Home Novel Cinta AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
EMY RUSLI
16/6/2015 14:32:30
81,846
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6
Sambungan...
Mesti best punyaaaaa.....

Apalah yang si Nina nakkan dalam hidupnya ya?
Panas baran tak bertempat! Suka marah2! Melenting tak tentu pasal! Sifat sabar dah lama hilang dalam dirinya...

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ruang tamu utama di Villa Suzana kedengaran begitu riuh. Sebaik saja Nina tiba sebentar tadi, suara ketawanya tidak henti-henti. Banyak cerita yang disampaikan kepada Tan Sri Shahril dan Puan Sri Suzana. Kedua-dua orang tuanya turut ketawa apabila ada kisah yang melucukan.

Nina kelihatan begitu teruja. Macam-macam cerita yang dikongsi. Puan Sri Suzana dan Tan Sri Shahril yang duduk di kiri kanannya turut berasa gembira dengan kepulangan anak gadis mereka.

Sesekali Nina mencium pipi mama dan papanya. Rasanya sudah empat tahun dia tidak pulang ke Kota Bharu. Bukan dia tidak mahu pulang ke kampung halamannya, tetapi dia lebih gemar menginap di Kuala Lumpur di rumah sepupunya apabila cuti semester bermula. Ketika itu terpaksalah Tan Sri Shahril dan Puan Sri Suzana ke Kuala Lumpur untuk menemui anaknya. Harapkan Nina untuk pulang ke Kota Bharu, itu tidak mungkin terjadi.

Apabila berada di Kuala Lumpur, Nina bebas untuk ke mana saja bahkan pusat-pusat hiburan juga mudah didapati.

Nina memeluk bahu kedua-dua orang tuanya.

“Mama dan papa tahu tak yang Nina rindu sangat pada mama dan papa. Rasa sebulan tu lama sangatlah. Nina betul-betul tak sabar nak jumpa mama dan papa. Tak sabar nak balik rumah kita ni. Tengoklah, rumah kita ni tetap bersih dan kemas tak berubah sama seperti empat tahun dulu,” kata Nina kelihatan begitu teruja. Wajahnya benar-benar ceria.

“Hmm... kata aje rindu. Tapi bila cuti semester lepak kat Kuala Lumpur tu. Rumah kat sini langsung tak nak jenguk. Lepas tu nak cakap rindu sangat-sangat. Itu bukan rindu namanya. Itu mengada-ngada.” Puan Sri Suzana marah-marah sayang dan mencium pipi Nina.

“Ala mama ni... bukan Nina tak nak balik rumah kita ni tapi kat sini Nina mana ada kawan, ma. Harapkan Eja sorang aje. Tu pun dia sibuk memanjang,” balas Nina, manja.

“Yalah tu. Banyak sangat alasan kamu, Nina. Kalau Nina tak ada kawan, mama kan ada boleh temankan Nina ke mana saja Nina nak pergi. Atau Nina malu nak keluar dengan mama? Yalah, mamakan dah tua.”

Nina yang mendengar kata-kata Puan Sri Suzana terus memandang wajah mamanya.

“Hei! Siapa cakap mama tua? Papa cakap mama tua?”

Nina memandang pula Tan Sri Shahril di sebelahnya dan kembali memandang Puan Sri Suzana.

“Di mata Nina mama tak pernah tua. Tiap kali Nina berjalan dengan mama, semua orang cakap kita adik-beradik, ma. Tapi mamalah kakak, takkan Nina pula.”

Nina ketawa kecil. Begitu juga dengan Puan Sri Suzana dan Tan Sri Shahril.

“Oh ya, macam mana dengan final exam? Semua okey ke?” Kali ini Tan Sri Shahril pula bersuara lebih serius.

Nina mengangkat ibu jarinya. “Semua okey, pa. Papa jangan risau. Nina akan beri papa keputusan yang terbaik. Kalau boleh biar dapat Dean List lagi sekali.”

“Papa yakin anak papa tentu akan dapat anugerah pelajar terbaik.”

“Itu sudah tentu papa. Nina dah buktikan pada papa dan mama yang Nina boleh jadi best student walaupun Nina banyak berhibur. Nina takkan kecewakan mama dan papa. Percayalah.” Nina membalas penuh yakin.

Tan Sri Shahril membalas dengan senyuman.

