Home Novel Seram/Misteri Berlawan Dengan Syaitan
Berlawan Dengan Syaitan
Shah Iskandar
5/9/2019 15:04:39
1,209
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 14
"Abang berhenti kat RnR depan tu nanti" pinta abah denganku. Aku memperlahankan kenderaan dan mula memandu dilorong kiri.  Kemudian ku lihat ‘exit’ ke RnR Ipoh. Aku membelokkan kereta ke situ dan kami dapati kawasan rehat itu lengang. Tiada sebuah kenderaan pun yang ada dikawasan berkenaan. Ini membuatkan aku rasa pelik semacam.
Tak mungkin tiada langsung kenderaan yang singgah di RnR ini. RnR ini merupakan destinasi popular dikalangan pemandu lebuh raya untuk berehat dan melepaskan lelah. Abah mengarahkan aku agar memberhentikan kenderaan di hadapan surau RnR tersebut. Aku memperlahankan kenderaan dan memandu masuk ke perkarangan surau.
Aku memberhentikan kenderaan di hadapan pintu masuk surau berkenaan. Gelap-gelita ku lihat keadaan didalam surau berkenaan. Abah mengajakku solat sunat sekejap. Ku lihat jam ditangan pada masa itu menunjukkan jam 3.07 pagi. Kami berdua keluar dari kenderaan dan menutup pintu kenderaan. Abah terus berjalan masuk mendahului aku ke dalam surau.
Dalam sekelip mata, surau menjadi terang-benderang apabila suis lampu dihidupkan. Kemudian abah menuju ke tempat mengambil wudhu. Aku masih lagi duduk dipintu masuk sambil membuka stoking dan kasut.
Perlahan-lahan aku bangun dan berjalan ke arah tempat berwudhu. Aku melihat abah sudah pun selesai mengambil wudhu dan berjalan semula menghala ke pintu masuk surau. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar samada dari mulut aku atau mulut abah. Aku meneruskan langkah ku. Ku putar kepala paip berkenaan dan airnya mengalir keluar dari muncung paip.
“Bukan main sejuk lagi air ni…” bisik hati kecilku.
“Air dia macam ais batu!”, laung hatiku kerana berasa kesejukan. Setelah selesai aku kembali menuju ke surau. Ku lihat abah sedang bersolat. Aku berjalan menuju ke almari kecil ditepi surau. Ku capai sehelai sejadah dan ku bawa menghampiri tempat abah sedang bersolat. Aku pun menunaikan solat sunat.
Setelah selesai memberi salam, aku lihat abah sedang membaca al quran. Aku menghampiri dia dan jelas ditelingaku abah sedang membaca surah yassin. Dia begitu khusyuk dengan pembacaannya. Aku mengangkat sejadah dan melipatnya. Aku kembali berjalan menuju ke almari kecil. Ku letakkan sejadah berkenaan kembali ditempat asalnya. Aku kemudian berpaling ke belakang. Ku lihat abah sudah tiada ditempatnya mengaji. Al-quran berkenaan juga sudah tiada. Hatiku menjadi pelik dengan tiba-tiba. Ku toleh ke sekeliling dalam surau.
Ku dapati tiada sesiapapun didalam surau pada ketika ini. Ku lihat ke arah pintu. Tiada tanda-tanda orang keluar dari surau ini. Aku memulakan langkah ku ke arah pintu surau. Kemudian aku cuba untuk membuka pintu berkenaan. Ia berkunci.
“Mana mungkin!” hatiku berbisik lagi. Tiba-tiba bulu romaku tegak mencanak.
Aku cuba lagi untuk membuka pintu berkenaan tetapi ternyata pintu berkenaan berkunci. Aku cuba untuk menggunakan telefon bimbitku, tetapi ku lihat beg kecilku yang selalu aku silangkan tiada denganku. Aku cuba mengesan beg berkenaan di dalam kawasan bersolat berkenaan.
Aku tidak dapat melihat sebarang beg disitu atau dimana-mana lokasi pun yang menunjukkan bahawa beg itu aku tinggalkan disitu. Lampu didalam surau tiba-tiba berkelip-kelip.
“Apahal pulak lampu ni” ucapku perlahan. Namun aku masih lagi boleh mengawal perasaan cemas dan panikku. Tiba-tiba ada satu bunyi ‘ringtone’ telefon yang aku sangat kenal.
“Tu bunyi ‘handphone’ aku…” jeritku.
Pada masa itulah aku terasa seperti ada air menyimbah mukaku membuatkan aku terkejut besar kerana ku melihat abah sedang menggoyang-goyangkan bahuku untuk membangunkan aku. Aku membuka mataku dan menarik nafas panjang.
Abah bertanya,”Abang..teruk betul mengigaunya tadi. Mimpi apa tu sampai abah terpaksa jirus dengan air bagi abang bangun!” terang abah.
“Tak tau nak cakap lah abah. Mimpi apa pun tak ingat dah” balasku semula.
“Kita kat mana ni?” soalku kepada abah.
“Abah kan suruh abang tunggu jap dalam kereta sementara abah beli air dengan roti” jelas abah lagi.
“Cuba abang tengok sekeliling sekejap” tambah abah lagi.
Aku pun membetulkan dudukku. Ku toleh ke kiri, kanan dan depan cermin kereta. Aku lihat kami di RnR. Satu yang aku kurang pasti,  RnR yang mana satu ni pun aku tak pasti. Aku mengangguk-anggukkan kepalaku kepada abah. Abah kemudian berlalu dari situ kerana dia ingin ke tandas. Aku kembali menarik nafas perlahan-lahan dan kemudian aku mengambil telefonku.
Ku lihat ada panggilan masuk yang aku terima. Ku lihat nama Adam yang membuat panggilan. Waktu panggilan menunjukkan jam 3.07 pagi. Aku melihat jam ditanganku, waktu menunjukkan jam 3.09 pagi.
“Kalau ‘miss call’ mesti ada gambar ‘icon’ telefon warna merah. Yang ni menunjukkan aku menjawab panggilan Adam tadi. Tapi kenapa aku tak ingat pun yang aku ada menerima panggilan dari Adam?” semakin celaru fikiranku pada masa itu.
Aku cuba mendail semula nombor telefon Adam namun gagal kerana talian tidak dapat dihubungi. Tiba-tiba daun pintu terbuka. Terkejut aku namun apabila melihat abah yang membukanya aku kembali tenang.
“Kenapa abang? Resah semacam je..”, soal abah.
“Takda apa-apa abah,” balasku pendek.
Aku menghidupkan enjin kereta. Kami berdua bergerak keluar dari RnR bagi meneruskan perjalanan ke rumah abang Kimi.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Shah Iskandar