Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 23 - Part 1

BAB 23 - Part 1

Geramnya Tipah tidak terperi. Dia terus melangkah menuju ke arah DJ parti yang sedang asyik mengadun lagu. Mata Tipah meliar mencari punca kabel kepada pembesar suara yang sedang meletup-letup dengan alunan muzik kuat. Sebaik sahaja punca kabel itu ternampak di pandangan matanya dengan pantas Tipah terus menarik kabel tersebut. Serta-merta alunan muzik yang berkumandang terus terhenti.

Panas hati Rayyan di buatnya. Siapa pula yang cuba mensabotaj partinya ini? Terus sahaja Rayyan melangkah menuju ke arah DJ parti dengan wajah yang kelat. Alangkah terperanjatnya dia apabila melihat seorang gadis kecil molek dengan spek mata tebal berbingkai hitam sedang memegang kabel di tangannya. Tipah! Macam mana dia boleh berada di sini?

Tipah terus menghampiri Rayyan. “Dah lama dah buat kerja macam ni? Syabas Encik Rayyan, syabas! Tak sia-sia kedatangan saya ke sini!” Berubah air muka Rayyan mendengarnya.

Zeta muncul di situ selang beberapa minit kemudian. Di renungnya Tipah dari atas ke bawah dengan dahi yang berkerut. “Sayang, siapa perempuan ni? Tiba-tiba je muncul dan ganggu parti kita! Pengawal, halau perempuan gila ni sekarang juga!”

Tipah terus mara ke hadapan. Dengan selamba di tolaknya Zeta hingga gadis itu jatuh terduduk. “Amboi! Sedapnya mulut kau, yer? Siapa yang gila sekarang ni? Kaulah yang gila!”

Terkial-kial Zeta bangkit semula. Hatinya sakit tidak terperi. Di rentap-rentapnya lengan Rayyan dengan kuat. “Sayang! You tengoklah perempuan ni! Sanggup dia tolak I! Kurang ajar betul lah!” Rayyan segera menghampiri Tipah. Dengan kasar segera dia meregut lengan Tipah. Di tariknya tangan gadis itu sampai ke luar rumah.

Rayyan bertempik. “Hei! Ini cara hidup saya. Kalau awak rasa awak tak boleh nak sesuaikan diri, awak boleh berambus dari sini, faham?”

Terpana Tipah seketika. Dia bagaikan tidak percaya Rayyan sanggup menghalaunya begitu sahaja setelah dia bersusah-payah datang ke mari. Air mata yang bergenangan di tubir mata sedaya-upaya cuba di tahannya agar tidak jatuh berderai.

“Rayyan, sampai hati awak halau saya? Salahkah saya datang ke mari? Kan awak sendiri yang janji akan datang jemput saya di kampung. Saya tak mahu menyusahkan awak, sebab itulah saya sendiri datang ke sini.”

Rayyan membidas keras. “Bila masa pula saya suruh awak datang ni? Hei Tipah, dengar sini baik-baik, ya. Saya berkahwin dengan awak sekadar untuk memenuhi permintaan terakhir arwah papa dan mama saya je, tak lebih dari tu. Lagipun tiap-tiap bulan saya dah bank-in kan duit ke akaun awak. Takkanlah itu masih tak cukup? Memang dasar perempuan kampung mata duitan!”

“Rayyan! Sanggup awak tuduh saya macam tu? Saya tak pernah idamkan walau sesen pun harta awak. Saya nak minta satu je dari awak. Tolong hormati perhubungan kita sebagai suami isteri yang sah di sisi agama Islam.”

Rayyan mencebik. “Tak payah nak tunjuk baik sangatlah kat sini. Sekarang ni kalau awak nak hidup di sisi saya sebagai seorang isteri, awak kena terima cara dan gaya hidup saya. Kalau tidak, dipersilakan berambus jauh-jauh dari sini!”

Tipah terkedu. Belang sebenar Rayyan mula terserlah. “Ya Allah! Lembutkan hati suamiku Rayyan Haikal bin Khalid sepertimana Engkau telah lembutkan besi di tangan Nabi Daud a.s. Kau limpahkan juga kesabaran dalam diriku dan teguhkanlah imanku, Ya Allah,” getus Tipah dalam hati.

Rayyan kian galak mendesak. “Saya tahu awak memang takkan boleh terima semua ni. Saya tak mahu jadi manusia yang hipokrit, Tipah. Apa yang awak lihat sekarang ini adalah Rayyan Haikal bin Dato’ Khalid yang sebenarnya. Hah! Tunggu apa lagi? Berambuslah dari sini!”

Melah muncul tiba-tiba di belakang Tipah dengan wajah yang bengis. “Hei Rayyan! Afsal kau buat Tipah macam ni, hah? Aritu kau yang terhegeh-hegeh ajak dia kahwin. Kenapa pula sekarang kau nak halau dia? Memang dasar jantan tak guna!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.