“Kenapa Nina tak ajak Izz singgah sini? Boleh makan malam sekali nanti. Mama dah suruh orang gaji kita tu masak sedap-sedap.” Suara Puan Sri Suzana.

“Hmm... Izz tu ada urusan lain, ma. Tapi dia akan datang bila free nanti. Mama jangan risaulah. Lepas ni Izz akan selalu ke sini sebab Nina kan dah balik Malaysia.”

“Hmm... baguslah macam tu. Banyak yang mama nak bincangkan dengan kamu berdua,” ulas Puan Sri Suzana lagi dan mengelus rambut panjang anaknya.

“Mama cakap nak buat parti untuk sambut kepulangan Nina. Bila?” tanya Nina tidak sabar. Dia menggosok paha mamanya.

Puan Sri Suzana tersenyum manis. “Mama dah rancang yang terbaik untuk anak mama. Minggu depan kita akan buat parti besar-besaran di pekarangan rumah untuk sambut kepulangan Nina. Masa tu jugak mama nak umumkan tarikh pernikahan Nina dan Izz.”

Tan Sri Shahril terkedu. Isterinya itu tidak pernah berbincang dengannya tentang Nina dan Izz Zhafran. Semua keputusan di tangan Puan Sri Suzana. Statusnya sebagai suami seolah-olah tidak berguna.

“Betul ke mama?” Nina kelihatan teruja. Kali ini dia juga tidak sabar mahu hidup bersama Izz Zhafran.

Puan Sri Suzana mengangguk penuh yakin. Senyuman tidak lekang di bibirnya.

“Suzana, kenapa you tak bincang dengan I yang you dah ada tarikh untuk nikahkan mereka berdua?” soal Tan Sri Shahril agak bengang.

Puan Sri Suzana memandang suaminya.

“I belum ada tarikhnya lagi. Kejap lagi I nak bincang dengan youlah. Nina dan Izz dah lama bertunang. Dah tiba masa untuk mereka kahwin. Nak tunggu sampai bila? Nina dan Izz dah setuju. Takkan you tak setuju pulak? I buat yang terbaik untuk anak I. I nak Nina bahagia. Itu aje.”

Nina memandang Tan Sri Shahril. Dia mengelus lengan Tan Sri Shahril. “Yalah papa. Kami dah lama sangat bertunang. Izz pun dah beria-ia benar ajak Nina kahwin.”

Tan Sri Shahril diam. Geram dengan sikap isterinya yang suka membuat keputusan sendiri.

Nina termenung seketika sebelum kembali memandang Tan Sri Shahril. Kali ini wajahnya kelihatan serius.

“Papa, bila masa pulak papa tukar pemandu yang lebih muda ni? Papa percaya ke pada orang muda?” soal Nina apabila dia melihat kelibat pemandu keluarganya mengangkat bagasinya.

Sengaja dia menguatkan suaranya supaya pemandu keluarganya itu dengar.

Pada Nina, papanya memang pemilih orangnya. Pemandu silih berganti dan sering kali datang dan pergi sesuka hati!

“Kenapa Nina cakap macam tu pulak? Pemandu keluarga kita yang ni lebih baik dari yang lepas-lepas.”

“Eleh, boleh percaya ke pa? Masuk kali ni dah enam pemandu tau papa tukar. Yang lepas-lepas semua buat perangai. Yang baru entah apa pulak yang dia akan buat nanti.

Papa ni janganlah mudah percaya sangat. Tambah-tambah kalau yang masih muda!” tekan Nina lagi dan menjeling tajam pada Iskandar yang ketika itu turut sama memandangnya.

Iskandar yang sedang mengemas bagasi anak majikannya ini hanya mendiamkan diri. Dia dengar dengan jelas setiap butir bicara gadis ini. Tidak sedikit pun dia mengambil hati dengan kata-kata gadis itu.

“Papa Nina ni dengan semua orang dia percaya. Bila dah terkena baru nak menyesal. Mama malas dah nak ambil tahu. Semua tu mama serahkan pada papa. Yang penting papa sediakan keperluan untuk keluarga kita. Selebihnya mama tak nak ambil tahu,” sampuk Puan Sri Suzana selamba.

