Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 47

KEJADIAN yang terjadi kepada Hasrul membuatkan Nazrin membatalkan niat pulang ke ibu kota pada malam itu. Dia mengambil keputusan menginap sementara di sebuah chalet desa. Sambil memikirkan siapakah pembunuh sebenar dan mengapa Faizal serta Imran hilang secara serentak, dia turut mengetahui berita kematian beberapa anggota polis termasuk Hasan yang telah mati ditembak oleh seseorang. Nazrin menjangkakan pembunuhnya merupakan orang yang sama yang telah membunuh Hasrul. Hairannya, apa motifnya dia melakukan demikian?

            Salah satu kata-kata Faizal lansung diteringatnya. Pembunuh berkemungkinan obses untuk membunuh manusia kerana mengetahui kisah dendam ahli sihir kejam. Namun mangsa yang disasarkan hanya mereka yang memiliki rantai kunci berlian sahaja. Hasrul mahupun anggota polis yang lain masing-masing tidak memilikinya dan telah disahkan oleh pihak polis yang menyiasatnya.

            Pencarian Faizal dan Imran masih giat dijalankan meskipun pada waktu malam. Berita tentang perkara tersebut akhirnya telah sampai ke pengetahuan Rina yang masih dirawat di hospital. Perlahan dia bangkit menuju ke jendela wad yang terbuka sedikit. Suasana yang gelap sedikit membataskan penglihatannya. Namun sempat melihat beberapa orang di perkarangan hospital. Ini kerana waktu melawat pesakit masih dibuka dan bakal berakhir dalam beberapa jam sahaja lagi.

            Dia difahamkan bahawa dirinya tidak dibenarkan dilawat oleh sesiapa menyebabkan dia menjadi sunyi. Kembali sunyi seperti dulu. Terpaksa dia mengaku bahawa dirinya benar-benar dalam kesunyian jika tiada kawan di sisi. Perasaan ego serta traumanya perlu dibuang jauh. Air matanya jatuh berlinangan ke pipi. Tubuhnya disandarkan ke dinding sambil mengenang segala perkara yang pernah terjadi kepada dirinya.

            Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba pintu wad dibuka tanpa sebarang ketukan. Rina hairan dengan kehadiran seseorang yang datang melawatnya pada malam itu. Bukankah doktor tidak mengizinkan sesiapa datang melawatnya buat masa sekarang? Rina ingin bersuara untuk menegurnya, namun entah mengapa mulutnya terasa terkunci. Senyuman dari seorang gadis yang dikenali dilontarkan sambil menghulurkan tangan ke depan. Seakan mahu mengajak Rina pergi ke arahnya.

            Pada mulanya dia teragak-agak kerana sikap gadis itu amat mencurigakan. Selalunya dia tidak bersikap demikian sebelum ini. Tidak lama kemudian, muncul pula dua orang lelaki di belakang gadis tersebut. Masing-masing juga melemparkan senyuman walaupun tidak jelas kelihatan kerana lampu yang menerangi di situ tiba-tiba rosak.

            Rina merasakan dirinya makin dipanggil berkali-kali. Air matanya dikesat dan perlahan bangkit sambil menahan sakit di perutnya. Dia melangkah kaki ke depan dengan perlahan sebelum mencapai tangan gadis tersebut. Senyuman masing-masing dibalas. Rina berasa dirinya tidak kesunyian lagi. Air mata kegembiraan kemudiannya mengalir keluar. Dia berjanji akan berkawan dengan mereka tanpa berasa trauma lagi.

            “Rina!!” Tiba-tiba terdengar suara jeritan dari seseorang tidak jauh dari kedudukan mereka. Rina hairan dengan orang yang menjerit namanya. Suaranya agak garau dan mungkin yang memanggilnya tadi adalah seorang lelaki.

            “Rina, kau kena jauhkan diri daripada dia orang kalau kau nak selamat!” Jerit orang itu lagi. Tidak semena-mena lampu yang menerangi koridor kembali hidup semula. Rina tidak menyangka orang yang menjerit tadi adalah Rafeeq. Perasaan Rina kembali celaru semula. Dia tidak tahu mana satu pilihan yang patut dipilihnya sekarang.

            “Tapi aku bukan orang yang kau sangkakan! Aku tak layak hidup bersama dengan kau orang! Dia orang ni adalah kawan-kawan aku sekarang!” Bidas Rina penuh emosi.

            “Kau silap, Rina! Sebenarnya dah ada orang yang terima kau sebagai kawan baik!” Balas Rafeeq. Rina hairan mendengarnya. Lalu muncul lagi seorang gadis di sebelah Rafeeq. Rina terdiam melihatnya.

            Hanim terperanjat besar sebaik melihat wajah ketiga-tiga mereka yang berdiri di samping Rina. Wajah mereka tampak pucat lesu dan tiada mempunyai apa-apa perasaan. Pada awalnya dia tidak mempercayai kata-kata penjelasan Rafeeq mengenai mereka berempat termasuk identiti sebenar Rina.

