Home Novel Keluarga I LOVE YOU CIKGU
Bab 12

PAGI itu setelah menghantar kedua-dua ibu bapanya ke stesen bas ekspres, Sara Raihana terus memandu kereta Kancilnya menghala ke sekolah. Cuti sekolah telah berakhir dan dia perlu bertugas kembali. Jalan menuju ke sekolah agak lengang pada awal pagi tetapi akan sibuk bila Zoo Taiping dibuka.

“Assalamualaikum, cikgu.” Terdengar suara menyapa dari belakang sebaik sahaja dia turun dari kereta. Dia menjawab salam itu tetapi apabila dia menoleh ke arah orang itu, dia terkejut.

“Chan? Eh, awak...” Teragak-agak Sara Raihana kerana menyangkakan Chan Chee Hong bukan beragama Islam tetapi memberi salam.

“Saya dah memeluk Islamlah, cikgu. Tapi cikgu jangan beritahu hal ni kepada orang lain. Hanya orang yang dekat dengan saya aje yang tahu perkara ni,” ujar Chan Chee Hong.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH. Insya-ALLAH cikgu akan simpan rahsia ni,” jawab Sara Raihana sambil tersenyum walaupun senyumannya hambar dan tawar.

“Cikgu, saya nak ucap takziah sebab hari tu saya tak sempat nak ucap.”

“Terima kasih, Chan. Awak sungguh baik hati,” jawab Sara Raihana.

Wajahnya kembali muram kerana fikirannya kembali mengingati Izzat Hafis. Chan Chee Hong yang berasa bersalah menyebabkan Sara Raihana muram terus menawarkan bantuan untuk mengangkat buku dan barang Sara Raihana. Sara Raihana meminta Chan Chee Hong mengangkat buku kerja dan menyuruhnya meletakkan di mejanya di bilik guru. Dengan senang hati Chan Chee Hong melakukannya.

Rakan-rakan yang berjumpa dengan Sara Raihana mengucapkan takziah dan ada yang hanya mengusap-usap bahunya sebagai tanda simpati. Sepanjang pagi itu Sara Raihana lebih banyak menumpukan perhatian kepada kerjakerjanya dan kurang berbual. Rakan-rakan yang memahami situasinya tidak mengambil hati. Seboleh-bolehnya mereka cuba membantu Sara Raihana dengan memberi sokongan moral.

Ketika dia sedang asyik memeriksa buku pelajar, telefonnya berbunyi. Mak Zainab mengingatkan Sara Raihana untuk makan tengah hari di rumah dan menjemput Norita bersama. Sara Raihana yang tiada pilihan hanya mengiyakan walhal bekal makanan yang diberi Mak Zainab pagi tadi masih belum terusik.

Sara Raihana menghela nafas berat setelah selesai bercakap dengan Mak Zainab. Emak mentuanya itu terlalu mengambil berat soal makan minumnya dan sedikit sebanyak perasaan tidak selesa bertandang di hati. Dia tidak mahu membebankan Mak Zainab.

“Sara, kenapa?” tanya Cikgu Maimunah yang perasan perubahan di wajah Sara Raihana.

“Tak ada apa-apa, Kak Mai,” jawab Sara Raihana, perlahan.

“Kalau ada masalah beritahu Kak Mai. Kalau boleh tolong, Kak Mai akan tolong.”

“Mak mentua Sara terlampau baik, Kak Mai. Sara tak nak dia bersusah payah kerana Sara.”

“Maksud Sara?”

“Pagi tadi, awal-awal lagi dia dah siapkan sarapan sebelum Sara bangun. Terasa segan pulak. Bila Sara kata tak makan awal pagi, dia bekalkan Sara makanan tu. Tengah hari ni pulak dia suruh makan kat rumahnya.”

“Mungkin dia sediakan awal sarapan tu sebab ada ibu dan bapa Sara tak?”

“Mungkin jugak.”

“Sara dah makan? Kak Mai tak nampak Sara makan pun. Turun kantin pun tak. Bekal tu pun nampak tak terusik lagi,” soal Cikgu Maimunah prihatin.

Sara Raihana hanya menggeleng-geleng tanda belum makan dan tidak terasa hendak makan.

“Patutlah mak mentua Sara bagi bekal, rupa-rupanya dia tahu menantu dia susah nak makan. Kenapa tak makan lagi? Nanti masuk angin perut tu, mak mentua Sara yang susah pulak,” sambung Cikgu Maimunah.

“Kenapa pulak dia yang susah? Bukan perut dia,” jawab Sara Raihana acuh tak acuh.

“Memanglah bukan perut dia tapi kalau Sara sakit, tentu dia susah hati.”

Sara Raihana hanya mendiamkan diri.

“Makanlah. Kalau tak nak makan sendiri, Kak Mai suapkan.”

Cikgu Maimunah mengambil bekas makanan itu lalu membukanya. Dia mengambil sudu dan mencedok sedikit nasi lemak lalu disuakan ke mulut Sara Raihana.

“Hisy Kak Mai ni, Sara boleh suap sendirilah.”

Pantas tangan Sara Raihana mengambil sudu di tangan Cikgu Maimunah. Cikgu Maimunah hanya melihat Sara Raihana menyudu sedikit nasi lemak ke mulut.

“Kak Mai nak?” pelawa Sara Raihana.

“Kak Mai dah makan tadi.”

“Kak Mai ni suruh Sara makan, tapi tak ada air. Tak boleh nak makan dah ni.”

Sara Raihana mencari dalih untuk tidak meneruskan makannya. Sebelum sempat dia menutup bekas makanan itu, Cikgu Maimunah telah memberinya sebotol air mineral.

“Dah ada air, Kak Mai nak tengok Sara makan sampai habis.”

Cikgu Maimunah tahu, kalau tidak dipaksa tentu Sara Raihana tidak akan makan. Dia sedia maklum akan hal itu melalui Mak Cik Rohaya yang telah menghubunginya agar memerhatikan keadaan Sara Raihana sewaktu di sekolah. Mak Cik Rohaya risau keadaan Sara Raihana yang masih bersusah hati sehingga mengabaikan soal makan dan minum.

“Kak Mai pun sama macam ibu, suka paksa Sara makan.”

Cikgu Maimunah hampir tergelak dengan jawapan Sara Raihana itu. Sara Raihana dilihatnya macam anak-anak remaja yang suka memprotes jika kehendaknya tidak dituruti.

“Ibu pun ibulah. Janji Sara makan,” jawab Cikgu Maimunah tersenyum.

Dia hanya memerhati tingkah laku Sara Raihana yang lambat menyudu makanan ke mulut.

“Air kosong aje Kak Mai?” tanya Sara Raihana sambil meletakkan kembali bekas makanan. Setakat ini baru tiga sudu yang masuk ke perut Sara Raihana.

“Tak ada ke air milo atau teh ais? Baru berselera nak makan,” ujar Sara Raihana cuba mencari dalih baru.

“Oh, nak air manislah, ya? Tak apa, nanti Kak Mai cari mangsa,” ujar Cikgu Maimunah sambil matanya melilau mencari-cari jika ada pelajar yang masuk ke bilik guru atau guru yang hendak ke kantin.

Tiba-tiba dia tersenyum kerana Chan Chee Hong dan Amir sedang mengekori Ustazah Habsah dengan buku latihan yang penuh di tangan mereka. Setelah Chan Chee Hong dan Amir meletakkan buku di meja Ustazah Habsah, Cikgu Maimunah segera memanggil mereka. Ustazah Habsah mengucapkan terima kasih kepada mereka berdua.

“Kamu berdua nak ke mana? Kalau cikgu mintak tolong sikit boleh tak?” tanya Cikgu Maimunah, sebelum sempat mereka berdua melangkah pergi.

“Kami nak ke kantin. Cikgu nak suruh apa?” jawab Chan Chee Hong sambil melihat wajah kelat Sara Raihana.

“Elok sangatlah tu. Kamu tolong belikan cikgu teh ais dan Cikgu Sara... Sara, awak nak minum apa?”

Sara Raihana menggeleng-geleng.

“Tak payahlah. Susahkan Chan aje. Nanti tak sempat pulak nak rehat. Waktu rehat pun bukan lama sangat.”

“Tak susahlah, cikgu. Lagipun memang saya nak ke kantin. Bukan nak makan berat, sekadar beli roti dan air aje,” jelas Chan Chee Hong, jujur.

Sara Raihana tidak berkata apa-apa lagi. Segala dalihnya tidak menjadi.

Kenapalah budak Chan masuk waktu ni, gerutu hatinya.

Cikgu Maimunah hanya tersenyum lebar sambil memberi wang kepada Chan Chee Hong dan meminta Chan Chee Hong membeli air milo dan teh ais. Sekejap sahaja air yang dipesan telah dihantar Chan Chee Hong. Air bertukar tangan. Sara Raihana mengambil milo ais dan Cikgu Maimunah mengambil teh ais.

Apabila Chan Chee Hong hendak melangkah pergi, Sara Raihana segera memanggilnya untuk berbual-bual. Dia tahu jika ada Chan Chee Hong, Cikgu Maimunah tidak akan memaksanya untuk makan lagi.

“Chan, bila awak memeluk agama Islam?” tanya Sara Raihana bila dia teringatkan perbualannya dengan Chan Chee Hong di tempat letak kereta pagi tadi.

“Hari yang cikgu pulang ke Penang tu.”

Sara Raihana cuba mengingati kembali hari itu.

“Kenapa tak beritahu saya awal-awal?”

“Saya takut ganggu cikgu kerana cikgu sibuk masa tu.”

Mendatar jawapan Chan Chee Hong, takut Sara Raihana terasa hati. Sara Raihana terdiam seketika.

“Tentu bagus kalau saya dapat lihat majlis pengislaman awak. Siapa yang Islamkan awak sebab saya rasa awak masih di bawah umur untuk mendaftar secara rasmi?”

“Saya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Ustazah Habsah sekeluarga dan Ustaz Hadi serta kawan Ustaz Hadi,” jawab Chan Chee Hong lurus dan jujur.

“Alhamdulillah. Okey, sebagai hadiah saya bagi air milo ni untuk Chan.” Sara Raihana cuba berhelah lagi untuk mengelak daripada makan.

“Hah, jangan ambil Chan,” tegah cikgu Maimunah.

Chan Chee Hong hanya memerhati kedua-dua orang guru itu dengan kehairanan.

“Air tu Chan beli untuk Cikgu Sara, kan? Dia tak habiskan makanan dia lagi tau. Nanti tak ada air takut tercekik. Jadi kalau Cikgu Sara nak bagi hadiah, Chan mintak hadiah yang lain,” ujar Cikgu Maimunah.

Chan Chee Hong hanya mengangguk, setuju. Sara Raihana menarik muka masam kerana Cikgu Maimunah seolah-olah dapat membaca fikirannya.

“Ada apa-apa lagi tak yang boleh saya tolong?” tanya Chan Chee Hong.

“Tak ada, Chan. Terima kasih sebab tolong cikgu,” jawab Cikgu Maimunah.

“Saya mintak diri dulu, cikgu. Assalamualaikum.”

Mereka berdua mengangguk sambil menjawab salam itu serentak. Cikgu Maimunah berpesan agar Sara Raihana menghabiskan makanan dan minuman itu sebelum dia melangkah keluar untuk ke koperasi sekolah. Namun Sara Raihana tidak mengikut pesanan Cikgu Maimunah, sebaliknya meneruskan kerja-kerja memeriksa buku dan menyediakan bahan pengajaran.

Tengah hari itu, Norita telah bersiap sedia untuk pergi makan di rumah Mak Zainab tetapi Sara Raihana masih berlengah-lengah dengan kerja-kerjanya.

“Sara, kata nak ajak aku pergi makan kat rumah mak mentua kau. Ni dah pukul 2.00. Pukul berapa nak pergi?” tanya Norita yang sudah berasa lapar.

“Kejap lagilah. Aku nak habiskan ringkasan mengajar untuk esok,” jawab Sara Raihana acuh tak acuh.

“Ringkasan tu boleh buat kat rumah. Aku dah lapar ni. Jomlah kita pergi.”

“Kau pergilah dulu, bukan ke kau bawak kereta sendiri hari ni?”

“Ya, tak ya jugak. Aku lupa, selalu tumpang kau. Tapi tak eloklah kalau aku pergi seorang diri. Nanti mak mentua kau tanya, aku nak jawab apa?”

“Tak apa. Kau beritahu dia yang aku balik lewat sikit.”

“Kenapalah kau ni, Sara? Nak suruh makan pun susah. Aku tak kira, aku dah lapar. Jom balik.”

Segera tangan Sara Raihana ditarik.

“Okey, aku balik,” ujar Sara Raihana mengalah.

Dia menutup buku ringkasan mengajar dan mengikut langkah Norita ke tempat letak kereta. Cuaca agak terik tanpa awan menutupi matahari. Norita dan Sara Raihana menuju ke kereta masing-masing tetapi belum sempat Norita membuka kunci kereta dia melihat Sara Raihana jatuh tersepuk di tanah. Segera dia berlari untuk mendapatkan Sara Raihana. Dia memangku Sara Raihana sambil matanya melilau mencari kalau-kalau masih ada orang berdekatan tempat letak kereta itu.

“Kak Siti, tolong! Sara pengsan!” jerit Norita pada Cikgu Siti Aminah yang sedang berjalan menuju ke keretanya. Cikgu Siti Aminah yang mendengar jeritan itu segera mendapatkan Norita.

“Ya, ALLAH! Sara, kenapa boleh jadi begini?” soal Cikgu Siti Aminah sambil menyentuh tubuh Sara Raihana. Dia cuba menyedarkan Sara Raihana, tetapi tidak berjaya.

“Kak Siti tunggu Sara sekejap. Saya nak undurkan kereta saya ke sini. Saya nak bawak Sara ke hospital.”

Cikgu Siti Aminah mengangguk. Norita mengundurkan kereta ke tempat Sara Raihana pengsan. Dia kemudian memanggil seorang pekerja swasta yang sedang menyapu sampah. Mereka mengangkat Sara Raihana ke dalam kereta Norita lalu Norita segera membawa Sara Raihana ke hospital. Norita agak cemas melihat wajah pucat Sara Raihana. Sepanjang perjalanan, dia berdoa agar ALLAH menyelamatkan teman serumahnya itu.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.