhnya mencerminkan aura seorang pemimpin. Sepadan dengan pangkat yang disandang.

Ruang duduk belakang kereta itu turut dikongsi dengan seorang penumpang lain. Lelaki Melayu ini lebih berusia. Dia serentak turun setelah membuka pintunya sendiri. Orangnya santai sahaja. Berganda-ganda tenang berbanding wanita tadi. Fedora di kepala membuatkan dia kelihatan seperti seorang intelektual Jepun.

Melangkah bersama, mereka bertiga menuju ke pintu rumah yang sedang terbuka luas.

Krak. Kruk. Krak. Bunyi lantai bersalji tebal dipijak sepatu.

Si pemuda berada di belakang sekali. Sambil berjalan, dia mendongak ke arah jendela yang ditutupi oleh langsir di aras paling atas. Dia tahu itu bilik siapa. Hati serta-merta menjadi rawan.

Sesuatuyang jarang sekali berlaku. Lazimnya, pelajar bermasalah yang akan dikerah hadir ke pejabat Malaysian Student Department (MSD) untuk menunjuk sebab. Namun, keunikan kes kali ini telah memaksa pegawai atasan sendiri yang turun padang. Ditemani rakan setugasnya, mereka tampil berdua bagi menilai situasi. Penerbangan dari Nottingham mendarat sekitar setengah jam yang lalu.

Sekumpulan gadis Melayu telah bersedia untuk menyambut envoy di muka pintu. Ada lima orang. Wajah masing-masing langsung tidak ceria.

"Dia di atas?" soal puan pegawai.

Mereka berlima serentak mengiakan. Puan pegawai segera melucutkan kasut butnya. Habuk putih kebasahan mencemari ruang letak kasut yang berkarpet kasar.

"Ustaz, biar saya naik dahulu. Kalau khidmat ustaz diperlukan, saya akan kerah salah seorang daripada mereka berlima ini untuk datang panggil," ujar puan pegawai. Nada suaranya lebih berbaur arahan. Bukan cadangan.

Lelaki senior itu sekadar mengangguk faham. Fedora yang baru sahaja ditanggalkan terus dipakai semula. Lantas menutup rambutnya yang kian menipis. Dia mengajak si pemandu tadi melepak di luar memandangkan ini teratak anak dara.

Salah seorang gadis di situ bercekak rambut telinga kucing. Emma namanya. Dia memimpin puan pegawai hingga ke tingkat atas. Namun, langkah Emma tersekat di hujung tangga aras tiga. Lebih daripada itu, dia tidak berani naik.

"Kenapa gelap sangat tingkat ni?" soal puan pegawai disusuli oleh keluhan hampa.

"Lampu rosak, puan." Terketar-ketar suara Emma.

"Hmm .... Entah-entah, dia dah tidur."

Emma menggeleng perlahan seraya menuding ke satu arah.

Hanya adasebuah bilik di penghujung koridor aras itu. Pintu berkatup rapat. Tudingan Emma memandu garis mata puan pegawai ke arah sejalur cahaya halus di bahagian bawah pintu. Jalur cerah itu ketara menyerlah dalam persekitaran serba gelap. Kelihatan bayang kaki bergerak-gerak di sebalik pintu. Seakan-akan ada orang sedang hilir mudik.

"Puan nak saya masuk sekali?" Bahasa tubuh Emma berlawanan dengan tawarannya.

"Tak perlu. Kamu tunggu di bawah. Berikan kami privasi. Oh, tolong buatkan saya secawan teh O suam. Dua sudu kecil gula. Perah limau, kalau ada. Hantar ke bilik."

Emma akur dan berlalu pergi. Itu memang jawapan yang dia harapkan. Kelegaan terpancar pada raut wajahnya.

Puan pegawai menyusuri ruang koridor yang gelemat. Tiba saja di hujung, dia mengetuk perlahan. Tanpa menanti pelawaan masuk, dia terus menguak pintu yang tidak berkunci.

Bau memualkan. Itu yang pertama sekali menyerang deria sang tetamu. Tengik. Hancing. Kepam. Segalanya bercampur. Seakan-akan telah sebati meresap ke dalam zarah-zarah dinding.

Diturutkan hati, mahu sahaja dia membuka jendela bilik seluas-luasnya. Namun, tindakan ini kurang bijak ekoran jiwa kacau penghuni bilik ini yang sukar diramal. Lagipun, mereka berada di aras tiga. Sebarang risiko tidak berbaloi. Maka, puan pegawai sekadar pasrah mengepit hidung.

Kelihatan seorang gadis sedang duduk di bucu katil bersaiz bujang. Memandang sayu ke arah jendela yang ditutupi langsir. Raut wajah penuh melankoli. Rupa paras terkini berbeza sekali dengan foto gadis ayu pada fail pelajar. Kecuali rambutnya yang keriting. Tubuhnya ketara susut. Menurut rekod, belum genap setahun pun dia sebagai pelajar di United Kingdom (UK).

Si gadishanya bersinglet firus nipis dengan seluar pijama lusuh warna kelabu. Fabrik atas dan bawah telah dicemari oleh tompok-tompok kotoran pelbagai warna. Si gadis tiba-tiba mengangkat sebelah tangan lalu menggaru tengkuknya. Bulu hitam merimbun muncul dari ruang bawah lengannya. Entah bila kali terakhir dia membersihkan diri. Kehadiran tetamu itu jelas disedarinya. Namun, si gadis langsung tidak menunjuk sebarang reaksi.

Enggan berdalih lagi, puan pegawai memperkenalkan diri. Kemudian mendedahkan niat kunjungannya. Matanya meliar mencari sesuatu sehingga terpandang sebuah kerusi di meja tulis. Kerusi itu diseret pantas menghampiri katil. Puan Zabedah duduk menghadap si gadis. Bersedia mahu memulakan bicara. Tidak semena-mena, gadis itu bangun. Puan Zabedah terkejut sehingga melatah. Dia menganggap reaksi fizikal yang pertama ini sebagai suatu perkembangan positif.

Gadis itu melangkah longlai menuju ke pintu bilik yang berkatup rapat. Dari tempat duduk, Puan Zabedah sekadar memerhati. Amarah mula mendidih dalam jiwa. Bersusah payah dia terbang dari jauh. Sia-sia sahaja perjalanannya ke sini andai si gadis enggan memberi sebarang kerjasama. Tetapi sebagai kaunselor terlatih, dia tetap harus bersabar.

"Saya yakin kamu sedia maklum dengan tujuan kedatangan saya ke sini ...."

Jari-jemari yang sedang menggenggam erat tombol pintu, tiba-tiba terlerai. Tangan si gadis berganjak turun sedikit. Kunci bilik yang masih terjengul dipulas ke kanan. Lantas dicabut keluar dari lubang kunci.

"Eh, apa kamu buat ni?" Puan Zabedah bangkit kebingungan.

Si gadis berpaling ke arah Puan Zabedah yang ternyata sudah panik. Terpateri pandangan pertama antara mereka semenjak sang tetamu masuk. Wajah si gadis mula menyeringai. 

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.