Home Novel Keluarga Hero Hati Damia
Hero Hati Damia
Iman Zahri
13/6/2018 12:48:41
11,074
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 3

DAMIA jadi sedikit kekok di rumah sendiri. Tiba-tiba dia berasa janggal apabila Mak Long dan Pak Longnya ada di rumah. Bukannya apa, dia berasa segan berada dalam kalangan orang-orang kaya Malaysia. Entah macam mana Pak Long Idham boleh dapat pangkat Tan Sri. Setahu dia, dahulu bapa saudaranya itu biasa-biasa sahaja. Nak cakap lebih-lebih pun dia tidak berani sebab dahulu dia masih kecil. Belum mampu untuk berfikir secara meluas dan mendalam.

Hari ini sudah masuk hari ketiga ibu dan bapa saudaranya di sini. Tidak nampak tanda-tanda mereka akan pulang ke Johor. Takkan Mak Long tidak bosan duduk dirumah bila ibunya keluar bekerja? Eh, entahlah. Penat pula dia berfikir benda remeh macam ini. Bagus juga sekurang-kurangnya bila dia pulang dari sekolah, ada makanan sudah tersedia. Tidak perlu dia susah payah goreng telur dan tanak nasi.

“Jauh termenung?”

“Oh, mak kau senang tak payah masak nasi!” Damia sudah melatah. Dia menutup mulut dengan tapak tangan. Aduh! Teruk betul macam mana boleh terkeluar ayat macam tu.

“Tak payah masak nasi? Benda apa Mia merepek ni. Umi perhati lama dah perangai pelik Mia. Tersengih-sengih seorang diri. Pergi buatkan teh panas dan bawa ke halaman.Umi nak berbual dengan Mak Long dekat depan tu.”

“Baru balik kerja dah nak pergi berbual? Rehatlah dulu, Umi.”

“Tak apalah. Bukan selalu umi dapat luangkan masa dengan Pak Long dan Mak Long.Jangan lupa buat teh panas. Potong kek pisang atas meja tu sekali.”

 “Wow! My favourite kek pisang!” Damia teruja. Sudah lama dia tidak makan kek pisang kesukaannya.

“Jangan habiskan seorang. Ingat orang belakang.”

 “Baik mem!”

 “Jangan lambat,” pesan Puan Dariya sebelum beredar dari ruang dapur.



DAMIA mengemas meja makan seperti biasa. Sesekali dia mencuri dengar perbualan Puan Dariya dan Puan Sri Dahlia.

Pinggan diatas meja dibawa ke sinki. Kemudian, dia memasukkan lauk-pauk ke dalam peti sejuk. Sempurna sekali kerjanya. Tidak perlu disuruh berulang kali.

“Mia nak ikut Mak Long balik kampung? Esok petang Mak Long nak balik ke sana.” Puan SriDahlia memandang Damia yang tekun mencuci pinggan mangkuk.

“BalikPerak? Mak Long ajak Mia balik jumpa opah? Bestnya!”Damia menepuk-nepuk tangan yang penuh dengan buih sabun.

“Damia,cuci tangan dulu,” tegur Puan Dariya.

“Alah… Lusa sekolah. Macam mana Mia nak ikut Mak Long.” Damia kecewa.

 “Haritu kata lusa ada hari sukan sekolah. Damia nak pergi? Damia bersukan ke?” tanya Puan Dariya.

“Iyalah…Hari sukan. Mana pernah Mia pergi hari sukan sekolah. Terbakar kulit Mia yang putih mulus ni.”

“Jadi ikut Mak Long ya?” tanya Puan Sri Dahlia lagi.

“Jadi! Umidan abah tak ikut?” Damia pandang Puan Dariya.

“Umi dan abah kena kerja, sayang. Lupa ke umi dan abah awak ni cikgu sekolah?”

Damia tersengih. “Kesian umi. Tak dapat balik jumpa ibu kesayangan.”

Puan Dariya membulatkan mata. Sempat lagi Damia mengenakannya.

“Dari kecil sampai sekarang tak berubah nakalnya,” kata Puan Sri Dahlia.