“Tak baik fikir yang bukan-bukan Nina, Zana. Kalau si Is tu dengar apa yang kau orang berdua cakapkan, mesti dia kecik hati. Dia datang ke sini sebab nak kerja cari rezeki halal. Bukan seperti yang kamu berdua maksudkan.”

Tan Sri Shahril memandang kedua-duanya. Tidak suka dengan butir bicara anak isterinya.

“Suka hati papalah. Nina cuma nak ingatkan papa aje. Kalau apa-apa jadi jangan mengadu pada kami pulak bila pemandu baru papa tu kerja lembap ke apa ke... tadi pun di airport Nina kena tunggu dia lama. Sibuk sangat ke surau. Macam alim pulak!”

Nina berterusan membebel. Kemudian dia bangun.

“Nina nak naik bilik dan rehat. Rindu sangat pada bilik Nina. Okeylah papa, malam ni kita berbual, ya.”

Nina terus mencium pipi mama dan papanya sebelum melangkah naik ke biliknya.

Kemudian Puan Sri Suzana pula bangun meninggalkan Tan Sri Shahril. Tan Sri Shahril menggeleng berkali-kali. Anak dengan emak sama saja! Desisnya di dalam hati.


----------------------------------------------------------------------------------------

KUDA kesayangannya digosok-gosok. Dia baru sahaja menunggang Mawi. Nama yang cukup istimewa diberikan pada kuda jantan ini. Peluh di dahinya dikesat.

Nina tersenyum. Setiap kali pulang ke sini, dia pasti akan menunggang kudanya dan setiap kali itulah jiwanya tenang apabila dapat berjalan bersama Mawi.

Nina mengheret kudanya perlahan-lahan. Istimewanya Villa Suzana ini kerana ada kawasan lapang yang cukup luas di belakang rumah besar ini membolehkan pelbagai aktiviti dijalankan. Kandang kuda juga terletak di belakang Villa Suzana.

Nina berhenti berjalan. Dia memandang kuda kesayangannya. Kuda ini dibeli oleh Tan Sri Shahril ketika usianya masih kecil sebagai hadiah hari jadi Nina.

Mung tahu dok Mawi? Aku prati mung loni tok smart doh. Empat tahun aku tinggal mung. Balik sini aku tengok mung lain doh. Hmm... mungkin mung tuo doh kot.”(“Kau tahu tak Mawi, aku tengok kau sekarang dah tak comel macam dulu. Empat tahun aku tinggalkan kau. Balik sini aku tengok kau dah lain. Hmm... mungkin kau dah makin tua.”) Nina berbicara dengan kudanya seraya ketawa perlahan.

Tangannya menggosok-gosok bulu lebat Mawi. Mawi hanya menggeleng.

Aku rindu sangat ko mung Mawi. Mung tok ingat kat aku ko? Mung ni meme takdok perasaanlah!”(“Aku rindu sangat pada kau Mawi. Kau tak rindu aku? Kau ni memang tak ada perasaanlah!”) ujar Nina lagi pada kudanya dan menggosok-gosok lembut bulu Mawi.

“Tapi kau memang tak ada perasaan, kan? Yalah, kau kan binatang. Mana sama dengan manusia. Tapi seriuslah aku beritahu kau yang aku rindu pada kau. Bila aku rindu kau, aku akan tengok gambar kau, Mawi. Kadang-kadang aku mintak papa hantar gambar kau pada aku. Kelakar, kan?”

Nina ketawa. Lucu dengan kata-katanya. Jika sesiapa yang melihatnya bercakap dengan binatang, sudah tentu mengatakan yang dia gila. Ah!!! Lantaklah orang nak cakap apa. Yang penting aku sayang Mawi, bisik hati Nina. Rambut panjangnya yang terbias di pipi diselak ke belakang.

“Jomlah Mawi, aku hantar kau balik ke banglo kau ya. Esok petang aku layan kau lagi.” Nina kembali mengheret kudanya. Sayang betul dia pada kudanya itu.

Selesai mengunci kandang kudanya, Nina mahu kembali ke rumahnya. Saat ini juga matanya terpandang rumah kayu yang terletak di belakang Villa Suzana. Nina pelik apabila melihat tingkap dan pintu rumah itu terbuka luas.

‘Siapa pulak yang duduk kat rumah tu? Bukan ke tu rumah rehat keluarga aku? Hisy... kenapa papa tak cakap apa-apa ni? Nina berteka-teki sendiri. Kemudian dia terus menghampiri rumah rehat itu. Hatinya meronta-ronta mahu menyiasat gerangan orang yang tinggal di rumah itu. Laju dia berjalan.

Nina berdiri tegak di depan rumah ini. Dia memandang sekeliling. Tiada sesiapa pun di sini. Nina mula curiga. Saat kakinya melangkah untuk menaiki tangga, Nina disapa seseorang. Kakinya terus kaku di situ.

“Cik Nina!”

Nina terus pusing belakang. Matanya terbeliak melihat lelaki tinggi lampai di kawasan Villa Suzana ini.

“Cik Nina buat apa kat sini?” Lembut Iskandar bertanya dan matanya tidak berkalih melihat gadis comel ini.

Nina mula berang. Dia bercekak pinggang di atas tangga rumah ini. Matanya bulat memandang Iskandar.

“Eh, aku yang patutnya tanya apa yang kau buat kat sini? Bukan kau yang tanya aku! Ini kawasan rumah akulah!” marah Nina berapi-api. Jari telunjuknya dihalakan ke arah Iskandar.

Iskandar membalas dengan senyuman. “Maaf Cik Nina. Tan Sri Shahril tak ada beritahu Cik Nina ke tentang saya?”

“Yang aku tahu kau ni pemandu keluarga Tan Sri Shahril! Kenapa kau boleh ada kat sini petang-petang macam ni? Kalau kerja dah habis, baliklah! Apa yang kau tunggu lagi? Tunggu Tan Sri bagi kau makan dulu baru kau nak balik? Macam tu?”

Iskandar terkedu. Langsung tiada kelembutan pada gadis ini dalam berbicara. Namun Iskandar tetap bersikap biasa.

“Bukan Cik Nina. Sebenarnya, saya tinggal kat sini,” beritahu Iskandar berterus terang.

“Apa? Tinggal kat sini?” soal Nina ingin kepastian. Wajahnya mula kemerah-merahan menahan marah.

“Apa hal kau tinggal kat sini? Siapa suruh kau tinggal sini? Ini rumah rehat keluarga aku. Sebelum ni tak ada siapa pun yang berani menceroboh rumah ni. Baru berapa bulan jadi pemandu kau dah dapat tinggal kat sini?”

“Err... saya hanya mengikut arahan Tan Sri Shahril, Cik Nina. Tan Sri yang arahkan saya untuk tinggal kat sini,” balas Iskandar perlahan.

Dia dapat lihat bulatnya mata gadis ini memandang ke arahnya.

“Senangnya hidup kau! Selama ni dah berapa banyak papa aku tu pakai driver. Tak ada pulak papa suruh dia orang tu tinggal sini? Kenapa kau pulak yang terpilih? Kau tahu tak taraf pemandu ni duduk bawah tapak kaki aku aje! Cikgu sekolah kau dulu tak beritahu kau ya yang pemandu ni layak tinggal di tepi-tepi jalan!” Nina terus menghina. Dia sudah lupa segala-galanya.

Iskandar mengucap di dalam hati. Sayangnya, kecantikan gadis ini tiada pada akhlaknya.

“Itu Cik Nina kena tanya sendiri pada Tan Sri Shahril. Saya tak mintak untuk tinggal di sini. Saya pun ada rumah sendiri tidak jauh dari sini.”

“Huh! Habis tu baliklah ke rumah kau!” Tajam Nina menjeling ke arah Iskandar.

“Untuk pengetahuan Cik Nina, saya bukan saja pemandu keluarga Tan Sri Shahril, saya jugak penjaga Villa Suzana ni,” beritahu Iskandar berterus terang.

“Tak payah nak jaga Villa Suzana ni! Kau jaga ajelah diri kau tu sendiri! Kalau Villa ni kena rompak, kaulah orang pertama yang aku akan heret ke penjara!” maki Nina lagi. Puas hatinya!

“Is, siapa tu nak?”

Suara Puan Leha mengejutkan Iskandar dan Nina.

“Err... tak ada siapa mak. Err... Is bersembang dengan anak Tan Sri ni.”

Iskandar meninggikan sedikit suaranya. Nina bertambah geram. Darahnya mendidih tiba-tiba. Dia bawa mak dia tinggal sini? Melampau!

