Home Novel Seram/Misteri TESIS
TESIS
Ninie Othman
13/11/2014 10:09:42
19,764
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
DETIK : 1
Pertengahan Februari 2014…

Kaki yang pantas berlari berhenti secara tiba-tiba. Matanya terarah pada sesuatu yang berada beberapa meter di hadapannya. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya di situ. Debaran kian terasa. Degupan jantungnya laju menghentam tulang dadanya. Peluh dingin yang mengalir deras di batang tengkuk jatuh menitik ke atas tanah yang kering berdebu. Tekaknya terasa perit, pedih sekali.

“Prof?”

Dia menyapa dengan tubuh yang menggeletar hebat.

Tiada respon.

“Prof? Is that you?”

Suaranya tersekat-sekat. Tidak berganjak dari posisinya, seolah dirinya dipaku rapat ke bumi di bawah tapak kakinya. Dia tidak mempunyai kekuatan untuk mendekati lelaki yang sedang duduk bertinggung di hadapannya itu.

Waktu yang berlalu membuatkan dia serba tidak kena. Haruskah dia berlari pergi dari situ atau mendekati lelaki yang menyerupai Prof.Kamarul itu? Ah! Dia buntu!

“Ri…ta…”

Suara garau mengisi kesunyian yang menghantui.

Dia panggil nama aku? Ye, aku Rita! “Prof, are you okay?”

Soalan itu tidak berbalas. Lelaki itu kembali membisu. Tidak memberi apa-apa respon, membatu sambil membelakangi gadis itu. Rita terkontang-kanting seorang diri, menantikan sebuah jawapan dari mulut Prof.Kamarul.

“Prof?” Panggil Rita dengan suara separuh berbisik. Kesunyian semakin menghantuinya. Jiwanya merusuh, dia mahu keluar dari tempat itu! Tetapi…

“Rita…”

Pandangan Rita tertancap tepat pada susuk tubuh Prof.Kamarul. Tubuh tinggi lampai itu bergerak perlahan-lahan. Dari duduk bertinggung, kini tubuh itu berdiri tegak namun masih membelakanginya.

“Prof…” Rita memberanikan dirinya menapak ke hadapan. Prof.Kamarul memerlukan bantuannya. Dia akan membawa Prof.Kamarul keluar dari situ. Dia akan menyelamatkan dirinya dan Prof.Kamarul. Namun bagaimana dengan Azlan, Sofia, Jason dan Devi? Di manakah mereka berada? Ke manakah arah tuju mereka?

Namun, dia tiada masa untuk itu. Masa sudah terlalu suntuk untuk semua itu. Semua persoalan itu hanya layak disimpan jauh dalam sanubarinya. Dia sudah tiada masa untuk dibazirkan lagi!

Prof.Kamarul sekadar berdiri tanpa menoleh ke arahnya. Mulutnya terkumat-kamit seolah berkata sesuatu. Rita mengecilkan mata dan menadah telinganya, cuba menganalisis apa yang sedang dikatakan oleh lelaki tersebut.

“Rita..”

Namanya diseru sekali lagi. Kali ini lebih jelas. Rita tersentak sedikit. Mengapa suara Prof.Kamarul semakin garau? Ataupun telinganya yang bermasalah?

“Rita, tolong…”

Rita tidak bergerak. Entah mengapa hatinya semakin kaget. Panggilan Prof.Kamarul tidak dijawab, tidak dipedulikan.

Dedaunan kering yang melata di atas tanah kedengaran berdesir ditiup angin. Bunyi angin bertiup mengusik perasaan Rita yang bergelora ketika itu. Suara-suara ghaib seolah bermain-main di telinga, mengetuk-ngetuk gegendang telinganya.

“Rita, tolong ambilkan…”

Ambilkan apa? Apa yang cuba disampaikan oleh Prof.Kamarul? Susah sangatkah dia mahu berterus-terang?

“Kita dah takde masa Prof! Kita kena keluar dari sini…” Rita tiada pilihan, dia terpaksa melangkah ke hadapan, cuba mendekati penasihat akademiknya itu. “Prof, kita kena keluar dari sini secepat mungkin!”

“Tolong ambilkan!”

Rita tersentak. Prof.Kamarul menjerkahnya. Ambil apa? Apa yang dimaksudkan oleh lelaki ini? Dia betul-betul tidak faham.

“Ambil apa Prof?” Soalnya perlahan. Kini dia hanya berada lima langkah di belakang lelaki berusia 50-an itu.

Hilai tawa Prof.Kamarul bergema menyelimuti suasana. Rita menelan rengkung yang terasa kontang. Gila, gila!

Prof.Kamarul menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Berulang-ulang sehingga berminit lamanya. Dia menoleh perlahan-lahan. Rita menanti dengan penuh debaran. Dadanya turun naik, nafasnya tidak sekata.

“Ambilkan…”

Kini dia bersemuka dengan lelaki itu. Ya Allah! Dia beristighfar panjang. Sesak nafasnya, lenguh seluruh tubuhnya...Tidak! Tidak!

Aarggh!!!


2 minggu sebelumnya…

Langit kelabu menyapa pandangan para pelajar yang bergegas pulang ke desasiswa masing-masing. Angin bertiup kencang menterbalikkan payung-payung yang memayungi kepala. Rintis-rintis hujan mulai menyapa dari awan kelabu. Membasahi kepala dan tubuh-tubuh insan yang tidak berlindung di bawah sekaki payung.

“Lebatnya hujan. Dahlah payung tak bawak!” Sofia membebel. Habis lenjun tudung dan bajunya dek hujan. Boleh pula dia terlupa membawa payungnya yang tersandar di balik pintu rumah sewa mereka.

Devi tersenyum. Kelakar betul rupa rakannya itu apabila membebel. Sebiji macam mak nenek. “Aku pun lupa bawak payung. Macam manalah boleh lupa hari ni…” Dia mengeluh panjang.

“Call Rita, suruh dia datang jemput kita. Hujan lebat ni, entah bila nak stop.” Usul Devi dengan kening yang berkerut-kerut. Dia mengintai sedikit, menampakkan sebahagian wajahnya. Entah bila hujan lebat itu akan berhenti. Langit pun gelap benar.

Sofia mengangguk. Rita segera dihubungi. Tiada maklum balas dari sebelah sana. Rita dihubungi sekali lagi dan keputusannya tetap sama, tidak berjawab.

“Dia tak jawab.” Keluh Sofia. Kemanalah si Rita ni! Telefon pun tidak dijawab! Hish, macam-macam hal lah! Bebelnya dalam hati.

Hujan yang semakin lebat memaksa Devi dan Sofia mendekatkan diri di antara satu sama lain. Tempias membasahi pakaian keduanya. Selalunya sekaki payung menemani mereka ketika pergi ke mana-mana tetapi pada hari itu…

“Macam manalah aku boleh lupa bawak payung hari ni. Hish…” Sofia menggeleng kesal. Dia memeluk erat beg galasnya, mahu menyelamatkan nota-nota penting dari dibasahi hujan lebat. Masak dia mahu menyalin semula nota setebal tujuh puluh muka surat itu.


Rita melangkah keluar dari bilik Prof.Kamarul. Dia ke situ untuk bertanyakan sesuatu. Tentang tesis terakhir sebelum dia dan rakan-rakannya bergraduasi sebagai pelajar ijazah sarjana.

“Fia miscall?” Ujarnya spontan ketika memeriksa log panggilan di telefon bimbitnya. Ada hal pentingkah? Cepat-cepat dia menghubungi gadis itu.