“Barulah hidup ni ada syiokkkk,” Damia ketawa mengekek.

“Mia! Ketawa tu biar sopan. Anak dara apa ni?” tegur Puan Dariya lalu menggeleng kepala.

“Samalah dengan perangai Aniq. Makin tua makin menjadi.”

Damia tersengih. Abang Aniq? Entah macam mana rupa sepupunya seorang itu. 

“Sebut fasal Aniq… Takkan sampai sekarang masih tak ada calon isteri?” tanya Puan Dariya.

“Tak tahulah nak cakap. Kak Lia dah banyak kali sebut fasal nikah kahwin ni. Dia tak endah langsung. Dia akan jawab nantilah ibu. Aniq muda lagi.”

“Lain pula dengan tiga orang anak bujang Dar. Belajar belum habis dah sibuk nak berkahwin.Setuju atau tak, kenalah setuju juga daripada bawa anak dara orang ke sana sini.”

“Kak Lia dah malas nak tanya hal kahwin pada Aniq. Tunggu dia sendiri buka mulut. Umur dah 26 tahun. Eh, susahlah nak cakap.”

“Mak Long…26 tahun dikira muda lagi tau. Lelaki ni makin tua makin laku,” sampuk Damia sebaik saja melabuhkan punggung di kerusi. Saja dia tidak mahu masuk ke dalam bilik. Seronok pula dengar cerita tentang sepupunya itu.

“Mana Mia tahu lelaki makin tua makin laku? Memandai je,” selar Puan Dariya.

“Fakta mengatakan semakin bertambah umur seorang lelaki, semakin tinggi permintaan untuk dijadikan suami. Tau sebab apa?”

“Sebab apa?” serentak Puan Dariya dan Puan Sri Dahlia bertanya.

“Ekonomi lelaki makin stabil. Dah ada kerjaya, rumah dan kewangan yang kukuh. Masa itu barulah lelaki akan fikir hal rumah tangga. Masa itu juga barulah perempuan kat luar sana akan pandang lelaki untuk dijadikan suami.”

“Perempuan tak boleh pandang duit lelaki. Kenalah susah dan senang sama-sama. Jangan cakap yang Mia nak kahwin lambat sebab nak cari lelaki yang stabil ekonomi,” kata Puan Dariya.

“Eh? Mestilah Mia nakkan lelaki macam tu. Umi nak Mia makan pasir ke?”

“Haaa…Salah konsep dah tu. Hidup berumah tangga kena saling menyokong. Saling melengkapi. Susah dan senang bersama-sama. Tak adanya Mia nak makan pasir. Allah dan janjikan rezeki untuk pasangan yang mendirikan rumah tangga,” terang Puan Dariya.

“Kena usaha untuk dapatkan rezeki. Rezeki takkan datang bergolek,” ujar Puan Sri Dahlia pula.

“Okay, cukup. Perbincangan tamat. Mia muda lagi. Baru 19 tahun. Kita kena fokus kepada Abang Aniq dulu. Sebelum Abang Aniq mencecah 30 tahun, kita kena pastikan dia sudah ada anak seorang. Mak Long dan Pak Long akan dapat cucu.

Puan Sri Dahlia ketawa mendengar kata-kata Damia.

“Budak bertuah,” kata Puan Dariya.

“Mak Long akan usahakan untuk Abang Aniq,” kata Puan Sri Dahlia dengan tawa yang masih bersisa.

“Mia masuk tidur dulu. Esok petang nak balik kampung. Yeay!” Damia bangun dari kerusi lalu berjoget perlahan. Kemudian, baru dia meninggalkan ruang makan.

“Anak perempuan seorang pun perangai tak dapat dikawal. Terkinja-kinja seorang diri pun jadi.” Puan Dariya geleng kepala melihat tingkah Damia.

“Perangai tak berubah. Mia, Mia,” kata Puan Sri Dahlia.

“Entah bila nak berubah.”

“Nanti dia akan berubah sendiri. Biarlah, masih remaja. Macam kita dulu-dulu juga.”

“Kita dulu baru nak mula berjoget dah kena tempik dengan mak.”

Serentak Puan Dariya dan Puan Sri Dahlia ketawa. Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?



 PENDINGIN hawa dimatikan. Damia menarik selimut hingga ke paras dada. Hujan turun dengan lebat sekali. Kilat pula sabung menyabung. Telefon bimbit di tepi bantal diambil. Jam sudah menunjukkan pukul enam pagi.

Mata ditutup rapat. Cuba untuk menyambung tidur semula. Tidak sampai sepuluh minit, telinganya menangkap suara uminya.

“Nur Damia! Bangunlah dah pukul enam suku. Nanti lambat ke sekolah.”

 “Lima minit lagi! Please umi!” Laung Damia.

“Jangan mengada-ada Nur Damia. Bangun sekarang. Pergi mandi dan solat subuh. Lepas itu turun sarapan. Mak Long dah buatkan bihun goreng Singapore kesukaan Mia. Cepat bangun!” Suara Puan Dariya sudah naik satu oktaf.

Damia bingkas bangun. Bihun goreng Singapore! Mengantuk pun boleh kalah tau.

“Nur Damia!” Panggil Puan Dariya lagi.

“Okay, umi. Kejap lagi Mia turun,” sahut Damia.

Tuala di penyidai diambil. Laju kakinya melangkah ke bilik air. Sempat dia mengerling jam di dinding. Enam dua puluh minit pagi. Masih awal.

“Sejukkkkkkkk!!”jerit Damia di dalam bilik air.

 “Mia? Mia okay tak?” Puan Dariya bergegas ke bilik Damia sebaik saja mendengar jeritan anak daranya.

“Sejuknya umi!” jerit Damia.

Puan Dariya mengetap bibir. Ingatkan apalah tadi. “Jangan buat macam bilik air awak tak ada water heater! Cepat Nur Damia!”

Puan Dariya urut dada. Pagi-pagi lagi Damia sudah bikin drama sebabak. Dia mengatur langkah ke meja makan.

“Apa bising-bising ni?” tanya Encik Rafi. Dia menghulurkan pinggan kepada PuanDariya.

“Anak daraabanglah buat drama. Lama-lama boleh luruh jantung saya.”

“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” ujar Encik Rafi selamba.

 “Eh, abang ni. Nak kutuk sayalah tu.”

“Dulu pun awak macam tu juga. Mujur sekarang tak macam dulu. Tak larat abang nak layan nanti. Anak macam itu, maknya macam ini.”

“Makanlah,abang. Jangan nak mengarut.”

“Kenapa anak dara seorang tu?” tanya Tan Sri Idham sebaik saja melangkah masuk ke ruang makan.

Drama queen.” kata Puan Sri Dahlia seraya ketawa.

“Pula?Ingatkan jatuh ke apa.”

“Macam tulah dia kalau datang angin kus-kus. Pening Dar nak melayan.”

“Pening juga saya nak melayan,” sampuk Encik Rafi.

 “Pukul berapa nak bertolak petang ni?” tanya Puan Dariya sambil menuangkan teh panas ke dalam cawan.

“Insya Allah pukul empat. Eloklah sampai di sana sebelum maghrib,” jawab Tan Sri Idham. Bihun goreng Singapore disuap ke dalam mulut. Fuh! Sedap. Tiada siapa yang boleh lawan masakan isteri kesayangannya.

“Makanlah ya. Dar nak ke bilik Damia. Apa lagi yang dibuat anak dara seorang tu. Nak bersiap ke sekolah pun lambat.”

“Jangan dia sambung tidur pula. Abang simbah dia dengan air nanti,” kata Encik Rafi seraya tersengih.

“Eleh… Cakap je lebih. Buatnya tidak,” sindir Puan Dariya lalu bangkit dari kerusi.

“Anakperempuan seorang. Mana sampai hati nak buat begitu. Betul tak Rafi?” Puan Sri Dahlia mencelah.

“Betul seratus peratus!” jawab Encik Rafi lalu ketawa.

Suasana dimeja makan pada pagi itu riuh rendah sejak kehadiran pasangan suami isteri itu. Mulai esok, rumah ini akan sunyi sepi seperti selalu.

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.