Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 18

Bab 18

“Cuti panjang lagi ke Juki?” pertanyaan Pak Nuar tidak berapa didengari oleh Juki. Otaknya tidak bertumpu pada orang tua itu. Dia sedang tercari-cari kelibat Rima. Tidak kelihatan.

“Adik mana, tok ngah?” soalan Pak Nuar tidak berjawab bahkan Juki pula yang bertanya.

“Kat kebun belakang agaknya. Kenapa kamu cari adik?” banyak pula soalan Pak Nuar.

“Errr...saja je.”

“Pergilah! Kalau jumpa dia, suruh dia balik. Asyik jadi penunggu kebun je adik tu sekarang.” Tuala mandi yang berlingkar pada bahu Pak Nuar ditarik lalu dia mengelap mukanya yang berpeluh. Niatnya mahu mandi tapi terpaksa melayan kedatangan Juki.

“Baik, tok ngah.” Juki memanjangkan langkah menuju ke kebun di belakang rumah. Rindu benar pada Rima, gadis yang mempunyai minat yang sangat pelik itu. Dari jauh Juki sudah nampak Rima sedang bersandar pada pangkal pokok manggis sambil memegang sebatang ranting panjang yang digunakan untuk menguis daun-daun kering berulang-ulang. Pada pandangan Juki, Rima sedang membuat kerja yang sia-sia. Tidak bertenggek atas pokok pula dia.

“Hah! Adik!” tindakan Juki membuat Rima melompat tiba-tiba. Rima terkejut bukan kepalang.

“Hoi! Tak reti bagi salam ke? Biasalah dia ni!” marah Rima bersungguh. Dadanya diurut untuk melegakan rasa sesak. Muka Rima yang mencuka membuat Juki sesal di atas tindakannya. Entah mengapa setiap kali berjumpa Rima, ada saja yang tidak kena.

“Sorry! Sorry! Aku tak sangka adik akan terkejut macam ni.”

Logiknya, Rima bukanlah orang yang mudah terperanjat tapi lamunannya tentang Sulaiman telah membuatnya pergi jauh dari alam nyata. 2-3 hari ini Sulaiman telah menjadi hantu yang sentiasa mengekorinya. Puas dihalau dan ditepis-tepis bayangan Sulaiman, ia tetap mengganggu ketenteraman Rima. Rima betul-betul benci dengan keadaan itu.

“Tak apalah...lain kali jangan buat lagi. Adik tak suka.” Muka Rima sangat tegas dan melemahkan semangat Juki sekali lagi.

“Kau cuti apa pulak ni Juki?” soal Rima bila melihat Juki dipenuhi rasa bersalah.

“Hmmm...tak ada cuti apa-apa. 3 hari ni aku tak ada kelas, jadi aku baliklah. Bosanlah kat sana. Aku nak jumpa engkaulah adik.” Juki berterus-terang. Rima duduk semula di pangkal pokok manggis. Juki melakukan perkara yang sama.

 “Issyyy...duduk jauhlah sikit. Sana tu!” mahu saja ditolak badan Juki supaya cepat menjauh tapi Rima malas mahu menyentuh badan Juki.

“Ala, bukan dekat sangat pun.” Bantah Juki.

“Tengok ni haaa...2-3 jengkal aje. Kan dekat tu!” jari telunjuk dan ibu jari Rima terus menyukat jarak di antara mereka. Juki hanya mampu mengeluh. Dasar jinak-jinak burung merpati, boleh didekati tapi bila dihampiri asyik hendak cabut lari.

“Adik!”

“Nak apa?” soal Rima garang.

“Hmmm...adik ni, kalau dengan aku garang semacam aje. Cubalah cakap lembut-lembut sikit kat aku ni. Engkau bukan tak tau, aku rindu sangat nak jumpa engkau.” Ada nada kecewa dalam suara Juki. Rima tunduk. Bukan niatnya untuk sombong pada Juki tapi Rima sedar, kalau dia bercakap dengan lunak sudah tentu ‘orang ketiga’ akan menambah bumbu lalu akan terangsanglah nafsu. Rima tidak mahu Juki atau dirinya tenggelam dalam perasaan yang sebegitu. Itu akan melanggar prinsipnya sendiri. Lagi pula dia tidak mahu Juki terus meletakkan harapan yang tinggi terhadap dirinya.