“Ha, kenapa miscall?” Soalnya ketika suara Sofia menyapa di hujung talian. Hujan lebat kedengaran jelas di sekeliling rakannya itu. Dia yang masih berada di dalam bangunan penasihat akademiknya mendekati jendela kaca, mahu meninjau keadaan di luar. Memang basah, lebat sekali hujannya. Subhanallah.

“Kau kat mana ni? Kenapa tak angkat call?”

Sofia yang separuh membebel menggeletek hati Rita. Rakannya ini, jika membebel memang nombor satu. Jari telunjuknya diletakkan ke jendela, dingin…

“Aku jumpa dengan Prof.Kamarul tadi. Sorry. Kau dekat mana ni? Devi ada sekali?”

Sofia menoleh ke arah Devi. Gadis berbangsa India itu sedang asyik merenung hujan yang turun membasahi jalanraya di hadapannya. Terbuai-buai perasaannya.

“Devi pun ada. Kitorang baru balik dari kedai mahasiswa ni. Tolong ambil kitorang boleh?” Sofia tersengih-sengih. Tiba-tiba terasa segan.

Rita tersenyum. Dia sudah dapat mengagak apa sebenarnya yang mahu dikatakan oleh Sofia. Lagipun dia seorang yang mempunyai kereta selepas Azlan. Azlan dan Jason pula sudah lama pulang ke desasiswa mereka. Mahu menjalankan tugas sebagai pencari tajuk tesis katanya.

“Korang masih kat kedai mahasiswa ke?” Rita menuruni takah-takah anak tangga dengan hati-hati.

“Ha’ah.” Sofia membalas ringkas.

Kilat petir tiba-tiba memancar di kaki langit. Sofia dan Devi terperanjat, keduanya mendekati dinding kedai mahasiswa dengan muka cemas. Kuatnya kilat!

“Cepat. Kitorang tunggu.” Pesan Sofia sebelum mematikan talian. Bahaya menggunakan telefon ketika kilat petir begitu. Tidak pasal-pasal rosak pendengarannya nanti.

Rita mengembalikan telefon bimbit ke poket jeansnya. Dia sudah berada di luar, tempias segera mengenai kulit wajahnya. Dia berdiri di situ buat beberapa minit. Berharap hujan akan reda sedikit. Namun harapan hanya tinggal harapan kerana tiada tanda-tanda hujan akan berhenti atau reda. Dengan sepasang tangan memayungi kepala, dia berlari-lari anak ke kereta yang diparkir beberapa meter dari seberang tempatnya berdiri. Tanah becak mengotori tapak kasutnya dan terpercik sedikit ke seluar jeansnya.

“Aduh, seluar aku…” Dia mengeluh.

Enjin kereta dihidupkan. Kereta dipandu pergi dari situ, dia harus cepat menjemput rakan-rakannya di hadapan kedai mahasiswa. Khuatir jika Sofia akan membebel dengan lebih teruk. Siapa yang tidak kenal dengan rakannya itu. Jason pun tidak dapat lari dari bebelannya. Itulah nasib jejaka kacak berbangsa Cina itu.

“Nasib aku sayang dia…”

Terngiang-ngiang kata-kata Jason ditelinganya. Sofia merupakan teman wanita Jason dan keduanya merancang untuk mendirikan rumahtangga setahun selepas mereka bergraduasi kelak. Maknanya ada setahun lebih lagi sebelum pasangan kekasih itu bergelar suami isteri.

Rita tersenyum. Fikirannya menerawang memikirkan Sofia dan Jason. Dia memberhentikan keretanya di hadapan kedai mahasiswa, kelihatan Devi dan Sofia bergegas menghampiri keretanya. Pakaian keduanya basah sahaja.

“Sorry lambat.” Ayat pertamanya ketika dua wanita itu menyusup masuk ke dalam kereta. Dia memperlahankan penghawa dingin. Sejuk hingga ke tulang hitam.

“Takpe. Kau jumpa Prof? Kitorang tak tau pun?” Soal Sofia selepas kereta itu bergerak meninggalkan perkarangan kedai mahasiswa. Dia mengebas-ngebas air hujan yang membasahi kain tudungnya.

