Home Novel Cinta Sah, Aku Cinta Kamu!
Sah, Aku Cinta Kamu!
31/12/2013 00:28:38
56,088
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

SAMBIL menyiapkan laporan prestasi kakitangan bahagian jualan untuk bulan itu, mata Irdina sesekali mengerling telefon bimbitnya yang tidak berdering sejak sejam yang lalu.

Dia mengeluh. Tak habis lagi ke Raif berdiskusi? Lamanya. Atau telefon aku ni yang rosak?

Dia mencapai telefon dan membeleknya. Baterinya full bar. Line pun full coverage. Kalau begitu, apa sebabnya dia masih belum menerima panggilan Raif?

Dalam diam, Irdina menyalahkan dirinya. Kenapa gatal sangat tangannya menekan nombor telefon Raif tadi? Sepatutnya dia tidak mengganggu lelaki itu di waktu pejabat. Lelaki itu sentiasa sibuk. Tapi masa tu, dah pukul 5.00... dah habis pun waktu kerja!

Natijahnya sekarang ini, bila Raif tidak dapat melayan panggilannya, dia rasa kecil hati. Bila Raif tidak menelefon kembali, dia rasa hampa. Tidakkah tindakan itu semuanya memakan diri dan menjerut hati?

Irdina semakin keliru dengan perasaan yang melanda jiwanya sejak pulang dari rumah Raif hari Sabtu lepas. Sebahagian hatinya mula mengharap sesuatu yang lebih daripada persahabatan yang terjalin antara dia dan Raif. Dia mahukan kepastian. Sudah lama rasanya berteka-teki begini tentang hati dan perasaan.

Tetapi separuh lagi hatinya, takut untuk menggantung harapan kerana bimbang akan dikecewakan. Entah-entah Raif sekadar berpeleseran dan dia adalah salah seorang yang mengisi masa-masa Raif yang terluang. Kalau Raif tidak keluar dengan si A atau si B... adakah dia gadis yang Raif akan cari?

Telefon bimbit berdering juga akhirnya. Pantas Irdina mencapainya dengan rasa teruja. Tapi, bukan ‘si dia’!

‘‘Ya, ma...’’

‘‘Idin nak balik dengan mama tak? Atau nak balik sendiri?’’ Suara Yasmin hinggap di telinga Irdina.

‘‘Kenapa ma?’’

‘‘Kalau nak balik dengan mama... lewat sikit sebab mama tersangkut jam di highway ni. Kalau Idin tak nak tunggu mama, Idin boleh balik dulu?’’ Begitulah rutin Yasmin sejak Irdina mula bekerja dua bulan yang lalu. Menghantar dan menjemput anak gadis kesayangan dari pejabat. Hendak dibelikan kereta lain, Irdina kata tidak perlu. Anaknya itu lebih selesa berulang-alik dengan menaiki LRT. Tetapi sebagai ibu, selagi berkesempatan dia akan menghantar dan menjemput anaknya itu. Kasihan pada si anak jika terpaksa berasak-asak di dalam LRT.

‘‘Idin pun ada kerja lagi ni. Bila kerja Idin dah habis, Idin akan telefon mama... nak balik dulu atau mama ambil Idin.’’

‘‘Okey sayang.’’

‘Bye ma...’’ Irdina menamatkan perbualan. Kalau boleh, Irdina tidak mahu menyusahkan Yasmin. Bila Yasmin bercadang untuk membelikannya kereta, dia menolaknya dengan alasan nanti habis gajinya gara-gara terpaksa membayar ansuran bulanan, duit minyak, tol dan parking.Bila Yasmin menawarkan Kia Forte miliknya itu untuk dipandu ke pejabat, dia mengelak dengan alasan malas memandu kerana jalan selalu sesak. Kerana itu, dia tidak kisah turun naik LRT untuk ke pejabat. Lebih mudah dan menjimatkan.

Baru sahaja Irdina menyambung kerjanya semula, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Pantas dia mencapainya.

Melihat nama Raif Imran terpapar, dia diterpa pelbagai rasa. Teruja dan gembira kerana Raif menelefon akhirnya. Namun, rasa geram tetap terselit. Dah nak dekat dua jam baru nak telefon aku, huh... ingat aku ni apa?

