Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 14

Izdan berdebar menunggu panggilannya bersambung. Sudah dua kali dia cuba untuk menghubungi Adwa namun panggilannya masih tidak disambut oleh gadis itu. Izdan akhirnya mengalah. Dia melepaskan keluhan berat. Rindunya dia pada Adwa. Kata-kata Razi masih terngiang di telinganya.
Apa yang tak betul dengan aku ni?
Izdan terkedu apabila melihat panggilan masuk daripada Adwa. Jarinya pantas menekan punat hijau.
“Adwa.”
“Nak apa?” soal Adwa dengan kening berkerut.
I miss you,” ucap Izdan tanpa sedar.
“Nak penampar?” soal Adwa. Izdan tergelak kecil. Terlerai rindunya mendengar suara gadis itu.
“Aku tanya ni. Nak apa?” soal Adwa lagi separuh mendesak. Ikutkan hati memang dia tidak mahu menyambut panggilan daripada lelaki itu. Namun pada masa yang sama dia juga tidak sampai hati membiarkan panggilan Izdan. Walauapapun yang berlaku antara mereka, dia dan Izdan tetap kawan.
I’m sorry,” ucap Izdan akhirnya. Terangkat kening Adwa mendengar ucapan lelaki itu.
“Sebab apa?” soalnya.
“Tak ada sebab yang jelas. Iz cuma rasa bersalah,” balas Izdan dengan nada perlahan. Adwa terdiam.
So, lepas ni kita memang tak boleh lepak lagi?” soal Izdan dengan perasaan kecewa. Dia sebenarnya tertekan dengan situasi yang dilaluinya saat ini. Dia tersepit.
“Iz, kita masih berkawan macam dulu. Cuma kita tak boleh selalu jumpa. Banyak hati kita kena jaga. Kau bukan tak boleh lepak kat rumah aku. Yang penting Lufia ada. Tapi aku tak nak juga kau selalu lepak kat rumah. Tak manis,” balas Adwa dengan nada tegas. Izdan tersenyum hambar. Dia agak lega mendengar kata-kata gadis itu. Sekurang-kurangnya dia tahu Adwa masih menganggapnya sebagai kawan. Entah bagaimana dia melalui hari mendatang jika gadis itu benar-benar mahu memutuskan persahabatan mereka hanya kerana mahu menjaga hati Balqish.
“Aku nak tidur ni,” kata Adwa sebelum menekan punat merah tanpa memberi peluang pada Izdan untuk membalas. Izdan menggeleng.
Perangai tak pernah berubah.

                                 *****

Adwa berhenti di hadapan pintu pagar rumah Izdan. Dahinya yang berpeluh disapu dengan sapu tangan yang sentiasa dibawa ketika keluar beriadah. Adwa terkejut apabila pintu pagar tersebut tiba-tiba terbuka. Seorang pemuda berjalan keluar menuju ke arahnya.
“Cari siapa?” soal Fuadzi. Dia yang sedang duduk minum petang di halaman rumah ternampak kelibat gadis itu yang sudah lama berdiri di hadapan rumah. Adwa tidak menjawab. Cuma matanya yang bergerak memandang lelaki itu dari atas ke bawah. Kalau dia tidak silap lelaki yang berdiri di hadapannya itu adalah abang kepada Izdan.
“Kawan Iz?” soal Fuadzi lagi selepas melihat dengan jelas wajah Adwa yang terselindung disebalik topi yang dipakainya.
“Iz ada?” soal Adwa tanpa menjawab. Fuadzi tersenyum. Adwa agak terpegun melihat senyuman lelaki itu. Senyuman yang mengingatkan dia pada seseorang.
“Dia tak balik lagi. Sejak pagi keluar dengan kawan,” jawab Fuadzi. Wajah manis gadis itu membuat matanya tidak lepas dari memandangnya.
“Nenek saya jemput makan malam kat rumah. Beritahu aje nenek Maria,” pesan Adwa sebelum mula melangkah semula.
“Kenapa tak call Iz?” soal Fuadzi cuba menahan langkah gadis itu.
“Lupa,” balas Adwa tanpa memandang. Langkah kakinya laju meninggalkan kawasan rumah Izdan. Fuadzi hanya tersenyum melihat kelibat gadis itu yang semakin jauh. Kalau dia tidak silap, hari itu Izdan memanggil gadis itu dengan panggilan Adwa.

                               *****

Lufia menarik kerusi lalu duduk di hadapan Adwa. Dia merenung lama rakannya itu dengan kening berkerut.
“Kau dah kenapa?” soal Adwa yang hanya memandang sekilas ke arahnya.
“Kau nak ikut?” soalnya dengan wajah serius.
“Pergi mana?” soal Adwa lagi yang mula geram melihat reaksi gadis itu.
“Qish bawa keluar makan malam ni. Sekali dengan Diana dan Rania,” beritahu Lufia. Adwa terdiam sejenak.
“Aku tak paksa kalau kau tak nak,” sambung Lufia apabila melihat gadis itu hanya membisu.
“Memang aku tak nak,” balas Adwa akhirnya. Lufia mengangguk faham.
“Kirim salam kat mereka aje. Kau beritahu Qish aku ada hal,” kata Adwa lagi.
“Kau jangan risau. Aku tahu lah nak urus dia. Ni aku nak tanya. Iz ada call kau tak?” tanya Lufia ingin tahu.
“Ada,” balas Adwa tanpa memandang rakannya itu.
“So? Kau nak teruskan rancangan nak pindah?” soal Lufia lagi. Adwa mengangguk. Lufia mendengus geram.
“Mama kau setuju ke? Nenek Maria?” soalnya lagi jelas tidak berpuas hati dengan jawapan gadis itu.
“Aku tak beritahu mereka lagi. Tapi aku yakin yang mereka tak ada masalah dengan keputusan aku,” jawab Adwa kini membalas pandangan Lufia.
“Kau yakin?” soal Lufia masih tidak puas hati. Adwa tersenyum melihat reaksi gadis itu.
“Kau asyik nak tinggalkan aku,” rungut Lufia.
“Aku pasti kau faham kenapa aku buat keputusan yang aku tak suka,” balas Adwa.
“Aku bukan tak nak faham. Tapi sampai bila? Kau asyik nak larikan diri. Kau tak terfikir nak beritahu Iz?” soal Lufia dengan kening berkerut. Adwa menggeleng.
“Sampai bila? Aku pun tak tahu Luf. Sampai aku jumpa pengganti dia kot,” balas Adwa yang sudah tidak berselindung dengan perasaannya lagi. Dia tahu yang Lufia sudah lama tahu akan perasaannya itu. Cuma dia yang sering menafikan apabila Lufia menimbulkan soal itu.
“Aku pergi dulu. Nanti lewat pula. Aku tak habis lagi dengan kau. Jumpa esok,” kata Lufia sebelum berlalu pergi. Adwa hanya memandang langkah sahabatnya itu. Dia mengeluh perlahan.