“Alaa, adik kan dah memang macam ni. Memang adik ni garang, kan. Janganlah nak terasa hati pulak. Sudahlah...jangan nak muram lagi, kan dah tak handsome jadinya.” Ucap Rima jangan tidak, mahu menyedapkan hati Juki. Biar bagaimanapun mereka sudah menjadi keluarga berbelas tahun lamanya. Rima mahu menjaga dengan baik perhubungan itu.

Juki senyum. Hatinya cair lagi. Susah baginya mahu menyimpan kemarahan terhadap Rima lama-lama. Ia akan sejuk begitu saja setiap kali melihat Rima tersenyum. Juki masih tidak berganjak dari duduknya. Dia merenung lama muka Rima yang licin tanpa sebutir jerawat. Menguit hatinya untuk menyentuh pipi mulus itu. Juki mahu membuktikan betapa sayangnya dia terhadap Rima.

“Adik, boleh aku sentuh pipi engkau?” lalu Juki cepat-cepat tunduk. Malu tapi mahu.

“Hah! Nak buat apa?” bulat mata Rima. Nampaknya ‘orang ketiga’ sudah mula menjalankan strateginya. Itulah perkara yang paling Rima tidak suka. Makhluk bertanduk memang tidak pernah melepaskan peluang untuk merosakkan umat manusia. Rima juga sedar mereka duduk berduaan seperti itu pun sudah salah, inikan pula mahu melakukan lebih daripada itu.

“Sebab...sebab...hmmm...sebab aku sayang adik!” gugup Juki dibuatnya. Rima tidak terkejut kerana dia sudah tahu tentang perasaan Juki terhadapnya.

“Ini yang adik tak suka! Kenapa kalau sayang atau cinta mesti nak pegang-pegang? Itu ke syaratnya nak tunjukkan rasa sayang? Ko sama jugak dengan kawan-kawan adik, tak ada beza langsung.” Rima geram. Prinsip dan pegangannya sedang diuji. Ia bukan satu perkara yang menyenangkan, lebih-lebih lagi dia bukanlah malaikat yang langsung tidak bernafsu. Setakat ini Rima masih mampu mempertahankan pendiriannya, esok lusa belum tahu lagi.

“Taklah...bukan macam tu. Aku tak ada maksud apa-apa pun.” Juki naik malu.

“Ermmm...engkau pun sama jugak dengan lelaki-lelaki yang adik kenal,” keluh Rima dengan perasaan hampa.

 “Sayang aku pada adik lain, mereka lain. Lagi pun aku cuma nak sentuh sikit je pipi adik, bukan nak cium pun.” Juki cuba menerangkan niatnya. Dia mati kutu dan tidak tahu bagaimana mahu memberi penjelasan dengan lebih baik.

Rima terasa mahu ketawa tapi cuba ditahankan. Mudahnya alasan Juki. Apa saja sebab yang Juki beri, Rima tidak akan menerimanya dengan begitu mudah. Biar apa saja alasan Juki, dia masih tetap mahu melakukan perkara yang sama saja dengan orang lain. Berbeza alasan tapi masih sama perbuatannya.

 “Buang aje niat ko tu jauh-jauhlah Juki. Tak ada siapa yang boleh sentuh-sentuh pipi adik ni melainkan adik sendiri...dan suami adik nanti.”

“Kita ni kan positif dengan negatif, mana boleh dekat-dekat sangat. Cas akan cepat menarik. Magnetnya kuat. Kalau positif dah tarik negatif, bukan aje dekat tapi akan terus melekat. Kan bahaya tu, susah nak dipisahkan nanti.” Dengan tiba-tiba Rima teringat teori Sains yang boleh dijadikan perumpamaan di antara dirinya dengan Juki. Selepas memberi teori belasahnya, Rima tersengih sendiri. Ada juga kebenarannya idea yang muncul tiba-tiba itu.

Juki melepaskan keluhan setelah terlepas peluang begitu saja. Bukan saja keinginannya tidak kesampaian bahkan dia telah belajar sesuatu daripada Rima. Juki tidak menduga gadis yang semanja Rima rupa-rupanya mempunyai prinsip yang teguh. Dalam sikap kebudak-budakan Rima, ada kelebihan yang tidak pernah diketahuinya selama ini.

“Adik...apa yang boleh aku buat untuk engkau terima aku?” soalan yang berbau kehampaan di utarakan oleh Juki. Juki tidak faham mengapa susah sangat mahu melembutkan hati gadis yang digilai setengah mati sejak dari kanak-kanak lagi. Bukan saja Rima tidak pernah memberinya harapan, bahkan dia selalu saja mahu mengelak jika Juki mahu menjalin hubungan yang lebih serius dengannya.

Muka Juki ditenung dalam-dalam. Rima mahu melihat setiap incinya. Ada kesungguhan di dalam mata Juki. Mata yang mengharap. Malangnya Rima selalu dalam keadaan yang serba-salah. Cinta mana kan mungkin boleh dipaksa-paksa. Tidak juga boleh berpura-pura menyintai. Kadang-kadang Rima berasa kasihan bila melihat Juki terlalu berharap pada sesuatu yang tidak mungkin. Ia adalah mustahil!

Bukan Rima tidak pernah berusaha untuk memberi ruang kepada Juki tapi semuanya tidak mendatangkan hasil. Perasaannya terhadap Juki masih sama. Mereka adalah saudara, tidak lebih dan tidak kurang. Kalaulah dia boleh menukar perasaan itu, alangkah mudahnya. Sayangnya Rima tidak berupaya untuk melakukannya.

“Juki, memang adik sayang kau...tapi...”

“Tapi apa?” tidak sabar untuk Juki tahu.

“Tapi...sayang adik pada Juki sebab Juki cucu saudara ayah. Kita saudara, kan Juki?” hanya itu yang mampu Rima jelaskan.

 Juki ketawa. Ganjil suara tawanya. Ia bergetar dan tenggelam timbul. Rima semakin serba-salah. Tidak lama kemudian Juki melepaskan keluhan panjang. Berat. “Lagi-lagi alasan tu yang adik bagi. Teruk sangat ke aku ni, sampai susah sangat adik nak terima aku?” soal Juki kecewa.

 “Tak...kau tak teruk. Juki baik. Tak ada alasan untuk perempuan tak suka pada kau. Adik suka kau sebab kau selalu terterus-terang dalam apa saja hal. Kau pun suka tolong orang lain. Rasanya tak ada kekurangan apa-apa pada mata aku.”

“Dah tu kenapa engkau masih tak boleh terima aku? Tak lama lagi aku akan habis belajar, aku nak pinang engkau, nak kahwin dengan engkau. Engkau faham tak? Dah banyak kali aku ulang benda yang sama tapi engkau masih jugak tak faham!” entah kenapa tiba-tiba Juki seperti jauh hati, kecewa dan sebak. Tinggi rendah suaranya. Terasa mahu menangis tapi terpaksa ditahankan. Mana boleh dia leleh di depan Rima yang pada anggapannya sangat keras hati.

Rima tunduk. Dia juga berasa sebak bila mendengar kata-kata Juki. Kesungguhan Juki betul-betul mengharukan hatinya. Dalam hatinya Rima mengakui, beruntung siapa yang bakal menjadi pasangan Juki nanti. Juki ada ciri-ciri lelaki yang setia. Dia juga tidak mudah berputus asa. Sudah bertahun-tahun dia menjadi pungguk yang rindukan bulan, malangnya bulan masih jauh dari gapaian tangannya. Ia tetap tinggi di balik awan.

“Juki...maafkan adik. Adik tak mampu. Adik tak fahamlah apa tu cinta. Macamana rupanya, apa rasanya. Mungkin adik belum cukup dewasa untuk memahami semua ni.

 Ermmm...kalau takdirnya ada jodoh kita nanti, adik terima dengan hati terbuka. Bagi adik masa ya, Juki...tapi...tapi adik tak boleh janji. Takut adik engkar nanti.”

“Misalannya dalam masa ko menunggu pintu hati adik terbuka dan ada orang lain yang berjaya menambat hati kau...kau kahwin ajelah dengan orang tu. Mungkin dia jauh lebih baik dari adik. Adik doakan kau akan dapat pasangan yang secocok. Bukan macam adik yang selalu menyusahkan semua orang.” Selepas meluahkan apa yang terlintas di kepalanya, Rima berasa lega. Dia berharap Juki akan dapat menerimanya dengan berlapang dada.

“Aku akan tetap tunggu adik!” ujar Juki dengan nada keras.

 “Juki!...adik...adik,” suara Rima tersekat tiba-tiba.

“Siapa adik untuk arahkan aku buat itu atau buat ini? Engkau tak ada hak untuk paksa aku lupakan engkau. Engkau dah sebati dalam hati aku sejak bertahun lamanya, sejak engkau kecik lagi! Engkau boleh kata apa aje. Engkau suruhlah aku lupakan engkau, buang engkau dari hati aku...atau engkau suruhlah aku pergi jauh-jauh...tapi aku nak engkau tau...engkau...engkau tetap dalam hati aku! Engkau tak boleh paksa aku keluarkan dan buang engkau dari hati ni! Aku akan rasa sakit nanti! Aku akan luka!” hilang sudah rasa malunya.

 Tewas juga keakuan Juki untuk mempertahankan air matanya. Baginya kata-kata Rima telah membuat hatinya tertusuk. Seperti selumbar yang menusuk kulit.

Melihat Juki menangis, serta-merta takungan air mata Rima turut melimpah. Tidak disangkanya sebesar itu harapan Juki terhadap dirinya. Tidak diduganya sehebat itu rasa cinta Juki kepadanya. Sungguh! Rima bagaikan tidak percaya! Rima juga seakan dapat merasai betapa sedang sakitnya Juki sekarang ini. Akhirnya dia berasa amat bersalah terhadap Juki kerana dialah penyebab bagi segala kesakitan Juki.

“Juki...janganlah macam ni. Tak baik menangis disebabkan adik. Tak berbaloi kan. Adik ni dahlah tak reti buat kerja-kerja rumah. Tak pandai masak...cuma tau bertenggek atas pokok aje. Lagi pun adik ni tak tau pun siapa ibu ayah kandung adik...susah Juki nanti.” Rima cuba memujuk.

“Aku tak kisahlah tu semua. Dari dulu aku dah tau buruk baik engkau, kekurangan dan kelebihan engkau. Aku suka dan sayang engkau dengan seadanya engkau. Asalkan engkau dapat terima aku, tu dah memadai.” Cepat-cepat Juki mengelap air matanya.

Malu juga dia kerana telah menggadaikan kejantanannya di depan Rima. Jatuh sahamnya yang selama ini cuba dijaga. Rima telah membuat dia kalah. Nasib baik Rima sama-sama menangis, kalau dia mentertawakannya, bukankah lagi haru jadinya. Huh! Agaknya memang begitulah bila sedang penasaran dalam cinta, kesedihan tak payah dijemput datangnya. Air mata berebut-rebut keluar tanpa minta izin terlebih dulu. Semuanya spontan saja, mudah kata Juki memang tidak sengaja menangis. Itulah yang dibisikkan oleh Juki untuk menjadi penyedap hatinya sendiri. Segan pula dia hendak memandang Rima.

“Juki...”

“Tak apa, adik...tak usah cakap. Aku tau aku buruk bila menangis. Aku bukan sengaja pun tadi. Sumpah! Aku bukan jenis yang lembik. Aku tak pernah menangis sebab perempuan...inilah kali pertama...itu pun...itu pun sebab engkaulah aku jadi macam ni.”

 Sebelum Rima menegur dirinya sebagai lelaki cengeng, lebih baik Juki membuka mulut terlebih dulu. Malu pun malulah. Apa hendak dikata, semuanya dah berlaku. Air matanya sudah pun keluar, bukan boleh ditarik balik. Kata orang, terlajak perahu boleh diundur semula tapi terlajak air mata sudah pun tumpah ke pipinya. Eh! Lain benar bunyi peribahasanya. Ah! Itu ciptaan manusia, boleh disesuaikan dengan keadaan. Juki seperti orang yang sedang pening-pening lalat.