Hatinya berbolak-balik. Sama ada untuk menjawabnya atau... argh... nak merajuklah! Irdina meletakkan kembali telefon itu di atas meja dan membiarkan sahaja deringan itu terhenti sendiri.

Nak merajuk? Kalau merajuk pun apa yang kau dapat, Idin? Berbaloi ke? Sudi ke Raif memujuk? Silap-silap hari bulan, kau juga yang gigit jari sebab tak dapat bercakap dengan dia. Irdina terus berperang dengan perasaan. Akalnya mula menghitung saat berharap agar Raif menelefon kembali. 20 saat... 40 saat... 60 saat... dan... telefonnya berbunyi lagi. Senyuman lebar menghiasi bibirnya seraya menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab panggilan yang sememangnya ditunggu.

‘‘Helo.’’ Nada suaranya mendatar. Tidak mahu kedengaran teruja. Sedangkan hati sudah melonjak bahagia.

‘‘Idin... you di ofis lagi ke?’’

‘‘Hmm...’’ jawab Irdina pendek. Masih mengawal nada suaranya. Selepas dua jam, baru nak telefon? Telefon semata-mata nak tanya aku itu aje ke? Bukannya nak pujuk aku! Ditahan rasa geramnya terhadap lelaki itu.

‘‘You nak balik pukul berapa?’’

‘‘Tengoklah... setengah jam lagi agaknya.’’ Kenapa nak tahu aku balik pukul berapa, nak datang jemput ke? Namun, soalan itu hanya terlintas di benak Irdina sahaja. Dia tahu, kalau soalan itu terlafaz di mulut dan jawapan yang Raif berikan tidak seperti yang diharapkan, dia juga yang akan tersungkur kecewa nanti. Dirinya bukanlah istimewa mana sehingga Raif sanggup meredah kesesakan lalu lintas semata-mata hendak bertemunya. Tetapi hati kecilnya itu kadang-kadang tidak sedar diri... masih mengharapkan berlakunya keajaiban!

‘‘Tunggu situ.’’

‘‘Hah?’’ soal Irdina. Raif suruh dia jadi penunggu di pejabat? Dia silap pendengaran ke?

‘‘I dalam perjalanan ke ofis you ni.’’

Irdina terkedu. Serta merta hilang rasa geramnya. Lenyap sudah rajuknya. Hatinya terus berbunga bahagia!

SELEPAS menunaikan solat Maghrib di surau pusat membeli belah The Gardens, Raif mengajak Irdina makan malam di Restoran Belanga.

Dia tahu Irdina pasti berkecil hati kerana tidak dapat meluangkan masa untuk berbual ketika gadis itu menelefon petang tadi. Apabila dia hendak menelefon Irdina semula, Mayza pula hendak menumpang keretanya. Tidak mahu perbualannya dengan Irdina didengari oleh Mayza atau sesiapa sahaja, maka dia menangguhkan panggilan balas tersebut.

Dan apabila menyedari yang pejabat Irdina tidak berapa jauh daripada tempat dia menghantar Mayza di pusat servis tadi, maka dia terus mengubah perancangan. Mungkin dengan cara menemui sendiri gadis itu di pejabatnya, Irdina akan memaafkan dirinya yang tidak menelefon. Syukur, Irdina masih berada di pejabat ketika itu dan langsung tidak menolak untuk makan malam bersamanya.

‘‘You dah beritahu mama yang kita makan dulu sebelum balik?’’ Penting bagi Raif untuk mendapat keizinan Yasmin. Kerana dia tahu betapa pentingnya Irdina untuk wanita itu.

‘‘Dah... mama pun baru sampai rumah. Jalan sesak katanya.’’ Sebaik sahaja Raif memaklumkan yang dia dalam perjalanan ke pejabat, Irdina terus menghubungi Yasmin untuk memberitahu yang dia ada date dengan Raif. Seperti biasa Yasmin akan berpesan, jaga diri dan jangan pulang lewat.

‘‘Nanti kita bungkuskan makanan untuk mama you. Kesian dia, mesti penat nak masak.’’ Raif melahirkan simpati. Walaupun jadual kerja dan tugas Yasmin sebagai agen insurans agak fleksibel, namun wanita itu pasti letih setelah seharian berjumpa kliennya. Menurut Irdina, klien yang di bawah seliaan Yasmin hampir 100 orang juga jumlahnya.

