Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
90,650
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

ZAIMmembelek beberapa resumeyang berada di tangannya. Kesemuanya ada lima calon terakhir yang telah ditemu duga rakan seunitnya, Akmal. Kelima-lima mereka adalah perempuan.

“Wei, apasal semua perempuan ni?” tanya Zaim.

“Habis tu, yang datang semuanya perempuan. Nak buat macam mana,” jawab Akmal mudah.

“Eh, masa aku pergi pejabat HR tadi, aku nampak ada dua tiga orang budak lelaki. Semuanya tak layak ke?” tanya Zaim macam tidak puas hati.

“Oh, yang budak lelaki tu semuanya nak kerja part time sementara menghabiskan semester break universiti mereka. Tu yang aku malas nak short-listed mereka. Sudahnya, yang lima orang perempuan tu ajelah. Lagipun, salah seorang daripada tiga orang budak lelaki tu, lebih kurang macam adik-adik aje, jambu-jambu gitu! Hmm... macam kaulah!” jawab Akmal panjang lebar.

Hello, excuse me... I’m not adik-adik, okey!” jawab Zaim sambil menjeling ke arah Akmal.

Zaim membetulkan lengan baju kemejanya.

Akmal ketawa geli hati. Dia tahu Zaim tersinggung. Akmal yang sedang menaip sesuatu di komputer di atas mejanya segera menoleh ke arah Zaim yang begitu asyik menelek resume yang berada di atas mejanya.

Akmal satu unit dengan Zaim iaitu di bahagian Pengurusan Audit Korporat. Mereka berdua berpangkat pengurus. Unit bahagian mereka terdiri daripada empat orang pengurus. Empat orang lagi selaku penolong pengurus dan Mr. Sean Lionel adalah ketua senior Pengurusan Audit Korporat di bank itu. Mereka amat memerlukan seorang pembantu berpangkat pegawai untuk membantu kerja-kerja mereka selain menguruskan hal ehwal pentadbiran.

Sebelum ini, segala urusan pentadbiran telah dibantu Kak Linda, kerani bank itu. Bagaimanapun, Kak Linda telah pun berhenti kerja sebulan yang lalu kerana mengikut suaminya bekerja di luar negara.

Oleh itu, Mr. Sean Lionel telah mengarahkan Akmal dan Zaim menguruskan pengganti Kak Linda sebelum banyak lagi urusan-urusan pentadbiran unit itu tertangguh begitu lama tanpa sebarang tindakan penyelesaian. Kali ini, Mr. Sean Lionel mahukan pembantu yang berpangkat pegawai kerana mahukan segala urusan pentadbiran unit atau bahagian diserahkan semuanya kepada bakal pegawai itu nanti.

Mengikut perancangan, semua pengurus dan penolong pengurus akan dibahagi-bahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka semua wajib menjalankan tugas-tugas audit di semua cawangan bank di seluruh Malaysia. Hanya bakal pegawai itu sahaja yang akan berada di pejabat menguruskan hal ehwal pentadbiran dan membantu kumpulan-kumpulan auditor jika diperlukan.

Akmal berpendapat, pegawai perempuan adalah layak untuk menyandang jawatan itu kerana baginya perempuan lebih teliti dan sentiasa memastikan kerja-kerjanya sempurna walau dalam beberapa perkara mereka selalunya cerewet.

Akmal ditugaskan Mr. Sean Lionel untuk mengendalikan sesi temu duga pada pagi tadi bersama dengan dua orang lagi pengurus daripada Unit Human Resources (HR). Di dalam fikirannya, dia sudah ada seseorang yang dirasakannya layak untuk menyandang kekosongan jawatan itu. Namun, dia perlu berbincang dengan Zaim dan Mr. Sean Lionel sebelum sebarang keputusan diambil.

“Hoi! Yang kau dok tenung-tenung tu apasal? Kau baca resume ke, tengok gambar-gambarnya?” sergah Akmal.

Zaim yang sedang membaca salah satu resume daripada calon-calon temu duga tadi kelihatan begitu serius, seolah-olah dia sedang membaca sebuah rencana akhbar mengenai pembunuhan. Macam ada sesuatu yang menarik dalam pembacaannya itu.

“Hisy, tak adalah. Aku tengah baca ni kan,” jawab Zaim.

Dia kelihatan serius membaca dan dalam masa yang sama cuba mengimbangi intonasi suaranya.

“Kau pilih yang mana? Cepatlah buat pilihan. Lepas tu kita boleh discuss dengan bos!” pinta Akmal, meminta pendapat Zaim.

Akmal merenung Zaim yang sedang tekun berfikir. Dalam dia sedang asyik membaca resume-resume yang berada di atas meja, tiba-tiba big boss mereka, Mr. Sean Lionel masuk dan terus menghampiri mereka berdua.

So guys, have you made a decision who should be admin officer for our department?” tanya Mr. Sean Lionel.

Mr. Sean Lionel, lelaki mat salih bermata biru separuh umur. Berusia dalam lingkungan awal 40-an, namun masih tegap, tampan dan bergaya. Jika dilihat fizikalnya, pasti orang akan menyangka dia berumur dalam lingkungan pertengahan 30-an.

Mr. Sean Lionel sudah tiga tahun mengetuai unit Audit Korporat di Malaysia. Sebelum ini dia merupakan senior legal advisor di cawangan bank itu di Australia. Kemudian, dia dipanggil ke Malaysia untuk menggantikan Ketua Senior Audit Korporat, Mr. Anthony Wong yang telah meninggal dunia akibat sakit jantung tiga tahun lalu.

Zaim memandang Akmal. Akmal pula memberi isyarat mata, agar Zaim memberitahu Mr. Sean Lionel bahawa mereka belum membuat apa-apa keputusan lagi. Namun, belum sempat Zaim membuka mulut, tiba-tiba Mr. Sean Lionel mengambil sebuah resume yang berada di tangan Zaim.

Hei, look at this! Is this one of our shortlisted?” tanya Mr. Sean Lionel sambil memandang Akmal.

Dia menunjukkan resume yang dipegangnya itu kepada Akmal.

“Err... yes sir! She is one of our shortlisted,” jawab Akmal.

Let me see the others,” pinta Mr. Sean Lionel.

Segera Zaim menghulurkan beberapa resume yang berada di atas mejanya kepada Mr. Sean Lionel.

“Hmm... okay, okay,” gumam Mr. Sean Lionel sendirian sambil meneliti kesemua resume itu.

Okay! Guys, don’t waste your time. Take her. Proceed immediately,” kata Mr. Sean Lionel, sekali gus memberi arahan kepada mereka berdua.

Dalam masa yang sama dia terus menghulurkan resume pilihannya kepada Akmal. Kemudian dia terus berlalu pergi menuju ke biliknya.

Akmal yang mengambil resumeyang dihulurkan oleh ketuanya tadi, terus melihat resume pilihan ketuanya di mana terdapat foto si empunya resume itu.

Yes! Pilihan bos sama dengan pilihan aku!” jerit Akmal sambil ketawa gembira.

Riang hatinya kerana tidak perlu lagi diperbincangkan dengan ketuanya itu. Akmal yakin gadis itu mempunyai ciri-ciri pembantu yang mereka kehendaki. Tidak sangka pula Mr. Sean Lionel mempunyai pendapat yang sama dengannya.

Zaim yang tidak sabar ingin mengetahui siapakah yang dipilih Mr. Sean Lionel itu segera menghampiri Akmal. Diambilnya resume itu dari tangan Akmal, lantas ditenungnya foto yang dilekatkan bersama resume itu.

What! Budak kampung ni? Wei, apa masalah kau orang ni ha? Tak ada calon lain ke?” Zaim membantah.

Akmal memandang Zaim dengan hairan. Dah kenapa pulak dengan si mamat gebu ni? Macam tak suka aje dengan pilihan bos. Ke, dia dah ada pilihan lain? Akmal tertanya-tanya dalam hati.

Hello, bro! Kau apa cerita? Okey apa budak perempuan tu. Aku suka karakter dia,” jawab Akmal.

Dia memandang Zaim hairan.

“Kau kenal ke budak perempuan ni?” tanya Akmal.

Zaim terdiam, namun akhirnya menjawab.

“Tak kenal pun. Dan, tak ingin nak kenal!” jawab Zaim selamba sambil meletakkan resume tadi di atas meja Akmal.

“Dah tu, apa masalah kau?” tanya Akmal musykil.

Apa kenalah mamat gebu ni. Lain macam aje statement dia! gerutu hati kecil Akmal.

“Perempuan tu memang kampung style betullah. Maco” semacam aje. Berlagak gangster. Dah tu cakap main ikut sedap mulut dia aje. Eii... orang macam ni kau nak suruh bantu kita? Silap-silap, kerja tak siap. Dok pot-pet aje memanjang!” jawab Zaim, tidak puas hati.

Akmal memandang Zaim sambil tersenyum sinis. La, pasal itu saja ke?

“Bila masa kau kenal budak ni? Kau ke yang interview dia tadi?” tanya Akmal semula sambil tersenyum.

Zaim tidak menjawab. Namun, di fikirannya masih teringat bagaimana dia bertekak dengan seorang budak perempuan bermulut murai, tetapi agak brutal itu ketika dia singgah di pejabat HR tadi. Pagi-pagi sudah kasi havoc!

Zaim tidak pula menyangka yang sahabatnya, Akmal, juga ketuanya itu bersependapat untuk memilih budak perempuan itu sebagai admin officer mereka. Pada pendapat Zaim, budak perempuan itu memang tidak layak dan langsung tidak mempunyai ciri-ciri mahupun imej seorang pekerja korporat. Zaim tidak dapat membayangkan bagaimana budak perempuan kampung itu boleh bekerja di unit audit ini.

“Hmm... silap-silap tak sampai sebulan, dah berhenti sebab tak tahan! Tengok stail dressing dia dan cara dia tu, aku tak yakin dia boleh bekerja kat sini!” kata Zaim.

Akmal yang mendengar sekadar menggeleng.

Hello, bro! Calon yang ada tu bukan calon Next Top Model yang kau sibukkan sangat dengan dressing dialah, stail dialah. Kita nak cari pegawai admin sahaja,” kata Akmal.

“Eleh, macam mak cik-mak cik aje stail dia. Spekmengalahkan profesor. Dah macam perempuan dalam cerita ‘The Ugly Betty’ pulak aku tengok! Cubalah pilih yang sedap mata memandang. Sudahlah kerja kat sini stres, makin streslah aku tengok dia tiap-tiap hari!” bebel Zaim dalam hati.

“Eii... tak kuasa aku nak layanlah!” rungut Zaim sambil berlalu pergi.

Akmal ketawa sambil memandang Zaim yang sudah mahu membuka pintu pejabat untuk keluar.

Anyway, our boss has made his decision. Bos dah pilih dia. Kau mana tahu apa kelebihan dia, sebab kau tak ada semasa sesi interview tadi. Dan aku percaya, bos boleh nampak apa kelebihan yang budak perempuan tu ada from his point of view walaupun bos tak ada masa sesi interview tu. Moral of the story, don’t judge people from it’s cover okay! See and observe yourself before say anything. Lainlah kalau kau berada di position bos sekarang ni,” ujar Akmal sambil tergelak, namun berbaur sindiran yang agak berbisa.

“Dan lagi satu, aku harap kita semua tak lupakan asal usul kita, kita jugak berasal dari kampung,” tambah Akmal, mennyemarakkan lagi api yang sedang membara di hati Zaim.

Zaim sempat merengus sebelum menutup pintu pejabat itu dengan kasar.

“Jiwa kacau!” kata Akmal sambil menggeleng beberapa kali.

Kadang-kadang Akmal sendiri tidak faham dengan perangai Zaim. Ada kalanya Zaim seorang kawan yang peramah, periang dan suka membantu. Namun, ada kalanya Zaim menjadi seorang yang serius, baran dan amat sensitif.

Tugas mereka sebagai juruaudit, menyebabkan masa mereka banyak berada di luar, menjelajah semua cawangan bank di seluruh Malaysia memang merapatkan lagi hubungan persahabatan mereka, apatah lagi mereka bekerja di dalam kumpulan yang sama.

Akmal banyak memerhatikan sikap dan karakter Zaim sejak mula Zaim menyertai unit Audit Korporat. Zaim yang Akmal kenali mempunyai karakter yang berubah-ubah dan selalunya dia akan berubah bila dia berada di dalam kumpulan kawan-kawan yang berlainan latar belakangnya.

Bukan Akmal tidak tahu, Zaim selalu bercampur dengan kawan-kawannya yang kebanyakannya terdiri daripada golongan pondan. Namun, sehingga kini Akmal masih musykil, mengapa Zaim gemar bercampur dengan mereka daripada rakan-rakan biasa yang lain.

“Nak katakan Zaim ni lelaki lembut, ya jugak, tapi bukan macam nyah. Hmm... memang jauh sekali! Gay kot? Hmm... mungkin. Possibility gay, ada! Tak pun, biseksual? Huh, berat! Transgender outlah, kan? Bila masa pulak dia pergi overseas, tukar jantina!” Akmal berbicara sendirian.

Namun, Akmal akui, Zaim lebih ke arah lelaki jambu atau panggilan orang kota, pretty boy. Setiap masa sentiasa berpenampilan menarik, kemas dan bergaya. Bukan Akmal tidak tahu, setiap minggu, jika tidak ke luar daerah, Zaim pasti akan mengunjungi salon kecantikan unisex untuk memanjakan dirinya dengan rawatan spa. Walaupun kedengaran pelik, namun itu sudah menjadi trend lelaki metropolitan zaman sekarang.

Memang Akmal tidak akan faham dengan cara hidup lelaki metropolitan zaman sekarang. Mereka sanggup berhabis duit semata-mata ingin berpenampilan menarik dan bergaya. Kebanyakan mereka semuanya mempunyai cita rasa yang tinggi. Tengok daripada jenama pakaian dan segala perbelanjaan untuk kecantikan mereka pun sudah faham, segalanya perlu ada kelas dan keunggulan tersendiri.

Semuanya ini memang merisaukan Akmal. Sebagai sahabat, Akmal memang sepatutnya risau dengan perilaku Zaim. Zaim pada kaca mata Akmal seorang yang misteri. Kadangkala, Zaim boleh dengan mudah menerima nasihatnya. Kadangkala pula, Zaim akan terang-terang menentang nasihatnya.

Akmal amat bimbang kalau-kalau Zaim sudah terpesong jauh. Apatah lagi, melihat gaya hidup mewah Zaim dan segala apa yang dimiliki Zaim kini.

Jika dibuat perbandingan antara Akmal dan Zaim, status kehidupan mereka berdua sepatutnya lebih kurang sama sahaja kerana kedua-dua mereka adalah pengurus. Namun, yang berbeza pada Zaim adalah, gaya hidupnya yang lebih mewah jika dibandingkan dengan Akmal.

Hisy, tak baik aku buruk sangka kat saudara seislamku. Memanglah kehidupan Zaim lebih mewah daripada aku, dia single dan tak ada apa-apa komitmen pun. Sedangkan aku, ada tanggungjawab menyara seorang ibu, seorang isteri dan empat orang anak. Nauzubillah… Ya ALLAH, KAU lindungilah sahabatku Zaim. Moga KAU berikannya hidayah suatu hari nanti! doa Akmal dalam hati.

Walau bagaimanapun, satu perkara yang harus Akmal puji tentang Zaim, walaupun Zaim bercampur dengan kelompok-kelompok yang berbeza latar belakangnya, Zaim tetap begitu dan tidak terikut-ikut dengan cara mereka. Zaim adalah Zaim. Dia tetap dengan dirinya sendiri!

Cuma Akmal risau, jika selalu sangat bergaul dengan golongan seperti itu, lambat-laun Zaim akan terpengaruh juga. Dia masih ingat lagi perbualannya bersama Zaim satu ketika.

“Kenapa masih tak mempunyai teman wanita?”

“Tak minat!”

“Takkan kau minat kat lelaki pulak?” tanya Akmal suatu hari.

“Hisy, kau ni! Muka aku ada ke muka macam gay? Tolong sikit ya. Aku ni lelaki metroseksual, bukannya homoseksual. Faham?” balas Zaim dalam nada seperti bengang.

Sejak hari itu, langsung Akmal tidak membangkitkan isu itu lagi.

“Moga kau dilindungi dan diberi rahmat ALLAH selalu, sahabatku,” doa Akmal tulus ikhlas.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.