Bab 3
Di sebuah apartmen tingkat 10, pinggir metropolitan Kuala Lumpur
DAZRIN terbaring di kusyen panjang. Matanya
terkebil-kebil merenung siling bercat putih. Wajahnya jelas kusut. Saluran tv
sengaja dibiarkan terpasang walaupun dia tiada nafsu hendak menontonnya.
Entahlah, mungkin salahnya juga kerana terus sahaja menerima
pelawaan adik angkatnya, Fazura, yang merengek-rengek hendak menghabiskan petang
Ahad itu bersama-samanya di Taman Suria KLCC dengan alasan mereka sudah lama
tidak bersua muka. Sewaktu dia menyatakan persetujuannya, dia langsung tidak
menaruh sebarang syak wasangka. Lagipun Meilina sudah sedia maklum akan hubungannya
dengan Fazura yang telah lama terjalin. Malah dia mengenali Fazura sebelum
berkenalan dengan Meilina lagi. Ketika itu keluarganya tinggal berjiran dengan
keluarga Fazura di Taman Keramat Permai.
Pada mulanya pertemuan itu biasa-biasa sahaja. Dia
belanja Fazura makan di food court.Fazura
yang bersifat ceria itu asyik bercerita tentang pejabat barunya sahaja yang
terletak di Jalan Raja Chulan.
“Kenapa, Faz? Dah nak balik ke? Ada dating dengan boyfriend, eh?” soalnya ke arah Fazura
seusai makan setelah melihat gadis itu keresahan dan asyik menoleh jam yang
tersangkut di lengan kanannya.
Fazura menggeleng.
“Tu... mata tu asyik tengok jam aje?” Dia mempersoalkan
sikap Fazura.
“Ala... abang ni, Faz mana ada boyfriend!” Sebuah penafian terlontar dari mulut Fazura.
“Eleh jangan nak tipu abanglah. Macam ni punya cantik,
dikerat jaripun abang tak percayalah Faz tak ada boyfriend.”
Fazura ketawa. Mersik tawanya membuatkan mana-mana lelaki
yang mendengar pasti terpesona. Namun tawa Fazura awal petang itu pendek
sahaja. Setelah tawanya terhenti, dia renung
wajah Dazrin dengan renungan yang dalam dan panjang.
“Cantik pun tak guna sebab orang tu bukannya sukakan kita
pun!” Kedengaran Fazura seolah-olah sedang merungut.
“Apa yang Faz cakap tu? Abang tak dengarlah.” Pintas
Dazrin.
“Hmm... tak ada apa-apalah. Bang, temankan Faz
jalan-jalan kat taman, nak tak?” Fazura bersuara sambil menoleh lagi ke arah
jam yang melekat di tangannya yang mengkal.
Dazrin kerut dahi.
“Kan panas kat luar tu, Faz. Kita tengok wayang ajelah,”
usulnya yang malas hendak berjalan-jalan di taman dalam suasana panas terik
begitu.
Bagi Dazrin, aktiviti berjalan-jalan di taman bunga sudah
berzaman ditinggalkan. Tunangnya sendiripun tidak pernah mengajaknya
berjalan-jalan di taman bunga. Di awal-awal perkenalannya dengan Meilina dahulu
adalah sekali dua mereka dating di taman bunga. Kemudian setelah masing-masing
sibuk dengan kerjaya, aktiviti merancang masa depan di taman bunga terus
dilupakan. Kalau ada cuti panjang, mereka lebih suka menghabiskan masa dengan
kawan-kawan melakukan aktiviti lasak seperti perkhemahan di tepi pantai dan
juga di dalam hutan. Tanpa diduga aktiviti lasak begitulah yang mengeratkan
lagi hubungan mereka berdua.
“Tengok wayang?” Fazura kelihatan berminat dengan
cadangan itu. Tetapi hanya untuk seketika cuma kerana dia kemudiannya menoleh
untuk kesekian kalinya ke arah jam di lengannya.
“Faz tak nak tengok wayang. Lemaslah duduk dalam panggung
yang gelap gelita tu. Jomlah bang, kita ambil angin segar kat luar tu.”
Akhirnya, Dazrin mengalah juga dengan desakan Fazura itu.
Ala, apa salahnya kalau setakat temankan Fazura
berjalan-jalan di taman tu untuk seketika, fikirnya. Langsung tidak terlintas
di fikiran waras Dazrin akibat buruk di sebalik perbuatannya itu.
Pada mulanya semua baik-baik sahaja. Fazura masih lagi
galak bercerita tentang kawan-kawan dan pekerjaan barunya sehinggalah mereka
sampai ke satu tempat teduh dan melabuhkan punggung di atas sebuah bangku batu.
“Abang serius ke nak kahwin dengan Kak Mei?”
Dazrin menoleh ke arah Fazura di sisinya.
“Dah tentulah! Kami dah bertunang pun.”
Fazura mengeluh. Kemudian terdiam agak lama.
“Kenapa ni, Faz? Selama ni Faz okey aje dengan Mei?” soal
Dazrin yang tiba-tiba naik pelik melihat telatah Fazura itu.
“Abang tak pernah cuba nak memahami perasaan Faz selama
ni!” Suara Fazura tiba-tiba meninggi.
“Apa yang Faz
cakapkan ni?” Dazrin kerut dahi. Dia langsung tidak dapat menangkap apakah yang
hendak disampaikan oleh Fazura.
“Kenapa abang bertunang senyap-senyap dengan Mei, hah?
Kenapa? Kalaulah Faz tahu tentang rancangan abang nak bertunang dengan dia, Faz
akan tentang!”
“Apa hak Faz nak tentang hasrat kami?”
Soalan Dazrin itu membuatkan Fazura terkesima. Dia yang
kelihatan teragak-agak hendak memberikan jawapannya segera menundukkan
wajahnya. Kemudian seolah-olah didorong satu kuasa, Fazura mengangkat kepalanya
lalu merenung ke wajah Dazrin semula.
“Bang, Faz... Faz sayangkan abang. Faz tak dapatkan
bayangkan hidup Faz tanpa abang!”
“Hah?” Dazrin terkejut mendengar pengakuan yang langsung
tak disangkanya itu. Fazura mengangguk.
“Sebagai seorang gadis, Faz malu nak berterus-terang. Faz
ingatkan abang ngerti yang Faz memang ada hati terhadap abang.” Fazura
mendedahkan isi hatinya walaupun sudah terlambat kerana Dazrin sudah dua minggu
bertunang dengan Meilina dalam satu majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh
saudara terdekat.
Dazrin menundukkan wajahnya, merenung rerumput di hujung
sepatu. Sebagai seorang lelaki yang matang dia memang dapat membaca perasaan
Fazura terhadap dirinya. Dia juga sayangkan Fazura tetapi tiada sekelumit
cintapun di hatinya terhadap gadis itu. Dia cuma anggap Fazura sebagai adik
sahaja.
“Abang minta maaf,” ucap Dazrin, lemah. Dia memang tidak
mahu menyakiti hati sesiapa.
“Kenapa pulak abang nak minta maaf? Semuanya salah Faz
sebab selama ni Faz rahsiakan perasaan sebenar Faz terhadap abang.” Fazura
mencelah.
“Faz lupakan ajelah abang ni, ya. Lagipun abang bukannya handsomesangat. Abang yakin suatu hari
nanti Faz akan dapat seorang lelaki yang lebih baik dan handsomedaripada abang.” Dazrin cuba memujuk.
“Ni bukan soal handsome
ke tak, bang. Kalau hati ni dah suka, nak buat macam mana?”
“Habis tu, abang nak cakap apa lagi? Abang dah jadi
tunang orang, Faz! Tolonglah faham!” Giliran Dazrin pula menghentakkan
suaranya. Dia perlu bertegas kali ini. Dia sudah bosan bertekak.
“Habis tu, perasaan Faz ni, macam mana? Hati Faz hancur
bila dengar abang tiba-tiba aje bertunang dengan Mei. Faz sedih bang, sedih!”
Dazrin mula lemas dengan situasi itu. Dia kurang pandai berhadapan
dengan perempuan yang beremosi. Dia tidak pernah bertengkar hebat ataupun
melihat Meilina menangis sepanjang perhubungan mereka.
