Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayangku Cik Tiramisu
Sayangku Cik Tiramisu
27/8/2014 03:32:25
74,130
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

Tahun 1995

SUASANA di padang permainan cukup ceria dengan jeritan riang kanak-kanak yang bermain. Ada yang berbuai, ada yang yang berjongkang-jongket malah ada juga yang berlarian berkejaran antara satu sama lain. Mereka kelihatan gembira dan riang. Gelak tawa mereka jelas menunjukkan dunia kanak-kanak begitu indah.

Di suatu sudut di tepi padang, ada seorang anak kecil bertocang dua sedang menyendiri. Ada kesedihan di wajahnya. Sesekali dia menyembamkan mukanya ke lutut yang dirapatkan ke dada. Wajahnya berbekas air mata. Bahunya terhinggut-hinggut menunjukkan dia sedang tersedu-sedan.

“Intan...”

Panggilan serta usapan lembut di kepala membuatkan anak kecil itu mengangkat mukanya. Pantas wajah lembut si ibu menghiasi matanya. Terus sahaja tubuh itu dipeluknya. Esakan halus mula kedengaran.

“Anak mak kenapa ni?” Lembut suara Puan Habibah bertanyakan anaknya. Tangannya masih mengusap-usap rambut Intan.

Intan terus mencebik sebaik soalan itu diajukan. Sedih sangat lagaknya. “Intan sedih,” katanya dalam esak tangis yang masih berlagu.

Puan Habibah tersenyum nipis. “Kenapa Intan sedih?”

“Intan sedih sebab tak dapat pergi majlis hari lahir Faiz,” beritahu Intan lagi.

“Laa… kenapa Intan tak pergi? Tadi cakap dengan mak nak pergi rumah Faiz,” soal Puan Habibah lagi.

Sebetulnya dia berasa pelik juga kerana melihat anaknya berada di padang permainan ini. Kebetulan dia sedang berjalan pulang dari kedai apabila ternampak kelibat Intan di sini. Tadi sebelum keluar rumah, Intan ada meminta izinnya untuk ke rumah Faiz, teman sepermainannya. Katanya, hari ini hari lahir Faiz. Temannya itu telah menjemput Intan ke rumahnya. Tanpa ragu, dia terus sahaja memberi keizinan kepada Intan.

“Intan memang nak pergi, tapi tadi masa nak pergi sana, Intan terserempak dengan Anita dan kawan-kawannya. Dia orang sekat Intan kat tengah jalan. Anita kata, Intan tak boleh pergi majlis hari lahir Faiz sebab Intan tak bawa hadiah,” cerita Intan lagi tersedu-sedan.

Puan Habibah terkedu. Cerita Intan menggigit tangkai hatinya. Kasihan anaknya. Dipermainkan teman-teman sebaya lantaran kesusahan mereka. Dia tidak menginginkan semua itu, namun aturan kehidupannya membuatkan dia tidak mampu memberi kemewahan buat Intan.

“Bukan Intan tak nak beli hadiah, tapi kita tak ada duitkan mak?” ujar Intan lagi.

Bertambah sayu di hati Puan Habibah mendengar kata-kata Intan. Dia menarik Intan ke dalam pelukan. Bahu anak tunggalnya itu diusap-usap lembut. Puan Habibah cuba mengumpul ayat terbaik untuk memujuk hati anaknya.

“Intan, memang bagus kalau kita dapat memberi hadiah kepada kawan di hari lahirnya kerana itu pasti dapat menggembirakan hatinya. Tetapi andai kita tidak mampu, kita masih ada hadiah yang lebih istimewa untuk kawan kita,” kata Puan Habibah lembut.

“Ya ke mak? Hadiah apa? Boleh Intan bagi pada Faiz?” Bertalu-talu soalan terbit dari mulut Intan.

Puan Habibah tersenyum sambil mengangguk. “Doa.”

“Doa?” tanya Intan kembali. Dahinya berkerut tidak mengerti.

Puan Habibah mengangguk lagi. “Intan boleh hadiahkan doa buat Faiz. Berdoa kepada ALLAH, semoga Faiz dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan sentiasa dalam keadaan yang baik-baik. Bukankah itu lebih baik.”

Tiba-tiba terukir senyuman di wajah Intan. “Boleh ek mak?”

“Kenapa pula tak boleh. Mestilah boleh.”

“Kalau macam tu, Intan nak doakan untuk Faizlah,” kata Intan dengan nada yang gembira.

Terus sahaja anak manis itu mengangkat kedua-dua belah tangannya. Matanya dipejam rapat. Puan Habibah tersenyum dengan kepolosan anaknya. Sebagai sokongan, dia turut sama menadah tangan.

“Ya ALLAH, Intan nak minta doa untuk Faiz. ALLAH panjangkan umur Faiz, ALLAH murahkan rezeki Faiz, ALLAH jaga Faiz baik-baik ya. Amin...” ucap Intan penuh naif tetapi begitu bersungguh-sungguh.

“Amin...” sahut Puan Habibah di sisi. Dia tersenyum lagi. Kepala Intan sekali lagi diusapnya. Bangga hatinya kerana mempunyai anak seperti Intan. Satu-satunya penawar hati yang ditinggalkan oleh arwah suaminya, Ismadi.

“Pandai anak mak,” puji Puan Habibah, membuatkan senyuman makin lebar di wajah Intan.

“Terima kasih doakan Faiz,” ujar satu suara dari arah belakang.

Intan dan Habibah berpaling serentak.

“Faiz.” Intan sedikit terjerit melihat kemunculan Faiz.

Budak lelaki yang dipanggil Faiz itu berjalan menghampiri mereka. Di tangannya ada bekas makanan. Matanya tidak lepas memandang Intan. Sukar ditafsir riak perasaannya ketika itu.

Puan Habibah segera bangun. Tersenyum dia menyambut kedatangan teman sepermainan anaknya itu.

Faiz mendekati Puan Habibah lalu tangan wanita itu dicium penuh hormat.

Puan Habibah mengusap lembut kepala Faiz dengan bibir yang tetap tersenyum lembut. “Intan, mak balik dulu ya. Faiz berbuallah dengan Intan. Tapi, jangan lama sangat ya. Dah nak maghrib ni.” Puan Habibah sempat berpesan kepada Intan dan Faiz.

Faiz dan Intan mengangguk hampir serentak tanda akur dengan kata-kata Puan Habibah. Wanita itu tersenyum senang. Terus sahaja dia melangkah pergi meninggalkan kedua-dua kanak-kanak itu di tepian padang.

Sepeninggalan Puan Habibah, Intan dan Faiz saling menyepi. Mereka beralih duduk di sebuah kerusi batu yang terdapat di situ. Intan asyik menguis-nguis tanah di hujung kaki manakala Faiz sekadar memerhati tingkah laku Intan. Agak lama mereka berdua berkeadaan begitu.

Sudahnya, Faiz yang mengalah. Dilepaskan keluhan seketika sebelum bersuara. “Kenapa Intan tak datang tadi?”

Intan diam. Pertanyaan Faiz tidak terus dijawabnya. Matanya masih tetap terpaku ke tanah. Entah apa yang bermain difikirannya.

Faiz mengeluh lagi. Sedikit bengang apabila pertanyaannya dipandang enteng oleh Intan. “Intan, Faiz tanya ni!” Suaranya sedikit tinggi. Dalam hatinya terdetik juga rasa kecil hati kerana Intan lebih berminat melihat tanah daripada memandang wajahnya yang dia amat pasti jauh lebih handsome daripada tanah itu.

Intan tetap diam. Sebetulnya, dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan Faiz. Takkanlah hendak diceritakan tentang dia disekat di pertengahan jalan tadi. Dia bukan jenis mahu mengadu atau menjaja yang tidak-tidak kepada Faiz mahupun sesiapa.

“Tak nak cakap, tak apalah. Faiz balik dululah.” Faiz seakan merajuk hati. Terus sahaja dia bangun dari duduknya.Buat apa untuk terus duduk di situ kalau orang di sebelah buat dirinya seperti tidak wujud.

Intan terpana. Namun, jemarinya pantas menangkap pergelangan tangan Faiz. Dia tidak menyangka, diamnya membuatkan Faiz berjauh hati.

Faiz tidak jadi melangkah. Dia kembali memandang Intan. Dia nampak ada kesedihan di wajah polos itu. “Intan ada masalah ke?” Faiz bertanya seraya kembali duduk di sebelah Intan.

Intan pantas menggeleng. Sebuah senyuman yang dirasakan cukup manis, dihadiahkan kepada Faiz. Dia tidak mahu temannya itu berfikir bukan-bukan lagi. “Tak adalah,” dalihnya.

Beberapa ketika, Faiz memandang wajah Intan. Dia cuba mencari kesungguhan di sebalik jawapan yang baru diberikan oleh Intan tadi. Separuh hatinya tidak percaya. Ada bisikan kuat yang menyatakan, Intan menyembunyikan sesuatu daripadanya. Tetapi dia kenal Intan. Andai temannya itu memilih untuk tidak bercerita, tidak perlu dipaksa kerana hasilnya akan tetap hampa.

“Ni, Faiz bawakan kek untuk Intan. Makanlah,” ujar Faiz sambil menghulurkan bekas yang dipegang sejak tadi. Persoalan tadi sudah dilontar jauh ke tepi.

Intan tersenyum gembira menyambut huluran bekas daripada Faiz. Sungguh dia tidak menyangka, Faiz tidak melupakan dia. Alhamdulillah, ada juga rezeki untuknya merasa kek hari lahir teman baiknya itu.

Tanpa bertangguh, Intan terus membuka penutup bekas tersebut. Ada dua potong kek di dalamnya. Cantik kek itu. Nampak sedap. Kerana teruja, Intan terus mencapai sepotong kek, lalu disuapkan ke mulutnya. Langsung dia terlupa akan Faiz disebelah.

Sedapnya! Itu yang dirasakan Intan sebaik sahaja kek itu berada di dalam mulutnya.

“Sedapnya kek ini, Faiz. Apa nama kek ni?” tanya Intan sambil mengigit lagi kek tersebut.

