Home Novel Seram/Misteri MARINA
MARINA
Saidee Nor Azam
10/3/2017 12:59:40
27,546
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 1

TAHUN berganti tahun dan masa pun terus bergulir. Di waktu senang mahupun sukar, Marina menghadapinya dengan tenang. Marina sudah matang dalam melangkah batas-batas kehidupan di dunia. Peristiwa hitam yang pernah terlakar di rona ingatan sudah semakin terhakis, pupus dari kamus hidupnya.

Dia mahu melupakan segala yang telah terjadi ketika dia bergelar pesakit mental. Selama lima tahun dia menjalani rawatan sakit jiwa di Perak, dan selama itu jugalah dia cuba membuang deria keenam yang dimilikinya dari terus menemani pandangan. Setelah dia diyakini bebas dari belenggu gangguan mental, Marina kembali berpijak pada bumi yang nyata. Dia tidak lagi diganggu dengan bayangan-bayangan halus. Namun begitu dia terlalu sukar untuk melupakan peristiwa yang pernah terjadi pada dirinya. Kisah kekecohan yang berlaku di rumah sakit jiwa itu, dan ada satu nama yang kuat meniti di kotak memorinya. Jamaliah.

“Sayang...”

Marina menoleh memandang suami yang tercintanya itu. Lambat-lambat dia mengukir senyuman manisnya pada Aiman. Lelaki itulah yang sering memberi semangat dan dorongan kepada Marina. Dia tetap setia pada Marina, walaupun Marina terus dibelenggu masalah mental yang memberat. Sebenarnya Marina tidak gila, hanya kerana dia sering berbicara sendirian di dalam kamarnya, dia dikatakan gila. Walhal Marina sedang berbicara dengan ‘rakannya’ yang hanya dia sahaja yang mampu melihat akan keberadaannya.

“Kenapa abang?” aju Marina pada Aiman.

“Nak berhenti mana-mana kedai makan? Abang bimbang Marina dan Mylin lapar aje.”

Tenang dan bersahaja Aiman bertanya. Matanya sekejap-sekejap memandang ke arah Marina dan pada jalan raya. Kereta yang dipandunya meluncur laju tanpa sebarang masalah. Marina diam sejenak. Dia memandang ke belakang. Melihat wajah ayu anak gadisnya, membuatkan bibir mungil Marina mengukir senyuman bahagia.

“Mylin masih tidur, lagipun saya tak lapar lagi. Ke abang dah lapar?” soal Marina pula kepada suaminya.

“Oh, abang pun tak lapar lagi. Abang bukannya apa. Bimbang takut-takut sayang lapar.”

“Tak lapar lagi, abang. Tapi kalau abang penat dan ingin berehat, abang berhenti ajelah kat kedai-kedai mana pun. Saya ikut aje.” Tutur Marina lembut.

“Kalau begitu baiklah,” akur Aiman perlahan.

Tangan kanan Marina diraih lembut oleh Aiman. Marina melirik manja ke wajah suaminya. Dia terasa dirinya betul-betul disayangi oleh Aiman. Marina melalui hidup yang cukup mencabar. Dulu dia sering dicemuh dan dipandang serong. Terutama sekali apabila dia disahkan menghadapi tekanan mental, dan dituduh membunuh rakan sekuliahnya tanpa niat. Namun begitu, di kala awan mendung sentiasa mengelilingi nasibnya, tuah badannya tetap ada.

Aiman, lelaki yang pernah melakar cinta dengannya ketika di kolej dahulu, masih sudi menerima Marina dengan seadanya. Bertahun-tahun Marina dirawat di hospital bahagia, dan selama itulah Aiman terus dan terus bersabar menanti sehingga Marina sembuh. Seusai Marina bebas dari ‘sakitnya’ mereka disatukan. Lima tahun mereka berdua melayar bahtera perkahwinan. Kini Marina dan suaminya semakin bahagia, malah puncak kebahagiaan mereka terpancar di saat cahaya mata mereka, Mylin dilahirkan. Anak kecil yang baharu menjengah usia empat tahun itu telah membuatkan kehidupan Marina bertambah bermakna.

Marina membuang jauh pandangannya ke luar jendela kenderaannya. Membiarkan suami yang tercinta memandu sendirian tanpa berteman bicara serta senda guraunya. Entah kenapa Marina lebih teringatkan pada kenangan lama. Walaupun dia nekad untuk melupakan segala-galanya, hatinya bagai terus ditarik-tarik untuk mengingatinya semula. Kisah hidupnya dengan Jamaliah, rakan yang hanya wujud pada penglihatannya sahaja.

“Jamaliah...” getus Marina perlahan.

“Marina...”

Satu suara halus bergemersik memanggil Marina yang sedang duduk termanggu di pinggir katil kamar khas untuknya. Marina diam, dia tidak memberi sebarang tindak balas daripada seruan yang memanggil namanya itu. Marina masih seperti tadi, tenang dan diam sahaja sambil di tangannya tergenggam sebatang pensel yang sedang menari-nari di atas sehelai kertas kosong. Marina asyik melakar apa sahaja yang melintas di mindanya.