“Faz boleh tak bertenang?”
“Bertenang? Faz nak bertenang macam mana kalau lelaki
kesayangan Faz dah terlepas ke tangan orang lain?”
“Adjustsikit
fikiran Faz tu. Selama ni abang anggap Faz macam adik aje, tak lebih daripada
tu.”
“Abang kenal ke siapa Mei tu? Dia bukan perempuan baik,
bang!”
“Hey, engkau tu siapa, hah? Boleh tak kalau kau jangan
buruk-burukkan Mei? Dia tunang aku sekarang ni, ada faham!” Dazrin mula hilang
kesabarannya sebaik-baik sahaja Fazura berani mengutuk Meilina gara-gara cintanya
tidak berbalas.
Akibat tidak dapat menahan kemarahannya, Dazrin segera
bangkit. Waktu itulah Fazura bertindak nekad dengan memeluk pinggangnya sambil
merayu-rayu agar Dazrin memaafkan dirinya. Dan mungkin ketika itu jugalah
Meilina terlihat drama sebabak tersebut lalu segera disalahanggap.
Sudahlah Dazrin kurang arif berdepan dengan situasi yang
beremosi, kini dia terpaksa pula berdepan dengan kerenah dua orang perempuan
sekaligus. Sebaik-baik sahaja terlihat susuk tubuh Meilina di depannya, dia
segera menepis tangan Fazura yang masih melilit di pinggangnya.
Ah, sudah! Bala apakah ini? Bagaimana Meilina boleh tiba-tiba
berada di situ? Setahunya, KLCC bukanlah tempat Meilina selalu melepak. Argh,
ini bukanlah masanya hendak berfikir panjang. Dia harus menerangkan situasi
yang sebenar kepada Meilina.
“Mei! Tunggu dulu, Mei!” Dia memanggil sambil mengejar
Meilina yang sudah mengatur langkah laju.
Meilina berdegil. Walaupun Dazrin terkejar-kejar
mengekori langkahnya, dia langsung enggan berhenti sehinggalah tangannya
direntap Dazrin. Mata mereka bertentangan. Meilina menghunjam renung ke arahnya;
satu renungan yang tidak pernah dilemparkan Meilina selama ini.
“Go ahead... explain!” Meilina menengking Dazrin untuk pertama kalinya.
“Apa yang you lihat tadi semuanya tak benar! Percayalah
cakap I, Mei. Percayalah!” jelas Dazrin dengan harapan agar Meilina memberi
ruang kepadanya untuk memberikan penjelasan.
Setelah Dazrin melihat mata Meilina tidak lagi terfokus
ke arahnya, dia segera berpaling. Fazura berdiri selang beberapa langkah di
belakangnya.
“Faz, akak nak tanya ni.” Meilina bersuara.
“Ya, kak?”
“Betul ke Faz sukakan Dazrin?”
“Mei!” Dazrin bersuara, cuba membantah.
“Ya, kak.” Fazura kedengaran menjawab sebelum Dazrin
sempat berbuat apa-apa.
“Kalau Faz bagitau awal-awal kan senang cerita.” Tingkah
Meilina sambil mengatur langkahnya yang tadi terhenti.
Dazrin tahu dia tidak mampu memujuk Meilina ketika itu.
Adalah lebih baik dia membiarkan sahaja tunangnya itu berlalu pergi.
Dazrin menghempas keluh. Dia mengakui kelemahannya dalam
bab pujuk-memujuk. Tetapi dia tidak mahu kehilangan Meilina apatah lagi mereka
baru sahaja bertunang. Kata orang, pasangan yang sedang bertunang berdarah
manis. Banyak dugaan yang bakal bertandang dalam tempoh pertunangan ini. Dugaan
yang didatangkan untuk menguji sejauh mana hubungan mereka mampu bertahan.
Mungkinkah ini dugaan hebat pertama yang sedang aku dan
Meilina hadapi, soal hati Dazrin.
Dia mencapai telefon pintarnya lalu cuba menghubungi
Meilina untuk kesekian kalinya.