‘‘Mama jarang makan malam kalau I tak ada. Lagipun, mama selalu kenyang bila dah layan drama Korea di saluran 393 One HD tu,’’ maklum Irdina tentang Yasmin yang akan terlekat di depan televisyen kalau sudah mula menonton drama-drama Korea. Dahulunya, dia yang memperkenalkan drama-drama Korea tersebut kepada Yasmin. Tetapi kini, Yasmin yang lebih ketagih menonton melebihi dirinya.

‘‘Boleh kenyang ke tengok hero Korea yang kadang-kadang macam rupa heroin tu?’’ Raif mengusik. Amboi mak mertua aku ni... peminat drama Korea rupanya. Err... mak mertua? Bakal mak mertua... lagi dua tahun, Insya-ALLAH.

Irdina geram mendengar perbandingan yang Raif nyatakan. Ada ke patut Raif samakan rupa hero dengan rupa heroin? ‘‘Cute apa hero Korea?’’ Dia menafikan.

Raif tertawa kecil. Wajah Irdina juga dilihatnya begitu cute mempertahankan hero Koreanya itu!

Pelayan datang menghulurkan menu dan mengambil pesanan.

‘‘You nak makan apa, Idin? Mama you suka apa? Boleh kita order sekali.’’ Raif serius untuk membelikan Yasmin makan malam. Kalau hendakkan anaknya, emaknya juga harus diambil hati.

Hati Irdina tercuit. Itu adalah satu sifat Raif yang dikaguminya. Raif tidak berkira dan pandai mengambil hati. ‘‘Nasi kerabu dan ayam percik untuk I dan mama.’’ Dia memesan menu yang serupa untuk Yasmin. Mamanya tidak cerewet tentang makanan. Sering kali mereka berkongsi makanan yang sama.

Setelah pelayan berlalu pergi dengan pesanan, Irdina menerima kiriman mesej.

Cik kak, white water rafting is on… 1st week of next month. Aku, kau, Syuk, si kembar Fida & Feedy. Klau boleh, cari lagi sorang. 6 org dpt harga murah skit.

Ok noted. Nnt aku cari… thanx.

‘‘Sorry...Feroz hantar mesej.’’ Irdina memohon maaf kerana mengabaikan Raif seketika setelah mengirimkan balasan kepada Feroz. Telefonnya diletakkan semula ke dalam beg.

‘‘Ada apa?’’ Raif teringat kepada pemuda berbadan tegap dan sasa itu. Pada awal perkenalannya dengan Irdina, cemburu juga hati apabila Irdina kerap bercerita tentang Feroz. Keluar makan dengan Feroz, jungle trecking dengan Feroz, karaoke dengan Feroz! Sehingga satu tahap, dia telah mengarahkan Ganesh menyiasat latar belakang Feroz dan mengintip pergerakan keduanya sehingga ke pusat karaoke tanpa Irdina sedari.

Setelah mendengar ‘laporan’ Ganesh yang kedua-duanya memang rakan karib dan Suri juga sentiasa ada setiap kali mereka keluar bersama, lega sikit hatinya. Mendengar kedua-duanya bercakap di telefon, dia semakin yakin yang mereka tidak lebih daripada sahabat. Maka terhapus semua rasa cemburunya.

‘‘Dia ajak I pergi white water rafting bulan depan.’’

‘‘Di mana?’’ Sebagai menghormati hobi Irdina, Raif rasa dia perlu mempamerkan minat untuk bertanya.

‘‘Kuala Kubu Baharu. Hmm... you nak ikut?’’ Buat julung kalinya Irdina bertanya. Selama ini, apabila dia bercerita tentang aktivitinya, Raif tidak pernah dipelawa. Bukannya apa... kadang-kadang dia termakan juga kata-kata Feroz yang mempunyai persepsi berbeza terhadap Raif. ‘‘Idin, kau ingat mamat maintain smart macam Raif tu nak ikut kau meredah hutan dan terjun sungai bagai?’’

Tetapi kali ini, dia memberanikan diri mempelawa kerana menurut Feroz, pakej yang ditawarkan dengan harga diskaun itu adalah untuk enam orang sekumpulan. Buat masa ini, mereka berlima sahaja.

