BANTAL diambil dan dia
menekup mukanya. Malu. Malu sangat. Apa yang sebenarnya ada di dalam hati dan
akalnya, Suriya sendiri tidak tahu. Di antara dia dengan Luqman tiada apa-apa
hubungan. Mereka bukan bersaudara. Mereka bukan bercinta. Tetapi kenapa kuih
talam itu boleh menjadi mangsa saat dia mendengar bicara manis Luqman dengan
mak cik-mak cik yang sebaya Mak Jah. Aduhai, malunya.
Dan menambah malunya ke tahap langit
yang ketujuh adalah sepanjang petang dan malam itu, Luqman langsung tidak
menegur dia. Sepatah ayat pun tidak. Sampainya hati. Tingkah laku Luqman itu
menyebabkan dia tidak ada selera makan. Sudahnya dia tidak makan pun di masjid
tadi. Kini perutnya bersamba menyanyi lagu lapar. Contoh terbaik yang dia dengan
sengaja menyeksa diri sendiri. Luqman juga yang kenyang dan pastinya bersenang
lenang.
Ketukan di pintu menyebabkan Suriya
bangun dan membuka pintu bilik. Irma tersengih di situ.
“Nak apa? Dah nak tidur ni.”
Irma mengunjukkan mangkuk berisi
nasi dan lauk dari masjid tadi.
“Untuk siapa?”
“Hisy, untuk akaklah. Mak Jah suruh
makan. Dia kata nanti jangan sampai gastrik datang.” Irma membalas.
“Tak nak makanlah lauk ni.”
“Habis tu nak goreng telur dengan
kicap?” Irma bertanya.
Suriya senyum dan mengangguk.
“Jangan nak berangan. Ni rezeki yang
ALLAH bagi untuk akak. Tak ada salahnya gulai daging ni pada akak.” Irma
membebel.
“Apasal kejam sangat ni?”
“Ada sambal goreng tepi tu. Makan
habiskan.” Irma mengeluarkan arahan.
“Kena makan ke? Irmalah makan. Nanti
Mak Jah tanya, katalah yang akak dah makan. Amacam, ada berani?” Suriya
memberikan idea. Ya, perut memang lapar tetapi dia lebih rela makan biskut.
“Dosa kak tipu orang yang lebih tua
dari kita. Yang susah-susah bungkus lauk untuk akak sebab takut akak lapar.”
Irma membalas.
Mangkuk itu pun diambil Suriya.
Susahnya bercakap dengan budak yang pandai berdebat. Semua soalan pun dia ada
jawapan. Dahlah cita-cita mahu menjadi peguam. Pasti pengsan pihak lawan yang
mahu berhujah dengan Irma. Perlahan-lahan dia menyuapkan nasi itu ke dalam
mulut. Makan sedikit sahaja. Peringatan kepada diri sendiri. Namun sebaik
sahaja suapan yang pertama, Suriya memandang Irma dan menggeleng.
“Kenapa kak?” tanya Irma yang sedang
membelek majalah.
“Gulai ni sedap ya.”
Dan Irma pun ketawa.
“Memang satu dunia tahu gulai Pak
Ali masak memang sedap. Tapi rasanya yang menambah sedap tu sebab abang Luq
yang tolong masak.” Irma memberitahu.
“Banyaklah.”
“Ya kak, dia sambil mengacau tu,
cuba akak tengok mulut dia terkumat kamit.”
Suriya meletakkan mangkuk itu.
Sambil mengunyah dia berfikir. Kumat kamitkan apa? Baca doa apa? Atau...
“Dia zikirlah kak. Sebab tu makanan
jadi sedap. Orang yang hati keras pun jadi lembut.” Irma ketawa terkekeh-kekeh.
Seronok dapat mengenakan kakak yang manis ini. Merajuk dengan Luqman sampai
tidak mahu makan. Itu kata Mak Jah.
“Pandailah kamu.”
“Ala kak, cuba cerita...akak gaduh
apa dengan abang Luq?”
“Mana ada gaduh.”
“Yang potong talam sampai jadi
cincau tu?”