“Kek tiramisu. Ini kek kesukaan Faiz,” beritahu Faiz.

“Ooo... kek tiramisu.” Intan terangguk-anguk.

Seumur hidup inilah kek yang paling sedap dirasakannya. Kanak-kanak sepertinya, sudah tentu sukakan kek. Namun kehidupan yang dilalui bersama ibu, tidak memungkinkan untuk dia merasai semua itu. Kali pertama dia menikmati kek hari lahirnya, ketika dia berumur lima tahun. Ayah yang beli sempena ulang tahun kelahirannya yang kelima. Dan itulah kali terakhir kerana ayah telah pergi meninggalkan dia dan ibu buat selama-lamanya.

Namun, Intan tidak pernah berasa kecil hati. Dia tahu kesukaran ibunya setelah ayah pergi. Dia memahami walaupun dia masih kecil. Intan tetap rasa bahagia kerana ibu masih ada disisinya.

“Kek ni memang sedap. Intan pun nak jadikan kek ni, kek kesukaan Intanlah,” kata Intan lagi.

Faiz tersenyum senang melihat Intan begitu beria-ia menjamah kek yang dibawanya. Sengaja dia menyimpan kek tersebut untuk Intan. Ketika mamanya bertanya tadi, dia berdalih mengatakan dia menyimpan untuk dimakan kemudian nanti.

Bukan niatnya mahu berbohong dengan mama. Tapi dia tahu, mama pasti melarang andai tahu kek tersebut disimpan untuk Intan. Entah kenapa, dia tidak faham dengan mama. Mama tidak suka dia berkawan dengan Intan. Pada Faiz, Intan sangat baik. Alasan mama bila ditanya, Intan tidak setaraf dengan mereka.

Faiz pelik. Apa yang tidak setarafnya? Dia manusia, Intan juga manusia. Kalau dia manusia, Intan tu pokok, adalah peliknya. Hisy! Mama... mama...

“Kenapa Faiz mengeluh?” soal Intan. Suapannya terhenti sebaik terdengar keluhan yang terbit daripada mulut Faiz.

Faiz termalu sendiri. Sangkanya keluhan itu hanya dihati. Dia pantas menggeleng dan tersenyum. “Sedap tak kek tu?” Dia menyoal Intan kembali. Topik perbualan dialihkan.

“Sedap!” jawab Intan dengan mata yang bersinar-sinar. Faiz tersenyum puas.

“Nah, ni untuk Faiz.” Intan menghulurkan sepotong kek yang masih berbaki kepada Faiz.

Faiz segera menolak. “Tak apa. Intan makanlah. Faiz dah makan tadi. Kek tu memang Faiz bawa untuk Intan.”

“Betul?”

Faiz mengangguk.

Intan tersenyum gembira. Dia kembali menjamah kek yang masih berbaki di tangan. Selesai, dia menutup bekas yang masih terdapat sepotong kek dengan kemas. Dia mahu bawa pulang ke rumah. ‘Boleh diberi pada mak nanti.’ Itu fikirnya.

Setelah Intan selesai makan, Faiz mula membuka mulut. Sebetulnya, ada sesuatu yang mahu disampaikan kepada Intan. Berita yang mungkin bakal menyedihkan Intan. Dan dia sendiri berasa amat sedih.

“Intan,” panggil Faiz perlahan.

“Ya,” jawab Intan dengan nada ceria. Dia masih belum menangkap riak sedih di wajah Faiz. Hatinya masih berbunga riang kerana Faiz sudi membawa kek yang sedap untuknya.

“Faiz ada sesuatu nak beritahu Intan,” ujar Faiz.

“Apa dia?” Intan masih tetap dengan reaksi seperti tadi.

“Errr... esok Faiz akan pindah dari sini.”

Boommm!!! Bagaikan ledakan bom terasa di kepala Intan sebaik mendengar kata-kata yang baru sahaja dituturkan Faiz.

“Apa Faiz kata?” Intan meminta Faiz mengulangi cakapnya. Dia berharap dia cuma tersalah dengar tadi.

“Esok Faiz akan pindah dari sini.” Perlahan sahaja suara Faiz.

Senyuman riang Intan sebentar tadi terus mati. Yang tinggal hanya riak muram yang mula memendung di wajahnya. Intan kembali bermain dengan jari-jemarinya. Hatinya tidak gembira. Dia tidak suka dengan berita yang dibawa Faiz. Dia tahu selepas ini, dia akan kembali sendirian. Dia tidak akan punya kawan lagi. Dia tidak akan gembira lagi seperti mana bila adanya Faiz.

Tanpa bertanya lagi, Intan terus bangun dari duduknya. Bekas berisi baki kek dicapai. Lalu tanpa sepatah kata, Intan menapak berlalu dari situ. Longlai sahaja langkahnya.

Faiz yang memandang jadi terkedu. Terkunci terus mulutnya untuk menahan langkah Intan. Dia sudah menjangka yang Intan pasti akan bersedih dengan khabar yang dibawanya. Namun, dia tidak menduga yang Intan akan meninggalkannya tanpa sepatah kata.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.