                              *****

“Izdan hanya merenung Adwa yang duduk di hadapannya. Gadis itu leka menjamah makanan tanpa mempedulikan kehadirannya.
“Sibuk sangat ke Iz? Sampai tak sempat datang jenguk nenek?” soal Maria.
“Maaf nek. Iz memang sibuk sejak akhir-akhir ni,” balas Izdan dengan perasaan bersalah. Jika dulu dia sering menjenguk orang tua itu yang sudah dianggapnya seperti nenek sendiri. Namun disebabkan agak sibuk dengan tugasan ditambah dengan apa yang berlaku antara dia dan Adwa, Izdan mula segan untuk melawat Maria.
“Fuadzi memang tinggal berdua dengan Iz?” soal Tania pula sambil memandang Fuadzi yang duduk di hadapannya. Ini merupakan pertama kali dia menemui abang Izdan itu. Selama ini dia hanya mendengar Izdan menyebut nama lelaki itu.
Yes, aunty. Mama dan papa masih stay kat Itali. Tahun depan baru balik kat sini,” jawab Fuadzi dengan senyuman. Tania mengangguk faham.
“Dah kahwin?” soal Maria tiba-tiba. Fuadzi agak terkedu dengan soalan orang tua itu.
“Belum nek. Fuad baru aje mula kerja. Nak kahwin tak mampu lagi,” balas Fuadzi dengan tenang. Matanya sempat singgah pada wajah serius Adwa.
“Dah ada teman istimewa?” celah Tania pula. Adwa memandang ibunya itu dengan kening berkerut. Fuadzi agak terkedu dengan soalan wanita itu.
“Ramai. Kalau aunty nak tahu, Fuad ni buaya,” jawab Izdan selamba.
“Ishh, tak baik cakap macam tu,” tegur Maria. Fuadzi hanya tersenyum mendengar kata-kata Izdan. Dia memang tidak menafikan kebenaran kata-kata adiknya itu.
“Yang Iz tu bila nak kenalkan teman wanita dengan kami? Ibu, siapa nama budak tu? Qish?” soal Tania kepada Maria. Maria mengangguk pantas. Izdan terbatuk kecil. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil memandang Adwa.
“Apa? Tak betul?” soal Adwa pula dengan kening terangkat.
“Nanti lepas ni,” balas Izdan separuh mengugut.
“Ma, tengok perangai orang tua ni,” adu Adwa sambil memeluk lengan Tania. Bulat mata Izdan memandang gadis itu.
“Isshh, dah lah. Korang berdua ni kalau jumpa tak pernah tak bertengkar,” tegur Tania.
“Macam anjing dan kucing,” tambah Maria. Fuadzi hanya tersenyum memandang telatah Izdan dan Adwa. Nalurinya kuat mengatakan Izdan tidak senang duduk dua minggu yang lepas disebabkan oleh Adwa. Fuadzi mula tertanya-tanya hubungan sebenar kedua-duanya.

                                 *****

“Adwa mesti tak suka aku lagi,” teka Balqish dengan wajah sayu.
“Macam mana kau tahu?” soal Diana sambil mencapai buah epal di hadapannya. Rania menyiku lembut lengan rakannya itu. Terangkat kening Diana memandang gadis itu.
“Kau jangan risau. Adwa tu tak ada perasan. Dia jenis yang tak ambil hati. Kau sendiri kenal Adwa dari dulu,” balas Lufia separuh menyindir.
“Kau silap Luf. Aku tak mungkin akan faham Adwa seperti mana kau dan Iz faham dia.  Masih banyak yang aku tak tahu pasal Adwa. Aku boleh nampak dia jenis yang susah nak percaya orang,” kata Balqish dengan senyuman hambar.
“Aku pun jenis yang susah nak percaya orang. Mungkin sebab pengalaman lalu buat aku lebih berhati-hati,” celah Rania tiba-tiba dengan senyuman hambar. Mereka serentak memandang gadis itu.
“Apa yang berlaku?” soal Diana dengan riak wajah serius. Rania menggeleng.
“Aku minta maaf. Yang ni aku tak boleh kongsi dengan kamu. Ia terlalu peribadi,” balasnya dengan senyuman. Lufia mengangguk faham.
“Sampaikan kata maaf aku pada Adwa,” pesan Balqish pada Lufia.
“Kau jangan risau,” balas Lufia sambil mengangguk tersenyum.
“Jom makan. Aku dah lapar ni,” celah Diana. Mereka hanya mengangguk setuju. Masing-masing merasakan pertemuan malam itu hambar kerana ketiadaan Adwa.

                                *****

Izdan masih merenung gadis itu. Fuadzi yang sedang bersandar pada keretanya hanya memerhati kedua-duanya.
I’m sorry,” ucap Izdan.
“Kau ni tak habis-habis nak minta maaf. Aku tak kisah lah pasal Qish tu. Aku okay aje. Apa yang penting hati Qish tu kau kena jaga. Bukan hati aku,” balas Adwa dengan riak wajah yang serius. Izdan mengeluh.
“Aku salah cakap ke?” soal Adwa dengan kening terangkat. Izdan menggeleng lambat.
“Aku…,” Izdan terdiam. Lidahnya kelu untuk meneruskan ayat.
“Aku mengantuk. Baik kau balik sekarang,” halau Adwa yang mula takut mendengar ayat yang akan keluar dari mulut lelaki itu. Izdan mengeluh lagi.
“Selamat malam,” ucapnya sebelum berlalu dengan langkah perlahan. Adwa menarik nafas lega. Entah apa yang cuba disampaikan oleh Izdan. Seperti biasa dia sentiasa keliru dengan sikap lelaki itu.

