Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tunggu Dulu, Cinta!
Tunggu Dulu, Cinta!
Ayu Emelda
15/11/2014 11:22:33
35,640
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3

SELEPAS semua orang selesai makan malam, Aivy turun ke dapur. Tekak berasa haus. Air dijerang. Dia mahu membancuh air Milo.

“Jadi ke tak?”

Aivy tersentak. Jantungnya berdegup laju sebab terkejut. Entah bila ibu menyelinap masuk ke dapur. Nampak tenang duduk di meja makan, sambil merenung ke arahnya. Pandangan ibu ada makna.

“Mahu ke tak?” soal Puan Aini sekali lagi.

“Tak.” Sepatah sahaja jawapannya. Sudah boleh agak apa tajuk yang ibu akan bincangkan. Tak lain tak bukan, cerita jodoh kahwin. Ibu pernah bertanya sama ada dia sudah bertemu calon suami atau belum, tetapi dia sering mengelak. Tidak suka membincangkan topik itu.

“Kenapa?” tanya Puan Aini dengan mata bulat. Kotak cincin di tangannya dibelek lagi. Sebagai ibu, sudah lama dia nantikan saat ini. Mahu anaknya disunting orang. Dengan lelaki yang baik-baik. Dengan keturunan yang baik-baik. Dengan jodoh yang sepadan dengan Aivy.

“Tak naklah,ibu. Aivy tak rasa nak kahwin lagi.” Dia bersandar di kabinet dapur sambil bersilang tangan.

“Nak kahwin pun boleh pakai rasa-rasa ke? Sekarang rasa apa? Kalau nak kahwin rasa apa?” sindir Puan Aini.

“Rasa tu sama la dengan seruan. Belum sampai seru Aivy nak kahwin lagi. Lagipun anak ibu ni muda lagi. Bila belum jumpa calon suami yang sesuai, macam mana nak kahwin? Bukannya boleh aci sambar mana yang datang pinang dulu.”

“Bukan dengan Pak Berahim. Dengan anak dia la...” Puan Aini cuba meyakinkan. Dia sendiri sudah salah sangka.

Sejak Aivy mula rapat dengan Ibrahim, hatinya mula bimbang. Walaupun lelaki itu sudah berumur, tetapi tetap bergaya. Bimbang juga kalau Aivy mula jatuh hati. Tapi, nasib baik sangkaannya meleset.

“Tahuuu...” Meleret jawapan Aivy. Jawapan paling malas. Dengan desah nafas panjang. Penat rasanya bila cakap soal kahwin.

“Mati-mati ibu ingat Aivy ada skandal dengan duda tu. Apa orang panggil? Sugar baby? Sugar daddy? Nasib baik cuma salah faham. Kalau tak... tentu anak ibu merana bermandikan air mata.”

Aivy tersengih sambil mula membancuh Milo bila air sudah masak. Bukan setakat ibu, dia pun salah buat perkiraan. Buat dosa kering.

“Ibu rasa nak terima aje sebab...”

“Eh, jangan!” Belum apa-apa Aivy dah pangkah. Dia tidak mahu terburu-buru. Yang nak kahwin dia. Yang nak menaggung pun dia. Memang dah lama dia kenal Uncle Ibrahim, tetapi bukan dengan anaknya.

Perangai manusia tak sama. Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Eh, cup! Rambut pun tak sama sebenarnya. Sebab Uncle Ibrahim lebih banyak rambut warna kelabu dan putih.

Dia cuma tahu nama. Mereka belum pernah berkenalan. Belum pernah jumpa dan belum sempat selami hati budi masing-masing.

“Bukan ke sebelum ni Aivy nak kahwin sangat?”

“Ya ke?” Muka Aivy terkulat-kulat. Bila masa dia mengaku nak kahwin? Dia sendiri tak ingat. Dia menarik kerusi lalu duduk bertentangan dengan ibunya. Sebiji mug disorong depan Puan Aini.

“Kalau ada yang datang meminang, ibu terima ajelah.” Puan Aini ulang balik ayat yang pernah keluar daripada mulut anaknya. “Bukan ke Aivy pernah cakap begitu dengan ibu?”

“Errr...” Aivy tersengih. “Acah aje tu...” Padan muka aku. Main sedap mulut bercakap. Kan dah makan tuan!

“Ibu rasa baik budak tu.”

“Baik ke? Macamlah ibu kenal dengan dia...” Aivy jawab nak tak nak. Pura-pura sibuk mengacau air yang dah lama siap.

“Hensemmm...” Puan Aini angkat ibu jari.

“Ya ke?” Aivy tergelak dengan suara sarkastik. Di mata ibu semua orang nampak hensem. Zizan Razak tu pun ibu kata hensem. Ada ke? Betul la mata ibu dah rabun jauh.

“Betulll...”

“Aivy tak percayalah, ibu.”

“Kerja pun elok.”

“Penting ke kerja apa kalau nak pinang anak orang?” Keluar nada lain macam.

“Ibu tak kisah dia kerja apa. Yang penting, dia boleh jaga Aivy. Cukuplah sediakan makan pakai dan tempat berlindung.”

Dia mencebik. Ayat klise seorang ibu. Hakikatnya, ibu mana yang tak nak tengok anaknya kahwin dengan lelaki berkedudukan atau berharta. Zaman dah berubah tetapi pandangan ibu bapa tetap sama.

Bezanya, anak-anak zaman sekarang sudah pandai cari pasangan sendiri. Tak ramai yang kahwin dengan jodoh pilihan keluarga atau pilihan emak bapak.

“Ibu memang berkenan dengan budaknya.” Puan Aini semakin giat mengayat. “Ibu terima ajelah. Senang. Habis cerita. Esok lusa terus arak bunga pahar... boleh terus pukul kompang.” Membayangkannya sahaja, sudah membuatkan Puan Aini tak boleh berhenti tersenyum.

Aivy membesarkan mata. Dia memandang ibu yang tersenyum dengan muka bercahaya bak bulan penuh. Kemudian dia menggeleng laju.

“Tak elok jual mahal sangat.” Puan Aini mula propa. “Takut nanti orang lain pun takut nak masuk meminang anak ibu.”

Aivy menjuih. Memuncungkan mulut. Kemudian pipinya dikembungkan. Digerakkan ke kiri dan kanan. Memang begitulah tabiatnya setiap kali memikirkan sesuatu.

Puan Aini menjungkitkan keningnya.

“Bila pulak ibu jumpa dia? Sejak bila ibu kenal dengan anak Uncle Ibrahim tu?” soal Aivy bertubi-tubi. Keningnya terangkat tinggi. Musykil.

“Dia datang masa merisik tadi. Sempatlah ibu berbual sekejap dengan dia. Sekali scan pun ibu dah tahu. Tengok rupa, tak payah komen panjang-panjang. Superb!Memang boleh diharap untuk jaga anak ibu seorang ni.” Puan Aini tersenyum meleret sambil mengangkat ibu jari sekali lagi.

“Ayah Din cakap apa?” Akhirnya soalan itu yang keluar.

Puan Aini gigit bibir. Mendesah seketika.

“Mesti Ayah Din dah tolak.” Aivy dah boleh agak bila pandang muka kelam ibu. Wajahnya yang ceria beria-ia tadi boleh bertukar mendung tiba-tiba. Sebaliknya Aivy pula tersenyum suka.

“Sabarlah... ibu. Calon menantu boleh datang dan pergi bila-bila masa. Tapi anak ibu ni cuma sorang.” Dia tersenyum senang. Lega! Hakikatnya, dia tidak sanggup meninggalkan ibu seorang diri di rumah ini.

Ibu memang seorang yang ceria dan selalu tersenyum. Wajahnya sering nampak bahagia. Tetapi entah kenapa raut wajah itu kadang-kala bagai mengungkap sesuatu. Bagai menyembunyikan rasa hati.

“Dah tolak kan!”

Puan Aini mengangguk.

Spontan Aivy tersenyum dengan lebih ceria. Walaupun dia dan Ayah Din tak pernah sehaluan, tapi mereka berdua memang sependapat dalam hal itu.

“Tapi, ibu masih boleh cuba pujuk Ayah Din.” Puan Aini memberi cadangan. Sayang pula mahu menolak jodoh Aivy kali ini.

“Tak apalah...”

“Tak menyesal?”

Aivy menggeleng laju.

“Elok juga tu. Bila ibu fikir balik, Aivy dengan dia pun memang nampak tak berapa sepadan sangat. Kurang sesuai.”

“Hmm...?” Aivy merenung wajah ibunya mengharapkan pengertian. Keliru! Tadi bukan main lagi propa... apa maksud ibu tak sepadan? Tak sesuai?

“Kamal tu hensem benar orangnya. Tinggi lampai, ada rupa... ada gaya... lagak seorang model. Tapi, kalau tengok anak ibu ni...” Kata-kata Puan Aini terhenti. Menilik lama muka anaknya. “Cuba bangun...”

Aivy menurut. Walaupun tidak tahu hujung pangkal permintaan ibunya, Aivy tidak membantah.

Dari atas sampai bawah Puan Aini meneliti susuk tubuh Aivy. “Tinggi setakat cukup syarat. Kalau bergandingan dengan Kamal, paras bahu pun tak lepas. Rupa tak secantik mana. Kira so-so...”

Mata Aivy sudah terbeliak mendengar komen ibu tentang dirinya. “Ibuuu...” Meleret suaranya. Makan hati.

“Kamal berduit orangnya. Ada bisnes sendiri. Tapi, anak ibu apa yang ada? Setakat tukang masak.” Semakin seronok Puan Aivy menabur benih. Dia juga pandai gunakan taktik reverse psychology.

Aivy mencebik. Semangatnya sudah lebur. “Sampai hati ibu perlekehkan anak sendiri. Koman sangat ke Aivy? Bagus sangat ke dia sampai ibu puji melambung tinggi begitu sekali.” Suaranya dalam. Sedang makan hati cicah ulang jantung.

“Apa kata orang muda sekarang? Bagai pinang digelek steamroll?” Puan Aini gelak beria-ia.

Aivy mencebik. Hatinya bagai kena tembak. Sakit wooo!

“Eloklah anak ibu sedar diri. Bila berdiri tak sama tinggi, duduk tak sama rendah sebaiknya kita mengalah. Biarlah Kamal cari gadis lain yang lebih secocok dan sepadan dengan dia.”

Muka Aivy keruh mengalahkan muara baru lepas hujan. “Bagus sangat ke dia? Tak setanding anak ibu?” soalnya lemah.

“Hisy... jauh sekali. Kalau tak percaya cakap ibu, Aivy sendiri pergi berjumpa dengan Kamal. Tengok dengan mata kepala sendiri. Ibu yakin Aivy akan setuju dengan apa yang cakap ibu tadi.”

Dalam diam, hatinya rasa tidak sabar mahu berjumpa Kamal. Biar matanya sendiri jadi saksi. Betul ke apa ibu cakap. Atau ibu sengaja mahu permainkan perasaannya? Nafas lelah meniti di bibir.

“Agaknya Aivy memang tak ada jodoh dengan dia. Ayah Din pun dah tolak, kan. Lagipun apalah sangat anak ibu ni... semuanya serba kekurangan...” Aivy buat ayat tangkap leleh. Ayat tangkap jiwang.

Puan Ainy menjeling sekilas. Aishhh! Lawan taukeh pulak dia. Kita guna cara harus dia pun pandai mengikut sama.

“Eloklah Ayah Din dah tolak...” Ayat itu hanya di mulut, sedangkan dalam hati ada sedikit rasa terkilan. Sedikit sebanyak kata-kata ibu tadi bercambah juga dalam dadanya.

“Mulanya memang la... tapi...”

Aivy mula telan air liur apabila mendengar ayat yang baru singgah di telinganya. Saspens!

“Tapi... keluarga Uncle Ibrahim nampak begitu bersungguh. Ayah Din minta tempoh. Beri kita masa untuk berbincang anak-beranak. Jadi belum ada keputusan muktamat lagi.”

“Arrr?” Aivy rasa susah nak percaya. Matanya sudah terbeliak sebesar bola golf.

“Mungkin sebab nak jaga hati pihak lelaki.”

“Jaga hati?!” Biar betul! Sejak bila Ayah Din pandai jaga hati orang lain. Bukan ke dia cuma pandai menyakitkan hati?

“Kalau ditolak terus nampak sangat kita tak suka. Orang yang datang membawa hajat pun bukan calang-calang orang. Kalau tak mahu kenalah guna cara berlapik untuk menolak.”

“Betul ke Ayah Din yang cakap begitu. I.M.P.O.S.S.I.B.L.E!” Atau sebenarnya ada udang balik batu? Dia mengeja sebijik-sebijik setiap huruf perkataan itu. Sejak bila perangai Ayah Din berubah? Hatinya bersoal jawab sendiri. Fikir empat, lima kali pun dia masih tak percaya.

“Hmm... tapi... tapi memang tak jadi, kan?” Suara cuak keluar spontan. Dia jadi kalut tiba-tiba.

Puan Aini mengangguk. “Walaupun belum beri kata putus... tapi begitulah nampaknya. Kalau Aivy tak nak, nantilah ibu fikirkan macam mana nak tolak secara elok. Sebab, Ibrahim tu nampak berhajat sangat nak jodohkan Aivy dengan anaknya.”

‘Kusss semangat...’ Nafas tujuh harkat dihela perlahan-lahan. Manalah tahu kalau Ayah Din buat keputusan luar cakrawala. Alamatnya tahun ni juga dia boleh tukar status jadi bini orang.

“Ayah Din kata, belum masanya kahwinkan kamu. Bukan Aivy tak tahu, Ayah Din kan suka kamu kerja dengan dia. Bukan senang nak cari tukang masak sehandal anak ibu ni.”

“Yalah...” Ayat mendatar keluar sambil kepala terangguk-angguk.

Pujian ibu langsung tak pernah membuatkan hatinya berbunga. Hakikatnya dia hanya kuli di restoran Ayah Din. Dikerah dengan kerja-kerja berat dengan gaji ciput yang sekadar cukup-cukup buat belanja.

Siang malam kerja tanpa bayaran overtime. Kalau orang lain dapat gaji, dia pula dibayar lambat seminggu.

Kalau dicampur-tolak-bahagi, tarafnya lebih kurang sama saja dengan buruh asing yang mencari rezeki di negara ini. Walaupun hakikatnya sah-sah dia memang warganegara Malaysia.

Kalau tak kerana ibu ada beri ‘nasi tambah’ tak mungkin dia mampu menyimpan walau sesen dua! Tapi apa nak buat, dah nasib badan.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ayu Emelda