Saat ini juga muncul Puan Leha dengan kakinya yang terhenjut-henjut. Nina pusing belakang. Tajam matanya memandang Puan Leha yang tersenyum manis padanya.

“Jemput naik nak... Is, jemput anak Tan Sri masuk rumah,” pelawa Puan Leha lembut. Dia masih berdiri di muka pintu.

“Tak payah! Kalau aku nak naik, bila-bila masa aku boleh naik! Ini rumah aku!”

Puan Leha terkedu. Kasar kata-kata gadis ini. Sedikit sebanyak hati tuanya terusik.

Nina memandang Iskandar. “Kau yang kerja dengan papa aku, kenapa kau nak bawa orang tua ni tinggal sini? Nak duduk percuma, kan? Suruhlah mak kau tu buat kerja! Jangan tahu nak terima pemberian orang aje!”

“Itu mak saya, Puan Leha. Tan Sri yang arahkan kami tinggal kat sini,” balas Iskandar masih lagi berlembut. Walhal hatinya sudah mendidih marah apabila Nina mengaitkan emaknya dalam hal itu.

“Amboi, banyak cantik muka kau! Papa aku hanya benarkan orang yang bekerja dengan keluarga aku aje boleh duduk sini! Orang tua ni bagi perkhidmatan apa kat rumah aku?” herdik Nina sambil matanya terjengil memandang ke arah Iskandar dan Puan Leha.

“Tan Sri yang mintak saya ajak mak saya tinggal bersama.”

“Huh! Semua Tan Sri! Tan Sri! Tan Sri! Aku nak jumpa papa aku beritahu yang aku tak setuju kau orang tinggal kat sini. Kau memang sengaja nak tumpang senang keluarga aku! Kau ingat bila kau dah duduk rumah besar macam ni, kau ingat papa aku tu sayang kau ke?”

Nina menjerit kecil. Kemudian, dia melangkah turun dengan kasar. Matanya menjeling tajam pada lelaki ini dan terus berlalu pergi. Benci dia melihat Iskandar!

Iskandar hanya memerhati lenggok kasar Nina yang semakin hilang dari pandangannya.

“Mak...” panggil Iskandar lembut.

Dia dapat melihat kesuraman di wajah emaknya. Dia tahu hati emaknya tergores dengan kata-kata nista anak Tan Sri Shahril sebentar tadi.

“Mak jangan ambil hati apa yang Cik Nina cakapkan tadi. Dia memang macam tu, mak. Orangnya agak kasar, tapi hatinya baik. Mak jangan fikir yang bukan-bukan ya. Dia nak cakap apa, terpulanglah pada dia. Is hanya mengikut arahan Tan Sri.”Iskandar memujuk emaknya.

Puan Leha hanya mengangguk tidak tahu hendak mengulas lanjut. Tidak sangka, kehadiran mereka anak- beranak tinggal di sini menimbulkan rasa tidak puas hati anak gadis Tan Sri Shahril.

“PAPA! Papa!” Nina melaung kuat.

Sakit di hatinya masih ada. Dia tidak suka ada orang asing tinggal di rumahnya.

Tan Sri Shahril yang sedang membaca buku di koridor rumah terkejut. Segera dia menutup bukunya apabila melihat Nina yang laju berjalan ke arahnya. Bahkan muka anak gadisnya merah menyala. Pasti ada yang tidak kena, bisik hati Tan Sri Shahril.

“Kenapa ni Nina? Terjerit-jerit. Tak elok anak dara perangai macam ni. Cuba lemah-lembut sikit,” tegur Tan Sri Shahril perlahan.

Nina sudah berdiri tegak di hadapan Tan Sri Shahril.

“Nina nak tanya papa, siapa yang tinggal di rumah rehat kita tu, pa?” soal Nina laju dengan wajah yang serius.

Tan Sri Shahril mengerutkan dahinya.

“Kenapa Nina tanya?”

Of courselah Nina kena tahu, papa. Ini rumah Nina jugak. Entah siapa-siapa yang papa ajak tinggal dengan kita tu!” marah Nina lagi.

“Laa... itukan Iskandar. Pemandu keluarga kita. Papa yang ajak dia tinggal di rumah rehat tu. Sekurang-kurangnya bila dia dan maknya tinggal di situ, tak adalah rumah rehat tu terbiar kosong. Biarlah mereka tinggal kat situ. Kebetulan papa dah mintak Is tengokkan sekali Villa kita ni,” beritahu Tan Sri Shahril setelusnya.

Nina mendengus kasar, masih tidak berpuas hati.

“Masalahnya papa, kita tak kenal dia orang tu macam mana. Entah-entah penjenayah mana yang menyamar nak rompak rumah kita. Yalah, kitakan kaya, banyak duit. Ramai yang dengki dan iri hati.”

“Astaghfirullahalazim. Tak baik tuduh macam tu, Nina. Nina tahu tak apa yang Nina cakap ni? Is tu budak baik. Papa kenal dia sebab tu papa mintak dia tinggal kat sini,” ujar Tan Sri Shahril memandang wajah anak gadisnya ini.

“Papa ni kan mudah sangat percaya pada orang. Kalau orang tu baik sangat dengan papa, semua harta papa nak bagi pada orang. Papa ni terhutang budi ke dengan pemandu papa tu?” Nina menyoal serius. Dia memang tidak suka jika Iskandar dan Puan Leha terus tinggal di rumah rehat itu.

“Ya ALLAH! Nina, kalau bercakap tu cuba fikir dulu. Papa yang izinkan Is tinggal di sini. Apa masalahnya?” Tan Sri Shahril mula berang.

“Masalahnya lelaki tu bukan saudara-mara kita. Entah dari mana dia orang tu datang. Kalau lelaki tu buat apa-apa pada Nina, macam mana? Masa tu kalau papa nak menyesal sekalipun dah tak berguna!” bentak Nina, geram.

Baginya Tan Sri Shahril terlalu mudah untuk percaya pada orang asing.

Tan Sri Shahril menyambung kembali pembacaannya yang tergendala sebentar tadi. Malas hendak melayan sikap anaknya yang pemarah ini.

“Nina tak suka pemandu papa tu tinggal sini! Sampai bila-bila pun Nina tak suka!” jerit Nina dan memandang wajah selamba papanya.

“Mama pun tak suka! Tapi papa Nina ni degil! Mudah sangat percaya pada orang!”

Tan Sri Shahril dan Nina terkejut mendengar suara Puan Sri Suzana yang muncul secara tiba-tiba di koridor. Wajah Puan Sri Suzana juga merah menyala.

“Papa Nina ni memang mudah percaya pada orang. Dah berbuih mulut mama nasihatkan papa jangan ajak si Is tu tinggal sini, tapi papa Nina ni degil. Kalau dia buat apa-apa pada Nina, youlah yang bertanggungjawab, Shahril.” Tegas Puan Sri Suzana bersuara dan berdiri di sebelah Nina.

Tan Sri Shahril memandang isterinya.

“Yang you sakit hati pada dia orang anak-beranak kenapa? Si Is tu ambil duit you ke? Ambil harta you ke? Is tu bekerja dengan keluarga kita! Cubalah belajar menghormati orang lain!”

Membara hati Puan Sri Suzana apabila Tan Sri Shahril meninggikan suranya.

“Memanglah dia tak kacau I. Masalahnya melampau sangatlah kalau you bagi dia duduk sini. Sudahlah tinggal di sini free, satu sen pun tak bagi. Dia bawak pulak mak dia yang tempang tu tinggal sini. Oh, pleaselah Shahril. I memang tak suka. I malu tahu tak bergaul dengan orang miskin dan cacat macam tu. Langsung tak ada class!

Puan Sri Suzana menunjukkan muka meluatnya.

Tan Sri Shahril menggeleng. Kesal dengan sikap anak dan isterinya ini. Kalaulah Iskandar mendengar penghinaan yang dilemparkan oleh isterinya ini, sudah pasti lelaki itu bersedih.

“Mak dengan anak sama aje! Like mother like daughter!” jerkah Tan Sri Shahril.

Kemudian dia terus bangun dan berlalu pergi. Hatinya sakit dengan sikap anak isterinya ini.

“Mama tengoklah papa tu. Papa marah kita sebab pemandu kesayangan dia tu!” luah Nina tidak puas hati lalu menghentak kakinya ke lantai.

“Tan Sri Shahril ni dah gila!” bentak Puan Sri Suzana dengan mata yang merah menyala.


Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.