                                 *****

“Qish minta maaf,” beritahu Lufia tanpa memandang wajah Adwa. Dia sedang sibuk mengeluarkan buku-buku yang berada di dalam beg sandangnya. Adwa diam tidak menjawab. Matanya masih pada buku di hadapannya.
“Kau dengar tak?” soal Lufia agak tidak berpuas hati dengan reaksi gadis itu.
“Dengar,” balas Adwa dengan nada mendatar.
So, tak payah nak pindah lagi. Buang masa kalau kau nak pindah. Kau nak kena tambah satu semester lagi? Kau ingat senang ke nak berurusan?” larang Lufia separuh menyoal. Adwa membalas pandangan sahabatnya itu.
“Aku tak pernah salahkan sesiapa dengan apa yang dah berlaku. Keputusan aku muktamad. Aku tetap akan pindah,” balasnya dengan nada tegas.
“Kau ingat tak dulu? Masa kita form 5. Masa tu Iz marah sangat kat budak perempuan ni. Walhal pelajar ni tak sengaja pun tolak kau masa tu. Kau pun cuma luka sikit aje. Tapi marah Iz tu macam kau masuk hospital. Masa tu aku mula perasan satu benda. Iz tu sayangkan kau lebih dari seoarng kawan, Adwa. Cuma dia tak tahu. Kau pula ego. Buat tak tahu. Aku yang sakit tengok korang berdua,” marah Lufia. Adwa menarik nafas dalam. Dia faham yang gadis itu cuba untuk membantunya. Namun dia sendiri tidak mahu menerima bantuan Lufia. Jika benar kata Lufia, mengapa Izdan tidak pernah memberitahunya?
“Aku balik dulu. Malas aku nak teman kau kat sini. Selagi kau tak batalkan niat nak pindah, jangan cuba nak call aku,” sambung Lufia separuh memberi amaran. Dia memasukkan semula buku-buku di dalam begnya lantas berlalu meninggalkan Adwa yang hanya diam membisu.

                                    *****

Maria memandang Tania dengan kening berkerut.
“Kenapa?” soalnya yang jelas terkejut dengan perkhabaran yang baru diterimanya.
“Nia pun tak tahu. Tapi malam tadi Adwa kata dia tak suka belajar kat sana. Sebab tu nak pindah,” jawab Tania yang turut hairan dengan permintaan anak tunggalnya itu. Maria menggeleng.
“Mesti ada sebab lain. Nia ada tanya Lufia tak? Mana lah tahu ada perkara yang berlaku kita tak tahu. Adwa tu tak semua dia nak kongsi dengan kita,” soal Maria lagi.
“Saya akan tanya Luf esok. Budak tu pun dah lama tak melawat kita,” jawab Tania separuh merungut.
“Sibuk agaknya,” teka Maria.
“Ibu tak rasa ni ada kaitan dengan Iz?” soal Tania. Maria terdiam mendengar soalan wanita itu.
“Tak mungkin. Iz dan Adwa okay aje makan malam hari tu. Mustahil mereka gaduh pula,” balasnya perlahan. Sebenarnya dia pun terfikir perkara yang sama. Namun hatinya cuba menafikan. Tania mengeluh. Bukan dia tidak mahu menurut permintaan anak daranya itu. Dia memikirkan masa yang diambil untuk mengurus perpindahan itu nanti. Dia bukannya ada banyak masa untuk menemani gadis itu.
“Biar ibu tanya Adwa dulu,” kata Maria.
“Kalau boleh ibu pujuk lah Adwa tu. Dah okay study satu tempat dengan Iz, nak pindah buat apa? Iz tu aje yang kita boleh harapkan untuk tengokkan dia. Nia nak larang tapi tak sampai hati pula,” balas Tania separuh meminta. Maria hanya mengangguk. Dia masih memikirkan sebab mengapa Adwa membuat permintaan sedemikian.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.