Home Novel Keluarga ADUH! PENING...
ADUH! PENING...
Asmah Hashim
21/6/2015 11:57:24
83,549
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 5

Ke mana sahaja suaminya dan Nadia berserta rombongan anak-anaknya pergi, dia akan mengintip dari jauh. Memandang dengan mata yang merah menyala. Kalaulah dia makhluk asing sudah lama dighaibkan Nadia yang terlajak mesra dengan suaminya. Mereka tunggang ATV, dia pun sama. Tak biasa sebenarnya. Hampir sahaja dia tergolek menuruni bukit, nasib baik ada fasilitator yang sudi membantu. Kalau tidak kemalangan mautlah jadinya. Kawan-kawannya pula bukan main seronok lagi. Mereka sudah biasa menunggang ATV yang bertayar besar itu. Uh! Habis sakit satu badan.

Tengok Nadia buat hatinya menyala-nyala marah. Geram. Rasa hendak dihumban perempuan itu dalam kandang Singa putih yang tinggal sendirian di sangkarnya itu. Memang menyakitkan mata dan hati sahaja. Siap memeluk pinggang suaminya. Hey! Itu laki akulah! Jeritnya dalam hati. Dia menghentak-hentak kaki di tanah tempatnya berpijak. Mak ai! Bertepuk bertampar lagi! Ini sudah lebih. Ikmal pula bukan main menyengih. Dapat pegang percuma. Wah! Mereka sudah menyakiti hatinya bulat-bulat. Menangis dalam hati sahajalah dia. Meraung sehabis suara tetapi hanya dia sahaja yang mendengarnya. Sakitnya tu di sini, sambil menghentak dadanya.

****
Di dalam bilik sewa mereka…

“Itulah akak, saya dah suruh jangan ikut mereka menunggang ATV tu akak degil, nak pergi juga. Kan dah sakit satu badan. Tak pasal-pasal kami kena jadi tukang urut tak bertauliah akak,” bebel Lin yang sudah mula mengurut badan Aleeya yang kecil molek itu.

“Buat apa akak skodeng mereka, sedangkan hati akak sendiri yang sakit! Kami yang tak ada apa-apa ni pun sakit mata tengok,” sampuk Ina pula.

“Betul kak, esok tak payahlah ikut mereka ya? Kita bergembira sendirilah kak. Biarlah suami akak dengan anak-anak dia tu. Lagipun bekas isteri suami akak tu tak berani bertindak jauh, kak. Suami akak bukan jenis buaya tembaga kan, kan, kan?” Ros menyengih.

“Aduh! Sakitnya pinggang akak, kaki akak pun sengal habis. Manalah akak tak intip adik-adik oi! Itukan laki akak. Yang bersama dengan dia tu, bekas isteri. Kau tahu tak, bekas isteri!” Aleeya merengek kesakitan.

“Macam mana nak keluar makan, kalau dah sakit macam ni kak.” Lin menampar peha Aleeya yang sedang diurutnya.

“Ala, setakat nak turun makan kat kafe hotel ni, boleh ajelah.” Aleeya mencebik. Tak guna punya Nadia. Menyusahkan dirinya sahaja. Bukan main miang lagi. Gatal sungguh nak goda suaminya. Dia pasti sangat Nadia ada hati nak berbalik dengan suaminya. Tengok gaya Nadia sahaja, dia sudah dapat meneka.

“Betul ni? Akak boleh jalan ke?” Ros mendekati Aleeya yang berbaring di sofa.

“Bolehlah!” Aleeya mengetap bibir. Perlahan-lahan dia bingkas duduk dan menyandar di sofa. Menarik nafas panjang melepaskan kelelahan dan kepenatan.

“Esok kita nak pergi safari pula. Jangan akak pergi jerkah suami akak dengan bekas isterinya sudahlah. Jaga tatasusila kak.” Ina tersenyum sumbing.

Jaga tatasusila? Pasal jaga tatasusilalah dia tidak menyerang bekas isteri suaminya itu. Kalau tidak! Tahulah Nadia langit ini tinggi atau rendah. Erk… tinggikan?

“Harap tak jumpa suami dan sahabat akak tu ya,” usik Lin.

“Uh! Jangan nak mainkan akak pula!” Aleeya menjelirkan lidah. Budak-budak ini tak padan dengan perempuan, pandai pula nak usik-usik dia.

Mereka hanya makan malam di restoran hotel. Makan malam yang disediakan enak-enak belaka. Harga yang dikenakan tidaklah mahal sangat. Berbaloilah. Dia tercari-cari kelibat suaminya. Manalah tahu jika suaminya juga makan dan minum di restoran itu. Sebenarnya hotel di Gambang ini dibahagi kepada dua. Arabia dan Caribbean. Dia dan rakan-rakannya menginap di Caribbean. Mungkin juga suaminya menginap di Arabia yang lebih mewah dan cantik hotelnya.

“Akak, makanlah. Usah dikenangkan orang yang sedang bergembira dengan anak-anaknya. Kita gembirakan hati sendirilah kak,” pujuk Lin yang sudah pun menambah makanan di dalam pinggannya. Makan cara buffet, melantaklah sampai mengah.

“Banyak kau pun tak kenang. Entah-entah dia sedang peluk suami akak, sakitnya tu di sini!” sambil menunjukkan dadanya.

“Kalau dah tahu nak sakit, kenapa benarkan suami akak keluar dengan anak-anaknya?” tempelak Ros.

“Mana boleh tak bagi Ros, itu anak-anak suami akak. Bukan anak tiri tau, anak kandung!”

“Sabarlah kak. Inilah dugaannya kalau berkahwin dengan duda yang masih bernyawa bekas isterinya. Terpaksalah akak ‘bermadu’ dengan anak-anak tiri akak tu, silap haribulan bermadu terus dengan bekas isteri suami akak tu pula. Uh! Kes naya kak,” kata Ina tidak bertapis.

“Hoi! Mulut tak ada insuran ke?” jerkah Aleeya. Bukan main sedap lagi sebut bermadu. Tak kuasa dia. Janganlah jadi seperti itu, nau’zubillah, doanya dalam hati.

“Tak mustahil kak,” racun Lin pula.

“Dah, dah, dah! Akak nak makan sampai mengah. Malas nak fikirlah!” Aleeya bingkas bangun dan menuju ke kaunter yang terhidang pelbagai jenis lauk-pauk dan nasi. Nak makan ke tidak ini? Tekaknya terasa tidak berselera sedangkan perutnya berkeroncong.

“Hai, kira apa pula tu?” Lin menyengih.

“Hish… budak ni!” Aleeya mencubit lengan Lin yang sudah pun berada di sisinya.

“Apa main cubit-cubit kak. Sakit tau.” Lin mengusap bekas cubitan tadi.
“Mehlah makan. Akak ambil lauk aje. Tak payah makan nasi. Nanti kita makan mee sup pula, jom kak!” ajak Lin.

Aleeya mengikut sahaja langkah Lin yang menemaninya memilih makanan untuk malam itu. Dia cuba membuang jauh wajah suaminya dan Nadia yang bergurau senda di hadapan matanya. Memanglah mereka tidak nampak dia, tetapi dia nampak mereka. Kalau boleh dia tidak mahu memikirkannya tetapi bagaimana? Itukan suaminya. Anak-anak suaminya pula sampai hati tidak suka dengannya. Apa yang telah dia lakukan? Dia sudah cuba menghampiri mereka dan menjadi seorang ibu tiri yang baik. Kenapa dia tidak diberi peluang? Dia juga boleh jadi sebaik Nadia, ibu kandung mereka.

“Akak sabarlah ya. Jangan fikir sangat. Kalaulah saya tahu suami akak ada sini, saya tak nak ikut ke mari. Kita datang nak bergembira, kalau akak bersedih macam ni,kami pun tumpang sedih tau kak.” Lin membelai lembut lengan Aleeya, cuba mententeramkan hati temannya itu.

“Yalah kak! Janganlah muram. Esok kita tengok binatang, lepas tu kita terus ke Kuantan, jalan-jalan, sebelum balik ke KL,” ajak Ros.

“Senyumlah kak. Tak lawalah akak buat muka poyo macam tu. Kalau akak menangis dan meraung pun tak guna. Suami akak sedang berseronok dengan anak-anaknya dan bekas isterinya. Lupakan mereka. Anggaplah mereka tu tak wujud, kan.” Ina tersenyum manis.

Aleeya mengangguk, berasa bersalah pula dengan kawan-kawannya. Mereka ikut dia untuk berseronok, dia pula buat mereka susah hati. Tak patut, tak patut! Ceria, ceria, Aleeya bingkas bangun! Cerialah… berwajah manis, gembira, gembira, bisik hati kecilnya sendiri.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.