Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
96,003
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 1

SUASANA yang gelap gelita itu menyukarkan pergerakan. Dalam keadaan teragak-agak Jazadin melangkah dengan berhati-hati melalui laluan yang sempit itu. Di kiri dan kanan bersemak.

Di belakang, Intan mengekori rapat. Adakala Intan memaut hujung baju yang dipakai ayahnya. Sehinggalah mereka sampai di sebuah rumah papan yang bertutup. Rumah tinggal yang tak berpenghuni.

Jazadin membuka pintu rumah itu. Dengan mudah pintu itu terkuak. Dia melilaukan pandangan ke dalam rumah itu dari muka pintu walaupun gelap. Dia cuma nak memastikan rumah itu selamat.

Intan dengan berwajah gusar memerhati tingkah ayahnya itu. Sempat dia meliarkan pandangan ke sekeliling kawasan sekitar. Dia tak nampak apa-apa. Menyelinap perasaan seram.

“Jom masuk...” ajak Jazadin sambil melangkah ke dalam rumah itu.

Intan patuh. Dia tiada pilihan. Dilihat Jazadin mengeluarkan beberapa batang lilin dari dalam beg sandang yang dibawa. Lilin-lilin itu dinyalakan.

Barulah keadaan terang sedikit. Lalu, lilin itu dipacakkan di atas lantai di beberapa sudut rumah yang agak sempit itu. Tiada apa-apa di dalam rumah itu. Kosong sekosong-kosongnya. Malah, sudah terlalu usang.

Jazadin mengeluarkan beberapa naskhah surat khabar pula. Dihulurkan kepada Intan. “Bentanglah kat mana-mana nak tidur.”

Intan memandang surat khabar itu dengan perasaan sebak. Tidur mereka beralaskan kertas. Lambat-lambat dia mencapai akhbar itu.

Jazadin sudah membentangkan tempat tidurnya. Betul-betul di tengah ruang rumah. Nak tak nak, Intan hamparkan juga surat khabar itu berdekatan dengan tingkap. Dia tak mahu jauh daripada ayahnya.

Direbahkan diri beralaskan beg sandang sebagai bantal. Suasana sunyi sepi. Dalam kegelapan dan kesunyian begini, hati Intan dipagut rasa sayu. Dia cuba melelapkan mata, namun tak rasa mengantuk pula. Kerana ketika ini hatinya berselirat dengan macam-macam perasaan. Sebak, kecewa,terluka dan letih.

“Sampai bila kita nak lari macam ni, ayah?” Soalan ini sudah lama dia pendamkan. Dia tahu, Jazadin masih belum tidur.

“Tidurlah, Intan... kita dah berjalan jauh tadi. Penat.” Jazadin berpaling membelakangkan Intan.

“Masuk kali ni, dah tiga kali kita berpindah-randah. Hidup macam pelarian. Sampai bila kita nak jadi macam ni, ayah?” Diluahkan jua apa yang bergetir dalam hati. Intan melihat Jazadin masih diam. Lalu dia menyambung.

“Intan nak hidup macam orang lain. Dulu Intan kerja, ayah suruh berhenti. Dah enam bulan kita hidup macam ni.” Sayu suara Intan melirih.

Sebenarnya, dia sedang menahan sebak. Mata sudah bergenangan. Kalau boleh dia tak mahu menangis. Tapi apa yang berlaku membuatkan adakala hatinya lara.

Jazadin melepaskan nafas berat yang panjang. Lama kemudian barulah dia bersuara. “Ayah pun tak nak jadi macam ni, Intan. Ayah sebenarnya tak sanggup dah tengok Intan hidup susah.” Suaranya garau dan perlahan.

Serentak dengan itu, air mata Intan berderai. Dia baring mengiring memandang ayahnya. “Kenapa ayah pinjam duit dengan lintah darat tu?” Inilah yang paling Intan kesalkan. Luruh lagi air matanya.

Jazadin mengaku itu silapnya. Satu tindakan yang menjahanamkan sisa-sisa hidupnya.

“Kalaulah ayah tak pinjam duit tu...” Intan diam menahan sebak.

“Ayah cuma nak senangkan hidup kita. Ayah dah tua, Intan. Dah tak berdaya lagi nak kerja jadi buruh. Berpanas berterik buat bangunan tinggi-tinggi. Badan ayah sakit-sakit,” adu Jazadin buat pertama kali. Selama ini, dia tak pernah cakap apa-apa pada Intan. Sakit macam mana sekalipun, dia tetap akan kerja demi Intan. Bergenangan panas matanya.

Makin lebat air mata Intan tumpah ke pipi. Dari belakang tubuh Jazadin pun, kelihatan ayahnya itu telah benar-benar dimamah usia. Kerana bekerja berat, menambahkan lagi penuaan di wajah Jazadin. Rambut pendek dan jarang ayahnya banyak yang putih. Banyak kedut yang melatari muka sawo itu. Jazadin nampak lebih tua berbanding umurnya yang baru 50 tahun. Perasaan kasihannya melimpah ruah pada Jazadin.

“Sebab tu ayah nak berniaga. Kawan ayah ajak berniaga sama-sama buka restoran. Kongsi modal separuh-separuh. Tapi modal tak cukup. Ayah pinjam along RM40 ribu. Bila ayah bagi duit tu kat kawan ayah, dia lesap entah ke mana. Puas ayah cari dia, tapi tak jumpa. Duit dalam simpanan ayah dah habis. Along tu pulak dah tuntut hutang. Ayah hilang punca sekarang ni, Intan.” Tanpa dapat ditahan, Jazadin menangis. Dia menangis senyap-senyap. Tak mahu Intan dengar.

Hidup-hidup dia ditipu dengan kawan sendiri. Sampai kiamat dia takkan maafkan kawannya itu!

“Bukan ayah tak nak bayar hutang. Tapi ayah perlukan masa nak cari duit. Ayah dah tak ada pendapatan. Sekarang, dia ugut nak lacurkan anak ayah. Ayah tak sanggup, Intan. Intan satu-satunya anak ayah. Ayah tak sanggup...” Berjuraian air mata Jazadin. Tak dapat dibendung lagi tangisannya. Dia teresak.

Intan mengemam bibir menahan tangisan. Basah matanya bagaikan tak mahu mengering. Dadanya terasa senak dengan perasaan sebak. Rupa-rupanya, ini sebenarnya yang terjadi. Jazadin pendam sendirian kerana tak nak dia bersusah hati. Jazadin buat semua ni kerana nak selamatkan dia.

Suasana sepi antara kedua-dua beranak itu. Masing-masing hanyut dengan gelora perasaan yang menghiba. Seketika kemudian setelah berasa tenang, Jazadin kembali bersuara.

“Sebab tu ayah suruh Intan berhenti kerja. Kita kena lari dari lintah darat tu. Ada kawan ayah yang boleh tolong kita. Dia boleh tolong carikan rumah dan kerja untuk ayah kat KL. Mungkin esok atau lusa dia datang ambil kita.” Jazadin memberitahu rancangannya. Dia mahu akhiri penderitaan Intan.

“Kita bina hidup baru kat KL nanti. Intan jangan susah hati. Tak akan ada lintah darat yang tahu kita ada kat sana. Ayah janji. Dah cukup duit nak bayar hutang, baru kita balik Alor Setar semula.” Jazadin sudah tak sabar nak mengakhiri kisah duka hidup mereka berdua.

Intan mengaminkan kata-kata ayahnya itu sebagai doa dalam hati. Dia berserah. Diikutkan saja arus yang berlaku dalam hidupnya nanti.

“Kalaulah ibu Intan masih ada...” keluh Jazadin lemah. Sudah sembilan tahun Amnah meninggal dunia. Tak pernah dia lupakan isterinya itu.

Intan juga rindukan ibunya. Ya, kalaulah ibu masih ada...

Jazadin mengiringkan tubuh agar menatap wajah Intan. Intan gadis yang cantik sebenarnya. Tapi kecantikan Intan telah ditimbus oleh kemiskinan. Tak terserlah dengan pakaian dan penampilan yang selekeh itu. Langsung tak kelihatan.

“Ayah minta maaf, Intan. Disebabkan ayah, hidup Intan jadi susah macam ni.” Lirih suaranya. Diseka mata yang kebasahan. “Disebabkan tak ada ibu, Intan hidup sendiri. Ayah tak mampu nak didik dengan sempurna dan beri perhatian pada Intan sepenuhnya. Ayah pergi kerja tinggalkan Intan urus diri sorang-sorang.”

Walau dalam keadaan samar dan jarak yang agak jauh itu, dia tahu Intan sedang menangis. Bergulung-gulung perasaan bersalah membadai jiwanya.

“Walaupun hidup kita susah, ayah akan pastikan maruah Intan terjaga. Ayah nak Intan jaga diri Intan elok-elok. Jaga maruah Intan. Biar kita miskin, asalkan maruah kita tak murah,” pesan Jazadin penuh berharap buat anaknya itu. Kerana hanya Intan satu-satunya darah daging yang dia ada. Diseka lagi air mata yang berderai.

Intan diam memaku diri. Dia nak bersuara, tapi kerongkongnya bagaikan sudah tersekat sendat. Perasaan sebak dan sayu bergelora dalam dada. Tak ada satu perkataan yang mampu diluahkan. Dia hanya menangis dan menangis saja. Tak pernah dia menyalahkan ayahnya atas apa yang terjadi. Dia akan menganggap ini takdir yang harus ditempuhi. 

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.