Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
81,131
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

1

SUDAH hampir ke pukul 6.00 petang dan aku masih berada di sini. Aduh! Boleh jadi gila menunggu dia yang tidak faham-faham perlu menjemputku tepat pada waktunya. Nanti apa pula kata mamanya yang sedang menunggu di butik? Apa pula kata mamaku juga yang melihat bakal menantunya yang seorang itu tidak menepati janji?

Menantu?

Entah kenapa, sering aku rasa pelik tiap kali menggunakan perkataan itu. Perkataan itu masih asing pada diriku. Adakah benar aku bakal menjadi seorang isteri kepada seorang lelaki yang telah aku kenal selama lebih enam tahun? Cukupkah tempoh itu yang membuatkan aku bersedia menjadi seorang isteri? Namun aku cuba buang perasaan itu. Mainan perasaan sering menghantui fikiran. Walaupun aku cuba untuk menerima takdir yang sudah ditentukan, tapi dalam pada masa yang sama, mainan perasaan tetap menggoncang keteguhan keyakinan.

Aku segera memeriksa kad tempahan baju yang aku sisipkan di dalam beg tanganku selama ini. Aku termangu. Lantas mengeluh perlahan apabila melihat kad yang berwarna merah jambu itu.

Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi dan pantas aku menekan butang hijau.

“Helo! Assalamualaikum.” Suara mama kedengaran di hujung talian.

“Waalaikumussalam,” jawabku.

“Julia kat mana ni? Kenapa tak sampai-sampai lagi? Mama dah lama tunggu kat butik ni.”

Aku mula cemas. Aduh! Silap siapa kalau aku sudah lewat daripada waktu temu janji yang telah kami tetapkan bersama? “Hah? Mama dah sampai? Cepatnya mama sampai?”

“Aik? Janji nak jumpa pukul lima setengah? Mama pun sampai lima setengahlah. Tengok-tengok, kamu semua tak ada lagi. Ke dah balik?” Mama bertanya dengan suara agak tinggi. Suara itu jelas-jelas menunjukkan dia mula kurang senang dengan keadaan semua ini.

Aduh! Ini kes berat. Mama dah sampai, tapi aku masih terkial-kial menunggu Rizan. “Mama Rizan dah sampai? ke?” Aku cuba mengalih perhatian orang tuaku.

“Belum. Seorang pun belum sampai lagi. Ju kat mana sekarang ni?”

Aku dihambat rasa bersalah dan cemas. “Ju tengah tunggu Rizan ni,” jelasku. “Agaknya jalan jam. Tu yang dia tak sampai-sampai lagi.”

“Hah? Ju masih di pejabat?” Tak dapatku nafikan lagi, mama ternyata terkejut. Dan belum sempat aku hendak menjawab, suaranya kembali kedengaran tetapi dengan nada berbeza. Dia teruja. “Hah! Itu pun mama Rizan. Tak apalah kalau macam tu. Biar mama dengan mama Rizan tunggu kau orang kat butik. Bila Rizan sampai, suruh dia cepat sikit. Jangan nak pergi makan minum dulu ke... apa ke... Ingat tu? Terus aje ke sini,” pesan mama.

Aduhai, mama! Aku sedar aku sudah terlambat daripada waktu temu janji kami. Mana mungkin kami akan singgah mana-mana restoran pula? “Tau... tau.”

“Okeylah. Mama nak pergi jumpa mama Rizan ni. Dia tak tahu mama dah sampai ni. Okay, ingat, terus saja ke sini.” Lantas mama mematikan talian sebelum sempat aku berkata-kata.

Aku menarik nafas lega. Mujur mama Rizan sudah sampai. Sekurang-kurangnya aku tak perlu lagi mendengar bebelan mama dan mama taklah keseorangan bosan menunggu kami semua.

Aduhai, lelaki yang bernama Megat Rizan Kasturi! Di manakah anda sekarang? Terlupakah anda bahawa kita berdua ada temu janji bersama orang tua kita?

Aku perhati di kiri kananku, melihat kenderaan yang bersimpang-siur keluar masuk di pekarangan bangunan tempat aku bekerja. Ya ALLAH, di mana dia? Belum sempat aku ingin mendail nombor Rizan, telefon bimbitku berdering lagi. Aku mula berdebar-debar. Mama lagikah? Atau mama Rizan yang turut sama mahu menegur atas kelewatan kami berdua? Parah! Parah ni! Aku akan cakap anaknya yang terlewat menjemputku ke sana. Aku sudah tidak kira lagi. Biar dia yang kena marah. Bukan salah aku kerana aku sudah menunggunya hampir sejam lamanya!

Aku mendengus keras apabila melihat nama yang tertera pada skrin telefon bimbitku. Tahu pulak nak telefon, getusku di dalam hati. Aku segera menjawab panggilannya itu. “You kat mana sekarang ni?”

“Dah nak sampai dah ni.”

“Cepatlah sikit. Kaki dah lenguh menunggu you ni.”

“Sabarlah sikit. Jam teruk ni,” keluhnya. Bicaranya tetap lembut walaupun menegur ketidaksabaranku.

“You baru kenal Kuala Lumpur ke? Tengah hari lagi I dah pesan pada you, keluar awal. Jalan sentiasa jam. Lagi berapa minit nak sampai ni?” Giliranku mengeluh.

“Hmm... lebih kurang lima hingga sepuluh minit. Tunggulah. I tengah cari jalan pintas ni.” Dia memujukku.

Aku mendengus kurang puas hati dengan sikapnya itu. “Yalah, tapi cepat sikit. Bawa kereta tu hati-hati,” ujarku.

“I tahu. You takkan ke mana-mana. Tetap tunggu I sampai bila-bila, kan?” Dia ketawa kecil lantas mematikan talian kami berdua.

Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Aku tidak tahu apa yang perlu aku rasa saat ini. Fikiranku berkecamuk. Jiwaku gundah. Ayat itu seperti melemaskan aku. Dia cuba bergurau. Dia sering bergurau. Hanya aku yang tidak berkenan. Aku sememangnya tidak berkenan dengan gurauan seumpamanya itu padaku. Namun aku cuba meredakan rasa itu semua di dalam hati.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.