“Marina...”

Suara itu hadir lagi. Umpama satu hembusan angin dingin datang menyapa lembut jasad Marina yang masih seperti tadi, tidak beralih perhatiannya dari memandang kertas yang sedang diconteng-contengnya. Dia seperti tidak mendengar suara yang memanggilnya. Sesuatu yang aneh, suara yang menyeru nama Marina itu bagaikan bergema di ruang kubikel kamar itu. Namun Marina tetap tidak mengendahkannya, atau memang betul Marina tidak mendengar akan seruan tersebut. Persoalannya, siapakah yang menyeru nama Marina pada ketika ini? Sedangkan ruang kamar itu hanyalah diisi oleh Marina seorang sahaja.

“Marina, aku tahu kau dengar suara aku...”

Suara milik seorang perempuan itu kedengaran lagi. Kali ini suara itu membaitkan kata-kata terhadap Marina. Namun begitu Marina tetap tidak berganjak dari terus menumpukan perhatian membuat lakaran di atas kertas lukisan. Pensel yang sudah tumpul pada matanya itu, terus digeserkan ke atas dan ke bawah, seperti sedang mewarna. Angin malam yang dingin datang menyapa secara mengejut. Menyebabkan Marina terberhenti dari terus memandang kertas lukisannya. Dia dengan mendadak memandang ke atas kepala, melihat bilah-bilah kipas yang sedang berputar.

“Sejuk pula malam ini,” rungut Marina sendirian.

“Aku datang, Marina.”

Suara perempuan itu kedengaran jelas di belakang Marina. Di satu ruang yang tidak tersimbah dengan cahaya. Ruang yang sedikit kelam. Marina tetap diam, dia tidak menoleh walau sedikitpun ke arah datangnya suara misteri itu.

“Aku tahu kau marahkan aku, tapi aku lakukan semuanya kerana aku sayangkan kau, Marina.”

Suara wanita yang berkumandang itu berbicara lagi. Dari sudut yang kelam perlahan-lahan muncul sosok wanita bertubuh sederhana, lengkap berpakaian seperti kebiasaan gadis-gadis muda di luar sana. Namun Marina masih seperti tadi, tidak mengendahkan sapaan gadis yang berwajah sayu itu. Marina seperti memekakkan telinganya sahaja. Gadis itu bergerak perlahan mendekati Marina. Semakin dia menghampiri Marina, semakin Marina bergerak seperti berpaling dari keberadaan si penegur itu.

“Marina... tolonglah jangan macam ni, aku kesunyian...”

Marina yang membelakangi gadis itu berhenti dari melakukan kerja-kerjanya, dia mendongak ke atas di satu sudut di siling kamarnya. Di situ dia melihat ada satu bola kaca berwarna hitam. Dia tahu, di dalam bola kaca itu ada kamera litar yang mengawasi gerak-gerinya di dalam kamar. Perlahan-lahan Marina berpusing dan merenung dengan tajam rakan yang tidak henti-henti memanggilnya itu.

“Jamaliah, aku sudah tak mahu berkawan dengan kamu lagi. Tolong jangan ganggu aku!” tekan Marina namun suaranya direndahkan sedikit. Dia tidak mahu sesiapa mendengarnya, terutama pengawal yang sering berulang-alik di luar kamarnya.

“Marina... aku tak berniat jahat, aku hanya mahu kita berkawan seperti dulu.” Jamaliah tidak berputus asa membujuk Marina.

“Kerana kau aku berada di sini. Kerana kau orang fikir aku yang buat kekecohan. Sedangkan kau yang buat semuanya.” Dalam lembut Marina meningkah bujukan Jamaliah.

“Tapi aku lakukannya semata-mata kerana kau, Marina. Kau satu-satunya kawan aku.” Sayu sekali Jamaliah melantunkan kata-katanya.

“Aku sudah nekad, aku sudah tak mahu berkawan dengan makhluk seperti kau. Kau buat aku semakin dipandang serong oleh orang. Kau bukan manusia, Jamaliah! Kau hantu! Kau buat aku jadi seperti orang gila!” seranah Marina sambil mengepal kertas di dalam tangannya.

“Tapi Marina...”

“Kita tak sepatutnya berkawan. Aku tak sepatutnya bercakap dengan hantu seperti kau.” Marina terus menghamburkan kata-kata kesat terhadap Jamaliah.

“Marina... tolonglah...”

Jamaliah terus merayu. Marina terpandang gelang kaki yang dipakainya. Tanpa berfikir panjang Marina terus menanggalkan rantai emas di kakinya. Jamaliah memandang sahaja tanpa berkata apa. Betapa terhirisnya perasaan kala terlihat Marina menanggalkan lambang persahabatan mereka berdua selama ini.

“Marina... kau nak buat apa?”

“Kau ambil semula gelang kau, mulai sekarang jangan ganggu aku lagi. Pergi! Pergi! Pergi...!” jerit Marina, kali ini dengan sepenuh hati. Air matanya merembes membasahi pipi, begitu juga Jamaliah. Roh gadis itu berwajah sayu, tiada pula riak kemarahan terbit di romannya, walaupun Marina sudah terang-terangan mahu ‘membuang’ dirinya dari terus mendampingi gadis itu.

Marina menutup telinga dan menghenyak tubuhnya di atas katil. Menyembamkan wajah ke bantal. Marina menangis teresak-esak. Dia masih sayangkan Jamaliah, namun sampai bila dia harus berkawan dengan roh orang yang mati bunuh diri? Sampai bila dia harus membiarkan dirinya berkongsi dengan roh Jamaliah. Peristiwa yang berlaku ketika di hostel masih kuat dalam ingatan. Beberapa bulan yang lepas, sekali lagi peristiwa yang hampir serupa ketika di hostel lamanya berulang. Kekecohan yang berlaku di wad sakit jiwa menyebabkan Marina nekad mahu melepaskan Jamaliah pergi.

“Marina...” sayu Jamaliah mengelur nama sahabatnya.

Marina tidak mengendahkan panggilan Jamaliah, dia terus memekakkan telinganya. Dia tidak mahu memandang Jamaliah lagi. Jamaliah begitu terhiris dengan keputusan Marina. Dia mengambil gelang kaki yang pernah menjadi miliknya. Dia berasakan Marina memang nekad untuk berpisah dengannya. Dengan berat hati, Jamaliah mengundurkan dirinya menjauh dari Marina. Sayu pandangannya, sayu lagi perasaannya. Ketika dia semakin di penghujung kamar, Jamaliah berhenti sejenak. Dia cuba mengukirkan senyuman, walaupun dirasakan berat sekali bibir mungilnya untuk melakukannya.

“Marina...” kelur Jamaliah perlahan.

“Andai berlaku kesusahan, serulah nama ku. Kita akan tetap bersahabat, selama-lamanya.”

Ucap Jamaliah perlahan. Namun Marina masih seperti tadi, terus menyembamkan wajahnya ke bantal, memekup telinga dengan kedua belah tangan. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu mendengar apa-apa lagi dari Jamaliah.

“Marina...”

“Sayang...”

“Sayang, hei jauhnya mengelamun.”

Lamunan Marina berkecai dia kelihatan terpinga-pinga kala memandang wajah Aiman, suaminya. Aiman pula masih menguntumkan senyuman ke arah Marina, walaupun dia merasakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran isterinya.

“Kenapa bang?” soal Marina.

“Kita dah sampai.”

Pendek dari Aiman, lantas dia mengalihkan pandangannya ke arah sebuah banglo dua tingkat tersergam indah di hadapan mata. Di bahagian atas banglo itu kelihatan seperti ada loteng. Bumbungnya yang tinggi menegak jelas sekali ianya bercirikan rekaan dari barat. Marina ternganga memandang banglo yang dikatakan oleh suaminya itu. Walaupun keadaan banglo putih itu kelihatan usang, namun bentuk seni binanya begitu cantik sekali.

“Besarnya,” ucap Marina tergamam.

“Kita bertiga akan tinggal di sini.” Balas Aiman.

“Abang cakap dua tingkat aje, tu macam ada satu lagi bilik kat atas itu.” Marina memuncungkan bibirnya ke arah puncak mahligai baharunya itu.

“Rasanya yang kat atas sekali itu loteng. Bukannya bilik.” Jelas Aiman.

“Oh...”

“Kenapa sayang?”

“Lotengnya kelihatan seperti sebuah bilik. Abang...” panggil Marina manja.

“Ya?”

“Rumah ini cantik. Tapi kenapa harganya murah?”

“Abang pun kurang periksa. Mungkin disebabkan rumah ini dah lama, dan jaraknya dengan pusat bandar agak jauh.” Ujar Aiman.

“Tapi kalau diikutkan dengan keluasan kawasan rumah ini, rasa macam murah sangat pulak.” Balas Marina.

“Abang pun pada asalnya hairan jugak. Abang dengar ejen rumah itu cakap, rumah asalnya dijual dengan harga tinggi, disebabkan harganya yang terlalu mahal tiada siapa yang membelinya. Anggap ajelah ini rezeki kita anak beranak.” Cerita Aiman.

“Alhamdulillah.” Ucap Marina perlahan.

Marina kembali mengukirkan senyuman, dia berasa bagaikan bermimpi. Kehidupannya semakin disulami rona-rona kebahagiaan. Rumahtangganya semakin berseri dihiasi keindahan banglo putih yang cukup tersergam indah itu. Marina mungkin tidak menyedari, dirinya sebenarnya sedang diperhatikan. Apa yang pasti, yang menjegilkan pandangannya itu bukanlah manusia!


Previous: Prolog
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.