Raif serba-salah. Ini pertama kali Irdina mengajaknya untuk turut serta. Dia tidak tahu jawapan apa yang patut diberikan walaupun pelawaan itu sesuatu yang dihargainya. Tidak berani menyatakan persetujuan awal-awal kerana takut sekiranya ada hal penting yang berbangkit dan terpaksa membatalkannya pula. Maklumlah, tugasnya tidak menentu. Mesyuarat tidak kira waktu. Tapi jika dia menolak, bimbang Irdina berkecil hati pula.

‘‘I tak berani nak janji, Idin. Nanti dah plan tiba-tiba I ada hal, rosak pula semua program.’’ Raif menjelaskan keadaannya sebaik mungkin.

Irdina melemparkan senyum. Namun di dalam hati, tercalit rasa kecewa. Dia fikir, Raif berminat untuk turut serta. Maka dapatlah mereka meluangkan masa bersama. Tetapi itu hanyalah sebahagian daripada impiannya. Realitinya, Raif terlalu sibuk untuk sebarang aktiviti seperti itu. Mungkin benar kata Feroz, Raif yang datangnya dari dunia korporat dan sentiasa terkejar-kejar, pasti tidak sama dengan dunianya yang lebih santai.

‘‘Tak apa... I plan dengan kawan-kawan I dulu. Kalau last minute you boleh join, you ikut aje.’’ Dia cuba memahami dan bersikap terbuka.

‘‘Okey.’’ Raif cuba untuk memastikan jika tidak ada hal atau kepentingan lain, pelawaan Irdina itu akan dipenuhi.

Pelayan datang menghantar hidangan. Perbualan mereka terhenti seketika.

‘‘Kadang-kadang I terfikir, macam mana you boleh berminat aktiviti ni semua?’’ soal Raif sambil menjamah nasi gorengnya.

Irdina mengunyah ayam percik perlahan-lahan. ‘‘Kalau I cerita kat you macam mana I boleh terjebak dalam aktiviti ni... janji you jangan gelakkan I.’’

‘‘Janji,’’ lafaz Raif dalam senyuman.

Irdina menyedut sedikit minumannya. Kemudian baru dia bersuara. ‘‘Sebenarnya, masa I kat uni dulu... I minat pada seorang senior ni.’’

Mendengar mukadimah Irdina, Raif sudah mengulum senyum. Inilah yang disukainya tentang Irdina, gadis itu terbuka dan selamba.

Irdina meneruskan ceritanya, ‘‘Sebab minat gila pada abang yang macho tu, I pun masuk kelab atau apa-apa aktiviti yang dia sertai. Dia masuk ekspedisi panjat bukit, I ikut. Dia anjurkan aktiviti snorkeling, I jadi peserta. Dia jadi naib presiden kelab berkayak, I tawar diri jadi AJK. I buat semua tu... semata-mata nak dekat dengan dia dan tarik perhatian dia. Sebab I yakin, satu hari nanti dia mesti akan suka dengan perempuan yang lasak macam I.’’

‘‘Berjaya ke misi you tu?’’ Raif menahan tawa. Tidak sangka Irdina sanggup melakukan semua itu hanya untuk menarik perhatian seseorang. Dan gadis itu tidak malu bercerita dan mengakuinya.

‘‘Hampir berjaya. Tapi...’’ Irdina terhenti dengan mimik muka sedih. Namun sebenarnya, dia turut menahan diri daripada ketawa bila mengenangkan 'kebodohan' diri satu ketika dahulu.

‘‘Kenapa?’’

‘‘Lepas tu, I dapat tahu abang tu dah bertunang. Rupanya, tunang dia tu pakai tudung labuh, bakal ustazah,’’ ujar Irdina sambil menggeleng-geleng kepala. Tanda dia benar-benar ‘kesal’ kerana misinya tertewas di tangan bakal ustazah itu.

Terhambur juga tawa yang ditahan oleh Raif sejak tadi. Cerita Irdina dan mimik muka gadis itu cukup menggeletek hatinya.

‘‘Hei... tadi dah janji tak nak gelak, kan?’’ Irdina pura-pura marah kepada Raif yang mentertawakannya. Sedangkan dia sendiri pun sedang sakit perut menahan gelak dengan cerita sendiri.

‘‘Sorry... I can't help it!Tapi you ni kelakarlah, Idin.’’ Raif masih ketawa. Satu kelebihan Irdina, gadis itu mampu mewujudkan suasana ceria dengan cerita-cerita lucunya setiap kali mereka keluar bersama.

Akhirnya, Irdina juga tersengih. ‘‘Feroz dan Suri selalu perli I... dia kata I patut masuk kelas agama kalau nak pikat abang tu. Bukan masuk kelab berkayak.’’

Raif tersengih membayangkan Irdina yang bertudung labuh. Kalau begitu penampilan gadis itu, pasti dia tidak berani menegur apabila mereka satu lif ketika di hospital dahulu.

‘‘Bila fikir balik... bodoh betul I masa tu. Buat semuanya untuk menarik perhatian seseorang. Tapi bila fikir secara positif, sebenarnya I enjoy semua aktiviti tu. Mencabar... tapi menyeronokkan dan buat kita perlu fit sepanjang masa.’’ Kini, Irdina berterima kasih kepada abang senior yang telah memperkenalkan sukan lasak itu kepadanya. Aktiviti tersebut memang kena dengan jiwanya.

‘‘Bila I dengar cerita you... rasa macam best pula. You daki bukit, you terjun laut, you masuk sungai.’’ Raif kagum dengan aktiviti sukan yang Irdina ceburi. Harus diakui, sebagai seorang gadis, Irdina dikategorikan sebagai seorang yang cukup fit. Manakala dia, sukan yang dilakukannya untuk kekal fit hanyalah sesekali berenang dan berlari di atas thread mill di hadapan televisyen di ruang rehat banglo Datuk Ilyas... buat malu saje!

‘‘Ada satu lagi aktiviti yang I teringin nak cuba... tapi itu pun kalau ada duit dan ada peluang.’’ Sebagai seorang yang sentiasa inginkan cabaran baharu, Irdina selalu tercari-cari aktiviti yang belum pernah dilakukannya.

‘‘Apa dia?’’

‘‘I teringin nak buat bungee jumping di New Zealand. Kalau tak pun di Macau.’’ Irdina meluahkan salah satu impiannya.

Mendengar impian Irdina, hati Raif tercuit. Kalaulah dia dikurniakan rezeki lebih, dia sanggup tunaikan impian gadis itu. ‘‘Insya-ALLAH... kalau ada rezeki, kita pergi sama-sama. Let me be your partner in crime!’’ lafaznya seikhlas hati. Wajah gadis yang memakai gaun separa lutut dan bertali pinggang besar itu, ditatapnya. Irdina kelihatan manis dan bergaya dengan busana itu.

‘Kita? Partner in crime?’ Irdina terkedu seketika. Wajah Raif ditatap. Cuba mencari riak di wajah itu, adakah Raif bergurau atau serius. Betulkah pendengarannya apabila Raif menyebut ‘kita’? ‘Kita’ itu bermaksud, aku dan dia sahaja? Atau termasuk gadis-gadis lain yang menjadi rakan Raif?

Tetapi kalau dia dan Raif sahaja... serta merta hati Irdina berdetak kencang. Terasa satu perasaan halus meresapi kalbu bila Raif melafazkan kesudian mahu menjadi ‘partner in crime’nya. Indahnya kalau dapat terjun bersama Raif dari wayar kereta kabel yang tingginya 134 meter di Queenstown, New Zealand atau dari Macau Tower yang mempunyai ketinggian 233 meter itu!

Tiba-tiba telefon bimbit Raif berbunyi. Merencatkan seluruh angan Irdina.

‘‘Kejap ya, Idin. I nak jawab call ni.’’ Sebelum sempat Irdina menjawab apa-apa, Raif sudah menekan ikon ‘answer’. ‘‘Yes, Atilia... I've been waiting for your call!’’ Dia terpaksa menjawab panggilan itu kerana ada perkara yang ingin ditanyakan kepada Atilia tentang pelaburan di FZ Investment Corporation. Sepanjang petang dia mencuba talian gadis itu tetapi tidak berjaya.

Mendengar nama Atilia disebut, sekejap itu juga Irdina bagai kembali dari dunia khayalnya yang indah sebentar tadi. Dia bukan di Queenstown New Zealand atau di Macau. Dia sedang duduk di depan Raif yang sedang berbicara dengan gadis lain bernama Atilia. Siapa pun Atilia untuk Raif, hakikat itu sudah cukup memberitahu Irdina, bukan dia seorang sahaja yang ada dalam senarai panggilan Raif Imran!

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh