Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr.London Ms.Langkawi
Mr.London Ms.Langkawi
13/1/2015 08:45:41
122,763
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

PAGI-PAGI lagi, Liyana sudah terpacak di kolam ikannya. Lehernya memanjang, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Matanya melilau mencari-cari kelibat Ijam. Dia ada hal penting. Dia perlukan pertolongan Ijam untuk misinya pagi ini.

“Mana pulak Ijam ni?” rungut Liyana sendirian.

Dia berjalan maju ke hadapan selangkah dua sambil gayanya masih lagi seperti tadi. Namun masih hampa. Kelibat Ijam langsung tidak kelihatan. Liyana meneliti jam di tangan.

“Dah pukul 8.30 pagi ni. Takkan tak sampai-sampai lagi. Hisy, dia ni. Melampau betul! Mahu kebulur ikan-ikan aku ni.” Liyana terus-terusan membebel.

“Hoi!” tegur Ijam yang baru muncul dari arah belakang Liyana.

“Mak, hantu kolam datang!” Terkeluar latah dari mulut Liyana. Bukan setakat itu sahaja, Liyana turut terloncat dibuatnya akibat terkejut dengan sergahan tiba-tiba Ijam. Hilang seketika semangatnya.

“Amboi, sajaknya hang panggil aku hantu kolam,” kata Ijam.

Liyana tersengih. “Siapa suruh hang sergah aku macam tu. Hang bukan tak tau, aku ni lemah semangat sikit kalau kena sergah macam tu. Mulalah keluar ayat-ayat sajak aku,” balas Liyana.

“Ni apahal, pagi-pagi hang dah muncul kat sini ni? Selalunya jangan haraplah ikan-ikan ni dapat tengok muka hang pagi-pagi macam ni,” tanya Ijam sambil mula mengisi dedak ke dalam baldi.

Sudah menjadi rutin hariannya memberi ikan-ikan itu makan di pagi hari. Kalau hendak harapkan si Liyana, mati kebuluranlah ikan-ikan itu jawabnya. Tak mahunya dibuat kerja-kerja tersebut. Tetapi kalau waktu ada orang datang mahu membeli ikan, laju sahaja sampainya. Sebab dapat duit!

Hang buat apa tu?” soal Liyana berbahasa. Soalan Ijam tadi tidak dijawabnya.

“Buat apa lagi. Bagi ikan-ikan hang tu sarapanlah. Karang kebulur pulak. Nak harap hang, tunggu bulan puasa tahun depan pun belum tentu hang nak buat,” jawab Ijam. Sempat lagi dia menyindir Liyana.

“Amboi, kata mulut aku sajak. Mulut hang lagi sakan berpuisi noo,” perli Liyana pula.

Ijam sengih. “Aku bukan baca puisi. Aku cakap benda betul.”

Ijam mula berjalan ke atas pelantar yang menganjur ke kolam. Baldi yang berisi dedak, dijinjit sama. Liyana mengekor sahaja di belakang Ijam.

Hang nak pi mana tu?” Mulut Liyana terus becok bertanya.

“Ya ALLAH perempuan ni. Dah aku bawa baldi dedak ni, tentulah nak bagi ikan-ikan tu makan. Takkan aku nak buat renang berirama pula kat tengah-tengah kolam tu,” jawab Ijam penuh sarkastik.

‘Soalan tak menjana minda betul. Patutlah SPM hang lingkup.’ Sempat lagi Ijam mengutuk Liyana di dalam hati.

Liyana sengih lagi. Sedar akan kebodohan diri bertanya soalan sebegitu. Kan dah kena sebiji dengan ‘sarjana kolam ikan’. Hehehe...

Kepala yang tidak gatal digaru-garunya. Sebetulnya, otak Liyana lebih berfikir bagaimana mahu mengajak Ijam menyertai misinya hari ini. Ijam ni pun bukan boleh pakai sangat. Buatnya tidak kena dengan angin, mahu ditolak mentah-mentah ajakkan Liyana nanti.

“Errr...Ijam. Hang tak payahlah bagi ikan tu makan.” Liyana bersuara lagi. Teragak-agak sahaja bunyinya.

Ijam terus berhenti melangkah. Dia berpaling kepada Liyana dibelakang. Liyana yang tidak bersedia terus sahaja terlanggar belakang Ijam. Mengaduh Liyana dibuatnya. Iyalah kalau nak dibandingkan saiz badannya dengan badan Ijam, memang kalahlah dia.

“Ish, tekan brek tak bagi signal,” marah Liyana.

“Yang hang ni dok ikut aku kiri kanan ni pasal apa?” Giliran Ijam pula memarahi Liyana kembali.

“Aku...aku...” Liyana tergagap-gagap mahu menjawab.

Ijam merenung wajah Liyana. Dalam tenungannya. Ada kemusykilan di wajahnya. Sedari tadi dia berasa pelik dengan kemunculan Liyana di kolam di awal-awal pagi begini. Lepas itu, cakap pula putar alam semacam saja. Mesti ada yang tidak kena.

Hang ada buat salah dengan aku ye?” tebak Ijam dengan wajah serius.

“Ish! Mana ada,” tukas Liyana pantas.

“Habis tu, aku tengok hang lain macam saja pagi ni. Terus-terang cakaplah, aku cuak habis dengan hang ni,” beritahu Ijam jujur.

Liyana berdecit seketika. Ke situ pula perginya pemikiran Ijam. Tetapi memang betul pun apa yang diteka Ijam itu. Dia memang mempunyai niat datang berjumpa Ijam pagi ini.

“Aku sebenarnya ada hal nak minta tolong hang,” beritahu Liyana, sedikit ragu-ragu.

“Dah agak dah! Hang mesti ada hal cari aku pepagi macam ni,” sahut Ijam tergelak-gelak.

“Hah, hal apa hang nak aku tolong?”

“Aku nak minta tolong hang escort aku.”

Ijam terus ternganga mendengar permintaan Liyana. Gila apa pula perempuan seorang ni. Tahulah dalam kampung ni dia antara orang yang banyak duit, tapi takkanlah sampai berangan jadi wanita pertama kut. Sampai nak pakai ecsort segala bagai.

Liyana tayang muka bosan melihat penerimaan Ijam. “Tutuplah mulut tu. Karang lalat masuk, sia-sia saja puasa hang.”

Ijam tersedar dengan teguran Liyana. Terus dia menutup mulutnya. “Hang ni apahal. Tiba-tiba suruh aku jadi escort pulak? Hang nak pi mana?” soal Ijam ingin tahu.

Liyana mengeluh seketika. Dia menyandarkan tubuhnya di tiang di sisi pelantar. Ijam turut melakukan perkara sama. Baldi berisi dedak di tangan, diletakkan ke bawah.

“Ceritanya macam ni...”

“Hah, apa ceritanya.” Ijam lebih laju memotong.

“Aku nak ceritalah ni.” Liyana sedikit bengang.

Ijam sengih. “Okey, sambung...sambung.”

“Ceritanya macam ni. Semalam tok wan aku turunkan perintah...”

“Perintah apa?” Ijam sekali lagi memotong percakapan Liyana.

Liyana terus menjeling Ijam disebelahnya. Mahu jugak dilesing sahabatnya itu. Asyik nak memotong saja, bila nak selesai cerita.

Hang jangan potong cakap aku boleh tak?” marah Liyana. Penumbuk ditayangkan ke muka Ijam.

Ijam sengih lagi. Pantas kedua-dua belah tangannya diangkat sambil digoyang-goyang laju. Makan penumbuk Liyana, mahu seminggu demam tak kebah nanti. Lebih baik elak.

Liyana terpaksa mengulang semula ayatnya. “Ceritanya macam ni. Semalam tok wan aku turunkan perintah, supaya pagi ni aku pergi mengadap...”

“Mengadap siapa?” Sekali lagi Ijam terlajak mulut.

“Wei!” jerit Liyana.

Ijam segera menyedari kesilapannya. Tangannya pantas menekup mulut sendiri. Aduhai, kenapa pula mulutnya laju benar berkata-kata hari ini.

Liyana mengangkat telunjuknya tepat ke muka Ijam. Wajahnya serius benar. “Sekali lagi hang potong cakap aku, memang sah hang kena buat renang berirama kat dalam kolam tu.” Keras amaran yang diberikan Liyana.

Ijam terus menggerakkan sebelah tangan memberi isyarat supaya Liyana meneruskan cerita sambil sebelah tangan lagi masih menekup mulutnya.

“Macam ni. Tok wan aku turunkan perintah supaya pagi ni aku pergi mengadap Makcik Siah Speaker. Minta maaf dengan orang tua tu pasal semalam. Dan aku nak hang ikut aku pergi rumah dia. Faham?” Laju Liyana menuturkan kata kali ini. Dia tidak mahu Ijam memotong cakapnya sekali lagi.

“Hah!” Ijam sekali lagi ternganga mulut.

“Pergi mengadap Makcik Siah Speaker?” soalnya bagai tidak percaya.

Liyana angguk. Wajahnya serius menyatakan dia tidak main-main.

“Woo...woo...aku dari teman hang pergi mengadap mak mentua tak jadi hang tu, aku lebih rela buat renang berirama kat dalam kolam ni tau.” Ijam menolak permintaan Liyana.

Liyana jatuh semangat. “Ala, janganlah macam tu Ijam. Hang kan kawan aku. Temanlah aku wei,” pujuknya.

Ijam menggeleng laju. “Takde...takde...takde...”

“Tolonglah aku Ijam,” rayu Liyana lagi.

“Gila hang. Hang bukan tak kenal Makcik Siah Speaker tu. Belum pun hang sempat bunyi ‘aaa’, dia dah hayun penyapu. Eeiii...tak maulah aku. Cari penyakit namanya tu,” tolak Ijam lagi.

Liyana garu kepala. Macam dia hendak memujuk Ijam ni. Sahabatnya itu nampaknya begitu keras menolak. Otaknya ligat mencari ayat memujuk yang paling terbaik.

“Errr...sebab tu aku ajak hang. Kurang-kurang bila dia tengok muka hang yang penuh ‘nur’ tu, hati dia sejuk sikit,” bodek Liyana.

“Tak mau aku. Tak mau...tak mau.” Ijam terus mengangkat baldi dedaknya kembali. Tidak mahu melayan Liyana lagi. Dia terus berjalan ke hadapan.

Liyana jadi longlai. Pujukan dan bodekkannya tidak menjadi. Nampaknya terpaksalah dia berhadapan dengan Makcik Siah Speaker seorang diri. Mengenangkan suara Makcik Siah Speaker yang mengalahkan speaker pecah itu, hisy naik seram bulu roma dibuatnya. Harapan nak kena libas dengan penyapu lidi sekali lagi memang besar peratusannya. Aduhai!

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.