            “Aku masih tak faham perkara yang sebenarnya tapi kau takkan selamat kalau kau buat keputusan untuk bersama dengan dia orang. Kau ada hidup kau sendiri. Kau tak perlu hidup bergantung pada masa silam kau. Kau perlu buang tepi segala masa silam kau dan teruskan hidup sebagai diri kau yang baru,” pujuk Hanim berharap.

            Rina kemudiannya menangis seketika sebelum dipujuk oleh seorang lelaki. Tubuhnya dipeluk erat. Hanim dan Rafeeq hanya diam memerhatikannya. Adakah Rina sudah menyerahkan dirinya kepada mereka?

            “Maafkan aku, Hanim. Aku dah tak ada pilihan lain lagi,” luah Rina sambil menangis.

            “Jangan cakap macam tu, Rina! Jangan mudah menyerah kalah!” Selar Hanim geram.

            “Apa yang dia cakap tu memang betul,” celah Rafeeq separuh bisik. Hanim hairan mendengarnya. Apakah maksudnya?

            “Kalau kita nak tamatkan semua ni termasuk sumpahan maut tu, dia orang harus dibunuh,” sambung Rafeeq dengan perasaan terpaksa. Hanim terdiam mendengarnya. Kemudian kembali menoleh ke arah Rina semula.

            Hanim mengingati kembali penjelasan Rafeeq beberapa minit sebelum itu. Difahamkan Rina merupakan kelahiran semula ahli sihir kejam yang mati pada abad ke-19. Sementara tiga orang lagi merupakan kelahiran semula anak kepada ahli sihir, rakan rapat ahli sihir serta penjaga anak ahli sihir. Ia tidak seperti kes rasukan roh jahat atau sebagainya.

            Setelah lama berdiam, salah seorang dari mereka mengangkat senapang dan diacukan ke arah Rafeeq dan Hanim. Menyedari tindakan tersebut, Rina memintanya supaya bertenang dan batalkan niat untuk membunuh mereka berdua. Hanim berasa lega seketika.

            “Rina, walau apapun yang terjadi kat kau, aku tetap kawan baik kau! Kalau kau nak hidup di zaman sekarang, kau kena belajar memaafkan orang di sekeliling kau,” ujar Hanim. Rafeeq tidak terfikir bahawa Hanim sanggup berkata demikian. Pantas Rina menghadiahkan riak wajah marah ke arah Hanim. Namun Hanim tidak takut dan gentar dengannya.

            “Cukuplah! Dah ramai orang kau korbankan sampai sekarang. Kau sepatutnya ‘berehat’ sekarang. Kau orang bertiga pun sama,” sambung Hanim lagi. Tanpa sedar air matanya mengalir ke bawah.

            “Tapi sekarang kami dah dilahirkan semula dan pasti ada sebab kenapa kami ‘hidup’ semula pada zaman sekarang,” kata salah seorang daripada mereka. Lalu memandang wajah Rina yang masih diam membisu. Pandangannya masih ke arah Hanim. Segala memorinya bersama dengan Hanim serta yang lain kembali diingati semula. Dia cuba untuk melupakannya tetapi gagal. Fikirannya menjadi celaru lagi. Kepalanya asyik digeleng laju.

            Tanpa diduga oleh sesiapa, Rina merampas senapang lalu menembak mati dua orang di hadapannya. Meninggalkan seorang lelaki yang menggigil ketakutan itu. Rafeeq dan Hanim terkejut dan terdiam menyaksikannya. Lalu Hanim menangis tidak berlagu melihat rakannya yang mati ditembak itu.

            “Hanim, aku nak minta tolong boleh?” Pinta Rina. Hanim pantas mengangguk kepala tanpa bersuara. Rafeeq tertanya apakah permintaan Rina terhadap Hanim.

            “Tolong jaga dia baik-baik. Anggaplah dia sebagai adik kau sendiri atau sebagainya.” Ternyata itu permintaan Rina. Lalu dia menolak tubuh lelaki yang ketakutan itu ke depan. Dia memintanya supaya pergi ke arah Hanim dan Rafeeq.

            “Kau pulak macam mana? Apa kau nak buat? Kau nak teruskan menyumpah orang sampai mati lagi?” Tanya Rafeeq setelah asyik berdiam dari tadi.

            “Mungkin betul cakap Hanim tadi. Aku sepatutnya ‘berehat’ sekarang. Memang betul aku hanya berdendam dengan orang kampung saja. Tapi bila aku dilahirkan semula, aku jadi geram dan marah bila tengok orang zaman sekarang masih melakukan dosa. Mungkin aku patut ‘berhenti’ sekarang. Yang berdosa, biarlah berdosa sampai ke akhir zaman. Biar mereka tau hukuman sebenar yang sedang menanti mereka. Selamat tinggal, Hanim.”

            Hanim hairan dengan ayat terakhir yang diungkap oleh Rina, sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan kuat. Hanim sekali lagi menangis sambil berteriak kuat. Seorang lagi rakannya telah mati di hadapan matanya. Rafeeq hanya diam membisu sambil menahan perasaan sebak.

Previous: Bab 46
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura