Home Novel Fantasi Hero Empayar
Hero Empayar
Helmi Effendy
12/11/2012 18:02:55
11,298
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 1: Putera Ryan

Jika kalian hidup pada zaman itu, nama seperti Exathus, Persiana dan Cloudyst pasti bukanlah sesuatu yang asing. Pemilik nama itu ialah merupakan tiga buah kerajaan terkuat pada zaman naga. Zaman di mana naga bertaburan di atas muka bumi ini.

Exathus ialah yang terkuat. Sejarah yang dilalui oleh Exathus merupakan sebuah epik yang amat panjang. Andai dihimpunkan seribu buah buku, setebal seribu halaman pun belum tentu mampu untuk memuatkan sejarah Exathus yang sungguh mengasyikkan.

Putera Ryan Alhazred, merupakan salah satu daripada epik yang panjang itu. Maka, di sini izinkanlah aku untuk bercerita hanya secebis kisah Exathus, yang mungkin paling diingati antara semua. Kisah bagaimana seorang putera mentah dan manja berubah menjadi pemimpin sebuah pasukan yang kemudiannya mencatat sejarah sebagai pasukan pemberontak terbesar dalam sejarah Exathus...

***

Matahari sudah lama bertenggek di sudut alam, memancarkan cahayanya yang oren menerangi bumi. Sebuah istana yang bersalut emas tersergam indah di tengah-tengah tasik gergasi yang sangat luas. Istana itu diberi nama Mahligai Emas, milik sebuah empayar yang melitupi satu pertiga dunia, Exathus.

Empayar itu diperintah oleh seorang maharaja yang sangat penyayang dan seorang permasuhri yang tegas. Kedua-dua pasangan ini telah menjadikan Dinasti Alhazred zaman keemasan kepada kehebatan Exathus.

Di dalam sebuah singgahsana yang terletak di dalam Mahligai Emas, bersemayam Maharaja Alexander Alhazred dan isterinya Permaisuri Inoue. Berkerut dahi Maharaja Alexander ketika mendengarkan penjelasan seorang utusan yang datangnya dari sebuah wilayah yang terletak di dalam empayar Exathus, Tasik Toraca.

“Sampaikan kepada Gabenor Imran yang beta akan usahakan cara terbaik untuk selesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh Erasiol,” gumam Maharaja Alexander. Maharaja Alexander berambut putih uban. manakala wajahnya berjambang. Mata hijaunya menoleh ke arah isterinya yang sedang berdiri di sebelah Maharaja Alexander.

“Apa pendapat adinda?” soal Maharaja Alexander. Wajah jelita isterinya itu ditatap penuh makna oleh Maharaja Alexander, bagi mendapatkan kepastian isterinya itu.

Permaisuri Inoue yang sudah mencecah umur 50 tahun itu tidak langsung kelihatan tua. Wajahnya yang jelita itu membuatkan Permaisuri Inoue kelihatan awet muda. Sesiapa yang tidak mengenalinya, pasti menyangka Permaisuri Inoue baru sahaja berumur dalam lingkungan 30-an.

“Kanda, dinda merasakan agar kita menghantar jeneral terbaik kita untuk menghalang serangan daripada utara Erasiol. Puak berkuda nomad Yamu itu harus dihalang daripada menjarah Erasiol,” balas Permaisuri Inoue sambil menundukkan wajahnya.

Maharaja Alexander tersenyum mendengarkan jawapan isterinya itu. Permaisuri Inoue bukan sahaja jelita malah memiliki kebijaksanaan yang sangat mengangumkan. Sifat penyayang dan kebijaksanaan yang dimiliki oleh kedua-dua pasangan itulah yang telah membuatkan Empayar Exathus sedang mengalami zaman keemasannya.

“Dinda mencadangkan agar anakanda kita, Putera Ryan untuk turut mengikuti ekpedisi ke Erasiol,” tambah Permaisuri Inoue lagi. Kali ini, Maharaja Alexander berkerut dahi mendengarkan jawapan isteri tersayangnya itu.

“Kenapa?” soal Maharaja Alexander pendek.

Kali ini, senyuman terukir pula di wajah awet muda Permaisuri Inoue .

“Ini ialah peluang keemasan untuk mengubah anakanda. Dia pasti akan belajar banyak perkara daripada ekpedisi ini. Tak lama lagi, dia akan menjadi pemerintah kepada sebuah empayar yang sangat luas. Untuk mengekalkan kegemilangan Exathus ini, kita memerlukan seorang pemimpin yang hebat. Oleh itu, pada usia muda inilah kita harus membimbing Ryan, seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Maharaja Alexander terdiam mendengarkan penjelasan panjang lebar daripada isterinya itu. Pandangan penuh bermakna dilontarkan ke arah Permaisuri Inoue . Perasaan sayangnya semakin bertimbun untuk wanita itu.

***

“Ryan Alhazred!” teriak satu suara dari luar bilik Ryan.

Ryan yang sedang lena tidur terkebil-kebil membuka matanya. Dia merasakan ada sesuatu yang buruk bakal terjadi. Dia kemudian merenung jam pasir yang terletak di sebelah katilnya, berdiri bisu di atas sebuah meja.

“Alamak! Dah tengah harilah,” gumam Ryan perlahan.

Pintu biliknya terbuka dan seorang gadis yang berambut hitam pekat sehingga paras pinggang, berpakaian tradisional penduduk Exathus sedang berdiri sambil bercekak pinggang, merenung tajam ke arah Ryan yang hanya berseluar pendek. Terserlah tubuh sasa Ryan.

“Kakak!” pekik Ryan bengang. Sehelai jubah yang terdampar di atas lantai diambil oleh Ryan lalu menutup sebahagian daripada tubuhnya.

“Nak malu apanya kau ni? Aku ni kan kakak kau?” marah gadis ayu itu. Matanya berwarna hijau, persis ayahnya, Maharaja Alexander. Tangan Ryan ditarik oleh gadis itu membuatkan Ryan terpaksa meninggalkan katil empuknya.

“Apa ni kakak?” bengkeng Ryan bengang.

“Kau lupa sesuatu. Kesian Erica yang tunggu kau,” balas gadis itu. Kali ini dia tidak lagi memekik seperti tadi, kemarahan kelhatan reda sedikit.

Lupa? Aku lupa apa ya?

Berkerut dahi Ryan cuba mengingatkan sesuatu... dan...

“Alamak!” tutur Ryan sambil meleraikan pegangan tangannya. Berbekas pergelengan tangan Ryan dibuatnya. Bayangan wajah seorang gadis yang berambut perang keemasan sedang bermain-main di layar mindanya.

“Kau janji dengan Erica yang kau akan temankan dia pergi berburu. Penat dia menunggu kau kat dewan utama,” ujar gadis itu lagi.

“Ryan tahulah wahai cik Rania ,” jawab Ryan sambil tersengih bododh. Dia kemudian menolak Rania meninggalkan biliknya itu. “Ryan nak mandi dulu.” Kemudian, pintu bilik itu dihempas tepat di bawah batang hidung Rania .

“Kurang ajar punya budak kecil,” gumam Rania perlahan, sambil tersenyum kecil. Perangai kebudak-budakan adik lelakinya itu masih tidak berubah. Kemudian, Rania melangkah pergi meninggalkan koridor di hadapan bilik Ryan yang dijaga oleh dua orang askar.

***

Ryan melangkah penuh cekal meredah koridor Mahligai Emas. Sapaan askar yag bertugas disambut dengan lambaian tangan oleh Ryan. Dia tiada masa untuk semua itu. Perasaan simpati dan bersalah menjalar dalam urat sarafnya. Bagaiamanalah dia boleh terlupa nak temankan Erica berburu...

Langkah kaki Ryan mati sebaik sahaja wajah Erica menjamah pandangan matanya. Gadis itu tertidur di dewan utama, yang menempatkan pintu gerbang yang merupakan laluan utama keluar dan masuk ke Mahligai Emas.

Senyuman terukir di wajah Ryan. Dia menghampiri Erica lalu duduk bercangkung, bagi membolehkan dia mengamati wajah Erica.

“Erica...” tutur Ryan sambil menyelak rambut emas Erica yang menutupi wajah. “Awak memang comel...” Kemudian, Erica tersenyum dalam tidurnya lantas membuahkan ketawa Ryan.

Tiba-tiba terlintas satu idea nakal di benak Ryan. Senyumannya pudar digantikan dengan sengihan jahat. Sambil membetulkan pedang gergasi yang diusung di belakang tubuhnya, Ryan berdiri dan...

“Oh mak kau,” lafaz Erica spontan apabila Ryan menyergahnya. Spontan tubuh Ryan dirangkul oleh Erica. Ryan tergamam dengan apa yang berlaku, wajah tampannya kemerah-merahan. Lama mereka berada di dalam posisi tersebut sehinggalah Erica menyedari tingkah lakunya.

“Maaf,” tutur Erica sambil tersipu-sipu malu.

Ryan masih tersengih, sambil menatap wajah Erica.

Sejak bila kau secantik ini Erica?

“Ryan?” panggil Erica sambil memetik jarinya. Ryan pantas menggelengkan kepalanya sambil menghalau angan-angan yang menganggu konsentrasinya itu.

“Dah lama ke awak tidur?” soal Ryan, prihatin. Erica sekadar mengangguk pendek. Pandangan mata Ryan sekarang benar-benar menusuk matanya. Berani jejaka itu bertentang mata dengannya.

“Maaf ya?” tutur Ryan lagi.

“Tak apa. Untuk Ryan, saya sanggup tunggu sampai esok pagi,” balas Erica spontan lantas menimbulkan riak aneh pada wajah Ryan. Wajah comel milik Erica ditenungnya Ryan seolah-olah Ryan sedang mencari garisan kedut.

“Awak perli saya ya?” tanya Ryan sambil mendekatkan wajhanya dengan wajah Erica membuatkan jantung Erica berdegup kencang.

“Tak..tak.. saya tak...” tergagap-gagap Erica membalasnya. Wajah Ryan hanya seinci berjarak dengan dirinya. Kemudian, Ryan berpaling sambil ketawa terbahak-bahak. Perbuatan Ryan itu menimbulkan perasaan pelik di dada Erica.

“Kenapa gelak?” tanya Erica.

“Awak comel masa gelak tu,” tutur Ryan. “Suka saya tengok.”

Kali ini wajah Erica pula yang merona merah. Dia yang sedang duduk di atas sebuah kerusi mengamati susik tubuh Ryan yang sedang berdiri membelakangkannya. Kemudian, Ryan berpaling menghadapnya. Senyuman masih melekat pada wajah tampan itu.

“Kalau sebelum ini, Erica yang asyik melindungi Ryan. Sekarang, biar Ryan melindungi Erica pula masa berburu nanti. Macam mana?” ujar Ryan sambil menghulurkan jari kelingkingnya, menunggu untuk disambut oleh Erica.

“Err... kita nak pergi sekarang ke?” tanya Erica. Ryan mengangguk.

“Hanya kita berdua. Ryan dah dapatkan kebenaran bonda dan ayahanda. Mereka tak ada masalah untuk membenarkan Ryan keluar dari istana selagi ada Erica di sisi,” ujar Ryan lagi.

Kata-kata yang diungkapkan oleh Ryan benar-benar membuatkan Erica, gadis yang merupakan pelindung kepada darah diraja Exathus itu tidak senang duduk. Jujur, sejak ditugaskan untuk menjaga Ryan dia semakin jatuh hati. Sikap kebudak-budakan Ryan pasti akan bertukar menjadi seorang lelaki yang lagaknya seperti casanova acap kali bertemu mana-mana gadis jelita itulah yang telah mencuri hatinya.

“Mari pergi?” ajak Erica.

Ryan menundukkan dirinya, ketika Erica bangkit untuk berdiri. Kemudian, mereka berdua berjalan meninggalkan istana mewah yang diberi nama Mahligai Emas itu. Lokasi yang dituju ialah Royal Hunting Ground yang merupakan lokasi pemburuan khas untuk bangsawan-bangsawan dan keluarga diraja Exathus

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.