“Bukan tu...adik bukan nak cakap tu.” Rima tunduk. Air mata Juki sebentar tadi membuat dia terfikir, betapa sayangnya Juki pada dia. Ada perasaan baru yang terbit dalam hatinya. Ia tetap bukan perasaan sayang seperti yang Juki harapkan. Ia adalah rasa kasihan. Rima kasihan melihat keadaan Juki yang sanggup mengenepikan rasa malu hanya kerana seorang Rima yang hanya tahu bertenggek di atas pokok. Seorang Rima yang tidak pandai dalam serba-serbi kecuali akademiknya saja.

“Habis tu?”

“Errr...adik akan cuba...tapi macam adik kata tadi, tak berani nak janji. Biarlah Allah yang akan tentukan kesudahannya ya, Juki. Tapi adik...adik akan cuba sedaya-upaya. Cuma, jangan mengharap sangat.” Perasaan kasihan membuat Rima mahu memberi peluang kepada Juki. Soal berhasil atau tidak, biarlah takdir yang menentukan.

“Kenapa tak boleh janji?” masih ada perasaan tidak puas hati dalam diri Juki.

“Sebab perjalanan hidup kita bukan kita yang tentukan. Adik boleh janji untuk berusaha sedaya-upaya tapi adik tak berani nak janji akan kahwin dengan engkau. Tu semua bukan urusan kita, tu kerja Tuhan.

Biarpun hanya sekuman jaminan daripada Rima, Juki seakan dapat mengumpulkan semangatnya semula. Sekurang-kurangnya semangat itu akan dibawa pulang ke kampus dan menjadi tangkal untuknya menghadapi peperiksaan akhir tahunnya. Badannya terasa ringan, seakan sedang berada di awangan. Gembira sungguh Juki!

“Terima kasih, adik. Sekurang-kurangnya engkau nak mencuba. Maafkan aku kalau nampak macam memaksa...tapi jujur aku kata, setiap kali engkau menolak...aku...aku tak boleh terima kenyataan tu.” Ujar Juki tanpa memandang Rima. Tidak sanggup mahu menentang mata Rima yang redup itu.

“Tak apalah Juki...adik faham. Terima kasih juga sebab sayangkan adik. Hmmm, adik rasa...engkau baliklah dulu. Dah lama kita berdua kat sini, tak eloklah Juki. Walaupun kita tak buat apa-apa tapi cas positif dan negatif tetap akan menyusahkan kita nanti. Tentu engkau pun tak suka kan kalau adik ni disentuh atau menyentuh. Kita kena berjaga-jaga.”

Dalam satu hal itu, Rima memang amat tegas. Itulah prinsipnya dan itulah pegangan hidupnya. Kadang-kadang Rima bersyukur, dia sedar keimanannya tidaklah sekuat mana tapi dengan pegangan itulah dia telah berjaya menjaga dirinya sendiri. Itu anugerah Allah buatnya. Sikap jujur juga selalu membuat Rima lebih suka berterus-terang dalam apa juga keadaan.

“Kalau macam tu jomlah kita balik sama, kita boleh sembang lagi depan tok ngah.”

“Adik belum nak balik...engkau baliklah dulu ya Juki.” Desak Rima.

“Kalau macam tu, baiklah...aku balik dulu. Engkau jaga diri ya, adik. Esok aku nak balik kampus dah.

“Ya...engkau pun jaga diri sama. Study elok-elok, jangan asyik nak ingat adik aje.” Balas Rima lalu menghadiahkan senyuman buat Juki. Juki telah pun bersedia untuk pergi walaupun dengan berat hati. Dia masih mahu menghabiskan masa bersama Rima kesayangannya. Dalam masa yang sama dia juga harus menghormati pendirian Rima.

Rima merenung langkah Juki sedangkan di dalam pemikirannya muncul semula sebuah nama yang telah menghantuinya kebelakangan ini. ‘Ah! Sulaiman...agaknya adik sama macam Juki. Juki mengharapkan adik tapi adik tercari-cari sesuatu yang tak pasti. Sulaiman! Pergilah jauh-jauh!’

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.