“Aku tanya pasal tesis kita ni lah. Ada benda yang aku kurang faham. Aku sorang pun okey kot.” Balas Rita selamba. Matanya difokuskan ke hadapan. Hujan semakin lebat. Cermin hadapan yang bertukar kabur dan berkabus memaksanya menguatkan volume penghawa dingin yang diperlahankan sebentar tadi.

“Kau tanya pasal apa?” Devi bertanya. Dia menjengulkan wajahnya di antara tempat duduk Sofia dan Rita. Kesejukan terasa menggigit sehingga ke tulang hitam. Penghawa dingin punya hal.

“Pasal lokasi tesis kita.” Rita membalas, menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduannya di atas jalanraya yang licin dan basah itu.

Kening Devi berkerut. “Then, Prof cakap apa?”

“Dia suruh kita cari sendiri and buat kertas kerja. Lepas tu hantar kat dia, dia akan check. Kalau bagus, dia luluskan.” Jelas Rita panjang lebar. Devi dan Sofia mengangguk faham. Tugas mencari lokasi yang sesuai untuk tesis mereka diserahkan pada Azlan dan Jason. Tugas mereka bertiga pula ialah menyiapkan kertas kerja selepas melakukan perbincangan bersama dua lelaki itu.

“Penatlah kita kalau dia tak luluskan…” Sofia mengomel. Sebuah keluhan pendek terlafaz dari mulutnya. Rita dan Devi hanya mampu bersetuju dengan omelan itu. Memang penat jika kertas kerja mereka tidak diluluskan oleh penasihat akademik mereka itu. Semuanya harus dirombak semula. Memikirkannya sahaja sudah cukup membuatkan mereka penat.

“Kena buat yang terbaiklah nampaknya.” Devi berkata perlahan.


Jemari Azlan mengetuk-ngetuk meja belajar dengan aktif. Otaknya ligat memikirkan lokasi untuk tesis mereka. Susah juga ni! Ah, sakit otaknya!

“Kau dah jumpa belum?” Dia menyoal Jason yang sedang sibuk mencatat sesuatu di atas buku nota.

Lelaki berkulit putih kuning langsat itu menjungkit bahu. “Entah.”

Azlan berdiri, Jason didekati. “Kau tulis apa?”

“Lokasi-lokasi untuk tesis kita lah. Agak-agaknya Prof.Kamarul suka tak?” Tanya Jason dengan lidah yang fasih berbahasa melayu. Dia berhenti menulis, pen dibaringkan di sisi buku nota tersebut. Dia menyerahkan buku nota itu kepada Azlan. Biarlah lelaki itu sendiri yang membuat penilaian.

Azlan meneliti senarai lokasi yang ditulis Jason. Di antaranya ialah Pulau Langkawi. Hmm, boleh tahan juga. Sebagai pelajar ijazah sarjana kesusasteraan sejarah Asia Tenggara, mereka perlu menjalankan penyelidikan ke tempat-tempat yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Mereka perlu menyiapkan tesis itu untuk bergraduasi. Pening kepalanya memikirkan final assignment mereka ini!

“Kita buat group discussion esok. Tunjuk list ni kat Rita, Sofia dengan Devi.” Azlan memberi cadangan. Jason bersetuju.

“Aku nak tidur lah dulu. Berdenyut kepala otak aku memikirkan lokasi-lokasi untuk tesis kita ni.” Jason memicit dahinya. Dia memejamkan mata buat beberapa saat, mengendurkan urat-urat yang tegang selepas berjam-jam menghadap skrin komputer ribanya, dan kemudian berlalu ke katil untuk berehat.

Azlan kembali ke meja belajarnya. Belakangnya disandarkan ke kerusi. Matanya merenung tepat ke skrin komputer ribanya…Hmmm...

Next: DETIK : 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman