Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 8

Wajahnya ditatap di hadapan cermin bilik air itu. Bibir yang sedikit pucat dioles dengan lip gloss berwarna merah muda. Rambutnya agak keperang-perangan, versi dicelup-celup seperti rata-rata gadis kota yang lain. Tapi rambutnya bukanlah perang melampau seperti artis-artis barat. Sikit je, itulah ayat yang sama yang dicanang pada si ibu.

“Cika, lain kali kalau umi nampak rambut awak begini lagi, lebih baik umi cukur sahaja sampai botak.” Leter ibunya.

Dia hanya memekakkan telinga apabila dileter oleh ibunya yang tidak suka dia mencelup rambut. Berdosa kata si ibu jika kita mengubah-ubah kejadian ALLAH. Tapi kerana dasar dia anak keras kepala, tak makan diajar, maka suruhan wanita itu hanya dibuat endah tak endah sahaja. Paling-paling dia akan kata dia adalah gadis kota moden. Gadis extravaganza di era baru.

Setelah berpuas hati dengan penampilan diri sendiri, Cika keluar dengan hati lapang. Almaklum misi ibunya hendak menjodohkan dia dengan hamba Allah bernama Zain itu berjaya lagi digagalkan. Bila sebut ‘lagi’ ini bermakna bukan sekali ini sahaja dia akan hadir ke perjumpaan jodoh. Sudah acapkali dia cuba dicarikan jodoh oleh ibunya. Kalau elok di matanya okeylah jugak, ini semuanya markah kosong. Kalau ada yang handsome pun, mesti jenis buaya tembaga semuanya.

“Adik tu memilih sangat. Asyik nak yang macam muka Josh Duhamel, mana nak cari? Cuba-cubalah rendahkan sikit kriteria tu, ambik ajelah muka-muka Bangla dan Lombok yang bersepah kat Kuala Lumpur ni.” Ejek Ubek tempohari.

“Eh mana boleh? Abang nak Cika pilih aje yang bersepah-sepah tu? No way! Kalau setakat nak cari muka macam tu, kat pejabat Cika pun banyak. Abang, salah ke kalau Cika ni memilih sikit? Takkan sebab Cika ni perempuan, maka Cika tak ada hak nak memilih. Lagipun Cika yang nak kahwin bukan orang lain. Suka hati Cikalah nak pilih siapa pun.” Dia menyatakan rasional sikap cerewetnya.

“Tak salah nak memilih, tapi jangan sampai lalai masa. Awak tu bukan muda lagi. Abang tak apa, tak ada expired date. Bila-bila masa abang boleh kahwin. Tapi adik tu perempuan.” Ubek ketawa kecil.

Dia mengetap bibir. Bengang dengan bunyi ketawa Ubek yang bukan ikhlas menasihatinya, tapi sekadar mengulang kembali kata-kata ibunya.

“Cika nak tunggu bila lagi? Kita orang perempuan ni bukan sentiasa muda. Umur kita makin lanjut. Takkan awak tak nak bersuami, tak nak kasi umi dengan babah menantu? Jangan memilih sangat, ambil aje pilihan yang umi dah kasi green light tu.” Suara ibunya Puan Bahyah muncul tergiang-giang di kepala menggantikan suara Ubek.

Dia hanya menarik nafas panjang. Umur dia baru 28 tahun. Muda lagi la! Yang orang lain sibuk-sibuk ni apasal? Aku tak kisah pun! Hati kecilnya menggerutu. Dia mendengus keras. Geram kerana sering dipaksa-paksa menerima calon pilihan ibunya yang entah apa-apa.

Usai berpuas hati dengan penampilan dirinya, Cika segera mengemaskan beg tangannya ke bahu. Ketika dia mahu melangkah keluar, tak diduga muncul suatu kelibat tubuh memasuki pintu tandas. Dia yang melihat kelibat itu terkejut besar. Lelaki! Apa seorang lelaki buat di bilik air wanita?

Lelaki itu tidak mempedulikannya sebaliknya sibuk mencari-cari sesuatu. Di hadapan tandas terakhir, langkah lelaki itu berhenti. Matanya merenung lama ke arah pintu bilik air yang tertutup rapat di hadapannya.

Cika ingin bersuara memarahi lelaki itu. Tapi belum sempat dia mahu membuka mulutnya, lelaki itu terlebih dahulu berteriak sambil memanggil-manggil nama seseorang. Hajat Cika terbantut, tapi dia masih belum beredar dari situ. Entah kenapa gelagat lelaki itu menarik perhatian. Dari nama yang disebut lelaki itu, dia tahu nama itu pastinya pemilik seorang gadis yang sedang bersembunyi di dalam tandas itu.

Lelaki itu terus-terusan berteriak. Cika tersengih sinis. Bergaduh dengan teman wanita la tu. Orang macam ni yang tak pandai menjaga hati teman wanita, patut kena tampar sahaja! Gerutu Cika sambil mencebikkan bibirnya.

Pang! Bunyi itu cukup mengejutkan Cika. Dia tergaman sebaik melihat seorang gadis cantik manis, keluar dari pintu bilik air terakhir dan menampar wajah lelaki itu.

I hate you.” Bentak si gadis yang cantik manis itu. Di kelopak matanya tersisip jelas butir-butir jernih yang hampir mahu luruh. Si lelaki hanya berdiam diri apabila diherdik begitu.

Cika cuba memerhatikan wajah lelaki itu, tapi dia gagal melihat wajah itu lebih jelas. Kenapa dengan mereka ni? Buat drama biarlah di tempat yang senonoh sikit. Ini di tandas wanita pulak!

“I dah beritahu you awal-awal bukan? I don’t love you.” Ujar lelaki itu.

Mata Cika terbeliak. Buntang mendengar pengakuan berterus-terang itu. Mak oi ayat. Sadis gila punya ayat!

But you won’t listen anything from me.” Sambung lelaki itu tenang.

Family you nak kita kahwin. Before we go to New York..”

I don’t want to go to New York. And I don’t want to marry you.” Ungkap lelaki itu.

“I tak peduli. You cakaplah apa sahaja tapi I dah decide nak ikut cakap family kita.” Tegas si gadis.

“Kahwin tanpa cinta..itu yang you nak?”

“I dah kata yang I tak peduli. Kalau you masih kenangkan Naomi di hati you, dia hanya sejarah lalu you.”

Gosh you are too much Emy.” Keluh lelaki itu.

Cika ketawa kecil. Adegan yang tak masuk akal. Sampai bila diaorang ni nak buat adegan kuch-kuch hota hai dalam tandas ni? Ah! Blah lagi baik. Buang masa sahaja mengendap perbualan yang merepek ni. Dengus Cika lalu beredar ke arah pintu.

Namun ada sesuatu yang tak diduga berlaku. Entah sejak bila, lantai di bilik air itu licin dan terkumpul air yang belum kering. Cika pula secara kebetulan memijak permukaan yang masih basah dan licin, Hasilnya..dia gagal mengimbangi tubuh lalu tersembam ke arah lantai yang licin. Bedebuk!

“Aduh!” Cika terjerit sambil jatuh terduduk.

Bunyi suara Cika membuatkan kedua-duanya berpaling. Gadis itu mendengus kasar lalu keluar dari situ. Si lelaki itu pula mahu menurut jejak langkah temannya, namun tidak sampai hati melihat Cika yang masih terduduk di situ.

“Nak kena tolong ke?” Soal lelaki itu selamba. Tangannya sudah dihulurkan ke arah Cika yang terpisat-pisat.

Cika mengetap bibir. geram pula mendengar pertanyaan yang tak masuk akal itu. Dah kau nampak orang jatuh dengan gaya kuak lentang macam ni, takkan tak nak tolong? Bahlul sungguh lelaki ni.

“Tak payahlah. Saya boleh bangun sendiri.” Jawab Cika dengan suara meninggi. Dia mendongak wajah lalu memandang lelaki itu. Namun wajah yang terpapar cukup jelas itu membuatkan dia terpegun seperti patung. Alamak! Dia!

Dia masih ingat lelaki itu. Itulah lelaki yang ditemuinya di Ulu Yam ketika mengikut Ubek memancing tempohari. Kes silap khemah! Cepat-cepat dia memalingkan wajah, bimbang lelaki itu mengecamnya. Malu beb! Dahlah hari tu silap khemah sehingga termasuk ke khemah lelaki itu, hari ini pula dia boleh pulak terserempak dengan hamba Allah ini. Mana gua nak sorok muka ni?

“Hai kata nak bangun sendiri? Tak bergerak-gerak pun. Ke nak minta saya tolong dukung?”

Alamak? Nak dukung? Nak mampus ke?

Belum sempat Cika berfikir panjang, tiba-tiba muncul suatu jeritan nyaring. Kedua-dua mereka serentak menoleh ke arah muka pintu. Seorang makcik berusia dalam lingkungan 50an sedang menjerit ala-ala soprano ke arah mereka.

Cika tercengang. Apahal pulak makcik ni buat konsert kat sini? Dia berpaling ke arah lelaki itu. Tapi alangkah terkejutnya dia melihat lelaki itu sedang merenung wajahnya dari atas ke bawah. Alamak! Cika sudah menyedari sesuatu, bahawa lelaki Ulu Yam itu sudah kenal dan sudah mengecam dirinya. Aduh!

* * * *

Sarjan Sudin asyik berjalan terhuyung-hayang. Menghadap kedua-dua pesalah di hadapannya yang sedang duduk di meja di pejabat Jak, tuan punya Jumbo Jeep. Yang lelaki selamba sahaja duduk diam di situ dalam keadaan tenang, walhal yang si perempuan asyik-asyik menekan kekunci telefon bimbitnya.

Dia mengerling ke arah Jak yang sedang memicit dahinya, barangkali pusing dengan kekecohan yang tiba-tiba melanda Jumbo Jeep dua jam tadi.

“Tuan, apa lagi tuan fikir tu? Kan mereka dah jelaskan apa yang dah berlaku tadi tu hanya salah faham.” Ujar Jak bersuara, dan memecahkan kesunyian yang agak lama. Ini gara-gara Sarjan Sudin yang bermisai lebat itu sedang cuba mengkaji kes yang berlaku.

Sarjan Sudin tidak menjawab. Dia duduk di hadapan kedua-dua lelaki dan perempuan di hadapannya. Mata kedua-duanya sudah menuju ke arahnya.

“Betul ni? Nothing happen?” Sarjan Sudin bertanya lagi. Kali ini menggunakan bahasa Inggeris untuk menunjukkan betapa dia amat mengambil berat soal ini.

Cika mengerling ke arah lelaki di sampingnya. Lelaki itu turut memandang wajahnya. Masing-masing bukan berfikir apa yang patut dicakapkan, tapi masing-masing hanya mahu lepas tangan. Mengharapkan pihak yang satu lagi boleh menjawabnya.

Cika mengetap bibir. Huh nak suruh aku la tu!

“Betul tuan. Sebenarnya makcik tu yang salah faham. Tak ada apa-apa pun yang berlaku. Saya memang terjatuh tadi, dan mamat ni offer nak tolong, itu sahaja.” Jelas Cika. Geram juga dia dengan makcik pengunjung Jumbo Jeep itu yang boleh beranggapan dia hampir-hampir menjadi mangsa rogol. Yalah, jika difikirkan kembali, memang bukan salah makcik itu pun. Sesiapa sahaja yang melihat situasinya sebentar tadi pasti akan beranggapan dia mangsa dan lelaki itu pula perogol bersiri. Tapi kalau nak rogol pun takkan kat tandas pulak! Apalah makcik tu, siap buat report polis pulak! Rungut Cika bengang.

“Yang awak pulak? Apa yang awak buat kat dalam tandas wanita?” Soal Sarjan Sudin sambil menoleh ke arah Nadim.

Nadim tidak terus menjawab. Dia sebenarnya tidak tahu bagaimana harus menjelaskannya. Kedatangan Emilia ke Jumbo Jeep menghuru-harakan keadaan.

“Err sebenarnya tuan. Tandas lelaki rosak, kebetulan anak saudara saya ni nak gunakan tandas. Saya yang suruh dia ke tandas wanita. Tak sangka pulak cik ni ada.” Sampuk Jak tiba-tiba, cuba menyelamatkan keadaan sebelum lebih banyak soalan muncul dari mulut sarjan bermisai lebat itu.

Sarjan Sudin mengeluh panjang. Hai macam-macam hal!

“Dah kalau itu sebenarnya yang berlaku, saya akan lupakan perkara ini dan maklumkan kembali pada Puan Senah apa yang sebenarnya berlaku. Kasihan Puan Senah, tak fasal-fasal masuk hospital kerana asma. Terkejut punya fasal!” Keluh Sarjan Sudin.

“Tolong sampaikan maaf kami pada Puan Senah ya tuan.” Balas Jak seraya menghantar Sarjan Sudin ke luar. Sepeninggalan Jak dan Sarjan Sudin, Cika tiba-tiba bingkas bangun lalu menoleh ke arah Nadim yang selamba sahaja tidak berganjak-ganjak dari situ.

“Ini semua awak punya fasal. Kalau awak tak masuk bilik air perempuan, takkan jadi macam ni. Makcik tu pun takkan masuk hospital!” Herdik Cika geram.

Look who’s talking right now. Macamlah awak tak pernah tersalah masuk.”

Sindiran lelaki itu membuatkan wajah Cika merona merah. Dia tahu lelaki bernama Nadim Ammar itu memang mengenalinya. Mengecam wajahnya!

“Saya dah suruh awak bangun cepat, tapi awak macam orang tua yang sakit lutut. Kalau bangun cepat, makcik tu takkan salah faham tengok keadaan awak macam tu.” Sambung Nadim menyatakan rasionalnya.

And one more thing.” Lelaki itu merapatinya sedikit demi sedikit. Tanpa disedari, dia terpaksa berundur beberapa kali ke belakang. Alamak! Apa lelaki ini nak darinya?  Namun pergerakannya terhenti tatkala di belakangnya hanya ada dinding yang menjadi penghalang. Lelaki itu merenung tepat ke wajahnya membuatkan wajah Cika mulai merah padam. Berdebar dan saling tidak keruan. Tiba-tiba sahaja wajah Josh Duhamel aktor Transformer yang digilainya itu terbayang di ruang mata. Alamak! Ada iras la pulak!

“La kali Cik Syafika, jangan cuba curi dengar perbualan orang lain. Tak elok.” Ujar lelaki itu seraya tersenyum sinis. Nada suaranya jelas menyindir.

Wajah Cika berubah. Merah padam seperti udang dibakar. Amboi, lancangnya kata-kata. Dia ingat dia siapa?

“Tak ingin saya nak dengar perbualan awak. Awak tu yang tak pandai pilih tempat dan masa. Kat bilik air perempuan pun nak bermadah-madah pujangga segala. Jenis lelaki macam awak ni saya faham sangat. Jenis yang patut semua perempuan kat dunia ni elak. The worst disaster ever.” Ujar Cika sesedap rasa.

Si lelaki ketawa kecil mendengar jawapan Cika. Wajah manis itu dipandang berkali-kali. “Apa awak tahu fasal perempuan? Tengok awak ni pun dah tahu awak jenis perempuan yang tak ada teman lelaki.”

Mata Cika terbeliak. What the hell? Cis ini dah melampau. Dia memandang lelaki itu dengan wajah menyinga. Manakala si lelaki turut merenung tajam ke arahnya seperti perang besar mahu berlaku.

Jak yang baharu sahaja kembali menghantar Sarjan Sudin, tergaman melihat gerak gaya kedua-dua anak muda di hadapannya yang seperti sedang bersiap sedia mahu bergusti. Aduh! Apa lagi ni?

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh