Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 7

APRIL datang lagi. Aduhai… cepat betul masa berlalu. 17hb adalah ulang tahun Aira yang ke 33. Mak ai, dah tua rupanya aku ni! Kahwin tak juga. Hai, sabarlah hati. Aira memujuk dirinya.

Kawan-kawan semuanya sudah ada 2, 3 orang anak, aku? Teman istimewa pun tiada. Hendak berkahwin dengan siapa? Sakit telinga Aira dibuatnya apabila mendengar ibunya berleter dan bertanya tentang calon menantu yang tidak kunjung tiba.

Sabar sajalah Aira, mana tahu ditakdirkan akan berkahwin dengan lelaki yang istimewa. Bukan sahaja baik malah tampan dan kaya, tidak perlu susah-susah bekerja.

Beranganlah Cik Aira Latisha, tidak habis-habis dengan berangan. Angan-angan, jejaka pilihan hati, punyai personaliti, segak tinggi.Teringat pula lagu Raja Ema yang popular suatu ketika duhulu.

Jodoh oh jodoh! Kenapalah susah sangat untuk ditemui? Bila ditunggu, tak muncul-muncul. Bila dicari tak jumpa-jumpa. Adakah aku akan membujang sampai ke tua? Aira tertanya sendiri. Nampaknya kena mandi bunga lagi la aku ini, keluh Aira.

Bilamana diingatkan, sudah habis satu boulevard Aira kebas bunganya untuk dibuat mandi. Kalau rakan-rakan tahu, malu satu dunia. Sekarang hendak kebas bunga di mana lagi? Masakan hendak ambil bunga di Waterfront? Mana pulak Aira hendak gagau? Serai dan daun pandan banyaklah di Waterfront itu.

Terbayang landskap indah di Putrajaya yang dipenuhi dengan pelbagai pokok bunga tetapi tiada satu pun yang mujarab! Hendak buat macam mana, asyik-asyik bunga Lantana camara. Harap nama sahaja sedap didengar namun bunganya tidak harum langsung. Alahai Cik Aira Latisha oi, sudah nama pun bunga tahi ayam!

“Aira… kawan-kawan kita semuanya dah kahwin, tinggal kita berdua sahaja. Tak boleh jadi kita ni, kena cepat cari. Kalau lambat, tak berlaki kita sampai ke tua.” Teringat Aira kata-kata Zura pada tahun lepas.

Dialah satu-satunya sahabat tempat meluahkan perasaan juga penyimpan mohor besar raja-raja. Ada kalanya mereka saling menyimpan rahsia kerana rasanya tidak boleh dikongsi dengan adik-beradik sendiri.

Bulan lepas Zura telah berkahwin dengan Johan. Semuanya bermula dengan rekomen dari Encik Kamal, ketua jabatan tempat Zura bekerja. Johan baru sahaja kematian isteri dan mempunyai 2 orang cahayamata. Entah kenapa dengan Johan, Zura merasakan seperti telah lama kenal dan rasa serasi sangat.

Bak kata orang tua-tua, kalau sudah jodoh, tidak boleh hendak ditolak-tolak. Itu cerita Zura, aku pulak bagaimana? Aira tertanya sendiri. Someone somewhere is made for you…tunggu sajalah Aira.

“Kita kena sentiasa bersangka baik, barulah hidup ceria dan dapat melalui hidup ini dengan lebih tenang,” pesan Kak Anim pada suatu hari.

Kak Anim merupakan kakak angkat Aira dan juga Zura. Bercakap memang mudah, namun agak sukar untuk sentiasa bersangka baik pada zaman yang serba mencabar ini.

“Kalau kita sentiasa ceria, bukan setakat murah rezeki malah jodoh pun datang tanpa dicari-cari.” Tergelak Aira mendengar nasihat Kak Anim.

Aira sememangnya amat respek dengan Kak Anim dan suaminya, Abang Fadzil. Merekalah yang banyak menolong Aira ketika Aira mula-mula menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur dahulu sehinggalah dia melanjutkan pelajaran ke universiti.

Mereka berdua sememangnya pasangan yang idea, baik dan suka menolong orang. Paling Aira kagumi, mereka berdua sentiasa bersangka baik dengan sesiapa jua pun. Itu yang tidak mampu dia lakukan hingga kini.

Andai orang yang pernah menipu mereka akhirnya datang meminta pertolongan, mereka tetap sedia membantu tanpa mengungkit kisah lalu. Bukan calang-calang orang boleh begitu mudah memberi kemaafan tanpa diminta malah sanggup menolong pula.

Sebenarnya selain dengan Zura, Aira juga rapat dengan Kak Sha dan Suria. Satu persamaan mereka berempat adalah mereka ini memang gila kerja sampai tidak fikir sangat pasal kahwin. Sebab itu walau sudah masuk 30 tahun, masih solo lagi.

Kak Sha bertemu jodoh dengan duda tiada anak ketika berumur 32 tahun. Sama seperti Kak Sha, Suria juga berkahwin ketika berumur 32 tahun tetapi dengan duda beranak satu. Sementara Zura yang berusia 33 tahun pula baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan duda beranak dua.

Kini cuma tinggal Aira seorang yang masih belum bertemu jodoh. Nampaknya jodoh Aira pasti dengan duda juga seperti tiga lagi sahabatnya. Tetapi, masakan dengan duda beranak tiga pula? Bagi Aira, walau terdesak sekalipun Aira tidak akan setuju langsung.

Tiba-tiba Aira teringatkan Abang Lokman yang merupakan jiran sekampung yang dijumpanya di Anjung Putrajaya pada minggu lepas. Kebetulan pada masa itu Abang Lokman hendak makan tengah hari lalu mempelawa Aira sekali. Orang sudah hendak belanja, masakan mahu menolak pula. Abang Lokman seorang ahli perniagaan yang berjaya. Dia yang telah berpindah ke Kajang mempunyai tiga orang anak. Dengar cerita isterinya sudah lima tahun menderita sakit buah pinggang.

Berbagai isu dibualkan termasuk perkembangan kampung mereka. Tiba-tiba Abang Lokman bertanya kenapa sampai sekarang Aira masih tidak kahwin-kahwin. Seperti biasa jawapan Aira pastilah tiada jodoh. Jawapan standard yang akan diberi tidak kira siapa yang bertanya.

“Susah-susah abang pinang Aira sajalah.” Aira hanya tertawa kerana tahu Abang Lokman hanya bergurau. Namun apabila diingat kembali, manalah tahu umur isterinya tidak panjang dan dia benar-benar meminang Aira? Oh, tidak!

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.