Aduh! Agaknya satu dunia sudah tahu
tentang dirinya yang tidak waras di masjid petang tadi. Malunya. Ok, Luqman.
Mahu sangat bermain api bukan? Mari kita bermain api. Bukan guna mancis ya. Ini
pakai unggun api dari kayu jati yang tahan lama maraknya.
MEREKA pulang
ketika jam sudah menghampiri sepuluh malam. Setelah semua barangan dikemas dan
disimpan dengan elok di dalam bilik stor di tepi masjid itu.
“Tak baik bos.” Hairul tiba-tiba
bersuara. Memecahkan keheningan suasana.
“Apa dia?”
“Bos buat tak tahu kat Kak Suri.”
“Kau budak kecik, mana kau tahu.”
Luqman membalas.
“Tahu tak dia asyik toleh tengok kat
bos?” Hairul memberitahu dengan bersungguh-sungguh.
“Pandailah kau. Kau sokong dia ya?
Berpaling tadah nampak.” Luqman menyindir. Belum apa-apa, Hairul sudah berubah
hati. Ini berita yang tidak baik.
“Saya dah besarlah bos. Mak saya
kata hati perempuan ni kena jaga. Kita ni lelaki. Lebih kuat dari mereka dari
segala segi. Jadi, kitalah yang kena banyak mengalah.” Hairul memberikan
tazkirah.
“Kau tengok Ustaz Kazem ya?” tanya
Luqman.
“Kalau Dah Jodoh..tak ke mana, bos.”
Jawapan Hairul itu terasa seperti
mukanya baru ditampar. Memang dia mengaku, dia tidak menangani situasi dengan
Suriya ini melalui cara yang bijak. Bagaimana kalau Suriya betul-betul
mengambil pisau yang dia serahkan dan membenamkannya tepat ke jantung? Sah, dia
akan mati sebelum sempat menikah. Rugi, satu kerugian yang besar.
“Bos, marah ke?” Hairul bertanya
kerana terasa lama pula bosnya itu sepi. Mulutnya ini memang cabul. Jika kereta
diberhentikan dan dia dihalau keluar dari kereta, alamatnya pasti haus kaki
kerana perlu menapak balik ke rumah.
“Taklah.”
“Kak Suri tu nampak cantik malam ni
pakai selendang macam tu.”
“Apa kau kata?” Naik satu oktaf,
nada suara Luqman. Ini sudah melampau. Carilah gadis yang seusianya. Tapi kalau
difikirkan dengan waras, umur Suriya dengan Hairul beza dua tahun sahaja. Nabi
Muhammad SAW kita pun beza jauh umur dengan Saidatina Khadijah AS dan mereka
hidup bahagia. Hairul ini menguji atau memang ada hati dengan Suriya?
Hairul ketawa.
“Ala bos ni...tak ada niat nak menguratlah.”
“Kau jangan main-main.” Luqman
memberikan amaran/
“Cemburu jugak ya.”
“Kau diam. Kita dah sampai ni. Pergi
balik rumah kau. Esok jangan lambat pergi kerja.” Luqman memberikan
amaran. Banyak cakap pulak Hairul hari
ini. Sengaja mahu menyusahkan hati dia dan membuatkan dia mempersoalkan
strateginya. Haru betul.
Setelah Hairul melambainya dan dia
masuk ke dalam rumah, Luqman merebahkan badannya di sofa. Terasa letih juga
namun puas hati dengan majlis kenduri malam ini. Dapat menolong serba sedikit
walaupun tidak banyak. Bayangan wajah Suriya melintas di hadapan mata. Memang
benar kata Hairul, Suriya sangat cantik apabila berselendang begitu. Semoga
ALLAH bukakan hati Suriya untuk benar-benar menutup aurat sepenuhnya suatu hari
nanti. Kalau jadi isterinya, senanglah dia memberikan nasihat.
Mahu hantar SMSkah kepada Suriya.
Dia melihat jam di dinding. 10.30 malam. Jangan, Luqman. Biar Suriya rasa
bersalah. Kalau dia rasa...kalau tidak? Aduhai. Tetapkan hati Luqman. Untuk
hari ini, sepikan diri. Mungkin ruang itu diperlukan oleh mereka berdua. Bukan
gaduh hal besar pun cuma dirinya ini yang tidak sabar di dalam usaha mahu
memenangi hati Suriya.
Telefonnya berbunyi. Ada mesej
diterima. Luqman mencapai telefon.
Assalamualaikum
Argh dari Suriya. Besarnya rahmat
dari ALLAH. Luqman bibirnya menguntum senyuman. Oh, mahu apa ya Suriya.
Menghantar mesej lewat malam begini. Tersalah hantar mesej? Mahu menghantarnya
kepada orang lain? Atau Suriya memang dikejar rasa bersalah? Luqman mengambil
bantal kecil dan memeluknya erat. Sekarang barulah dia boleh tidur dengan lena.
Pasti dihiasi mimpi indah sepanjang lena ke pagi nanti.
Waalaikumusalam Suriya. Luqman
menjawab namun hanya di dalam hati. Dia membaca ayat Kursi dan doa sebelum
tidur. Semoga lena ya ALLAH. Amin.
SUDAH lebih dari
sepuluh kali dia mengambil telefon itu, melihat skrin dan kemudiannya
meletakkan semula.Sudah jam 11.30 malam. Luqman sudah tidur? Sebab itukah
SMSnya tidak dibalas? Atau ini adalah sebahagian dari strategi Luqman untuk
membalas dendam? Tidak baik berprasangka buruk Suriya. Akal mengingatkan diri
tetapi rasa ikhlas itu sangat susah mahu dilakukan pada ketika ini.
Kalau bukan kerana panggilan telefon
ayah jam sepuluh malam tadi, elok selepas dia makan, memang dia tidak akan menghubungi
Luqman. Panggilan penuh tragedi. Ayah kata, hujung minggu depan, tidak dapat
tidak, mesti balik ke rumah ayahnya. Ayah ada jamuan minum petang. Ayah kata,
ayah mahu dia ada di sana juga. Ketika ditanya, jamuan apa? Kata ayah, jamuan
untuk berkenal-kenalan.
Rasa nak pecah jantung ini. Dia
segera menelefon Aida. Dan Aida dengan mudah memberikan satu jawapan. Luqman.
Dapatkan bantuan Luqman. Hisy, kejam betul. Setelah berfikir dengan tenang, dia
menghantar SMS memberikan salam itu kepada Luqman. Dengan harapan Luqman akan
membalas dan mereka boleh berbaik semula. Tapi hampa. Terngiang-ngiang suara
ayah di telinga.
“Anak ayah semuanya dah besar.
Tanggungjawab ayah untuk carikan jodoh yang baik.”
Memang ketika itu dia sudah terasa
mahu meraung. Dahulu, ayah tidak pernah pun pedulikan tentang dirinya. Kenapa
sekarang? Kata Mak Jah, Haji Firdaus itu sampai bila-bila pun akan tetap
menjadi ayahnya. Sampai ke liang lahad dan kata Mak Jah lagi, berilah peluang
kepada ayahnya untuk menjadi ayah yang sebenar kepada Suriya. Selagi ada masa.
“Suriya tak nak sambung belajar
lagikan? Jadinya eloklah kalau ada kawan. Tunang dan terus nikah. Perkara yang
baik, jangan dilewatkan.”
Apabila ayahnya menyambung sebegitu,
hatinya jadi berderai. Kata-kata Mak Jah itu ada benarnya. Kata-kata ayah pun
ada benarnya juga. Cuma suara sampingan yang menjadi latar perbualannya dengan
ayah saja mencalarkan hati. Kata Hajah Nani, duduk jauh tu entah apa yang
dibuatnya. Kalau dia mahu duduk dengan ayah, Hajah Nani juga yang akan pengsan
dan pitam setiap hari.
Suriya menarik nafas dan
melepaskannya perlahan-lahan. ALLAH, pinjamkan aku kekuatan. Berikan aku jalan
untuk menempuh semua dugaan ini. Telefon dicapai lagi. Masih juga tiada mesej
yang masuk. Luqman kejam! Suriya mengambil bantal dan menekup mukanya. Ya,
Luqman memang kejam.